Bayi sembelit dan susah untuk membuang air besar bukanlah sesuatu yang jarang dijumpai. Perkara ini akan menyebabkan kebanyakkan dari ibubapa mengadu kepada perawat kesihatan berkenaan perkara ini.

Tanda Tanda bayi sembelit

Bayi yang mengambil susu badan tidak semestinya akan berak setiap hari. Kesemua nutrien yang berada di dalam susu ibu selalunya habis diserap oleh bayi. Oleh itu, kebanyakkan bayi yang menghisap susu ibu selalunya tidak mengalami masalah bayi sembelit.

Bayi yang mengambil susu formula pula akan membuang air besar sekali ataupun lebih daripada sekali sehari. Oleh itu, masalah bayi yang tak berak sangat bergantung kepada jenis susu yang diambil oleh bayi. Ia juga bergantung dengan jenis makanan yang diambil oleh bayi ataupun kanak-kanak.

Beberapa tanda bayi sembelit adalah:

1) Kurang buang air besar

Bilangan buang air besar oleh bayi selalunya tidak tetap setiap hari. Jika anak anda tidak buang air besar selama beberapa hari kemudian mempunyai najis yang keras, anak anda mungkin mengalami sembeli

2) Meneran

Jika anak anda seperti meneran ketika ingin membuang air besar tetapi hanya sedikit najis yang keluar, anak anda mungkin sedang menghadapi sembelit

3) Darah pada najis

Jika anda perasan pada najisnya mempunyai darah, ia menandakan anak anda telah meneran dengan kuat untuk mengeluarkan najis tersebut hingga mencederakan duburnya.

4) Perut yang kembung

Perut yang kembung dan keras, mungkin petanda anak anda mempunyai masalah ini.

5) Tidak mahu makan

Anak anda mungkin cepat kenyang dan tidak mahu makan ataupun menyusu disebabkan perut yang sudah penuh.

Cara untuk merawat bayi sembelit (Rawatan Bayi)

Jika anda perasan anak anda mengalami sembelit, terdapat beberapa cara yang boleh dibuat untuk menyelesaikan masalah tersebut. Cara-caranya adalah:

1) Tukar susu

Jika anak anda, menyusu badan sahaja, anda boleh tunggu beberapa hari untuk melihat samada bayi itu dapat buang air semula ataupun tidak. Tetapi jika tidak, ibubapa perlu membawa bayi ke klinik untuk pemeriksaan. Jika bayi tersebut sudah mula makan, anda boleh cuba mengubah diet dalam permakanannya.

Bayi yang mengambil susu botol mungkin boleh menukarkan jenis susunya.

2) Tingkatkan pengambilan serat

Kanak-kanak yang sudah mula mengambil makanan boleh meningkatkan pengambilan serat supaya najis lebih lembut dan mudah dikeluarkan. Beberapa jenis makanan yang tinggi serat adalah:

  • Broccoli
  • Sayur sayuran yang lain
  • Buah pear
  • Buah prun
  • Buah epal

3) Berikan makanan dalam bentuk Puri

Jika umur bayi telah lebih 6 bulan dan mula mengambil makanan yang lembut, pengambilan makanan berbentuk puri iaitu sayur-sayuran yang dilenyekkan adalah sesuai untuk bayi yang mengalami masalah ini.

4) Berikan air lebih

Air yang mencukupi akan menyebabkan makanan dalam usus dapat bergerak seperti biasa. Air dan susu adalah cecair yang sesuai untuk memastikan anak anda sentiasa terhidrasi

Jika Rawatan tersebut tidak berkesan

Mengubah diet anak anda selalunya membantu mengatasi masalah ini. Tetapi jika ia masih mengalami perkara yang sama, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor kesihatan.

Beberapa jenis ubat yang mungkin diberi oleh doktor adalah:

1) Ubat lawas air besar

Ubat yang selalu digunakan adalah Lactulose. Pesakit perlu minum ubat ini dan aa berfungsi untuk melembutkan najis

2) Ubat picit ke dalam dubur

Ubat jenis ini jarang diberikan kepada bayi terutamanya. Lebih sesuai diberikan kepada kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas.

Sebelum menggunakan ubat diatas, dinasihatkan anda berjumpa doktor terlebih dahulu untuk memastikan anak anda tidak mempunyai penyakit lain dan juga agar rawatan yang bertepatan dapat diberikan kepada anak anda.

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

Jika anak anda mengalami masalah susah membuang air besar dan beberapa simptom ini, anda dinasihatkan untuk terus membawa bayi anda berjumpa dengan doktor. Simptom-simptomnya adalah:

  • Bayi tersebut muntah dengan kerap
  • Perutnya membesar lebih daripada biasa
  • Bayi tersebut berterusan menangis
  • Bayi tersebut nampak keletihan dan lembik
  • Tidak mahu menyusu ataupun makan

Rujukan:

  1. Hoecker J. (2017). What are the signs of infant constipation? And what’s the best way to treat it? . mayoclinic.org/healthy-lifestyle/infant-and-toddler-health/expert-answers/infant-constipation/faq-20058519
  2. Philichi L, et al. (2010). Primary care: constipation and encopresis treatment strategies and reasons to refer . DOI:
    10.1097/SGA.0b013e3181f35020
Categories: Kanak-kanak

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *