Asid refluk juga dikenali sebagai Gastroesophageal Reflux disease (GERD). Penyakit GERD adalah keadaan dimana asid di dalam perut naik balik ke bahagian esofagus. Refluk asid merupakan salah satu masalah saluran makanan yang selalu berlaku di dalam masyarakat.

Masalah GERD selalunya menyebabkan sakit di bahagian dada seolah-olah seperti dibakar. Kesakitan itu boleh pergi ke bahagian perut dan juga naik ke bahagian tekak jika asid tersebut refluks hingga ke tekak.

GERD juga boleh menyebabkan rasa masam-masam pada bahagian tekak. Masalah GERD yang kronik boleh menyebabkan komplikasi yang lain seperti masalah untuk menelan makanan ataupun serangan asma.

Punca Penyakit GERD atau asid refluk

Terdapat satu otot dibahagian hujung esofagus yang mengawal keluar masuk makanan daripada perut. Ia dipanggil sebagai ‘sfinkter esofagus bahagian bawah’. Apabila otot ini tidak berfungsi dengan sepenuhnya ia akan menyebabkan kandungan perut naik ke bahagian esofagus. Kandungan dalam perut yang mempunyai asid ini pula akan menghakis dinding saluran esofagus. Bila perkara ini berlaku, pesakit akan mengalami beberapa jenis simptom.

Makan dengan kuantiti yang banyak boleh menyebabkan perut direnggangkan dengan lebih banyak. Ini akan menyebabkan otot sfinkter menjadi lemah dan kandungan perut boleh bergerak naik ke atas.

Faktor lain yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah:

  • Berlebihan berat badan
  • Stress
  • Hiatal hernia(keadaan dimana sebahagian daripada perut memasuki bahagian dada melalui diafragma)
  • Mengambil beberapa jenis makanan seperti minuman berkarbonat, kopi dan coklat)

Jika anda mendapati terdapat beberapa jenis makanan yang menyebabkan masalah GERD ini menjadi lebih teruk, pesakit diminta untuk berhenti ataupun mengurangkan pengambilan makanan tersebut.

Jenis asid refluks

Kebanyakan orang akan mengalami masalah ini beberapa ketika. Kemudian, ia akan berhenti dengan sendirinya tanpa memerlukan rawatan. Akan tetapi jika keadaan ini berlaku secara berterusan ia dipanggil sebagai Gastroesophageal reflux disease.

Asid refluks juga boleh memberi kesan kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa. Kanak-kanak yang berumur kurang dari 12 tahun selalunya tidak mengalami simptom sakit perut. Akan tetapi mereka mempunyai simptom seperti ini iaitu:

  • Susah untuk menelan
  • Batuk yang tiada kahak
  • Asma
  • Hilang suara

Simptom ini juga mungkin berlaku pada orang dewasa.

1) Asid refluk pada kanak-kanak

Bukan orang dewasa sahaja yang mengalami masalah ini. Menurut National Digestive Diseases Informaton Clearinghouse(NDDIC), Lebih daripada separu bayi yang berumur 3 bulan ke bawah mengalami mengalami masalah refluks.

Muntah yang sedikit ( ataupun Muak) mungkin adalah sesuatu yang normal bagi seseorang bayi jika ia tidak mengganggunya. Tanda-tanda lain yang menunjukkan bayi mengalami masalah tersebut adalah:

  • Asyik menangis
  • Nampak tidak selesa
  • Badan melengkung ke belakang sebaik selepas menyusu
  • Bayi kurang menyusu
  • Batuk

Simptom seperti ini boleh jadi tidak berbahaya kepada bayi. Ini kerana asid refluk pada kanak-kanak selalunya akan baik dengan sendirinya apabila umur kanak-kanak tersebut mencapai 12 hingga 18 bulan. Jika simptom masih berterusan selepas daripada 18 bulan ataupun semakin menjadi teruk, anda perlulah membawa anak anda berjumpa dengan doktor.

Simptom yang serius bagi bayi yang mengalami asid refluks adalah:

  • Kurang pertambahan berat badan
  • Tidak mahu makan
  • Masalah pernafasan
  • Muntah dengan banyaknya
  • Muntah berwarna hijau, hitam ataupun coklat

Untuk mengurangkan masalah bayi yang mengalami muntah-muntah, anda boleh mencuba

  • Sendawakan bayi sebelum membaringkannya
  • Bagi menyusu kerap tetapi dengan kuantiti yang sedikit
  • Mendudukkan bayi secara menegak selepas memberi makan kepada bayi
  • Tukarkan jenis susu formula

2) GERD

Gastroesophageal disease adalah masalah saluran pencernaan yang kronik. Ia boleh dialami semua lapisan umur. Asid refluk yang berlaku 2 kali seminggu dan menyebabkan keradangan saluran esofagus akan dikategorinkan sebagai GERD.

Simptom dan Tanda-tanda GERD

Simptom yang mungkin di alami oleh pesakit adalah:

  • Pedih uluhati
  • Susah untuk menelan
  • Asyik merasakan perut sudah penuh dengan makanan walaupun belum lagi makanan
  • Batuk waktu malam ataupun waktu tidur
  • Tekak berasa masam

Komplikasi GERD

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku jika anda mengalami perkara ini. Ia adalah:

  • Keradangan esofagus: Ini disebabkan asid yang terhasil di dalam perut menghakis dinding saluran esofagus. Ini akan menjadikan dinding tersebut rosak dan meradang. Pesakit pula akan mengalami sakit dada
  • Saluran esofagus menjadi kurang elastik dan mengetat(stricture): Salurang esofagus yang tercedera akan membentuk parut. Ini menyebabkan saluran esofagus menjadi keras dan kurang elastik
  • Barret Esophagus: Ia merupakan salah satu ketumbuhan prakanser dibahagian bawah esofagus. Jika tidak dirawat, ia akan menyebabkan kemunculan kanser esofagus.

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat diagnosa-diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama. Ia adalah:

Penyiasatan

Prosedur yang selalu digunakan untuk menyiasat masalah tersebut adalah dengan menoropong kawasan dalam saluran pencernaan.

Kamera akan dimasukkan dari bahagian mulut untuk melihat keadaan esofagus. Esofagus yang mempunyai masalah GERD ini selalunya mempunyai dinding kemerah-merahan disebabkan keradangan yang berlaku.

Kamera tersebut juga digunakan untuk melihat bahagian dalam perut. Ini kerana masalah gastrik juga boleh menyebabkan masalah asid refluks ini berlaku.

Rawatan GERD

Rawatan masalah ini adalah melibatkan perubahan gaya hidup berserta pengambilan ubat

1) Gaya hidup

  • Kurangkan berat badan
  • Elakkan pengambilan alkohol, kopi, jus limau dan sebagainya
  • Mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit tetapi selalu
  • Tunggu 3 jam selepas makan sebelum baring
  • Elakkan pengambilan makanan 3 jam sebelum tidur
  • Naikkan kepala sedikit ketika tidur

2) Ubat

  • H-receptor antagonist: Sebagai contoh ranitidine, cimetidine
  • Proton Pump Inhibitor: Sebagai contoh omeprazole, esomeprazole dan pantoprazol.
  • Antacids: Sebagai contoh aluminium hydroxide dan magnesium trisilicate

3) Pembedahan

Terdapat beberapa jenis pembedahan yang boleh dibuat untuk membantu dalam masalah ini. Pembedahan tersebut dipanggil sebagai fundiplication dimana bahagian atas perut iaitu bahagian ‘fundus’ akan dijahit pada bahagian bawah esofagus untuk menguatkan lagi otot dibahagian tersebut.

Pembedahan ini hanya dibuat jika pesakit tidak lagi berkesan dirawat dengan menggunakan ubat ataupun perubahan gaya hidup.

Rujukan:

  1. Katz PO. Medical therapy for gastroesophageal reflux disease in 2007. Rev Gastroenterol Disord. 2007 Fall. 7(4):193-203
  2. Fass R, Sifrim D. Management of heartburn not responding to proton pump inhibitors. Gut. 2009 Feb. 58(2):295-309.
  3. DeVault KR, Castell DO. Updated guidelines for the diagnosis and treatment of gastroesophageal reflux disease. Am J Gastroenterol. 2005 Jan. 100(1):190-200.
  4. Gallup Organization. Heartburn Across America: A Gallup Organization National Survey. Princeton, NJ: Gallup Organization; 1988.
  5. Sveen S. Symptom check: is it GERD?. J Contin Educ Nurs. 2009 Mar. 40(3):103-4.
  6. Hampel H, Abraham NS, El-Serag HB. Meta-analysis: obesity and the risk for gastroesophageal reflux disease and its complications. Ann Intern Med. 2005 Aug 2. 143(3):199-211.
  7. Featured image from technostalls.com
Categories: Pembedahan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *