Demam denggi merupakan salah satu penyakit yang selalu berlaku di Malaysia. Penyakit ini terjadi kerana jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk. Virus yang menyebabkan demam denggi ini adalah jenis flavivirus dan ia mempunyai 4 serotype(jenis-sero).

Vektor ataupun nyamuk yang boleh membawa virus ini adalah dua jenis spesies aedes iaitu Aedes aegypti dan juga Aedes albopticus.

Perbezaan antara kedua jenis spesies ini adalah Aedes aegypti selalunya bertelur dan membiak di dalam rumah. Manakala, Aedes albopticus pula suka bertelur dan membiak di persekitaran luar rumah.

Demam denggi selalunya berlaku dikawasan subtropikal dan tropikal seperti di Malaysia. Ini kerana persekitarannya yang sesuai memudahkan nyamuk aedes membiak lalu menyebabkan virus tersebut tersebar

Kenaikan kes denggi telah meningkat secara mendadak beberapa dekad ini.

Denggi selalunya akan menjadi lebih teruk jika mendapat jangkitan yang kali kedua. Kami akan menerangkan perkara tersebut dalam bahagian patofisiologi.

1. Patofisiologi

Demam denggi adalah berpunca daripada flavivirus yang dibawa oleh nyamuk aedes. Spesies aedes pula terbahagi kepada 2 iaitu Aedes aegypti dan juga Aedes albopticus.

Nyamuk aedes betina memerlukan darah yang digunakan sebagai sumber protein untuk penghasilan telur. Nyamuk aedes ini adalah vektor ataupun pembawa virus denggi yang efektif

Ini kerana ia sangat mudah terganggu dan terbang semula ketika sedang menghisap darah. Kemudian ia boleh pergi ke individu yang lain pula untuk menghisap darah. Karakternya seperti ini membolehkan virus tersebut menjangkiti beberapa individu serentak.

Bacaan platlet dan sel darah putih

Apabila virus tersebut memasuki saluran darah, ia akan menjangkiti sel di dalam sumsum tulang terutamanya yang terlibat dalam penghasilan sel darah putih dan platlet.

Ia juga boleh menyebabkan sel darah putih keliru dan menghasilkan antibodi untuk melawan platlet itu sendiri. Ini akan menyebabkan bacaan platlet menurun.

Jangkitan demam denggi kali ke-2 menyebabkan keadaan yang lebih teruk

Virus denggi atau flavivirus mempunyai 4 jenis serotype yang berbeza. Perkara ini adalah sangat penting kerana jika sebelum ini seseorang pernah dijangkiti virus denggi, dia akan mengalami demam denggi yang lebih teruk untuk jangkitan denggi yang seterusnya.

Ini kerana serotype yang berbeza mempunyai bentuk antigen yang sedikit berbeza.

Antigen merupakan struktur protein yang terletak pada permukaan virus, bakteria dan kulat. Ia bertindak seperti kad pengenalan yang digunakan untuk pengecaman.

Apabila sesuatu virus memasuki badan, sel imun akan mengecam struktur antigen tersebut dan menghasilkan antibodi untuk melawan virus tersebut. Antibodi ini akan melekat pada antigen itu dan menyahaktifkan virus tersebut. Kemudian virus itu akan ditelan oleh sel darah putih dan diuraikan.

Begitulah yang berlaku pada jangkitan virus denggi pada kali pertama. Antibodi akan dihasilkan untuk melawan jangkitan tersebut dan pesakit akan imun sepanjang hidup dia.

Apabila berlakunya jangkitan denggi kali-2, selalunya ia akan melibatkan serotype yang lain. Badan akan menghasilkan antibodi yang sama seperti jangkitan virus denggi yang pertama. Ini kerana struktur antigen tersebut hanya mempunyai sedikit perbezaan.

Perkara ini akan menyebabkan virus tersebut masih lagi aktif dan tidak dibunuh. Apabila antibodi tersebut melekat pada virus, ia akan memudahkan lagi sel imun untuk menelan virus tersebut. Akan tetapi, virus tersebut masih aktif menyebabkan sel imun itu dijangkiti dan virus membiak dalam sel imun tersebut.

Perkara ini dipanggil sebagai Antibody-dependant Enhancement. Bermaksud antibodi dalam badan kita sendiri mempercepatkan pembiakan virus tersebut dan menyebabkan keadaan pesakit semakin teruk.

2. Fasa demam denggi

Terdapat 3 fasa demam denggi yang berbeza. Fasa-fasa ini adalah penting bagi seseorang doktor supaya rawatan dan penjagaan yang tepat dapat diberikan kepada pesakit

1) Fasa demam(Febrile phase)

Dalam fasa ini, pesakit akan mengalami demam yang melebihi 38 darjah celsius. Selalunya pesakit akan mengalami dehidrasi pada peringkat ini disebabkan suhu yang tinggi dan juga muntah serta cirit birit.

Jarang untuk demam denggi berdarah berlaku pada fasa ini

Selalunya ia berlaku lebih kurang 3 hari

2) Fasa kritikal(Critical phase)

Dalam fasa ini, pesakit akan baik daripada demam ataupun suhunya menjadi kurang daripada 38 darjah celcius. Ketika ini, ketelapan dinding salur darah bertambah menyebabkan air banyak keluar daripada saluran darah dan kepekatan darah meningkat.

Pada fasa inilah pendarahan senang berlaku. Ini kerana darah yang pekat menyebabkan pergerakan darah menjadi susah. Saluran darah pecah dan pendarahan pun berlaku

3) Fasa Pemulihan(Recovery phase)

Ketelapan dinding saluran darah akan menjadi normal semula dan air akan masuk semula ke dalam saluran darah. Darah akan menjadi kurang berbanding sebelum ini. Bacaan platlet dan bacaan sel darah putih akan meningkat semula.

3. Simptom dan Tanda tanda demam denggi

Salah satu simptom yang wajib seseorang itu ada ketika mempunyai masalah ini adalah demam yang tinggi. Selalunya lebih daripada suhu 38 darjah celsius. Kebanyakan simptom demam denggi adalah sama seperti demam-demam lain membuatkan pengecaman penyakit ini memerlukan ujian daripada pengambilan darah.

Beberapa simptom tersebut adalah:

  • Sakit kepala
  • Sakit dibahagian belakang mata
  • Sakit-sakit otot dan sendi
  • Muntah dan cirit-birit
  • Ruam
  • Rasa letih
  • Kurang selera makan

Terdapat beberapa tanda amaran pesakit demam denggi. Ia adalah:

  • Muntah dan cirit-birit yang kerap(lebih daripada 3 kali dalam sehari)
  • Pendarahan daripada mana-mana bahagian badan seperti muntah darah, hidung berdarah dan buang air besar berdarah
  • Sakit perut yang melampau
  • Sawan
  • Tahap kesedaran semakin berkurangan
  • Sesak nafas

Untuk pesakit kanak-kanak, beberapa tambahan tanda amaran yang menunjukkan pesakit mengalami demam denggi yang teruk:

  • Tidak aktif
  • Kurang minum air
  • Air kencing yang sedikit atau tidak buang air kencing
  • Bernafas laju
  • Muka atau tangan pucat

Pesakit-pesakit seperti ini perlulah dibawa terus ke hospital untuk menerima rawatan

Jika anda berminat untuk membeli termometer untuk menyukat suhu badan, boleh tekan butang LIHAT dibawah.

4. Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi yang boleh berlaku ketika menghadapi demam denggi. Ianya adalah

  • Cardiomyopathy(Masalah pada otot jantung)
  • Enchephalitis(Jangkitan virus denggi di bahagian otak)
  • Hepatitis(keradangan hati)
  • Jangkitan paru-paru
  • Demam denggi berdarah
  • Paru-paru berair(pleural effusion)

5. Diagnosa-diagnosa yang lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama. Ia adalah:

6. Penyiasatan

Disebabkan simptom demam denggi adalah tidak spesifik dan boleh merujuk kepada jangkitan kuman yang lain, pengesahan daripada ujian makmal perlu dilakukan.

Dengue Rapid Test

Dalam ujian ini, darah pesakit akan diambil dan diletakkan pada satu alat. Ia akan menunjukkan sama ada darah pesakit mempunyai antigen Ns1, Immunoglobulin M(IgM) ataupun Immunoglobulin G(IgG).

Antigen Ns1 merupakan struktur protein yang melekat pada permukaan virus denggi. Ia bertindak seperti kad pengenalan yang menunjukkan bahawa dia adalah seorang penceroboh. Pada 3 hari pertama waktu pesakit demam, bacaan Ns1 boleh dikesan.

Selepas hari yang 3 selalunya bacaan Ns1 tidak boleh dikesan.

IgM merupakan antibodi yang dihasilkan oleh badan untuk melawan jangkitan virus. Ia akan dihasilkan oleh badan ketika kali pertama dijangkiti virus tersebut. Apabila kali kedua, antibodi yang terhasil pula adalah dalam bentuk IgG. IgM akan dapat dikesan daripada darah pesakit pada hari yang ke 3-4.

Seseorang itu dikatakan menghidapi jangkitan denggi jika dia positif antigen Ns1 atau/dan IgM. Jika dia positif IgG sahaja, bermakna pesakit pernah mengalami jangkitan denggi sebelum ini. Tetapi pada ketika itu, dia masih belum mengalami jangkitan denggi yang terbaru.

Full Blood Count

Dalam ujian ini, bilangan sel darah akan dikira seperti sel darah merah, sel darah putih dan juga platlet.

Di dalam demam denggi, bacaan sel darah putih dan platlet akan menurun menunjukkan virus tersebut sudah mengganggu penghasilan sel-sel itu.

Dalam ujian ini juga, kepekatan darah boleh dikira. Ianya dipanggil sebagai hematocrit. Penting untuk mengetahui bacaan ini kerana kepekatan darah yang tinggi akan meningkatkan risiko untuk pendarahan dalaman.

Ujian fungsi hati(Liver function test)

Ada sesetengah pesakit yang mengalami komplikasi dimana berlakunya keradangan hati(Hepatitis). Ia disebabkan virus denggi yang menyerang kawasan sel hati.

7. Rawatan demam Denggi

Berkenaan rawatan demam denggi, tiada lagi rawatan seperti anti-viral untuk merencat ataupun membunuh virus denggi. Rawatan yang ada sekarang adalah lebih kepada rawatan sokongan kepada pesakit.

Pemberian air

Pesakit perlulah diberi air selalu untuk mengelakkan pesakit kekurangan air. Jika pesakit kelihatan seperti kekeringan dan keletihan, air daripada luar akan disuntik masuk ke dalam salur darah.

Perkara ini adalah penting kerana pesakit yang dihedrasi boleh mengalami komplikasi demam denggi yang sangat teruk.

Pesakit denggi selalu mengalami kekurangan air disebabkan 3 perkara:

  • Suhu yang tinggi menyebabkan kehilangan air meningkat
  • Ketelapan dinding salur darah meningkat disebabkan jangkitan virus menyebabkan air senang keluar daripada salur darah dan pergi ke sekeliling sel. Ini menyebabkan air dalam salur berkurangan
  • Pesakit mengalami muntah dan cirit birit menyebabkan kehilangan air bertambah

Ketiga-tiga perkara ini akan meningkatkan kepekatan darah dalam badan yang dilihat daripada bacaan hematocrit yang meningkat.

Apabila kepekatan darah bertambah, aliran darah menjadi semakin sukar menyebabkan ada kawasan yang tidak mendapat oksigen yang mencukupi. Ini akan menyebabkan saluran darah rosak disebabkan kekurangan oksigen. Salur darah yang rosak itu boleh pecah menyebabkan pendarahan berlaku.

Selalunya pendarahan berlaku pada seluruh kawasan badan menyebabkan bacaan platlet jatuh dengan lajunya kerana ia perlu untuk pembekuan darah.

Pemberian darah

Jika pesakit disyaki mengalami kekurangan darah disebabkan pendarahan, pesakit akan diberikan transfusi darah(whole blood transfusion) untuk menggantikan darah yang hilang.

Transfusi platlet adalah tidak digalakkan walaupun bacaan platlet seseorang itu rendah. Ini kerana kajian menunjukkan rawatan seperti itu tidak berkesan terutamanya dalam pesakit demam denggi berdarah

8. Cara-cara untuk mengelakkan demam denggi

Orang awam perlulah mengikuti cara-cara ini untuk mengelakkan digigit nyamuk ataupun

  • Membuat pemeriksaan sekeliling rumah untuk melihat tempat pembiakan seminggu sekali. Saranan seminggu sekali adalah kerana nyamuk aedes mengambil masa satu minggu untuk menetas daripada telur, menjadi jentik-jentik hinggalah jadi dewasa. Kalau tempat pembiakan dapat dihapuskan pada ketika itu, mereka tidak akan dapat berubah menjadi nyamuk dewasa
  • Mengelakkan untuk bersenam pada waktu pagi
  • Jika terpaksa, gunakan baju lengan panjang dan juga seluar panjang untuk mengurangkan kulit yang terdedah dengan gigitan nyamuk
  • Gunakan ‘insect repellent’ bagi kulit yang terdedah. Insect repellent yang terbukti berkesan menghalau nyamuk dan mempunyai kesan sampingan yang rendah adalah insect repellant yang mengandungi kompaun DEET

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guideline, Management of Dengue Infection in Adult, Third Edition 2015, Malaysia Health Technology Assessment Section(MaHTAS), Ministry of Health Malaysia
  2. World Health Organization. Dengue and severe dengue fact sheet. WHO. Available at http://www.who.int/mediacentre/factsheets/fs117/en/. April 2017; Accessed: September 28, 2017.
  3. Halstead SB. Dengue. Lancet. 2007 Nov 10. 370(9599):1644-52.
  4. Halstead SB, Heinz FX, Barrett AD, Roehrig JT. Dengue virus: molecular basis of cell entry and pathogenesis, 25-27 June 2003, Vienna, Austria. Vaccine. 2005 Jan 4. 23(7):849-56
  5. Rothman AL, Ennis FA. Immunopathogenesis of Dengue hemorrhagic fever. Virology. 1999 Apr 25. 257(1):1-6.
  6. Green S, Rothman A. Immunopathological mechanisms in dengue and dengue hemorrhagic fever. Curr Opin Infect Dis. 2006 Oct. 19(5):429-36.
  7. Chen WS, Wong CH, Cillekens L. Dengue antibodies in a suburban community in Malaysia. Med J Malaysia. 2003 Mar. 58(1):142-3.
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

1 Comment

Kenapa kalau demam denggi kali ke-2, keadaan pesakit lebih teruk? · November 14, 2018 at 5:51 am

[…] dengar tak yang doktor cakap jika seseorang itu kena demam denggi kali ke 2 selalunya dia menghadapi demam denggi yang lebih teruk. Ini adalah suatu perkara yang […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *