Berak berdarah merupakan sesuatu kerisauan yang besar jika seseorang individu menghadapinya. Ini kerana ia boleh disebabkan punca yang berbahaya seperti pendarahan dalam bahagian perut mahupun kanser dalam saluran pencernaan.

Walaupun berak berdarah merupakan salah satu simptom masalah yang serius, tetapi selalunya ia tidak sedemikian. Oleh itu, jika anda mengalami simptom berak berdarah, tidak perlu panik dahulu. Tetapi pergilah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan.

Punca Berak berdarah

Darah di dalam najis bermaksud terdapat pendarahan pada mana-mana bahagian di saluran pencernaan badan. Kadang-kadang ianya terlalu sedikit dan hanya boleh dikesan dengan melakukan ujian najis bagi melihat kehadiran darah dalam najis tersebut.

Pada waktu lain pula, ia boleh hadir dengan jelasnya apabila pesakit dapat melihat darah pada mangkuk tandas yang digunakan.

Jika pendarahan itu berlaku pada saluran pencernaan bahagian atas seperti esofagus dan juga perut, selalunya najis akan menjadi hitam seperti jalan tar. Ini disebabkan darah tersebut telah dicernakan ketika sampai ke usus besar.

Beberapa punca yang boleh menyebabkan berak berdarah adalah:

1. Buasir: Buasir adalah ketulan yang berada di dalam dubur ataupun keluar daripada dubur. Ia merupakan salur darah yang bengka dan membesar. Disebabkan ia besar, ia boleh pecah dan menyebabkan pendarahan berlaku

2. Ulser dalam perut disebabkan masalah gastrik. Ulser di dalam perut boleh mendedahkan salur darah dalam dinding perut. Ketika mana, salur darah tersebut pecah disebabkan hakisan asid, ia akan menyebabkan pendarahan berlaku.

Masalah gastrik selalunya disebabkan jangkitan bakteria Helicobacter pylori. Ia juga boleh disebabkan penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDs secara berpanjangan.




3. Kanser usus: Ia merupakan ketulan yang rapuh di dalam saluran usus. Pendarahan selalunya tidak ketara dan najis mempunyai warna seperti biasa. Tetapi ujian najis dilakukan, akan terdapat darah didalam najis tersebut.

4. Esophageal varices: Dalam masalah ini, terdapat pembengkakan saluran darah pada bahagian dalam saluran esofagus. Ketika mana ia pecah, darah akan memancut keluar ke dalam esofagus. Esophageal varices selalunya terjadi disebabkan masalah kegagalan hati

5. Penyakit divertikular: Ia adalah katung kecil yang keluar daripada dinding usu besar. Selalunya ia tidak mendatangkan masalah tetapi kadang-kadang pendarahan boleh berlaku di kawasan tersebut

6. Luka di kawasan anus(Anal fissure): Ketika mana seseorang membuang air besar dengan najis yang bersaiz besar dan keras, ia boleh menyebabkan luka dikawasan tempat buang air besar. Keadaan ini selalunya disebabkan sembelit. Perkara ini akan menyebabkan pendarahan berlaku di kawasan tersebut

7. Keradangan usus (colitis): Masalah ini selalunya disebabkan inflammatory bowel disease

8. Angiodysplasia: Ia merupakan saluran darah yang tidak normal di kawasan usus. dan salur darah ini selalunya rapuh dan senang menyebabkan pendarahan

Penyiasatan

Ianya adalah penting untuk mengetahui punca kepada masalah berak berdarah. Oleh itu beberapa pemeriksaan dan penyiasatan perlu dilakukan.

‘Per Rectal Examination’

Pemeriksaan ini adalah melibatkan kawasan dubur. Doktor akan guna sarung tangan untuk memeriksa kawasan dalam dubur sama ada mempunyai ketulan ataupun tidak. Jari akan dimasukkan ke dalam dubur pesakit dan dindingnya akan diperiksa.

Setelah jari dikeluarkan, najis akan dilihat sama ada mempunyai darah ataupun tidak.

‘Proctoscope’

Adalah satu alat bermuncung tirus. Ia akan dimasukkan ke dalam dubur dan belakangnya boleh dicabut supaya wujudnya satu lubang yang membolehkan doktor melihat keadaan di dalam dubur pesakit.

Daripada lubang tersebut, doktor boleh mengesahkan samada wujudnya buasir ataupun tidak

Alat proctoscope (sumber gambar: Wikipedia)

Nasogastric lavage

Prosedur ini melibatkan satu tiub dimasukkan daripada hidung terus ke dalam perut. Kemudian cecair daripada perut akan dibiarkan mengalir keluar untuk melihat adakah wujudnya darah daripada dalam perut tersebut.

Tidak semua pesakit memerlukan prosedur ini.

Esophagogastroduodenoscopy (OGDS)

Prosedur ini melibatkan kamera yang dimasukkan ke dalam saluran pencernaan melalui esofagus, perut hingga ke bahagian duodenum. Ia bertujuan untuk melihat keadaan di dalam saluran tersebut.

Jika ada pendarahan yang berlaku, rawatan terus boleh diberikan ketika itu untuk memberhentikan pendarahan yang sedang berlaku

Kolonoskop

Prosedur ini pula melibatkan kamera yang dimasukkan ke dalam usus besar melalui dubur. Ia bertujuan untuk melihat saluran usus tersebut. Jika ada ketulan/polip di dalam usus tersebut, ianya akan dipotong dan sampel akan dihantar ke makmal untuk tujuan pemeriksaan.




Rawatan Berak Berdarah

Doktor mungkin akan menggunakan beberapa cara rawatan untuk menghentikan pendarahan yang berlaku dan ia juga bergantung kepada penyebab pendarahan tersebut belaku.

Rawatan yang ditulis disini adalah rawatan am yang akan diberikan kepada pesakit. Tetapi setiap daripada kes akan mempunyai cara rawatan yang berbeza.

Selalunya pesakit yang mempunyai pendarahan pada saluran pencernaan bahagian atas(Upper Gastrointestinal Bleeding/UGIB), akan dibuat prosedur OGDS iaitu kamera dimasukkan daripada bahagian atas. Jika ada pendarahan berlaku, rawatan terus akan diberikan kepada pesakit seperti penggunaan ubat untuk membuatkan darah tersebut membeku, ubat untuk mengecutkan saluran darah di kawasan tersebut ataupun besi khas yang boleh membakar sedikit kawasan tersebut supaya saluran darahnya tertutup.

Jika pesakit disahkan mempunyai jangkitan H. pylori yang menyebabkan masalah gastrik, dia akan diberikan rawatan antibiotik untuk membunuh kuman tersebut. Ubat untuk mengurangkan asid dalam perut juga akan diberikan kepada pesakit

Pesakit yang mempunyai masalah buasir pula, selalunya dinasihatkan untuk mengambil makanan yang mempunyai serat yang tinggi. Ini akan memudahkan najis keluar dan mengelakkan buasir menjadi lebih besar. Ada juga ubat buasir yang mengandungi Diosmin dan Hesperidin yang boleh mengecilkan buasir tersebut.

Kesemua rawatan ini perlulah diperbincangkan dengan doktor terlebih dahulu agar rawatan yang tepat dan berkesan dapat diberikan kepada anda.

Rujukan:

  1. Nebraska Colon Cancer Screening Program: “Rectal Bleeding: What You Should Know.”
  2. Chey WD, Wong BC. American College of Gastroenterology guideline on the management of Helicobacter pylori infection. Am J Gastroenterol. 2007 Aug. 102(8):1808-25
  3. Chiu PW, Ng EK, Cheung FK, et al. Predicting mortality in patients with bleeding peptic ulcers after therapeutic endoscopy. Clin Gastroenterol Hepatol. 2009 Mar. 7 (3):311-6; quiz 253.
  4. Ibrahim AM, Hackford AW, Lee YM, Cave DR. Hemorrhoids can be a source of obscure gastrointestinal bleeding that requires transfusion: report of five patients. Dis Colon Rectum. 2008 Aug. 51(8):1292-4.
  5. Rivadeneira DE, Steele SR, Ternent C, et al. Practice parameters for the management of hemorrhoids (revised 2010). Dis Colon Rectum. 2011 Sep. 54(9):1059-64
  6. Feature image daripada thehealthsite.com
Categories: Pembedahan

1 Comment

Masalah Gastrik: Punca, Rawatan dan Diet yang sesuai - TheDiagnosa · at

[…] Berak berdarah (Jika pendarahan berlaku di dalam perut) […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *