Dalam artikel ini, kita akan membincangkan mengenai CPR (CardioPulmonary Resuscitation) yang dipermudahkan khusus buat orang awam berdasarkan garispanduan terbaru dari NCORT 2015. Sebelum anda mempelajari langkah-langkah asas CPR, terlebih dahulu anda harus mengetahui perkara-perkara penting berikut ;

Apa itu CPR?

CPR adalah prosedur kecemasan yang dilakukan untuk menyelamatkan nyawa seseorang apabila jantung mereka tidak berfungsi dan berhenti berdegup serta merta. CPR terbahagi kepada dua versi ;

i. Conventional CPR
Dilakukan oleh pasukan penyelamat dan orang awam yang terlatih. CPR jenis ini mengandungi ; tekanan dada dan pernafasan mulut ke mulut dengan nisbah 30 tekanan dada : 2 pernafasan.

ii. Hands-Only CPR atau Compression-Only CPR
Bagi orang awam yang belum terlatih, anda boleh melakukan CPR dengan cara ini. Anda hanya perlu menekan bahagian tengah dada pesakit secara kuat dan laju. Berbeza dengan jenis pertama, CPR jenis ini lebih mudah kerana tidak melibatkan bantuan pernafasan mulut ke mulut.

Kita faham bahawa tidak semua orang berani untuk memberikan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut terutama pada orang yang tidak dikenali kerana bimbang akan risiko jangkitan penyakit. Oleh itu, dengan hanya melakukan tekanan dada walaupun tanpa bantuan pernafasan, ia adalah lebih baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa. Justeru, dalam artikel ini kita akan memfokuskan CPR jenis kedua iaitu Compression-Only CPR. Perlu diingat bahawa CPR jenis ini sesuai dilakukan pada mangsa dari golongan remaja hingga dewasa. Golongan mangsa bayi dan kanak-kanak pula berbeza dari segi cara tekanan dada dan kedalaman.

Siapakah yang harus anda CPR?

  • Orang yang tidak sedarkan diri dan tidak bernafas.
  • Orang yang bernafas secara tidak normal / agonal breathing seperti dalam keadaan nazak.
  • Walaubagaimanapun, jika mangsa mengalami kecederaan yang sangat teruk seperti kepala tercabut dari badan, CPR tidak releven untuk dilakukan.

Apakah kepentingan melakukan CPR?

  • Kebolehan anda untuk mengesan tanda-tanda jantung terhenti dan memulakan CPR secepat mungkin akan membantu menyelamatkan nyawa seseorang.
  • Ingat bahawa 1 saat adalah amat bernilai ! Sejurus selepas jantung terhenti, peluang untuk hidup akan berkurang sebanyak 7-10% bagi setiap 1 minit yang berlalu. Ini bermaksud, jika jantung sudah terhenti selama 5 minit, peluang untuk hidup hanya tinggal 40-50% sahaja lagi.
  • Apabila jantung berhenti, proses mengepam darah juga akan berhenti. Ketika ini, otak dan semua organ-organ dalam badan tidak akan mendapat bekalan darah yang mencukupi dan menyebabkan sel-sel otak mulai mati dalam tempoh 4-6 minit selepas itu. Pada tempoh 10 minit dan keatas, sel-sel tersebut akan berhenti berfungsi dan akhirnya akan mati sepenuhnya.
  • Pada 20 minit dan keatas, kemungkinan untuk hidup kembali adalah amat tipis akibat kerosakan sel otak yang sangat teruk. Walaupun berjaya diselamatkan, kemungkinan kualiti hidup pesakit akan menjadi buruk akibat kerosakan sel otak.
  • Atas sebab itu, CPR harus dilakukan tanpa melengahkan waktu. Dengan melakukan CPR, anda membantu jantung seseorang mengepam darah secara manual ke organ-organ penting dan seterusnya melambatkan proses kematian sel-sel mereka.
  • CPR awal walaupun hanya dengan cara menekan dada tanpa bantuan pernafasan terbukti meningkatkan peluang seseorang untuk hidup sebanyak 2 hingga 3 kali ganda selepas jantung berhenti berfungsi.

CARA MELAKUKAN CPR RINGKAS ( Compression-Only Cpr )

Berikut merupakan langkah-langkah mudah dan ringkas untuk melakukan CPR bagi orang awam yang belum pernah mengikuti apa-apa kursus Basic Life Support (BLS). Anda hanya perlu menghafal singkatan berikut untuk memudahkan anda mengingat langkah-langkah CPR iaitu ; DRS ABCD

  1. D untuk Danger –

Pastikan kawasan sekitar selamat sebelum memberi pertolongan cemas kepada mangsa. Sebagai contoh, pastikan anda tidak berada di tengah-tengah laluan trafik sekiranya membantu mangsa kemalangan jalan raya.

  1. R untuk Respond –

Tepuk bahu mangsa sambil memanggil “ Encik, Encik, Anda Ok?”. Jika mangsa tidak sedarkan diri, jangan panik dan lakukan langkah seterusnya.

  1. S untuk Shout for Help –

Minta bantuan orang sekeliling untuk menghubungi 999.

Sekiranya anda bersendirian dan tiada orang yang berada di sekeliling ;

  • Hubungi 999 & ikuti arahan yang diberikan dari masa ke semasa oleh pegawai dalam talian.
  • Sekiranya tiada kemudahan telefon, cuba untuk menjerit dengan kuat bagi meminta tolong. Jika masih tiada sesiapa di sekitar anda, lakukan langkah seterusnya tanpa membuang masa.
  • Setelah melakukan CPR dalam masa 2 minit, cuba lagi untuk meminta bantuan sekiranya ada. Bantuan adalah amat penting untuk menyelamatkan mangsa.
  1. A untuk Airway –

Mula-mula, buka salur pernafasan mangsa dengan perlahan & berhati-hati dengan cara menolak dagu mangsa ke atas menggunakan jari.

  1. B untuk Breathing –

Ketika membuka salur pernafasan seperti di atas, anda perlu menilai samada mangsa bernafas atau tidak. Anda perlu menilai pernafasan mangsa dengan melihat pergerakan dada, muka dan leher mangsa. Sekiranya tiada pernafasan atau mangsa tidak bernafas seperti biasa seoalah-olah dalam keadaan nazak, terus lakukan tekanan dada kepada mangsa.

Penilaian pernafasan dengan melihat muka, leher dan dada perlu dilakukan dengan cepat dibawah 10 saat dan tidak membuang masa.

  1. C untuk Compression –

Lakukan tekanan pada bahagian tengah dada mangsa dengan serta merta secara kuat dan laju.

Komponen – komponen berikut perlu dipastikan untuk mendapatkan CPR berkualiti tinggi ;

  • Kelajuan tekanan dada
    • Kelajuan tekanan adalah sebanyak 100-120 tekanan per minit.
    • Bagaimana untuk memastikan kelajuan tekanan dada anda menyamai 100-120 tekanan per minit? Anda boleh bayangkan dalam hati lagu “Balik Kampung” yang dinyanyikan oleh Allahyarham Sudirman. Tekan dada mengikut tempo dan rentak lagu tersebut kerana ia hampir menyamai 100-120 tekanan dada dalam masa 1 minit.
  • Kedalaman tekanan dada
    • Kedalaman tekanan adalah 5 cm atau lebih kurang 2 inci.
  • Kurangkan tempoh berhenti semasa CPR
    • Bagi memberikan CPR berkualiti kepada pesakit, ia hendaklah dilakukan secara berterusan dan konsisten tanpa banyak berhenti.
    • Sekiranya terpaksa berhenti, pastikan tidak melebihi dari 10 saat.
  • Allow chest recoil ; pastikan anda menekan dada dengan laju dan pastikan dada kembali ke posisi asal dengan sendiri selepas ditekan.
  • Elbow & shoulder lock ; keraskan siku dan bahu anda agar tekanan dada dapat diberikan dengan baik dan dapat menjimatkan tenaga.
  • Gunakan berat badan anda semasa menekan dada mangsa dengan cara meluruskan tangan ke bawah pada sudut 90 darjah.
  1. D untuk Defibrillation –

Sekiranya ada, mesin AED ( Automated External Defibrillator ) boleh digunakan. Anda hanya perlu menekan butang “ON” pada mesin tersebut dan ikuti arahan selanjutnya.

  1. Penilaian semasa melakukan CPR ;
    • Sentiasa melihat keadaan mangsa semasa CPR
    • Sekiranya mangsa muntah, posisikan muka mangsa ke sisi agar muntah tidak termasuk ke dalam paru-paru
    • Berhenti CPR setiap 2 minit untuk memeriksa pernafasan mangsa dengan cara melihat muka, leher dan pergerakan dada jika ada tanda pernafasan
    • Jika ada pernafasan, anda boleh berhenti melakukan CPR dan membaringkan mangsa ke posisi mengiring sebelah kanan
    • Sentiasa pantau keadaan mangsa sehingga bantuan tiba
    • Jika terdapat dua atau lebih orang yang bersama anda di tempat kejadian, kami sarankan untuk berganti-ganti melakukan CPR setiap 2 minit untuk mengelakkan keletihan
    • Keletihan adalah faktor utama yang menjejaskan kualiti CPR
  1. Bilakah anda boleh menghentikan CPR?
  • Anda boleh berhenti apabila bantuan telah tiba dan diambil alih oleh pasukan penyelamat
  • Anda terpaksa berhenti kerana sudah tidak mampu meneruskan CPR & sudah kehabisan tenaga
  • Mangsa menunjukkan tiada tanda-tanda kehidupan walaupun selepas CPR berterusan melebihi 20 minit dan ke atas seperti ;
    1. Tiada pernafasan
    2. Tiada nadi
    3. Anggota badan mangsa semakin sejuk, biru dan pucat
    4. Anggota badan mangsa mulai mengeras (rigor mortis)

Semoga dengan perkongsian ini dapat menambah sedikit sebanyak pengetahuan mengenai CPR untuk para pembaca sekalian. Jangan lupa untuk berlatih CPR melalui video-video tutorial yang banyak terdapat di saluran media sosial masakini agar anda lebih mudah memahami cara-cara melakukan CPR. Sekiranya berminat, anda boleh mendapatkan sijil secara formal dengan mengikuti kursus-kursus Basic Life Support anjuran agensi kerajaan dan swasta. Akhir kata, lakukanlah CPR walaupun hanya dengan menekan dada. Siapa tahu pada suatu hari nanti, kita mungkin akan berdepan dengan detik yang mencemaskan ini.

Sila klik link rujukan untuk menonton video CPR.

 

Rujukan

  1. NATIONAL COMMITTEE ON RESUSCITATION TRAINING GUIDELINES 2015, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
  2. HANDS-ONLY CPR (AMERICAN HEART ASSOCIATION)
  3. https://cpr.heart.org/AHAECC/CPRAndECC/Programs/HandsOnlyCPR/UCM_473196_Hands-Only-CPR.jsp

 

 


Shafiq

Assistant Medical Officer of Kementerian Kesihatan Malaysia. "Not every hero wears a cape. Sometimes they also wear a mask, and gloves and an apron"

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *