435Shares

Goiter adalah benjolan pada kalenjar tiroid yang mempunyai pelbagai punca. Ia juga boleh menyebabkan simptom hipertiroid atau hipotiroid. Kebanyakkan goiter bukanlah disebabkan kanser

Tetapi jika terdapat karakter benjolan yang merujuk kepada kanser, rawatan segera perlu dilakukan untuk mengesahkan dan juga pembedahan untuk membuang kalenjar tersebut perlu dilakukan

1. Istilah Perubatan

Goiter: Benjolan pada kalenjar tiroid
Patofisiologi: Bagaimana penyakit tersebut berlaku

2. Pengenalan

Goiter adalah pembengkakan pada kalenjar tiroid. Ia boleh melibatkan satu bahagian tiroid yang membentuk nodul ataupun melibatkan kesuluruhan kalenjar tiroid. Kalenjar tersebut boleh membesar hingga memasuki bahagian rangka dada

Disebabkan kawasan tersebut berdeakatan dengan trakea, esofagus, paru-paru dan sebagainya, ia boleh menyebabkan simptom yang berkaitan dengan himpitan pada struktur-struktur tersebut.

Sebagai contoh jika benjolan tersebut menghimpit saluran esofagus, ia boleh menyebabkan pesakit mengalami masalah untuk menelan makanan

Fungsi tiroid pula mungkin berada dalam keadaan normal(Goiter yang tidak toksik), hipertiroid(Toksik goiter) ataupun hipotiroid

3. Patofisiologi

Terdapat bebarapa cara bagaimana benjolan pada kalenjar tiroid ini terjadi. Ianya adalah seperti

Kekurangan hormon thyroxine yang dihasilkan oleh kalenjar tiroid

Perlu diketahui bahawa penghasilan hormon thyroxine oleh kalenjar tiroid adalah dikawal oleh hormon perangsang tiriod(Thyroid stimulating hormon/TSH) yang dirembeskan oleh kalenjar pituitari. Ketika mana hormon thyroxine kurang dihasilkan, kalenjar pituitari akan menghasilkan lebih banyal hormon perangsang tiroid yang akan merangsang tiriod untuk menghasilkan lebih banyak hormon thyroxine dan juga menyebabkan penghasilan sel tiroid yang lebih banyak.

Disebabkan sel tiroid semakin bertambah, maka saiz kalenjar tiroid pun akan semakin bertambah. Jika keadaan tersebut tidak dirawat, ini akan menyebabkan saiz kalenjar tiroid bertambah dan goiter pun akan terhasil.

Beberapa sebab yang menyebabkan kurangnya penghasilan hormon daripada kalenjar tiroid adalah:

  • Kekurangan unsur iodine di dalam makanan
  • Sintesis hormon tiroid yang bermasalah daripada dalam kandungan
  • Goitrogen: Adalah bahan yang mengganggu penyerapan iodine ke dalam kalenjar tiroid untuk penghasilan hormon thyroxine. Ia boleh menyebabkan berlakunya benjolan pada kalenjar tiroid

Mutasi pada reseptor Hormon Perangsang Tiroid(Thyroid Stimulating Hormone(TSH) pada kalenjar tiroid

Pada sel tiroid terdapat reseptor yang menerima maklumat dan juga dirangsang oleh hormon perangsang tiroid. Tetapi ada jenis goiter yang dimana berlakunya mutasi pada genetik yang menyebabkan reseptor tersebut seolah-olah mengesan hormon perangsang tiroid walaupun hormon tersebut tiada. Ini menyebabkan sel tiroid seolah-olah dirangsang secara berterusan oleh hormon perangsang tiroid.

Perkara itu menyebabkan sel tiroid membahagi dengan lebih banyak hingga menyebabkan tiroid tersebut bengkak. Bukan setakat itu, ia juga akan menghasilkan hormon thyroxine yang lebih dan menyebabkan masalah dan simptom hipertiroid kepada pesakit.

Kurangnya unsur iodin dalam makanan

Terdapat beberapa kawasan di muka bumi terutamanya dikawasan bukit yang mengalami masalah kekurangan unsur iodin dalam makanan. Ini akan menyebabkan kalenjar tiroid menghasilkan lebih banyak hormon perangsang tiroid untuk merangsang kalenjar tiroid bagi menghasilkan lebih banyak hormon thyroxine.

Malangnya untuk menghasilkan hormon thyroxine, unsur iodine diperlukan. Oleh sebab itu, kalenjar pituitari akan berterusan menghasilkan hormon perangsang tiroid yang akan menyebabkan saiz kalenjar tiroid bertambah sehingga mana benjolan pada kalenjar tiroid dikesan.

Kekurangan unsur iodine merupakan penyebab utama masalah goiter di seluruh dunia.

4. Prognosis(Kesudahan)

Goiter yang tidak membesar dan tidak menghasilkan hormon thyoxine yang berlebihan mempunyai prognosis yang bagus kerana ia tidak begitu mendatangkan masalah. Malah rawatannya lebih kepada pantauan sahaja kecuali saiznya terlampau besar hingga menyebabkan simptom yang disebabkan himpitan pada struktur yang bersebelahan

5. Simptom

Terdapat beberapa simptom yang boleh didapati daripada pesakit yang mengalami masalah goiter

  • Bengkak pada bahagian leher
  • Sakit pada bahagian goiter mungkin disebabkan keradangan, kematian sel ataupun perubahan kepada sel kanser
  • Pesakit juga boleh mengalami simptom hipertiroid ataupun hipotiroid bergantung kepada keaktifan goiter tersebut

Terdapat juga simptom-simptom yang lain disebabkan tiroid menghimpit organ yang berhampiran:

  • Susah menelan(dysphagia): Disebabkan himpitan tiroid pada esofagus
  • Susah bernafasa(dyspnea): Disebabkan himpitan tiroid pada trakea
  • Suara jadi serak(Hoarseness): Disebabkan himpitan tiroid pada saraf yang mengawal peti suara

6. Punca Goiter

Beberapa punca dikatakan menjadi penyebab kepada goiter adalah:

  • Kekurangan unsur iodine dalam makanan
  • Hashimoto thyroiditis: Keradangan kalenjar tiroid yang disebabkan sel pertahanan badan menyerang sel tiroid
  • Goitrogens: Bahan yang diambil dan menyebabkan penyerapan unsur iodin berkurangan
  • Ketumbuhan pada kalenjar pituitari yang menyebabkan terhasilnya hormon perangsang tiroid yang banyak dan tidak terkawal
  • Riedel thyroiditis
  • Kanser tiroid

7. Diagnosa-diagnosa lain

Beberapa diagnosa lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama adalah:

  • Kanser tiroid
  • Aneurism arteri karotid
  • Fibroma
  • Lipoma
  • Sarcoma
  • Bisul tiroid
  • Limfoma

8. Penyiasatan

Beberapa siasatan dan pengimejan boleh dibuat untuk mengetahui punca dan juga saiz goiter tersebut:

Sampel darah

Pengambilan sampel darah mampu memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan punca goiter tersebut. Beberapa bacaan tersebut adalah:

  • Hormon perangsang tiroid: Goiter boleh disebabkan penghasilan hormon perangsang tiriod yang banyak
  • Hormon thyroxine: Ini boleh menentukan sama ada goiter tersebut menyebabkan masalah hipertiroid, hipotiroid ataupun normal
  • Antibodi kepada tiroid: Ini dapat menentukan penyakit autoimun seperti Hashimoto thyroditis ataupun penyakit Graves

Ultrasound

Dapat digunakan untuk menentukan saiz goiter dan juga lokasi nodul pada tiroid

Mesin pengimbas CT(Computed Tomography)

Ia boleh melihat saiz goiter dan juga mengesan himpitan kalenjar tiroid pada struktur disekelilingnya. Ini akan memudahkan doktor bedah untuk mengeluarkan kalenjar tiroid tersebut ketika pembedahan dilakukan.

Biopsi

Jika masalah goiter tersebut disyaki disebabkan kanser, biopsi akan dilakukan untuk mengambil sedikit sampel daripada kalenjar tiroid tersebut. Prosedur yang dilakukan selalunya melibatkan penggunaan jarum untuk mengambil sedikit sampel daripada kalenjar tersebut.

Jika keputusan menunjukkan ia kanser, pembedahan akan dilakukan untuk membuang kalenjar tiroid tersebut.

9. Rawatan Goiter

Bagi pesakit yang mempunyai saiz goiter yang kecil serta tidak mempunyai masalah yang lain selalunya tidak perlu kepada apa-apa rawatan. Hanya memerlukan pantaun daripada doktor sahaja. Hanya pesakit yang mempunyai simptom sahaja yang memerlukan rawatan daripada segi ubat mahupun pembedahan

Masalah hipertiroid dan hipotiroid

Bagi pesakit yang mempunyai masalah tersebut, pengambilan ubat adalah diperlukan untuk mengurangkan simptom dan juga komplikasi daripada masalah goiter tersebut.

Bagi pesakit yang hipertiroid, penggunaan ubat carbimazole dan juga propanolol boleh mengurangkan dan merawat simptom kepada masalah tersebut

Bagi pesakit hipotiroid pula, penggunaan ubat levothyroxine boleh menggantikan hormon thyroxine di dalam badan dan seterusnya mengurangkan simptom kepada masalah tersebut.

Bahkan dengan memberikan ubat untuk merawat masalah hipertiroid dan juga hipotiroid, ia juga boleh mungkin mampu mengurangkan saiz benjolan tersebut

Pembedahan

Pembedahan hanya dilakukan jika memenuhi beberapa kriteria sebagai contoh

  • Goiter tersebut menyebabkan himpitan pada struktur berhampirannya hingga menyebabkan simptom seperti sesak nafas, susah menelan, suara menjadi serak dan beberapa simptom yang lain
  • Benjolan tersebut dikhuatiri adalah kanser
  • Apabila rawatan lain tidak boleh membantu. Sebagai contohnya penyakit Graves(menyebabkan simptom hipertiroid) yang tidak boleh dibantu dengan ubat-ubatan

Setelah pembedahan bagi pembuangan kalenjar tiroid dibuang, bacaan thyroxine perlu diambil untuk melihat samada hormon tersebut cukup ataupun tidak. Jika hormon thyroxine rendah, pemberian ubat levothyroxine perlulah diberikan kepada pesakit untuk mengekalkan paras normal bagi hormon thyroxine di dalam badan

Jika anda rasa perkongsian ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa
Bacaan seterusnya: Hipertiroid,  Hipotiroid dan Kalenjar Tiroid

Rujukan:

  1. Tunbridge WM, Evered DC, Hall R, Appleton D, Brewis M, Clark F, et al. The spectrum of thyroid disease in a community: the Wickham survey. Clin Endocrinol (Oxf). 1977 Dec.
  2. Cossu A, Budroni M, Paliogiannis P, et al. Epidemiology of thyroid cancer in an area of epidemic thyroid goiter. J Cancer Epidemiol. 2013. 2013:584768.
  3. Bove A, Di Renzo RM, D’Urbano G, et al. Preoperative risk factors in total thyroidectomy of substernal goiter. Ther Clin Risk Manag. 2016 Nov 28. 12:1805-9.
  4. Arda IS, Yildirim S, Demirhan B, Firat S. Fine needle aspiration biopsy of thyroid nodules. Arch Dis Chil. 2001. 85(4):313-7.
  5. Bardin CW. Endemic goiter. Current Therapy in Endocrinology and Metabolism. 6th ed. Mosby-Year Book; 1997. 101-112.
  6. Becker KL, Bilezikian JP, Bremner WJ. Nontoxic goiter. Principles and Practice of Endocrinology and Metabolism. 2nd ed. Lippincott Williams & Wilkins; 1995. 338-345.
  7. Bostanci I, Sarioglu A, Ergin H, Aksit A, Cinbis M, Akalin N. Neonatal goiter caused by expectorant usage. J Pediatr Endocrinol Metab. 2001 Sep-Oct. 14(8):1161-2
  8. Braverman LE, Utiger RD. Thyroid diseases: nontoxic diffuse and multinodular goiter. Werner and Ingbar, eds. The Thyroid: A Fundamental and Clinical Text. 7th ed. Lippincott-Raven; 1996. 889-900.
Categories: Pembedahan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

1 Comment

Hipertiroid: Simptom, Punca dan Cara Rawatan - TheDiagnosa · February 5, 2018 at 12:21 pm

[…] Goiter: Pembengkakan pada kalenjar tiroid Nodul: Benjolan pada tisu Autoimun: masalah dimana sel pertahanan badan menyerang sel badan sendiri […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *