Batuk adalah cara badan memberi respon kepada bahan yang menyebabkan iritasi pada tekak dan saluran pernafasan. Bahan tersebut akan merangsang reseptor pada tekak dan maklumat akan dihantar ke otak. Otak pula akan menyuruh otot dibahagian dada dan juga perut untuk mengecut supaya orang tersebut batuk.

Refleks tersebut akan mengeluarkan udara dengan kuat supaya bahan yang menyebabkan iritasi tersebut dapat dikeluarkan. Ia berfungsi untuk melindungi saluran pernafasan daripada jangkitan kuman ataupun bahan yang akan merosakkan saluran pernafasan

Simptom ini adalah sesuatu yang normal jika ia tidak selalu berlaku. Akan tetapi jika ia berterusan selama beberapa minggu ataupun berserta darah dalam kahak, ia mungkin petanda sesuatu penyakit yang serius dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Punca batuk

Batuk boleh dikategorikan kepada akut dan juga kronik. Jenis akut adalah simptom yang berlaku kurang daripada 3 minggu. Manakala, masalah yang lebih daripada 8 bulan pula dikategorikan sebagai batuk yang kronik.

Punca batuk yang akut:

Jenis masalah yang akut pula boleh dibahagikan kepada 2 iaitu disebabkan jangkitan kuman ataupun tidak

  • Jangkitan kuman: selalunya masalah jenis ini akan menyebabkan pesakit mengalami demam, rasa sejuk, sakit-sakit badan, sakit tekak dan selesema. Ia juga menyebabkan seseorang itu mempunyai kahak
  • Bukan disebabkan jangkitan kuman: Simptom ini berlaku apabila seseorang terdedah pada bahan kimia ataupun bahan yang menyebabkan iritasi pada tekak.

Punca batuk kronik

  • Asma yang tidak terkawal
  • Bronchitis
  • Gastroesophageal reflux disease(GERD). Keadaan ini berlaku dimana asid didalam perut naik ke bahagian esofagus hingga ke bahagian tekak. Ini menyebabkan iritasi pada bahagian tekak dan menyebabkan batuk berlaku.
  • Sinusitis
  • Chronic obstructive air way disease(COAD). Penyakit ini berlaku disbebakan orang yang merokok
  • Cystic fibrosis
  • Ubat tekanan darah tinggi jenis ACEI(angiotensin converting enzyme inhibitor)
  • Tuberculosis/TB
  • Kanser paru-paru

Bila ingin berjumpa dengan doktor?

Batuk adalah suatu simptom yang selalu dihadapi oleh kita. Jika masalah ini baru berlaku sehari dua dan tidak terlampau serius, rawatan dirumah sahaja sudah cukup untuk masalah tersebut.

Akan tetapi ada beberapa keadaan yang anda perlu berjumpa dengan doktor. Ianya adalah;

  • Batuk berdarah
  • Mengalami masalah sesak nafas
  • Nafas yang berbunyi
  • Simptom yang melebihi seminggu
  • Batuk berterusan hingga muka menjadi merah atau biru(untuk kanak-kanak)
  • Terlampau letih

Penyiasatan

Majoriti daripada masalah ini tidak memerlukan apa-apa penyiasatan terutamanya jenis simptom yang akut. Jika pemeriksaan fizikal mendapati pesakit hanya mengalami jangkitan tekak sahaja, maka tidak perlu sebarang penyiasatan seperti x-ray

Akan tetapi, jika pemeriksaan fizikal menjumpai bunyi yang tidak normal pada paru-paru seperti bunyi buih yang pecah(crepts), penyiasatan mungkin akan diteruskan

X-ray

X-ray akan dibuat sekiranya terdapat penemuan yang tidak normal dalam pemeriksaan paru-paru. Ia dapat mengenal pasti pesakit mempunyai jangkitan paru-paru(pneumonia) ataupun tidak.

Jika pesakit mempunyai simptom melebihi 2 minggu, pesakit juga akan disuruh menjalani x-ray dada untuk mengesan masalah pada paru-paru. Ini penting untuk mengesan penyakit tuberculosis(TB)

Pengambilan sampel kahak

Pengambilan sampel kahak selalunya dilakukan pada pesakit yang mengalami simptom melebihi 2 minggu. Ia selalunya dibuat untuk mengesan kuman yang menyebabkan penyakit Tuberculosis

Spirometri

Alat ini selalu digunakan untuk melihat kebolehan seseorang untuk menghembuskan nafas. Ia berguna untuk mengesan pesakit yang mengalami masalah asma dan juga chronic obstructive airway disease(COAD)

Jenis ubat batuk yang selalu digunakan

Terdapat beberapa jenis ubat yang selalu digunakan. Ianya adalah:

Ubat Pengeluar Kahak(Expectorant)

Ubat jenis ini bertindak untuk mencairkan kahak supaya ia senang untuk dikeluarkan. Kahak yang likat akan menyebabkan iritasi dibahagian tekak yang menyebabkan refleks batuk berlaku.

Pengambilan ubat ini akan meningkatkan aktiviti lysosome yang menyebabkan mucopolisakarida dalam kahak terurai.

Contoh ubat:

  • Bromhexine
  • Ambroxol
  • Guaifenesin

Ubat tahan batuk

Ianya berfungsi dengan merencat pusat batuk dibahagian otak.

Contoh ubat adalah:

  • Codeine
  • Dextromethorphan

Akan tetapi ubat jenis codeine telah diharamkan penggunaannya pada kanak-kanak

Anti-histamine

Ada sesetengah simptom ini disebabkan pesakit mengalami selesema. Oleh itu, ubat yang selalu diberikan adalah ubat anti-histamine yang berfungsi untuk mengurangkan selesema tersebut.

Ubat anti-histamine generasi pertama selalu digunakan kerana ia juga boleh merencat pusat batuk(cough centre) di bahagian otak.

Contoh ubat:

  • Diphenhydramine
  • chlorpheniramine

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. https://www.nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/cough/
  2. Silvestri RC, et al. Evaluation of subacute and chronic cough in adults. http://www.uptodate.com/home.
  3. Benich JJ, et al. Evaluation of the patient with chronic cough. American Family Physician. 2011;84:887.
  4. Takeda H, Misawa M, Yanaura S. A role of lysosomal enzymes in the mechanism of mucolytic action of bromhexine. Jpn J Pharmacol. 1983 Apr;33(2):455-61.
  5. Bolser, D. C. (2006). Cough Suppressant and Pharmacologic Protussive Therapy: ACCP Evidence-Based Clinical Practice Guidelines. Chest, 129(1 Suppl), 238S–249S. http://doi.org/10.1378/chest.129.1_suppl.238S
  6. Sumber featured image: india.com
Categories: Perubatan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa