Kebanyakan kaum wanita mempunyai masalah seperti senggugut yang teruk dan juga ketidaksuburan. Penyakit endometriosis mungkin menjadi salah satu penyebab kepada perkara tersebut. Majoriti daripadanya tidak mempedulikan perkara tersebut sehinggalah ia benar-benar mengganggu kehidupan.

Pesakit ini selalunya akan mempunyai sakit yang berulang-ulang setiap bulan terutamanya ketika sebelum datangnya haid. Bahkan pesakit juga mungkin akan mengalam sindrom pra-haid(Premenstrual syndrome/PMS) yang teruk

Istilah perubatan

Dinding Endometrial: Dinding ataupun lapisan yang menyelaputi bahagian dalam rahim. Ia akan menebal berserta dengan saluran darah untuk menyediakan tempat yang sesuai pagi penempelan embrio iaitu hasil persenyawaan sperma dan ovum.
Endometriosis: Penyakit yang melibatkan kehadiran sel dinding endometrial pada tempat lain.

Apakah itu Endometriosis

Endometriosis merupakan salah satu keadaan dimana sel yang selalu menghasilkan darah haid berada di luar rahim. Sel tersebut dipanggil sebagai sel endometrium. Lokasi sebenar sel tersebut sepatutnya berada di dalam rahim. Sel ini akan membahagi dan menjadi tebal di dalam dinding bahagian dalam rahim.

Ia berfungsi untuk menyediakan tempat yang sesuai supaya hasil persenyawaan ovum dan sperma dapat menempel pada dinding rahim.

Jika tiada penempelan berlaku, maka dinding rahim itu akan runtuh lalu terhasil lah darah haid. Kemudian kitaran haid akan bermula semula.

Di dalam endometriosis pula, sel endometrium tersebut berada di luar rahim sebagai contoh pada ovari, pada belakang rahim, pada tiup fallopia dan banyak lagi. Keadaan ini akan menyebabkan sel-sel tersebut pun ‘datang bulan’ ketika mana seseorang perempuan itu sedang ‘haid’.

Lebih kurang 30-40% wanita yang mengalami endometriosis susah untuk mengandung

Darah haid yang terbentuk di tempat-tempat yang lain itu boleh terkumpul dan membentuk sista(cyst) iaitu ruang kantung yang dipenuhi dengan darah haid. Ia dipanggil sebagai Endometrioma ataupun chocolate cyst.

Punca endometriosis

Terdepat beberapa teori yang menceritakan bagaimana endometriosis itu berlaku:

  • ‘Retrograde Menstruation‘: Dalam teori ini ia menyatakan bahawa darah period terlalu banyak hingga menyebabkan sel endometrium yang runtuh naik ke dalam tiub fallopia dan keluar ke bahagian abdomen. Disamping itu, adanya kajian yang menunjukkan pesakit endometriosis menghasilkan darah haid yang banyak jika dibandingkan dengan orang biasa. Sel endometrium daripada darah haid inilah yang dikatakan berubah menjadi penyakit endometriosis di dalam pelvis.
  • Coelomic metaplasia‘: Dalam teori ini pula ia menyatakan bahawa sel yang berada di dalam pelvis boleh bertukar dengan sendirinya kepada sel endometrium
  • Ada beberapa teori lagi yang kompleks. Tetapi cukuplah kita ketahui perkara ini dahulu

Bagaimana endometriosis menyebabkan ketidaksuburan?

Ketika mana datang bulan, sel-sel tersebut juga akan period. Ini menyebabkan kawasan yang terlibat mempunyai keradangan(inflammation). Keradangan yang kronik akan mengganggu struktur dan fungsi organ di dalam kawasan pelvis. Ia akan menyebabkan organ peranakan di dalam pelvis melekat diantara satu sama lain.

Ada beberapa penjelasan mengapa endometriosis menyebabkan ketidaksuburan:

  • Kesan toksik disebabkan keradangan kawasan yang mengalami endometriosis. Ketika berlakunya keradangan, bahan seperti cytokine dihasilkan dikawasan tersebut. Kompaun cytokine ini adalah kompaun yang juga menyebabkan keradangan. Ia akan mengganggu fungsi organ peranakan dikawasan tersebut dan menyebabkan ketidak suburan
  • Cytokine yang tinggi mengganggu fungsi ovary dalam penghasilan folikel(Ovum)
  • Keradangan kronik juga menyebabkan struktur dan lokasi organ peranakan seperti rahim, ovari dan tiub fallopian berubah. Perubahan pada struktur tiub fallopio boleh menyebabkan sumbatan pada tiub tersebut. Ini menyebabkan sperma tidak boleh bersenyawa di dalam ovari

Simptom dan tanda tanda endomteriosis

Disebabkan ia berpunca daripada sel endometrium yang menyebabkan haid berlaku, selalunya pesakit akan mengadu sakit bahagian abdomen dan belakang ketika datangnya haid.

Disamping itu pesakit juga akan mengadu:

  • Sakit ketika melakukan hubungan bersama suami
  • Sakit belakang
  • Sakit ketika buang air kecil dan air besar
  • Pendarahan yang tidak normal
  • Sakit bahagian bawah abdomen
  • Perkara ini selalunya menjadi semakin teruk ketika mana datang haid.

Diagnosa diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa-diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama seperti endometriosis. Ianya adalah

Penyiasatan

1. Pengimejan

Penggunaan mesin ultrasound, CT-scan dan Magnetic Resonance Imaging(MRI) hanya berguna pada kes yang telah teruk. Ini kerana mereka hanya mampu melihat perlekatan diantara organ bahagian pelvik disebabkan endometriosis tersebut. Ia tidak mampu memeriksa mengesahkan kehadiran endometriosis yang kecil.

2. Pembedahan

Bedah dan lihat merupakan satu cara untuk benar-benar mengesahkan kehadiran penyakit endometriosis. Tetapi pembedahan hanya akan dilakukan jika risau akan kewujudan penyakit lain seperti kandungan di luar rahim, appendicitis dan beberapa penyakit lain.

Sebagai contoh pembedahan dijalankan untuk rawat penyakit appendicitis, tetapi terjumpa endometriosis. Ketika pembedahan, organ ataupun tempat yang terlibat dengan endometriosis akan kelihatan seperti serbuk yang berwarna biru kehitaman.

Rawatan

Rawatan boleh dibahagikan kepada rawatan menggunakan ubat-ubatan dan juga pembedahan

1. Ubat-ubatan

Ubat yang selalu digunakan adalah bertujuan menghentikan haid. Ini kerana apabila haid tiada, maka sel endometrium pun tidak akan menghasilkan darah haid dan simptom endomteriosis pun tiada.

Bagi wanita yang masih muda, sudah tentu menginginkan cahaya mata. Rawatan yang selalu diberikan adalah ubat yang menghentikan haid selama 6 bulan. Ini bertujuan agar sakit tersebut dapat dielakkan dan organ di dalam pelvis diberi masa untuk sembuh. Selepas 6 bulan, pasangan boleh mula merancang. Selalunya pesakit akan mempunyai kesan sampingan dimana simptomnya sama seperti orang yang berhenti haid seperti selalu merasa panas, emosi yang terganggu dan beberapa simptom yang lain

Ubat yang terbaru diberikan daripada hospital kerajaan ialah ‘Dienogest’. Iaitu bertindak seperti hormon progesterone dan ia mampu mengurangkan penebalan sel endomterium di dalam masalah endometriosis. Penggunaan ubat ini tidak akan memberhentikan haid. Kajian menunjukkan penggunaan ubat ini mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding ubatan yang menghentikan haid.

2. Pembedahan

Sesetengah keadaan ini memerlukan pembedahan. Terutamanya jika ia melibatkan gangguan pada strukur organ peranakan ataupun mempunyai endometriosis yang telah membentuk sista(cyst) yang besar.
Jika struktur organ peranakan berubah, pembedahan untuk membetulkan struktur tersebut akan meningkatkan kebarangkalian supaya wanita tersebut mengandung

Rujukan:

  1. Buchweitz O, Poel T, Diedrich K, Malik E. The diagnostic dilemma of minimal and mild endometriosis under routine conditions. J Am Assoc Gynecol Laparosc. 2003 Feb. 10(1):85-9.
  2. Mounsey AL, Wilgus A, Slawson DC. Diagnosis and management of endometriosis. Am Fam Physician. 2006 Aug 15. 74(4):594-600
  3. Kennedy S, Bergqvist A, Chapron C, D’Hooghe T, Dunselman G, Greb R, et al. ESHRE guideline for the diagnosis and treatment of endometriosis. Hum Reprod. 2005 Oct. 20(10):2698-704
  4. Matthew Latham Macer, M.D. and Hugh S. Taylor, M.D.Endometriosis and Infertility: A review of the pathogenesis and treatment of endometriosis-associated infertility. Obstet Gynecol Clin North Am. 2012 Dec; 39(4): 535–549.
    doi: 10.1016/j.ogc.2012.10.002
  5. Sumber featured image: lipstiq.com

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *