Demam adalah perkara yang selalu berlaku pada kanak-kanak. Ia merupakan petanda bahawa wujudnya jangkitan kuman dalam badan. Demam pada kanak-kanak merupakan cara badan melawan jangkitan kuman dan suhu badan akan kembali normal setelah jangkitan kuman tersebut sembuh

Rawatan demam bukan bermaksud hilangkan demam daripada badan dengan menggunakan ubat demam. Tetapi adalah dengan cara memberi keselesaan pada kanak-kanak serta memerhatikan tanda-tanda berbahaya pada kanak-kanak.

Perkara penting yang perlu diketahui

Di dalam cara rawatan kanak-kanak yang demam, isu utama adalah untuk melihat sama ada kanak-kanak tersebut mempunyai jangkitan kuman yang berbahaya ataupun tidak berbanding dengan pemberian ubat demam yang hanya semata-mata untuk menurunkan suhu.

Ini akan memastikan ibubapa yang tidak mempunyai ilmu perubatan mampu bertindak dengan sepatutnya dan mengganggap demam itu adalah salah satu mekanisma badan melawan jangkitan kuman.

Beberapa isi utama yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat

  1. Ubat demam tidak perlu diberikan secara rutin untuk menurunkan suhu kanak-kanak yang demam tetapi sangat sihat
  2. Ubat demam tidak akan mengelakkan seseorang kanak-kanak daripada mengalami sawan tarik ketika demam
  3. Tepid Sponging(Lap anak dengan air) tidak direkomen dalam rawatan demam
  4. Kanak-kanak yang demam boleh berpakaian seperti biasa. Tidak dibalut dengan sebegitu tebal ataupun dibuka baju dan seluarnya.
  5. Penggunaan ubat demam hanya diperlukan pada kanak-kanak yang kelihatan tidak selesa dan tidak sehat sahaja.

2 mitos perubatan ketika demam

Untuk membina rasa keyakinan kepada ibubapa dalam merawat kanak-kanak yang sedang demam, 2 mitos ini perlu dihapuskan dalam masyarakat

  • Jika demam terlalu tinggi, kematian pasti akan berlaku
  • Sawan tarik akan berlaku jika demam terlampau tinggi

Apakah itu demam?

Demam adalah apabila suhu badan melebihi 38 darjah celcius. Suhu normal kanak-kanak selalunya kurang daripada 38 darjah celcius. Suhu yang tinggi tidak semestinya menunjukkan keadaan seseorang kanak-kanak itu dalam bahaya. Kebanyakkan demam pada kanak-kanak selalunya tidak merbahaya dan ia sebenarnya membantu menguatkan imun sistem badan.

Demam selalunya disebabkan jangkitan virus dan jarang disebabkan jangkitan bakteria. Demam yang disebabkan jangkitan virus tidak memerlukan pengambilan antibiotik ini kerana antibiotik tidak akan membunuh virus. Hanya jangkitan kuman yang disebabkan bakteria sahaja yang dirawat menggunakan antibiotik

Bagaimana demam melawan Jangkitan kuman

Ada beberapa cara demam dapat melawan jangkitan kuman dan ia telah terbukti dengan kajian

  1. Apabila suhu meningkat, Kuman yang berada di dalam badan susah untuk membiak dan membahagi. Ini akan menyebabkan sistem imun badan mampu melawan jangkitan kuman tersebut dalam jumlah yang terkawal
  2. Peningkatan suhu juga akan menyebabkan kenaikkan dalam sel darah putih yang berfungsi untuk melawan jangkitan kuman tersebut.

Secara kesimpulannya demam adalah mekanisma badan untuk melawan penyakit. Kita perlu kawal simptom tersebut bukan hilangkannya secara keseluruhan.

Jika anda berminat untuk membeli termometer untuk menyukat suhu badan, boleh tekan butang LIHAT dibawah.

Rawatan demam pada kanak-kanak

Tiada kelebihan dalam menurunkan suhu badan seseorang kanak-kanak kecuali untuk memberi keselesaan padanya. Rawat anak anda dengan memberi keselesaan padanya. Beri air yang mencukupi dan juga ubat demam jika anak anda sudah merasa tidak selesa.

Rawatan di rumah
Rawat anak dirumah supaya mereka merasa lebih selesa

  • Menggunakan baju yang tidak terlalu tebal ataupun nipis
  • Pemberian air minum yang kerap. Jika kanak-kanak masih menyusu badan, tingkatkan kekerapannya
  • Tidak terlampau risau jika anak kurang makan ketika ini. Yang penting minum air selalu
  • Sentiasa memerhatikan anak pada waktu malam
  • Mengelakkan hantar anak di nurseri ketika demam
  • Jika keadaan anak menjadi lebih teruk, sila hantar ke hospital ataupun klinik
  • Penggunaan ubat demam hanya perlu pada kanak-kanak yang kelihatan tidak selesa ataupun tidak sihat

Tentang Paracetamol

  • Paracetamol juga dikenali dengan nama brand yang lain seperti panadol
  • Jika anak anda kelihatan gembira, aktif dan makan pun seperti biasa, penggunaan ubat paracetamol tidak diperlukan
  • Jika kanak-kanak kelihatan tidak selesa, tidak aktif, mengadu sakit tekak, penggunaan paracetamol diperbolehkan
  • Paracetamol mungkin tidak menghilangkan demam tersebut, tetapi ia membuatkan kanak-kanak tersebut lebih selesa
  • Penggunaan paracetamol perlulah berdasarkan dose yang sesuai seperti yang ditulis pada botol ataupun mengikut berat kanak-kanak tersebut

Kenapa Lap badan tidak disyorkan kepada kanak-kanak yang sedang demam?

Amalan lap badan ketika demam sudah pun diamalkan oleh masyarakat kita sekian lama. Perkara ini bukan sahaja dilakukan oleh masyarakat kita, malah masyarakat seluruh dunia pun melakukan hal yang sama. Tetapi kajian terbaru menunjukkan beberapa perkara yang kita perlu perhalusi daripada segi keberkesanannya dan juga keselesaan kanak-kanak tersebut

Didapati daripada kajian sebelum ini menunjukkan penggunaan lap badan(tepid sponging) tidak membantu menurunkan suhu badan secara berkesan. Malah ia juga menyebabkan kanak-kanak berasa tidak selesa. Disebabkan perkara tersebut, garis panduan yang dikeluarkan oleh NICE(National Institute For Health and Clinical Excellence) menasihatkan untuk tidak mengamalkan perkara tersebut.

Ini bukan bermaksud, anda haram untuk melakukan amalan untuk mengelap badan kanak-kanak ketika demam. Tetapi ia membawa kefahamam yang amalan tersebut tidak membantu dalam menurunkan suhu badan secara berkesan dan juga ia menambah ketidakselesaan kepada kanak-kanak tersebut.

Bila perlu dibawa berjumpa dengan doktor?

Jumpa doktor jika anak anda mempunyai simptom-simptom tersebut

  • mengadu sakit leher dan sakit mata yang teruk
  • muntah-muntah
  • kurang sangat minum air
  • timbulnya ruam
  • Asyik tidur lebih daripada biasa
  • Sakit Perut
  • Pernafasan yang tidak normal(terlampau laju atau terlampau lambat bernafas)
  • Kanak-kanak tersebut seperti dalam kesakitan
  • Kanak-kanak yang berumur kurang daripada 3 bulan
  • Demam yang melebihi 3 hari

Perkara ini perlulah ibubapa ketahui kerana ia mungkin tanda kepada penyakit yang lebih teruk seperti demam denggi, meningitis(jangkitan kuman selaput otak), kencing tikus dan sebagainya

Secara kesimpulannya

1) Demam adalah salah satu mekanisma badan melawan jangkitan kuman
2) Pentingnya memberikan keselesaan pada kanak-kanak serta melihat simptom yang merbahaya ketika demam.
3) Kanak-kanak yang aktif, mempunyai selera yang biasa dan tidak nampak sakit, mereka tidak memerlukan ubat demam
4) Hanya kanak-kanak yang kelihatan tidak sehat dan tidak selesa sahaja memerlukan ubat demam
5) Penggunaan ubat demam tidak akan mengelakkan anak anda daripada mengalami sawan tarik ketika demam

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami e-Diagnosa

Rujukan:

  1. NICE guideline. Feverish illness in young children
    https://www.nice.org.uk/guidance/cg160/chapter/1-Recommendations#antipyretic-interventions-2
  2. Rosenbloom E, Finkelstein Y, Adams-Webber T, Kozer E.Do antipyretics prevent the recurrence of febrile seizures in children? A systematic review of randomized controlled trials and meta-analysis. Eur J Paediatr Neurol. 2013 Nov;17(6):585-8. doi: 10.1016/j.ejpn.2013.04.008.
  3. Thomas S, Vijaykumar C, Naik R, Moses PD, Antonisamy B.Comparative effectiveness of tepid sponging and antipyretic drug versus only antipyretic drug in the management of fever among children: a randomized controlled trial. Indian Pediatr. 2009 Feb;46(2):133-6.
  4. Agbolosu NB, Cuevas LE, Milligan P, Broadhead RL, Brewster D, Graham SM. Efficacy of tepid sponging versus paracetamol in reducing temperature in febrile children.Ann Trop Paediatr. 1997 Sep;17(3):283-8.
  5. Featured image daripada healththoroughfare.com

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa