Ramai dikalangan rakyat Malaysia tidak mengetahui cara untuk mengelakkan dan juga cara untuk merawat batu karang dengan mengawal permakanan. Maka, pesakit mungkin akan datang semula disebabkan serangan batu karangan yang berulang.

Disini kami ingin menyenaraikan beberapa cara permakanan yang betul untuk mengelakkan dan merawat masalah batu karang

1. Minum air banyak

Salah satu penyebab kepada pembentukan batu karang adalah kencing yang pekat disebabkan kurangnya minum air. Apabila kencing pekat, kompaun di dalam air kencing boleh mendekati satu sama lain dan membentuk batu karang.

Minuman seperti kopi, teh dan jus buah masih dibolehkan untuk orang yang mempunyai masalah batu karang. Tetapi minuman yang mempunyai tomato, anggur dan kranberi perlu dielakkan. Ini kerana tomato mempunyai unsur natrium yang tinggi. Ia akan menyebabkan lebih banyak kalsium yang disingkirkan ke dalam air kencing menyebabkan batu karang jenis kalsium mudah terbentuk.

Manakala anggur dan kranberi pula mempunyai kandungan kompaun oxalate yang tinggi. Kompaun oxalate merupakan salah satu kompaun yang menjadi penyebab kepada terhasilnya batu karang

Minuman air berkarbonat juga merupakan salah satu penyebab kepada batu karang terutamanya minuman cola. Kerana kebanyakkan air cola mengandungi asik fosforik yang merupakan punca kepada pembentukan batu karang.

2. Ambil makanan yang mengandungi asid sitrik yang tinggi seperti limau

Pengambilan jus buah mengelakkan pembentukan batu karang bukan sahaja kerana disebabkan ia meningkatkan jumlah air kencing yang terhasil. Ia juga disebabkan jus buah mengandungi potassium dan asid sitrik yang tinggi.

Ia mempunyai 2 mekanisma yang menghalang pembentukan batu karang.

  1. Ia bergabung dengan kalsium di dalam air kencing dan menyebabkan air kencing tidak pekat dengan kalsium
  2. Ia juga bergabung dengan kalsium oxalate yang merupakan punca kepada penghasilan batu karang. Apabila citrate bergabung dengan kalsium oxalate, ia mengelakkan kompaun tersebut menjadi batu karang.

Kajian menunjukkan mereka yang mempunyai kandungan citrate yang rendah di dalam air kencing, mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghidapi batu karang.

Pengambilan makanan yang mempunyai asid sitrik yang tinggi seperti limau boleh mengelakkan pembentukan batu karang

3. Makan makanan yang mengandungi kalsium

Ramai yang menganggap pengambilan kalsium akan menyebabkan terhasilnya batu karang kerana majoriti batu karang yang terhasil mengandungi kalsium. Tetapi kajian menunjukkan mereka yang mengambil kalsium yang rendah di dalam dietnya mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi masalah batu karang berbanding yang mengambil kalsium.

Ini disebabkan diet yang kurang kalsium akan menyebabkan kompaun oxalate lebih senang diserap di dalam usus. Kompaun oxalate yang tinggi ini kemudiannya akan disingkar melalui buah pinggang dan disitulah batu karang akan terbentuk disebabkan kehadiran kompaun oxalate ini. Kehadiran kalsium di dalam diet permakanan pula akan menyebabkan dua kompaun ini bergabung dan tidak diserap oleh usus.

Makanan yang mengandungi kalsium adalah lebih digalakkan berbanding pengambilan supplement. Ini kerana kajian menunjukkan pengambilan supplement kalsium mempunyai risiko untuk menghidapi penyakit batu karang berbanding yang berasaskan diet permakanan sahaja.

Makanan yang mengandungi kalsium adalah seperti makanan yang berasaskan tenusu seperti susu dan keju. Selain daripada itu, susu soya, tofu, sardine dan almond juga mempunyai kandungan kalsium yang sesuai untuk kita.

4. Ambil secara berpatutan makanan yang mengandungi oxalate

Makanan yang mempunyai oxalate yang tinggi selalunya makanan yang dikategorikan sebagai makanan yang bagus untuk jantung seperti bayam, bijirin, ubi dan sebagainya. Pengambilannya masih diperbolehkan tetapi haruslah diambil secara berpada-pada.

5. Kurangkan sedikit pengambilan Vitamin C dan lebihkan pengambilan vitamin B6

Pengambilan vitamin C pada dos yang tinggi akan meningkatkan kompaun oxalate di dalam air kencing. Ini kerana penguraian akhir Vitamin C di dalam badan akan menghasilkan kompaun oxalate. Jadi ia boleh menyebabkan pembentukan batu karang. Oleh itu, Vitamin C tidak perlu diambil secara berlebihan

Vitamin B6(pyridoxine) pula menyebabkan kurangnya penghasilan oxalate di dalam badan. Jadi akan kurang oxalate di dalam air kencing dan mengurangkan risiko untuk terhasilnya batu karang.

Beberapa makanan yang mempunyai makanan yang tinggi dengan Vitamin B6 adalah pisang, avocado, soya, mangga dan oat.

6. Ambil minyak ikan

Minyak ikan yang mengandungi lemak omega 3 yang tinggi dikatakan boleh mengelakkan batu karang kerana ia mengurangkan pengkumuhan kalsium melalui buah pinggang malah meningkatkan kandungan citrate di dalam air kencing. Kedua-dua perkara ini akan mengelakkan daripada terjadinya batu karang

Manakala pengambilan lemak haiwan dan juga minyak yang mengandungi omega 6 yang tinggi dikatakan meningkatkan risiko untuk menghidapi penyakit batu karang

Ikan yang mengandungi lemak omega 3 yang tinggi dan bagus untuk mengelakkan pembentukan batu karang adalah ikan salmon, tuna, mackerel dan juga sardin.

Tetapi bagi yang mempunyai gout, makanan yang berasaskan makanan laut perlu dielakkan untuk mengurangkan serangan gout.

Bacaan sepenuhnya: Batu Karang(Punca dan cara rawatan)

Rujukan:

Gul, Z., & Monga, M. (2014). Medical and Dietary Therapy for Kidney Stone Prevention. Korean Journal of Urology, 55(12), 775–779. http://doi.org/10.4111/kju.2014.55.12.775

Sumber featured image: bbcgoodfood.com

Categories: Permakanan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *