Chicken Pox adalah penyakit yang selalu dihadapi oleh kanak-kanak. Ia sudah pasti akan menyebabkan ibubapa tidak dapat bekerja kerana mereka perlu menjaganya di rumah.

Oleh itu, mari kita tahu sedikit sebanyak berkenaan penyakit ini dan cara penjagaannya

1. Istilah

Masa inkubasi: Ia adalah jarak waktu dimana pesakit mula terdedah dengan sesuatu kuman sehinggalah pesakit mempunyai simptom penyakit yang disebabkan jangkitan kuman tersebut.
Prognosis: Kesudahan kepada penyakit tersebut

2. Pengenalan

Chicken pox merupakan jangkitan virus yang akan menyebabkan seseorang itu mempunyai ruam dan juga demam. Ia juga dikenali sebagai cacar air kerana ruam tersebut akan menghasilkan gelembung yang mengandungi air. Sentuhan kepada cecair yang tercemar dengan virus tersebut boleh menyebabkan jangkitan chicken pox kepada orang lain.

Tetapi majoriti daripada jangkitan chicken pox adalah melalui titisan air yang terhasil daripada pesakit yang sedang batuk mahupun bersin.

Kebanyakkan pesakit chicken pox selalunya melibatkan kanak-kanak. Lebih daripada 90% pesakit chicken pox terdiri daripada kanak-kanak berusia kurang daripada 10 tahun

Penyakit ini selalunya tidak berbahaya dan akan baik dengan sendirinya. Tetapi bagi mereka yang sudah dewasa dan juga mengalami masalah lemah sistem imun, mereka mungkin akan mendapat komplikasi daripada jangkitan kuman tersebut.

Di US, pemberian vaksin sudah dimulakan pada tahun 1995. Ini menyebabkan insiden penyakit chicken pox semakin kurang dengan banyaknya

3. Patofisiologi

Punca kepada penyakit ini adalah jangkitan virus yang dinamakan sebagai Varicella-Zoster. Ia merupakan salah satu virus yang serumpun dengan virus herpes. Virus ini akan masuk ke dalam saluran pernafasan dan membiak pada saluran pernafasan bahagian atas terdahulu iaitu yang melibatkan hidung dan tekak.

Selepas itu, virus akan merebak ke kalenjar limfa diikuti kebahagian hati dan limpa. Kemudian, barulah darah yang mempunyai virus tersebut disebarkan ke bahagian lain terutamanya bahagian kulit yang menyebabkan terhasilnya ruam cacar air.

Virus yang merebak ke bahagian otak boleh menyebabkan jangkitan dan keradangan otak(encephalitis) juga.

Masa Inkubasi: 10 -21 hari sebelum simptom pertama bermula.

Pesakit sangat mudah menjangkiti orang lain bermula pada hari pertama dan kedua sebelum ruam cacar air timbul sehinggalah ia kering. Selalunya 5-6 hari selepas ruam pertama timbul

Virus varicella akan menyebabkan immuniti yang berterusan ke atas virus tersebut kecuali jika pesakit mengalami masalah sistem imun. Barulah virus varicella boleh menyerang dan menyebabkan chicken pox semula.

4. Punca cacar air / chicken pox

Cara penyebaran penyakit(transmission)

Virus tersebar selalunya daripada titisan air yang dihasilkan oleh pesakit yang sedang dijangkiti penyakit tersebut. Jika dia batuk ataupun bersin, ia akan menghasilkan titisan air yang mengandungi virus tersebut yang mudah masuk ke dalam saluran pernafasan orang lain

Bahkan ianya sangat mudah dijangkiti walaupun seseorang itu masih lagi tidak mempunyai ruam cacar air.

Faktor risiko untuk menghidapi chicken pox yang teruk adalah seperti berikut:

  • Pesakit yang sedang menggunakan steroid
  • Pesakit kanser
  • AIDS
  • Sedang mengandung

5. Prognosis

Pesakit kanak-kanak yang dijangkiti penyakit ini selalunya mempunyai prognosis(kesudahan) yang bagus. Tetapi pesakit kanak-kanak yang mempunyai masalah sistem imun akan mempunyai kadar kematian yang tinggi seperti kanak-kanak yang mempunyai penyakit leukemia

Mereka yang sudah dewasa juga mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi jika mendapat jangkitan kuman tersebut.

6. Simptom dan tanda chicken pox / cacar air

Simptom yang selalu dihadapi oleh pesakit chicken pox adalah:

  • Demam yang diikuti dengan ruam cacar pada kulit
  • Ruam yang bermula daripada kepala dan bahagian atas badan
  • Sakit kepala
  • Rasa letih
  • Batuk dan selesema
  • Sakit tekak

7. Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi yang mungkin akan dihadapi oleh mereka yang mengalami cacar air. Ianyaa adalah

1) Pneumonia. Jangkitan kuman pada paru-paru

Jangkitan kuman pada paru-paru adalah komplikasi yang serius bagi jangkitan virus Varicella. Selalunya ia timbul 3 – 4 hari selepas ruam cacar air keluar. Jangkitan kuman pada paru-paru mungkin tidak akan sembuh dengan penggunaan anti-viral dan boleh membawa kepada kematian.

Oleh sebab itu, jika anak anda mempunyai masalah pernafasan ketika menghidapi cacar air, cepat-cepat bawa pergi je hospital

2) Jangkitan bakteria skunder

Jangkitan Varicella akan mendedahkan pesakit kepada jangkitan bakteria terutamanya pada bahagian ruam cacar air. Ini kerana pesakit selalunya akan menggaru kawasan tersebut dan menyebabkan bakteria memasuk kawasan kulit yang terdedah.

Kawasan yang dijangkiti kuman itu selalunya berada dalam keadaan merah, sakit dan bengkak. Pemberian antibiotik krim dapat menyelesaikan masalah tersebut.

3) Jangkitan kuman bahagian otak(Encephalitis)

Pesakit selalunya akan mempunyai simptom lemah badan, pening dan konfius. Pesakit juga akan mengalami sawan dan berubah kepada keadaan koma.

Bagi pesakit ini, terapi anti-viral diperlukan untuk membunuh bakteria tersebut

4) Kayap

Setelah jangkitan chicken pox sembuh, virus tersebut selalunya akan menjadi tidak aktif dan tidak boleh dikesan oleh sel imun badan. Sehinggalah satu ketika sistem imun badan menjadi lemah, virus tersebut akan mula membiak semula pada kawasan saraf kulit dan menyebabkan penyakit kayap

8. Diagnosis-diagnosis yang lain

Diagnosis lain yang boleh menghasilkan simptom yang sama adalah:

9. Penyiasatan

Selalunya, penyakit chicken pox tidak memerlukan pengambilan sampel darah atau cecair daripada cacar kerana diagnosanya boleh didapati secara klinikal. Bermaksud dengan pengambilan sejarah pesakit dan memeriksa jenis ruam kita dah boleh buat kesimpulan bahawa seseorang itu mempunyai chicken pox ataupun tidak

Tetapi jika seseorang itu mengalami komplikasi, pengambilan sampel perlu dilakukan untuk menentukan tahap komplikasi yang dihadapi.

Sebagai contoh:

  • Pengambilan sampel air tulang belakang boleh menentukan seseorang itu mempunyai jangkitan selaput otak ataupun tidak
  • X-ray pula boleh melihat sama ada virus varicella itu telah menjangkiti paru-paru ataupun tidak

10. Rawatan Chicken pox

Rawatan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu rawatan sokongan, terapi anti-viral dan rawatan jangkitan bakteria sekunder.

Setiap rawatan ini bergantung kepada keadaan pesakit kerana tidak semestinya semua rawatan ini akan diberikan.

10.1 Rawatan sokongan

Rawatan sokongan adalah dalam erti kata kita merawat pesakit supaya dia merasa selesa sehinggalah penyakit itu baik dengan sendirinya. Terutamanya masalah gatal yang akan dihadapi oleh pesakit.

Jika tiada rawatan dilakukan, pesakit akan sentiasa menggaru kawasan cacar air tersebut dan boleh menyebabkan jangkitan bakteria di tempat itu

Beberapa cara dan rawatan yang boleh dilakukan adalah:

  1. Selalu mandi supaya kegatalan dapat dikurangkan.
  2. Penggunaan losyen calamine
  3. Pengambilan ubat anti histamine seperti diphendyramine, cetrizine dan loratidine

Kadang-kadang chicken pox juga boleh menyebabkan kehadiran ulcer di dalam mulut menyebabkan kanak-kanak kurang minum air. Ini menyebabkan keadaan dihidrasi kepada pesakit

Beberapa cara yang kita boleh buat  untuk mengatasi masalah ini adalah:

  1. Pemberian aiskrim. Aiskrim diberi untuk menyejukkan kawasan ulcer supaya kesakitan dapat dikurangkan. Apabila kanak-kanak itu merasa kurang sakit, barulah dia akan mula makan dan minumm
  2. Penggunaan ubat titis yang boleh mengurangkan rasa sakit. Anda boleh dapatkan ubat titis bagi ulcer di farmasi mahupun di klinik yang berdekatan.

10.2 Terapi Anti-viral

Pengunaan antiviral hanya perlu jika:

  1. Pesakit yang berumur 12 tahun ke atas
  2. Mempunyai masalah kulit dan paru-paru. Pesakit yang mempunyai masalah tersebut selalunya akan mempunyai komplikasi jika diserang chicken pox. Pemberian ubat anti-viral dapat mengelakkan daripada perkara tersebut berlaku
  3. Pesakit yang sedang di dalam terapi steroid

Ubat anti-viral yang selalu diberikan adalah acyclovir. Ia bertindak untuk membunuh virus tersebut sama seperti antibiotik. Cumanya dalam kes ini, ia digunakan untuk membunuh virus.

Pesakit yang sedang menggunakan steroid kerana penyakit lain akan mudah menghadapi komplikasi jika diserang chicken pox. Ini kerana sistem imun mereka akan menjadi lebih ketika pengambilan steroid. Disebabkan itu, pesakit seperti ini diwajibkan untuk mengambil anti-viral jika mendapat chicken pox

10.3 Rawatan Jangkitan bakteria sekunder

Jika kawasan cacar air menjadi lebih merah, bengkak dan sakit, jangkitan bakteria pada tempat tersebut mungkin sedang berlaku. Ini selalunya disebabkan kawasan cacar air tersebut digaru hingga menyebabkan bakteria luar memasuki kawasan tersebut dan menyebabkan jangkitan bakteria sekunder

Rawatan yang selalu diberikan  untuk masalah ini adalah pemberian krim antibiotik. Krim antibiotik perlulah disapu ditempat yang disyaki dijangkit bakteria tersebut. Jika pesakit mengalami demam, pemberian antibiotik secara oral akan diberikan kepada pesakit.

11. Pendidikan kesihatan

Beberapa perkara yang ahli keluarga perlu tahu ketika mana merawat pesakit yang mengalami masalah chicken pox. Ianya adalah:

  • Keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang dijangkiti chicken pox perlulah selalu memandikan mereka untuk mengurangkan rasa gatal dan mengelakkan jangkitan bakteria sekunder pada ruam yang digaru.
  • Untuk mengelakkan ruam itu luka ketika digaru, kuku perlulah dipotong supaya pendek. Pemakaian sarung tangan juga membantu
  • Penggunaan ubat untuk mengurangkan rasa gatal pada kulit diperbolehkan
  • Mereka yang mempunyai chicken pox perlulah menghindari daripada wanita yang sedang mengandung dan mereka yang mempunyai masalah sistem imun.
  • Tidak boleh hantar ke tadika. Ini kerana ia boleh menyebabkan kanak-kanak lain mendapat jangkitan kuman yang sama

Ibubapa yang mempunyai anak chicken pox perlu membawa mereka ke hospital jika

  • Kemerahan, bengkak dan sakit pada ruam
  • Kurang minum air
  • Kurang buang air kecil
  • Konfius, berterusan menangis
  • Tidak boleh berjalan seperti biasa
  • Sakit kepala yang teruk, leher yang keras
  • Muntah yang berterusan
  • Demam yang berterusan lebih daripada 3 hari
  • Keadaan pesakit yang bertambah teruk

Jika anda merasa maklumat ini bermanfaat, jangan lupa like page kami Thediagnosa
Bacaan seterusnya: Kayap(Punca dan Cara rawatan)

Rujukan

  1. Rockley PF, Tyring SK. Pathophysiology and clinical manifestations of varicella zoster virus infections. Int J Dermatol. 1994 Apr. 33(4):227-32.
  2. Dowell SF, Bresee JS. Severe varicella associated with steroid use. Pediatrics. 1993 Aug. 92(2):223-8.
  3. Davis MM, Patel MS, Gebremariam A. Decline in varicella-related hospitalizations and expenditures for children and adults after introduction of varicella vaccine in the United States. Pediatrics. 2004 Sep. 114(3):786-92
  4. Tappeiner C, Aebi C, Garweg JG. Retinitis and optic neuritis in a child with chickenpox: case report and review of literature. Pediatr Infect Dis J. 2010 Dec. 29(12):1150-2.
  5. Sumber featured image: medicalnewstoday.com
Categories: Perubatan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa