Dulu orang tidak percaya bagaimana organ orang lain seperti jantung, paru-paru dan buah pinggang boleh dipindahkan kepada orang lain. Kemajuan perubatan telah melakukan sesuatu yang ajaib sehingga kesemua persoalan tersebut telah dijawab sekarang iaitu organ seseorang manusia itu boleh dipindahkan kepada orang lain.

Kemudian orang persoal pula, adakah pemindahan organ seperti rahim akan menyebabkan seseorang itu boleh hamil. Persoalan ini telah terjawab pada 2 November 2018, ketika mana sekumpulan doktor telah membuat laporan kejayaan berkenaan perkara tersebut. Bahkan ini bukan laporan pertama yang menunjukkan seseorang itu boleh hamil dengan menggunakan rahim orang lain. Penemuan ini telah diterbitkan dalam Jurnal The Lancet

Bayi yang istimewa itu mempunyai berat 2.7kg itu telah selamat dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Ibunya sebelum ini mempunyai masalah dimana dia tidak mempunyai rahim sejak daripada kecil menyebabkan dia tidak boleh hamil.

Kelahiran bayi daripada rahim yang telah didermakan ini akan membuka era baru dalam bidang perubatan terutamanya bidang perbidanan.

Pasukan pengkaji yang membuat rawatan tersebut melaporkan bahawa ibu tersebut berumur 32 tahun dan dilahirkan tanpa rahim. Manakala pendermanya pula adalah wanita berumur 45 tahun yang telah meninggal dunia disebabkan Angin Ahmar. Wanita tersebut adalah salah seorang mereka yang berikrar untuk mendermakan organnya jika dia meninggal dunia.

Pembedahan pemindahan rahim itu telah dibuat pada September 2016 dan ia mengambil masa 10 jam. Setelah pembedahan dibuat, wanita itu menerima beberapa jenis ubat untuk mengelakkan badan tidak menerima organ tersebut.

Setelah daripada itu, Persenyawaan In Vitro akan dilakukan terlebih dahulu sebelum hasil persenyawaan itu disuntik masuk ke dalam rahim. Persenyawaan In Vitro ini adalah salah satu kaedah persenyawaan yang dilakukan di dalam makmal. Kemudian hasil daripada persenyawaan itu akan disuntik ke dalam rahim. Ketika mana hasil persenyawaan itu menempel pada rahim dan mula membesar, maka seseorang itu akan mengalami fasa kehamilan.

Bayi itu sekarang ini telah pun berumur 7 bulan dan mempunyai berat lebih kurang 6.8kg.

Penemuan ini akan membuka dimensi baru untuk merawat mereka yang mengalami masalah sukar untuk hamil terutamanya mereka yang mengalami masalah pada struktur peranakan.

Rujukan:

  1. Dani Ejzenberg, Wellington Andraus,Luana Regina Baratelli Carelli Mendes, Liliana Ducatti, Alice Song, Ryan Tanigawa, Vinicius Rocha-Santos, Rubens Macedo Arantes, José Maria Soares Jr, Paulo Cesar Serafini, Luciana Bertocco de Paiva Haddad, Rossana Pulcinelli Francisco, Prof Luiz Augusto Carneiro D’Albuquerque, Prof Edmund Chada Baracat. Livebirth after uterus transplantation from a deceased donor in a recipient with uterine infertility. Published:December 04, 2018. DOI:https://doi.org/10.1016/S0140-6736(18)31766-5
Categories: Uncategorized

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *