Angin pasang dalam istilah perubatan dikenali sebagai hernia dan ia merupakan satu benjolan berdekatan bahagian ari-ari samada di sebelah kanan ataupun kiri. Ia selalunya membesar apabila berada dalam posisi berdiri dan mengecil ataupun hilang bila dalam keadaan baring.

Sifatnya yang demikian iaitu mempunyai pasang dan surut menyebabkan masyarakat kita memanggil penyakit tersebut sebagai angin pasang.

1. Istilah perubatan

Hernia: Satu benjolan pada bahagian abdomen yang terbentuk disebabkan usus atau selaputnya terkeluar daripada dalam abdomen memasuki satu kantung. Ia keluar daripada abdomen melalui satu bukaan pada otot dinding perut.

2. Pengenalan

Angin pasang ataupun hernia yang selalu dimaksudkan dalam masyarakat kita adalah benjolan pada bahagian ari-ari dan benjolan tersebut boleh membawa ke bahagian testis(inguinal hernia). Ia disebabkan kandungan di dalam abdomen terkeluar melalui bukaan pada otot abdomen memasuki satu kantung.

Disebabkan wujudnya bukaan tersebut, kandungan abdomen itu akan terkeluar terutamanya ketika pesakit sedang berdiri ataupun batuk. Ketika pesakit baring pula, usus dan selaputnya boleh masuk semula ke dalam abdomen dengan sendirinya ataupun dengan bantuan daripada pesakit(maksudnya pesakit itu sendiri menolak benjolan itu untuk dimasukkan ke dalam abdomen balik.

Para pembaca perlu mengetahui bahawa hernia boleh berlaku pada beberapa bahagian badan yang lain seperti:

  • Umbilical hernia: Hernia yang berlaku pada bahagian pusat
  • Epigastric hernia: Hernia yang berlaku pada bahagian atas abdomen
  • Lumbar hernia: Hernia yang berlaku pada bahagian belakang badan sama ada sebelah kiri ataupun kanan.
  • Incisional hernia: Hernia yang berlaku pada kawasan pembedahan sebelum ini.

3. Punca angin pasang atau hernia

Angin pasang selalunya berlaku disebabkan otot pada bahagian ari-ari menjadi lemah. Apa-apa keadaan yang menyebabkan tekanan di dalam abdomen semakin meningkat boleh menyebabkan otot dibahagian tersebut menjadi lemah dan menyumbang kepada masalah hernia.

Apabila otot menjadi lemah, ia akan menghasilkan bukaan pada abdomen yang membenarkan kandungan dalam abdomen seperti usus dan selaputnya keluar ke dalam kantung di luar abdomen

Beberapa faktor risiko yang boleh menyumbangkan kepada masalah tersebut adalah:

  • Lebih berat badan(obes)
  • Pekerjaan yang melibatkan mengangkat objek berat
  • Batuk yang kronik
  • Selalu sembelit menyebabkan dia selalu meneran untuk membuang air besar
  • Dialysis secara peritoneal
  • Chronic obstructive airway disease(COAD). Ia disebabkan merokok
  • Ascites: Pengumpulan air dalam bahagian abdomen disebabkan masalah kegagalan buah pinggang, masalah hati atau beberapa perkara yang lain
  • Mempunyai sejarah keluar menghidap masalah hernia

Jika anda berminat untuk membeli Tali Pinggang Hernia, boleh tekan butang LIHAT dibawah.

4. Simptom

Selalunya pesakit akan datang bila benjolan tersebut terlalu besar ataupun mempunyai simptom yang lain.

Angin pasang yang tidak mempunyai simptom selalunya akan mempunyai karakter seperti:

  • Benjolan pada bahagian ari-ari ataupun bahagian yang lain(lumbar, epigastric, umbilical dan lain-lain lagi)
  • Benjolan itu tidak sakit apabila dipegang
  • Ia membesar apabila pesakit berada dalam keadaan berdiri ataupun bila pesakit batuk

Akan tetapi ada sesetengah angin pasang yang tidak boleh surut walaupun ditolak dengan bantuan orang lain. Bermaksud usus ataupun selaputnya sudah terperangkap didalam kantung tersebut. Ini adalah satu keadaan yang berbahaya kerana usus didalam kantung tersebut boleh terpusing hingga menyebabkan pangkal pada bahagian kantung tersebut seolah-oleh dicekik(strangulated hernia)

Ini akan menyebabkan saluran darah kebahagian usus dalam kantung tersebut terganggu dan bahagian usus tersebut boleh mati.

Dalam keadaan ini pesakit selalunya mengadu:

  • Sakit yang kuat pada bahagian angin pasang
  • Ia tidak boleh ditolak masuk ke dalam abdomen
  • Pesakit akan mempunyai simptom muntah-muntah, tidak boleh buang air besar dan tidak boleh buang angin. Ini menunjukkan pesakit sudah mempunyai simptom sumbatan pada usus(bowel obstruction)

Pada ketika ini pesakit perlu dihantar ke hospital dengan kadar yang segera.