Demam campak dalam istilah perubatan dikenali sebagai measles. Ia merupakan salah satu penyakit yang sangat mudah berjangkit. 90 peratus daripada jangkitan berlaku ketika terdedahnya kepada virus tersebut.

Walaupun ia lebih mudah menyerang kanak-kanak, ia juga boleh menyerang orang dewasa terutamanya mereka yang belum lagi menerima suntikan vaksin campak.

Demam campak berbeza daripada cacar air(Chicken pox). Ramai daripada masyarakat kita keliru menggunakan istilah tersebut sehingga menyamakan demam campak dengan chicken pox.

Walhal virus yang menyebabkan kedua-dua penyakit tersebut adalah berbeza.

1. Pengenalan

Demam campak (Measles) juga dikenali dengan nama lain iaitu rubeola. Demam campak selalunya dimulakan dengan fasa prodromal iaitu pesakit akan mempunyai simptom demam, batuk, selesema, mata merah dan juga titik Koplik(Koplik spot) di dalam mulut. Kemudian, barulah diikuti dengan ruam pada bahagian kulit

Jangkitan measles akan menyebabkan sistem imun tidak dapat berfungsi dengan efektif. Perkara inilah yang akan mendedahkan kanak-kanak tersebut dengan jangkitan di bahagian dalam telinga(otitis media) dan juga jangkitan paru-paru(Pneumonia).

Kebanyakan pesakit yang mati disebabkan measles adalah kerana mereka menghadapi jangkitan kuman selepas daripada itu.

2. Patofisiologi

Jangkitan kuman disebarkan melalui titisan air daripada saluran pernafasan pesakit demam campak. Titisan itu akan berada di dalam udara mahupun melekat pada permukaan dinding ataupun meja selama lebih kurang 2 jam. Mereka yang terdedah kepada virus tersebut mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi untuk menghadapi jangkitan virus tersebut

Virus measles akan memasuki saluran pernafasan dan membiak di dinding saluran tersebut dahulu sebelum merebak ke seluruh badan.

Jangkitan virus measles akan menyebabkan sistem imun badan menjadi tidak efektif untuk beberapa mingggu hingga beberapa bulan selepas jangkitan kuman tersebut. Pada ketika inilah, jangkitan kuman sekunder akan menyebabkan keadaan pesakit menjadi teruk.

Majoriti daripada pesakit yang mati disebabkan measles adalah kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Dalam individu yang melepasi fasa tersebut, pesakit akan imun kepada virus measles sepanjang hidupnya

3. Punca Demam Campak

Demam campak adalah disebabkan jangkitan virus measles, iaitu daripada keluarga virus Paramyxoviridae dan genus Morbillivirus. Hos bagi penyakit ini adalah pada manusia sahaja. Tiada haiwan lain yang dikatakan boleh membawa penyakit ini.

Virus yang sangat mudah merebak ini disebarkan apabila seseorang yang dijangkiti virus ini batuk dan bersin.

Faktor risiko untuk seseorang itu mengalami jangkitan measles adalah:

  • Kanak-kanak yang mempunyai masalah imun disebabkan HIV, leukemia, penggunaan steroid walaupun telah diberikan suntikan vaksin sebelum ini
  • Pergi ke tempat yang mempunyai wabak measles
  • Tidak mendapat suntikan vaksin measles

Faktor risiko untuk mendapat jangkitan measles dan komplikasinya adalah jika seseorang itu:

  • Kekurangan nutrisi
  • Mempunyai masalah sistem imun
  • Hamil
  • Kekurangan Vitamin A

4. Komplikasi

Kebanyakan komplikasi berlaku disebabkan virus tersebut merencat fungsi sistem imun di dalam badan pesakit menyebabkan kuman daripada luar dan dalam badan senang untuk menjangkiti individu tersebut.

Beberapa komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit adalah:

  • Jangkitan paru-paru
  • Jangkitan kuman pada otak(Encephalomyelitis)
  • Jangkitan kuman pada bahagian tengah telinga(Otitis media)
  • Keradangan pada pankreas
  • Subacute sclerosing panencephalitis(SSPE)

6. Simptom atau tanda-tanda demam campak

Demam campak berlaku setelah 7-14 hari selepas pendedahan dengan virus measles sebelum ini. Beberapa simptom yang akan berlaku terlebih dahulu sebalum timbulnya ruam campak adalah:

  • Demam yang tinggi(selalunya lebih daripada 40 darjah celcius)
  • Rasa letih
  • Kurang selera makan
  • Selesema
  • Batuk
  • Konjunktiva merah(conjunctivitis)

Ruam dalam mulut (Titik koplik/ Koplik spot)

  • Pesakit yang mempunyai simptom ini selalunya mempunyai kebarangkalian yang tinggi mempunyai demam campak
  • Ruam ini biru kelabu dan dikelilingi warna kemerah-merahan
  • Selalunya dapat dikesan pada 1 – 2 hari demam campak

Ruam pada kulit

  • Ruam akan timbul pada hari yg ke 3 – 5 demam
  • Ia selalunya bermula pada bahagian kepala dan turun kebahagian badan dan pergi ke tangan dan kaki
  • Ia tidak mempunyai air pada ruam tersebut. Perbezaan bagi penyakit cacar air(chicken pox), akan ada air yang terisi dalam ruam pesakit

 

***Pesakit perlulah dibawa berjumpa dengan doktor jika mempunyai ciri-ciri di atas.

7. Penyiasatan

Walaupun diagnosa demam campak boleh dilakukan dengan pemeriksaan fizikal, tetapi ia masih perlu disahkan dengan pengambilan darah.

Terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk mengesan virus tersebut

  • Ujian serologi untuk mengesan kehadiran antibodi melawan penyakit measles.
  • Pengkulturan virus – Pengambilan sampel pada bahagian tekak dan hidung pesakit boleh digunakan dalam kaedah ini. Virus tersebut akan cuba dibiakan dalam keadaan yang sesuai dan isolasi virus tersebut akan menunjukkan bahawa pesakit mempunyai jangkitan measles
  • Polymerase chain reaction – Dalam ujian ini, bahan genetik virus akan digandakan dan diperiksa. Jika ia sama seperti genetik measles, maka pesakit akan disahkan mengalami jangkitan measles

8. Diagnosa-diagnosa lain

Beberapa diagnosa lain mungkin mempunyai simptom yang sama. Penyakit tersebut adalah:

  • Penyakit Kawasaki
  • Jangkitan pada selaput otak(Meningitis)
  • Jangkitan Parvovitus B19
  • Jangkitan Rubella
  • ‘Rocky Mountain Spotted Fever’
  • Jangkitan Virus Epstein-Barr
  • Demam cacar air(chicken pox)
  • Kencing tikus

9. Rawatan demam campak

Rawatan demam campak adalah lebih kepada rawatan sokongan. Ini kerana tiada lagi ubat yang terbukti membunuh virus measles pada manusia. Oleh itu, rawatan dan pengurusan pesakit demam campak adalah lebih kepada rawatan sokongan dan pantauan.

Rawatan sokongan

Sebagai contoh jika pesakit kurang minum air dan kelihatan kekeringan, maka air boleh dimasukkan terus ke dalam saluran darah untuk menghidrasi semula pesakit tersebut.

Jika pesakit mengalami jangkitan kuman pada paru-paru ataupun telinga, antibiotik boleh diberikan untuk membunuh jangkitan kuman tersebut

Pesakit yang mengalami jangkitan paru-paru yang teruk dan memerlukan bantuan pernafasan, tiub akan dimasukkan ke dalam saluran pernafasan pesakit dan disambungkan kepada alat bantuan pernafasan.

Suplemen Vitamin A

Kajian membuktikan pemberian vitamun A pada pesakit dapat mengurangkan komplikasi dan kematian disebabkan measles sebanyak 50%. Ia juga dapat mengelakkan kerosakan pada telinga dan buta.

Disebabkan kekurangan Vitamin A boleh menyebabkan komplikasi yang teruk pada pesakit demam campak, maka WHO mengesyorkan pemberian Vitamin A pada pesakit demam campak

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Gastanaduy PA, Redd SB, Fiebelkorn AP, et al. Measles – United States, January 1-May 23, 2014. MMWR Morb Mortal Wkly Rep. 2014 Jun 6. 63(22):496-499.
  2. 2015 Report of the Committee on Infectious Diseases. Early Release from Red Book. American Academy of Pediatrics. Available at http://redbook.solutions.aap.org/DocumentLibrary/2015RedBookMeasles.pdf. Accessed: March 31, 2015.
  3. Sabella C. Measles: not just a childhood rash. Cleve Clin J Med. 2010 Mar. 77(3):207-13
  4. Meissner HC, Strebel PM, Orenstein WA. Measles vaccines and the potential for worldwide eradication of measles. Pediatrics. 2004. 114(4):1065-9.
  5. Centers for Disease Control and Prevention. Program in brief: Measles Mortality Reduction and Regional Global Measles Elimination. Available at http://www.cdc.gov/ncird/progbriefs/downloads/global-measles-elim.pdf.

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

1 Comment

Penat-penat cucuk vaksin campak. Tapi anak masih kena campak. Kenapa?? - Root of Science · November 14, 2018 at 5:19 am

[…] satu simptom daripada pelbagai jenis penyakit. Ia boleh disebabkan jangkitan: – Virus Measles(demam campak) – Virus Rubella – Virus Roseola – Virus Coxsackie(punca Penyaki kaki tangan dan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *