124Shares

Ramai daripada masyarakat mempercayai bahawa meminum susu yang segar terus daripada haiwan ternakan adalah lebih baik daripada susu yang telah diproses. Perkara tersebut adalah tidak benar kerana pengambilan susu terus daripada haiwan ternakan akan meningkatkan risiko untuk dijangkiti penyakit yang dikenali sebagai Brucellosis.

Walaupun ia jarang berlaku di Malaysia, tetapi pengesanan penyakit ini adalah susah kerana simptomnya yang tidak spesifik dan kadang-kadang menyerupai penyakit yang lain membuatkan rawatan yang betul lambat untuk dimulakan.

Kami akan mengupas penyakit ini satu persatu

1. Istilah perubatan

Zoonosis: jangkitan kuman dikalangan haiwan(selalunya haiwan bertulang belakang/Vertebra) yang juga menjangkiti manusia
Patofisiologi: Proses bagaimana penyakit itu berlaku
Proses pempasteuran: adalah proses pemanasan susu dan disejukkan dengan cepat bertujuan untuk membunuh kuman di dalm susu tersebut.

2. Pengenalan brucellosis

Penyakit Brucellosis adalah sejenis penyakit Zoonosis dimana bakteria Brucella daripada haiwan berpindah kepada manusia dan menyebabkan manusia tersebut sakit. Selalunya ia disebabkan pengambilan makanan yang berunsurkan haiwan tersebut, bersentuhan dengan haiwan tersebut ataupun menghidu bahan yang mengandungi bakteria tersebut

Penyakit ini sudah terkenal lama dan mempunyai pelbagai nama seperti demam Mediterranean, Demam Malta dan demam bergelombang (sekejap baik sekejap demam balik) juga dikenali sebagai ‘Undulant fever’.

Haiwan merupakan perumah utama bagi bakteria ini. Manakala, manusia pula adalah organisma yang malang apabila mendapat jangkitan ini kerana ia akan mendatangkan simptom. Brucellosis merupakan masalah kesihatan awam yang selalu berlaku di serata dunia.

3. Bakteria Brucella

Brucella merupakan sejenis bakteria aerobic iaitu menggunakan oksigen untuk menghasilkan tenaga. Ia adalah berbentuk coccobacilli. Coccobacilli merupakan gabungan dua perkataan iaitu Coccus bermaksud bakteria yang berbentuk bulat dan bacillus iaitu bakteria yang berbentuk rod. Sesuatu bakteria yang berbentuk coccobacilli bermaksud dia berkeadaan diantara bulat dan juga lonjong seperti rod. Ia juga jenis bakteria yang duduk di dalam sel perumah(intracellular) untuk hidup

Ia suka berada dikawasan pembiakkan haiwan perumah dan ia menyebabkan berlakunya keguguran. Ketika mana haiwan tersebut keguguran, janin yang keluar akan mempunyai bakteria brucella yang sangat banyak. Pekerja ataupun manusia yang menguruskan janin yang gugur itu akan mempunyai peratusan jangkitan kuman brucella yang sangat tinggi.

Bakteria tersebut juga selalunya berada di dalam air kencing, susu dan juga mana bendalir daripada haiwan yang dijangkiti. Sehingga ke hari ini ada 8 species Brucella yang dikenal pasti. Tetapi yang selalunya mendatangkan masalah kepada manusia adalah 4 jenis brucella ini iaitu:

  • Brucella melitensis (Daripada kambing biri; selalu menyebabkan Brucellosis)
  • Brucella suis (Daripada khinzir)
  • Brucella abortus (Daripada lembu)
  • Brucella canis (Daripada anjing)

Organisma in telah menyebabkan jangkitan brucellosis sebanyak 500,000 jangkitan dalam waktu setahun seluruh dunia. Oleh kerana itu, ia menjadi salah satu penyakit yang dipandang serius oleh perkhidmatan kesihatan awam.

Perlu juga diketahui bahawa kebanyakkan kes adalah disebabkan pengambilan produk tenusu dan susu yang tidak dipasteurkan. Pempasteuran adalah salah satu cara untuk membunuh bakteria Brucella dan juga bakteria yang lain di dalam produk tenusu.

4. Senjata biologi

Fokus pada penyakit Brucellosis telah meningkat kerana aktiviti pelancongan dan juga imigrasi. Selain daripada itu, ia juga mungkin boleh digunakan sebagai senjata biologi.

Penyebaran bakteria ini mungkin tidak akan menyebabkan kematian yang cepat seperti dalam kes serangan ‘ANTHRAX‘. Tetapi ia nyata boleh melumpuhkan ekonomi dan juga kekuatan sesebuah negara jika majoriti daripada rakyat ataupun tenteranya dijangkiti penyakit ini.

Ia sangat sesuai untuk serangan yang tidak disedari atas beberapa faktor:

  • Ia boleh disebarkan melalui udara
  • Ia menyebabkan jangkitan kuman yang kronik. Bermaksud simptom demam itu berlaku dengan agak panjang
  • Ia mempunyai simptom yang sama seperti penyakit lain membuatkan penyakit ini agak sukar dikesan.
  • Ia memerlukan kombinasi antibiotik yang diberi selama sebulan lebih. Bermaksud pesakit perlu makan ubat dalam satu jangkamasa yang agak lama sebelum benar-benar sihat

5. Patofisiologi

Brucella merupakan bakteria yang mempunyai kebolehan yang unik untuk hidup di dalam sel perumah biasa ataupun sel darah putih. Kelebihan yang dimiliki oleh bakteria ini membolehkan ia menjangkiti hampir keseluruhan organ di dalam badan

Bakteria Brucella boleh memasuk badan manusia melalui luka di kulit, lapisan mukosa di mulut, konjuntiva mata dan melalui saluran pernafasan mahupun saluran permakanan. Kebanyakkan jangkitan kuman adalah disebabkan pengambilan produk tenusu atau susu yang tidak dipasteurkan

Apabila bakteria tersebut masuk ke dalam saluran darah, bakteria Brucella akan ditelan oleh sel darah putih yang berfungsi melindungi badan daripada jangkitan kuman. Tetapi kajian menunjukkan bakteria brucella mampu hidup setelah ditelan oleh sel darah putih dan membiak dalam sel tersebut.

Ini disebabkan kehadiran lapisan lipopolisakarida yang melapisi bakteria tersebut berserta rembesan adenine dan guanine monophospate yang merencat fungsi sel darah putih yang ditugaskan membunuh bakteria. Ini menyebabkan bakteria tersebut mampu hidup dan menjangkiti sel badan yang lain

6. Punca jangkitan

Punca jangkitan Brucellosis adalah daripada bakteria Brucella. Ia mempunyai pelbagai spesies daripada pelbagai perumah sebagai contoh

  • Brucella melitensis: Perumah adalah kambing, kambing biri-biri dan unta
  • Brucella abortus: Perumah adalah lembu, kerbau dan unta
  • Brucella suis: Perumah adalah khinzir
  • Brucella canis: Perumah adalah anjing
  • Brucella ovis: Perumah adalah biri-biri
  • Brucella neotome: Perumah adalah tikus
  • Brucella pinnipediae dan cetaceae: Perumah adalah haiwan laut

7. Simptom dan tanda brucellosis

Simptom Brucellosis adalah tidak jelas dan kadang-kadang pesakit mempunyai simptom yang sama seperti penyakit yang lain. Disebabkan perkara itu, doktor yang merawat mempunyai kesukaran untuk mengesan penyakit apa yang dihadapi oleh pesakit tersebut

Simptom yang mungkin di alami oleh pesakit brucellosis adalah:

  • Demam dan rasa sejuk
  • Sakit sendi dan sakit otot
  • Muntah
  • Cirit birit
  • Sakit perut
  • Pembengkakkan hati
  • Pembengkakkan pedal(spleen)

Demam merupakan simptom yang selalu berlaku pada pesakit ini. Ia berlaku lebih kurang 80-100% pesakit yang dijangkiti kuman tersebut. Selalunya pesakit akan mempunyai demam lebih daripada dua minggu dan akan dirujuk kepada pakar kerana punca demam masih tidak diketahui. Ketika mana dalam pantauan pakar, kebanyakkan jenis sampel darah akan diambil untuk mengetahui punca kepada penyakit tersebut.

Sejarah meminum produk tenusu ataupun susu yang belum dipasteurkan perlu diambil daripada pesakit.

8. Penyiasatan

Disebabkan simptom penyakit Brucellosis tidak spesifik, maka siasatan daripada sampel darah dan sampel daripada pesakit adalah perlu untuk mengesan penyakit ini

8.1. Full blood Count(Jumlah semua sel darah)

Jumlah sel darah boleh diketahui dengan mengambil sampel darah. Selalunya di dalam jangkitan Brucella, bilangan sel darah putih akan berkurangan(leukopenia). Sesetengah pesakit juga akan mengalami kekurangan sel darah merah dan juga platlet

8.2 Kultur

Diagnosis Brucellosis dapat dibuat jika organisma dapat dikulturkan daripada sampel darah, sumsum tulang ataupun daripada sampel badan yang lain.

8.3 Serologi

Serologi merupakan cara yang selalu digunakan untuk mengesan penyakit Brucellosis. Di dalam teknik ini, selalunya antibodi yang melawan lapisan polisakarida Brucella akan dikesan.

8.4 Fungsi hati

Sampel darah pesakit juga digunakan untuk memeriksa fungsi hati. Di dalam pesakit yang dijangkiti Brucella, selalunya ia akan menunjukkan fungsi hati yang sedikit terganggu.

9. Rawatan brucellosis

Tujuan rawatan penyakit Brucellosis adalah untuk mengawal simptom dan juga memberi antibiotik secepat mungkin setelah diagnosis sebenar telah dibuat. Ini bertujuan untuk mengelakkan komplikasi yang bakal berlaku

Dalam rawatan Brucellosis, selalunya ia melibatkan kombinasi dua jenis antibiotik. Ini kerana kajian menunjukkan jika menggunakan satu jenis antibiotik, kuman Brucella tidak dapat dibunuh sepenuhnya menyebabkan penyakit tersebut menyerang semula pesakit.

Regimen antibiotik yang selalu digunakan pada orang dewasa adalah kombinasi antibiotik doxycycline selama 6 minggu berserta streptomycin selama 2 minggu.

Pada kanak-kanak yang berumur 8 tahun ke bawah pula, regimen antibiotik yang selalu digunakan adalah pemberian sulfamethoxazole, trimethoprim dan streptomycin selama 6 minggu merupakan terapi pilihan

10. Komplikasi

Komplikasi jarang berlaku dalam penyakit Brucellosis jika penyakit tersebut dirawat dengan betul. Faktor yang menyebabkan komplikasi berlaku adalah apabila simptom berlarutan lebih daripada 30 hari tanpa sebarang rawatan.

Komplikasi yang selalu dialami adalah:

  • Radang pada sendi. Selalunya berlaku pada sendi sacro-iliac
  • Radang pada hati juga boleh berlaku. Malah ia boleh menyebabkan pengumpulan nanah di dalam hati(hepatic abscess)
  • Radang pada testis. Testis lelaki boleh berlaku keradangan serta pembengkakan disebabkan jangkitan kuman pada kawasan tersebut
  • Jangkitan kuman brucella pada otak
  • Bakteria brucella boleh melekat pada injap jantung dan membiak. Keadaan ini dipanggil sebagai Bacterial endocarditis. Komplikasi seperti bacterial endocarditis ini merupakan majoriti penyebab kematian di dalam jangkitan bakteria Brucella

Rujukan:

  1. Franco MP, Mulder M, Gilman RH, Smits HL. Human brucellosis. Lancet Infect Dis. 2007 Dec. 7(12):775-86.
  2. Dean AS, Crump L, Greter H, Hattendorf J, Schelling E, Zinsstag J. Clinical manifestations of human brucellosis: a systematic review and meta-analysis. PLoS Negl Trop Dis. 2012 Dec. 6(12):e1929
  3. Greenfield RA, Drevets DA, Machado LJ, et al. Bacterial pathogens as biological weapons and agents of bioterrorism. Am J Med Sci. 2002 Jun. 323(6):299-315.
  4. Lecaroz C, Blanco-Prieto MJ, Burrell MA, et al. Intracellular killing of Brucella melitensis in human macrophages with microsphere-encapsulated gentamicin. J Antimicrob Chemother. 2006 Sep. 58(3):549-56
  5. CPG Brucellosis, MOH 2012
  6. Gambar adalah daripada pixabay:com

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

1 Comment

Kencing Tikus(leptospirosis): Punca, Simptom dan Cara Rawatan · March 2, 2018 at 4:04 am

[…] Brucellosis […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *