543Shares

Buasir adalah penyakit yang melibatkan pembengkakkan saluran darah di tempat pembuangan air besar. Pesakit selalunya mengadu pendarahan ketika membuang air besar.

Ini menyebabkan ia menjadi salah satu sebab untuk seseorang itu datang berjumpa dengan doktor

1. Istilah

Anus= Anal= Dubur
Rektum: adalah saluran permakanan terakhir sebelum najis keluar melalui dubur(anus)
Esofagus: Saluran permakanan yang menyambungkan bahagian tekak ke bahagian perut
Patofisiologi: Proses bagaimana sesuatu penyakit berlaku
Prognosis: Kesudahan yang mungkin berlaku kepada pesakit

2. Pengenalan

Ramai daripada masyarakat mengadu pendarahan ketika mana membuang air besar dan majoritinya adalah disebabkan buasir. Ada juga sesetengah keadaan dimana buasir itu terlampau besar dan ia keluar daripada dubur berbentuk seperti ketulan.

Perlu diketahui tidak semua simptom pendarahan dan ketulan ditempat buang air besar disebabkan masalah ini. Penyakit lain juga perlu diperiksa agar rawatan yang betul dapat diberikan

3. Anatomi

Saluran permakanan manusia bermula daripada mulut dan berakhir di dubur. Makanan akan dikunyah di dalam mulut untuk meningkatkan jumlah permukaan yang akan bertindak dengan enzim. Kemudian ia ditelan dan melalui esofagus untuk dibawa ke perut.

Di dalam perut, asid hidroklorik akan dirembeskan dan ia berfungsi untuk membunuh kuman yang ada dan juga mengaktifkan enzim di dalam perut. Kemudian, makanan akan memasuki 3 bahagian usus kecil dimana penguraian makanan dan penyerapan makanan berlaku. Ia dimulai dengan duodenum diikuti dengan jejunum dan dan berakhir ileum. Kemudian, sisa makanan akan memasuki usus besar.

Di akhir usus besar, tinja akan memasuki rektum dimana ia terkumpul dahulu. Setelah penuh, barulah ia dikeluarkan melalui saluran anus(Dubur).

Dikawasan ano-rectal(anus dan rektum) inilah struktur yang berkait dengan penyakit buasir ini wujud. Ini kerana dikawasan ini mempunyai saluran darah yang banyak. Saluran darah inilah yang menyebabkan berlakunya masalah ini jika ia bengkak dan radang

Ketulan yang terlampau besar mungkin akan terkeluar daripada saluran dubur dan nampak seperti ketulan dibahagian tersebut.

3.1 Jenis buasir

Buasir terbahagi kepada dua iaitu:

  1. Buasir daripada kawasan dalam(Internal Haemorrhoid)
  2. Buasir daripada kawasan luar(External Haermorrhoid)

Pembahagian ini dibuat disebabkan kawasan buasir tersebut adalah dibahagian yang berlainan dan simptom pun bebeza. Kawasan ano-rectal dibahagikan kepada bahagian atas dan bawah oleh satu garisan yang dinamakan sebagai garisan ‘dentate‘. Garisan ini terjadi disebabkan proses embrologi ketika bayi di dalam kandungan.

Buasir yang terjadi di atas garisan ‘dentate‘ dikenali sebagai buasir daripada kawasan dalam(internal haemorrhoid). Disebabkan saraf yang bersambung dibahagian tersebut adalah saraf jenis organ dalam(Visceral nerve), selalunya pesakit tidak akan merasa sakit walaupun ketulantersebut besar.

Manakala, buasir yang terjadi di bawah garisan ‘dentate’ ia dikenali sebagai ‘external haermorhoid’ iaitu buasir di kawasan luar. Saraf yang bersambung dengan kawasan ini adalah saraf jenis ‘somatic’. Jika masalah ini berlaku dikawasan tersebut, ia akan menghasilkan rasa sakit

4. Punca Buasir dan Patofisiologi

Kebanyakkan simptom buasir berlaku apabila ia menjadi bengkak, randang dan membesar hingga terkeluar daripada dubur. Ramai daripada doktor percaya bila seseorang itu meneran dalam jangka masa yang lama terutamanya ketika sembelit, ia akan menyebabkan masalah ini

Ini kerana ia akan menyebabkan darah dikawasan itu tidak bergerak ke saluran darah vena. Darah yang terkumpul itu membuatkan saluran darah dikawasan itu bengkak dan membesar.

Beberapa penyebab yang dikatakan berkaitan denganmasalah ini adalah:

1) Sembelit

Ketika mana seseorang itu sembelit, ia akan menyebabkan dia mempunyai masalah ketika membuang air besar.Pesakit selalunya akan meneran dalam jangka masa yang lama untuk mengeluarkan najis. Faktor ini mungkin benar atau tidak kerana masih tiada kajian yang benar-benar menunjukkan sembelit menyebabkan buasir.

Tetapi ramai doktor percaya ia akan menyebabkan pembengkakan dan pembesaran saluran darah dibahagian tersebut.

Malah apabila ubat untuk melembutkan najis diberikan kepada pesakit, masalah sembelit bersama masalah buasir pun akan semakin pulih

2) Hamil

Kehamilan memang terbukti menjadi faktor risiko untuk seseorang menghidapi buasir. Selalunya, penyakit buasir tersebut akan hilang selepas wanita tersebut melahirkan anak.

Kaitannya dengan kehamilan adalah disebabkan perubahan hormon di dalam badan seseorang wanita. Ini membuatkan saluran darah disitu lebih senang membesar jika dibandingkan dengan sebelum mengandung

Faktor risko yang lain

  • Sejarah keluarga yang mempunyai buasir
  • Cirit -birit yang kronik
  • Kanser usus besar
  • Obes
  • Pembedahan bahagian dubur
  • Meningkat usia
  • Mempunyai penyakit keradangan usus(Inflammatory bowel disease)

5. Prognosis

Kebanyakan pensakit buasir akan baik dengan sendirinya ataupun baik dengan rawatan perubatan tanpa melakukan pembedahan. Tetapi ada juga kemungkinan untuk komplikasi berlaku sebagai contoh buasir yang melibatkan darah yang beku(Thrombosed), jangkitan kuman, pembentukan ulcer dan pembentukan nanah.

Peratusan untuk penyakit tersebut menyerang semula jika tiada pembedahan dilakukan adalah 10 hingga 50%. Manakala, jika pembedahan dibuat, peratusan buasir terjadi semula adalah 5%

6. Simptom

Kebanyakkan simptom buasir adalah tidak spesifik. Ini kerana ia juga boleh merujuk kepada penyakit lain.

Simptom yang selalu dihadapi oleh pesakit adalah:

  • Pendarahan ketika buang air besar (berak berdarah)
  • Ketulan di tempat pembuangan air besar
  • Sakit pada ketulan tersebut
  • Jika ada jangkitan kuman, ia boleh menyebabkan pembentukkan nanah

Tetapi simptom-simptom seperti ini terutamanya jika pesakit hanya datang dengan pendarahan ketika buang air besar sahaja, ia juga boleh merujuk kepada penyakit lain. Disebabkan perkara tersebut simptom-simptom lain juga perlu dilihat untuk membezakannya dengan penyakit lain

7. Penyiasatan

Proctoscope

Untuk mengetahui adakah pesakit ini benar-benar mempunyai buasir ataupun tidak terutamanya pesakit yang mempunyai simptom pendarahan ketika buang air besar sahaja, penggunaan proctoscope dapat membantu

Proctoscope adalah salah satu alat yang digunakan untuk melihat keadaan di dalam ano-rectum. Ia dapat melihat sama ada benar ataupun tidak wujudnya buasir di dalam saluran najis tersebut.

8. Diagnosis-diagnosis lain(Differential diagnosis)

Diagnosis lain yang boleh dikatakan mempunyai persamaan simptom dengan penyakit ini adalah:

  • Acute proctatitis(Keradangan di bahagian rektum disebabkan jangkitan kuman)
  • Kanser rektum
  • Kanser anal
  • Polip(unjuran daripada dinding usus)
  • Keradangan usus(Inflammatory bowel disease)

9. Rawatan

Rawatan selalunya diberikan kepada pesakit yang hanya mengadu simptom tersebut dan rawatan yang selalu diberikan tidak melibatkan pembedahan. Ini kerana majoriti daripada penyakit buasir akan baik dengan sendirinya dengan pengambilan diet yang betul berserta ubat-ubatan yang sedikit sebanyak membantu

9.1 Diet

Pengambilan diet yang mempunyai serat yang tinggi boleh mengelakkan serta merawat penyakit buasir. Ini kerana ia boleh mengelakkan daripada masalah sembelit.

Pesakit dinasihati untuk mengambil satu hidangan sayur untuk ketika setiap kali mengambil makanan yang berat. Kekacang juga salah satu makanan yang mempunyai kandungan serat yang tinggi

Bukan itu sahaja, pengambilan air yang secukupnya juga boleh mengelakkan daripada menghadapi masalah sembelit

Kurangkan makanan yang mempunyai fiber yang rendah seperti roti putih, susu, keju, daging dan makanan terproses.

9.2 Ubat untuk melembutkan najis

Pengambilan ubat terutamanya lactulose mampu melembutkan najis dan mengelakkan daripada sembelit berlaku.

9.3 Ikat guna getah(Rubber band ligation)

Getah yang digunakan untuk mengikat saluran darah yang bengkak adalah getak khas. Prosedur ini akan menyebabkan bahagian saluran darah yang diikat itu mati dengan sendirinya meninggalkan saluran darah yang normal.

9.4 Pembedahan untuk buang buasir

Pembedahan hanya dilakukan jika pesakit masih mengalami penyakit buasir yang serius walaupun rawatan perubatan telah diberikan secukupnya.

Pembedahan selalunya menyebabkan komplikasi dan mempunyai kadar penyembuhan yang lama, tetapi setelah sembuh penyakit buasir jarang menyerang semula berbanding dengan cara rawatan lain.

Terdapat beberapa cara yang lain untuk rawatan buasir. Tetapi cara ini adalah cara yang selalu digunakan untuk merawat penyakit ini.

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, jangan lupa like page kamiĀ 

Rujukan

  1. Gibbons CP, Bannister JJ, Read NW. Role of constipation and anal hypertonia in the pathogenesis of haemorrhoids. Br J Surg. 1988 Jul. 75(7):656-60.
  2. Johanson JF, Sonnenberg A. The prevalence of hemorrhoids and chronic constipation. An epidemiologic study. Gastroenterology. 1990 Feb. 98(2):380-6
  3. American Gastroenterological Association medical position statement: Diagnosis and treatment of hemorrhoids. Gastroenterology. 2004 May. 126(5):1461-2
  4. Rivadeneira DE, Steele SR, Ternent C, et al. Practice parameters for the management of hemorrhoids (revised 2010). Dis Colon Rectum. 2011 Sep. 54(9):1059-64.

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

2 Comments

Kanser Usus : Punca, Simptom dan Rawatan - TheDiagnosa · February 20, 2018 at 2:49 am

[…] Najis mempunyai darah ataupun berwarna gelap. Najis mempunyai darah juga boleh disebabkan buasir […]

Shaklee Dan Penyakit Buasir - Pengedar Shaklee di Gombak · February 25, 2018 at 3:24 pm

[…] Istilah […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *