Penyakti Gastrik ataupun istilah yang lebih tepat adalah gastritis merupakan salah satu penyakit yang selalu berlaku di dalam masyarakat. Ia sering berlaku sehingga jabatan kecemasan selalu dilawati oleh pesakit yang mengalami masalah ini.

Kami ingin menerangkan sedikit sebanyak berkenaan penyakit ini.

1.  Istilah perubatan

Gastritis: Keradangan yang berlaku pada dinding yang meliputi saluran dalam perut
Gastrik: Organ perut
Akut: Keadaan yang berlaku dengan cepat
kronik: Keadaan yang sudah lama berlaku
Patofisiologi:Bermaksud bagaimanakah proses satu-satu penyakit itu terjadi
Enzim: sejenis protein yang membantu dalam mempercepatkan reaksi kimia

Tambahan: Umum mengetahui sakit perut disebabkan asid selalunya dipanggil sebagai gastrik. Tetapi istilah tersebut adalah salah kerana perkataan gastrik merujuk kepada organ perut dan bukan kepada sakit tersebut. Istilah yang tepat adalah gastritis.

2. Pengenalan Masalah gastrik

Gastritis adalah penyakit yang melibatkan keradangan kepada dinding bahagian dalam perut. Ia mungkin berlaku secara tiba-tiba(acute) ataupun dalam jangkamasa yang lama(Chronic).

Dalam penyakit ini, ia mempunyai pelbagai punca seperti jangkitan bakteria H. pylori, penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDs , pengambilan alkohol dan banyak lagi

3. Patofisiologi

Penyakit gastritis mempunyai pelbagai punca. Disini kami akan terangkan 2 jenis punca dan bagaimana ia menyebabkan penyakit gastritis

3.1 Penggunaan ubat tahan sakit jenis non steroidal anti-inflammatory drugs(NSAIDs).

Dalam penggunaan ubat tahan sakit ini, ia secara spesifik mengurangkan rasa sakit pada satu-satu tempat dengan cara mengurangkan penghasilan kompaun yang bernama prostaglandin.

Ketika seseorang mengalami luka, sel darah putih akan pergi ke tempat luka tersebut untuk melawan kuman yang ingin masuk ke dalam badan. Salah satu kompaun yang dihasilkan adalah prostaglandin. Prostaglandin ini digunakan untuk memanggil lebih banyak sel darah putih ke tempat luka tersebut dan akhirnya ia menyebabkan keradangan(inflammation) di tempat luka itu.

Kompaun prostaglandin juga akan dikesan oleh reseptor sakit dan maklumat tersebut akan dihantar ke otak. Inilah  salah satu mekanisma yang akan menyebabkan perasaaan sakit pada tempat tersebut

Oleh itu, salah satu cara untuk mengurangkan rasa sakit adalah dengan pemberian ubat NSAIDs kerana ia boleh merencatkan penghasilan prostaglandin yang berfungsi untuk memberi rasa sakit. Malah ia juga berkebolehan mengurangkan keradangan pada tempat tersebut

Fungsi lain prostglandin dalam badan pula adalah untuk membantu mekanisma perlindungan dinding perut. Ia akan meningkatkan penghasilan bendalir(Mukus) yang melapisi dinding dalam perut dan melindunginya daripada keasidan.

Apabila seseorang itu mengambil ubat tahan sakit jenis NSAIDs secara kronik, ia akan mengurangkan penghasilan mukus dan menyebabkan dinding perutnya tidak lagi dilindungi. Asid akan mula menghakis dinding perut dan menyebabkan luka pada dinding perut

3.2 Jangkitan Helicobacter pylori

Jangkitan kuman Helicobacter pylori juga merupakan salah satu penyebab gastritis. Bakteria ini berbentuk seperti ‘cockscrew’ iaitu seperti pembuka gabus botol minuman. Ia juga mempunyai ‘flagella’ iaitu struktur yang berbentuk seperti bulu dan boleh bergerak. Ia berfungsi untuk pergerakkan. Kajian menunjukkan ia boleh dijumpai 20% pada individu yang berumur 40 tahun dan 50% pada individu yang berumur 60 tahun.

Jangkitan ini berlaku mungkin daripada pengambilan makanan yang tercemar dengan H. pylori

Kebanyakan H. Pylori tidak menyebabkan simptom pada awalnya. Bakteria ini akan berenang memasuki bendalir yang melindungi dinding perut dan melekat pada dinding perut itu. Ia akan menghasilkan enzim ‘urease’ yang akan menukarkan kompaun urea kepada ammonia yang bersifat alkali dan juga karbon dioksida. Kompaun ammonia ini akan meneutralkan asid di dalam perut dan jesteru itu memberi perlindungan kepada bakteria H. pylori.

Yang menyebabkan keradangan pada perut adalah kompaun yang dihasilkan oleh H. pylori. Ia melekat pada dinding perut dan menghasilkan pelbagai bahan kimia yang menyebabkan dinding perut menjadi keradangan(inflammation).

Apabila dinding perut meradang, ia juga akan mengganggu fungsi sel kalenjar yang menghasilkan mukus untuk melindungi dinding perut. Ini akan menyebabkan keadaan bertambah teruk. Di mana, dinding perut tidak lagi boleh melindungi daripada keasidan perut, menyebabkan asid menghakis dinding perut dan pesakit akan mengalami simptom gastritis

Bakteria H. Pylori dibawah microskop elektron. Lihat struktur bulu halus iaitu ‘flagella’. Ia digunakan untuk pergerakkan

4. Punca Masalah Gastritik

Ini merupakan beberapa punca kepada masalah gastritis

  • Ubat jenis NSAIDs seperti aspirin, ibuprofen, voltaren, ponstan dan beberapa lagi
  • Jangkitan kuman sepert H. pylori
  • Pengambilan alcohol
  • Radiasi
  • Alahan kepada makanan
  • Keracunan makanan
  • Merokok
  • Pengambilan rokok yang mengandungi nikotin juga akan menyebabkan pertambahan asid di dalam perut dan membawa kepada masalah gastrik

5. Simptom

Beberapa simptom masalah gastrik adalah:

  • Sakit pada bahagian ulu hati
  • Perut kembung
  • Selalu sendawa
  • Berak berdarah (Jika pendarahan berlaku di dalam perut)

6. Tanda tanda penyakit gastrik

  • Sakit apabila ditekan pada bahagian ulu hati
  • Jika masalah gastrik itu teruk sehingga mana menyebabkan perut dinding bocor, selalunya pesakit akan mengadu sakit pada keseluruhan perut. Dan apabila ditekan pada bahagian perut, pesakit akan cuba mengelak disebabkan sakit yang terlampau

7. Diagnosis lain(differential diagnosis)

Beberapa jenis penyakit yang lain tetapi mempunyai simptom yang sama:

8. Penyiasatan

8.1 Prosedur

Di Malaysia, prosedur yang selalu dibuat untuk melihat penyakit gastritis adalah dengan memasukkan kamera ke dalam perut dan ia dikenali sebagai Oesophagogastroduodeno scopy (OGDS).

Dengan menggunakan kamera ini, keadaan di dalam perut dapat dilihat.

Pesakit yang mengalami gastritis mempunyai dinding perut yang bengkak dan kemerah-merahan disebabkan keradangan pada dinding perut. Ulser dan pendarahan juga boleh dilihat jika kondisi penyakit gastritis itu teruk.

Selain itu, daripada OGDS ini juga kita boleh lihat beberapa perkara lain seperti cacing parisit, mempunyai ketumbuhan dan beberapa fungsi yang lain.

Darah beku yang dilihat di atas ulcer dalam bahagian perut

8.2 Siasatan untuk periksa kehadiran H. pylori

Ada dua cara untuk memeriksa kehadiran H. pylori

1) Ketika prosedur OGDS dilakukan, sampel dinding perut juga akan diambil dan diletakkan di dalam satu alat khas. Jika bakteria H. pylori hadir, ia akan menguraikan urea pada alat tersebut dan menyebabkan penukaran warna pada alat tersebut. Ujian ini adalah ujian yang selalu dilakukan

2) Urea breath test. Dalam ujian ini, pesakit akan diminta mengambil bahan urea yang telah dilabel dengan carbon-13 dan carbon-14. Bakteria H. pylori dalam perut akan menguraikan urea tersebut kepada ammonia dan karbon dioksida. Kehadiran carbon-13 dan carbon-14 pada karbon dioksida tersebut akan dikesan melalui sesuatu alat.

Jika bacaan carbon 13 ataupun 14 itu tinggi, bermaksud terdapat jangkitan H. pylori di dalam perut

8.3 Siasatan lain:
– Full blood count: ujian ini dapat menunjukkan bilangan sel darah merah dalam badan. Ia akan mengesan sama ada pesakit anemia iaitu kurang sel darah merah ataupun tidak

9. Rawatan

Rawatan yang paling asas adalah menghentikan dahulu penggunaan ubat tahan sakit jenis NSAIDs dan ditukarkan kepada jenis ubat tahan sakit yang lain jika perlu lagi

9.1 Ubat-ubatan:

  • Antasid: iaitu ubat yang mempunyai sifat alkali berfungsi untuk meneutralkan asid di dalam perut. Jika anda sakit perut disebabkan gastritis, maka pengambilan ubat ini akan menghilangkan sakit perut itu dengan sekejap.
    Ia terdiri daripada magnesium tricylicate, aluminium hydroxide daan beberap jenis lagi
  • H2 blocker: Histamine merupakan salah satu kompaun penting untuk mengawal rembesan asid dalam perut. Ia secara spesifik dikesan oleh Histamine 2 reseptor. Histamine(H2) blocker pula berfungsi untuk mengelakkan histamin daripada melekat kepada reseptor tersebut dan menyebabkan rembesan asid ke dalam perut semakin berkurang. Contoh H2 blocker adalah seperti ranitidine dan cimetidine
  • Proton pump inhibitor: yang menyebabkan keadaan asid didalam perut adalah kerana wujudnya satu pam ini iaitu ‘proton pump’ dimana fungsinya memasukkan ion hydrogen(proton) ke dalam bahagian perut. Apabila, kepekatan ion hydrogen di dalam perut bertambah, maka keasidannya pun bertambah. Ubat proton pump inhibitor ini akan merencat fungsi pam tersebut dan menyebabkan keasidan dalam perut berkurangan. Contoh ubat adalah seperti omeprazol, pantoprazole dan banyak lagi
  • Antibiotik: untuk merawat jangkitan H. pylori pula perlunya antibiotik. Selalunya di kita akan memberi kombinasi 3 jenis ubat iaitu 1) Proton pump inhibitor seperti omeprazole. 2) Antibiotik: Clarithromycin 3) Antibiotik: Amoxicillin

9.2 Diet
Berita baik di mana ada jenis makanan yang boleh sedikit sebanyak merawat penyakit gastritis. 2 makanan yang spesifik adalah brocolli dan juga yogurt.

Broccoli

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal ‘Cancer Prevention Research‘ pada 2009 telah menunjukkan kandungan di dalam broccoli iaitu Glucoraphanin(yang akan menghasilkan Sulforaphane) mampu membunuh H. pylori di dalam perut. Kajian ini melibatkan 50 peserta yang mempunyai masalah jangkitan H. pylori dan keradangan di dalam perut.

Keputusan kajian menunjukkan bahawa pengambilan broccoli mampu mengurangkan keradangan di dalam perut jesteru menunjukkan kebolehannya membunuh bakteria H. pylori.

Yogurt

Kajian berkenaan kegunaan yogurt dalam rawatan gastritis pula dilakukan pada tahun 2006 dan melibatkan 130 peserta positif jangkitan H. pylori yang tidak berkesan apabila diberi antibiotik(antibiotic resistance). Dalam kajian tersebut ia juga disertakan dengan pemberian antibiotik

Keputusan menunjukkan yogurt mampu mengurangkan jangkitan bakteria H. pylori walaupun bakteria tersebut mempunyai kerintangan pada antibiotik.

Makanan lain yang mampu mengurangkan gastritis adalah:

  • Epal
  • Seleri
  • Beri
  • Minyak zaitun
  • Madu

Selain daripada itu, pesakit yang mengalami gastritis juga perlu:

  • Mengambil makanan lebih kerap tetapi dalam kuantiti yang kecil. Ia dapat memberikan masa kepada perut supaya keradangan ataupun luka yang terjadi sebab asid sembuh sepenuhnya
  • Elakkan pengambilan alkohol kerana ia akan menyebabkan keradangan perut menjadi semakin teruk
  • Berhenti merokok. Merokok akan menyebabkan keradangan perut bertambah dan meningkatkan risiko kanser motor, esofagus dan perut
  • Kurangkan stress

Rujukan:

  1. Drepper MD, Spahr L, Frossard JL. Clopidogrel and proton pump inhibitors–where do we stand in 2012?. World J Gastroenterol. 2012 May 14. 18(18):2161-71.
  2. Chey WD, Wong BC. American College of Gastroenterology guideline on the management of Helicobacter pylori infection. Am J Gastroenterol. 2007 Aug. 102(8):1808-25.
  3. Laine L, Curtis SP, Cryer B, Kaur A, Cannon CP. Risk factors for NSAID-associated upper GI clinical events in a long-term prospective study of 34 701 arthritis patients. Aliment Pharmacol Ther. 2010 Nov. 32(10):1240-8.
  4. Andersen LP. Colonization and infection by Helicobacter pylori in humans. Helicobacter. 2007 Nov. 12 Suppl 2:12-5.
  5. Ikenberry SO, Harrison ME, Lichtenstein D, et al. The role of endoscopy in dyspepsia. Gastrointest Endosc. 2007 Dec. 66(6):1071-5.
    kinori Yanaka, Jed W. Fahey, Atsushi Fukumoto, Mari Nakayama, Souta Inoue, Songhua Zhang, Masafumi Tauchi, Hideo Suzuki, Ichinosuke Hyodo and Masayuki Yamamoto. Dietary Sulforaphane-Rich Broccoli Sprouts Reduce Colonization and Attenuate Gastritis in Helicobacter pylori–Infected Mice and Humans. DOI: 10.1158/1940-6207.CAPR-08-01924
  6. Bor-Shyang Sheu, Hsiu-Chi Cheng, Ai-Wen Kao, Shan-Tair Wang, Yao-Jong Yang, Hsiao-Bai Yang, and Jiunn-Jong Wu. Pretreatment with Lactobacillus- and Bifidobacterium-containing yogurt can improve the efficacy of quadruple therapy in eradicating residual Helicobacter pylori infection after failed triple therapy. Am J Clin Nutr April 2006 vol. 83 no. 4 864-869
  7. Sumber featured image : healthsite.com

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa