465Shares

Kekurangan hormon tiroid menyebabkan masalah yang dikenali sebagai hipotiroid. Ia akan menyebabkan beberapa simptom seperti lambat tindak balas ketika melakukan aktiviti fizikal dan mental.

Kekurangan hormon tiroid pada kanak-kanak pula akan menyebabkan perkembangan fizikal dan mental mereka lambat. Malah ia boleh menyebabkan mereka terencat akal. Maka, bayi perlu dirawat dan dipantau oleh doktor seawal usia mereka.

1. Istilah perubatan

Hipotiroid: Penyakit yang disebabkan kekurangan hormon tiroid di dalam badan
Iatrogenic: Penyakit ataupun masalah yang berlaku disebabkan rawatan yang diberikan
Thyroiditis: Keradangan  kalenjar tiroid
Hormon perangsang tiroid = Thyroid stimulating hormon

2. Pengenalan

Hipotiroid adalah masalah endokrin yang selalu berlaku dan ia disebabkan kurangnya penghasilan hormon tiroid. Ia selalunya berlaku kerana kalenjar tiroid tidak dapat menghasilkan hormon tiroid yang secukupnya.

Hormon tiroid terdiri daripada 2 jenis iaitu hormon thyroxine dan juga hormon triiodithyronine. Majoriti hormon yang dihasilkan oleh kalenjar tiroid adalah thyroxine. Oleh kerana itu, jika seseorang itu dikatakan mempunyai kekurangan hormon tiroid, dia akan diberikan oleh doktor ubat yang dinamakan sebagai levothyroxine bagi menggantikan hormon thyroxine di dalam badan.

Kurangnya penghasilan hormon tiroid juga boleh disebabkan perkara yang lain seperti kurangnya hormon perangsang tiroid(thyroid stimulating hormon) yang dihasilkan oleh kalenjar pituitari.

Pembaca perlu tahu bahawa kalenjar tiroid perlu mempunyai rangsangan daripada hormon perangsang tiroid yang dihasilkan oleh kalenjar pituitari pada otak. Selepas itu, barulah kalenjar tiroid dapat menghasilkan hormon thyroxine.

Jika kalenjar pituitari mengalami masalah, hormon perangsang tiroid akan semakin berkurangan dan menyebabkan kalenjar tiroid mengalami kekurangan penghasilan hormon tiroid

Sebagai tambahan, dalam penghasilan hormon thyroxine, unsur iodin di dalam makanan juga diperlukan. Jika unsur tersebut kurang, ia akan menyebabkan masalah hipotiroid kerana hormon thyroxine tidak dapat dihasilkan.

3. Patofisiologi

Terdapat beberapa cara bagaimana hipotiroid terjadi. Ia boleh disebabkan:

  1. Masalah hipotalamus
  2. Masalah kelanjar pituitari
  3. Masalah Tiroid

Hipotalamus merupakan salah satu struktur di dalam otak dan ia mempunyai pelbagai fungsi. Tetapi dalam perkara yang melibatkan kalenjar tiroid ia berfungsi untuk menghasilkan hormon thyrotropin. Hormon ini akan merangsangkan kalenjar pituitari untuk menghasilkan hormon perangsang tiroid. Kemudian barulah kalenjar tiroid akan menghasilkan hormon tiroid iaitu hormon thyroxine

Jika terdapat masalah pada salah satu tahapan tersebut ia akan mengganggu proses penghasilan hormon thyroid. Sebagai contoh jika terdapat ketumbuhan pada bahagian hipotalamus ataupun kalenjar pituitari yang menyebabkan penghasilan hormon thyrotropin ataupun hormon perangsang tiroid terganggu, sudah tentu ia akan menyebabkan penghasilan hormon tiroid juga terganggu dan semakin berkurangan.

4. Punca hipotiroid

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan hipotiroid. Beberapa punca yang berkait dengan masalah tiroid itu sendiri adalah:

  • Keradangan tiroid autoimun
  • Keradangan tiroid selepas bersalin
  • Hipotiroid disebabkan pengambilan ubat
  • Hipotiroid iatrogenic

Keradangan tiroid autoimun(juga dikenali sebagai Hashimoto thyroiditis)

Penyebab utama yang selalu menyebabkan hipotiroid adalah keradangan tiroid autoimun. Dalam masalah ini, sel pertahanan badan sendiri akan mengeluarkan antibodi yang akan menyerang sel tiroid. Ini akan menyebabkan kerosakan kalenjar tiroid hingga mana ia tidak lagi mampu mengeluarkan hormon thyroxine.

Bukan setakat itu, sel darah putih juga akan memasuki tisu tiroid dan cuba menghapus sel tiroid yang ada. Sebab itu penyakit ini juga dipanggil sebagai ‘chronic lymphocytic thyroiditis’. Dimana lymphocytic berasal daripada perkataan lymphocyte iaitu sejenis sel darah putih. Chronic pula bermaksud penyakit yang berlaku dalam jangka masa yang lama dan thyroiditis bermaksud keradangan thyroid.

Ia membawa maksud keradangan tiriod yang disebabkan kemasukan sel lymphocyte(sejenis darah putih) yang akan merosakkan tisu tiroid.

Keradangan tiroid selepas bersalin

Ada beberapa keadaan dimana, wanita yang baru bersalin menghadapi keradangan tiroid seolah-olah seperti masalah ‘Hashimoto Thyroiditis’. Dan selalunya pesakit tersebut sebelum ini mempunyai masalah ‘Diabetes Mellitus Type 1’ iaitu kencing manis jenis 1. Ia merupakan salah satu masalah autoimmune juga.

Hipotiroid yang disebabkan pengambilan ubat

Berikut adalah beberapa jenis ubat yang dikatakan mempunyai potensi penyebab kepada hipotiroid. Ia adalah:

  • Amiodarone
  • Thalidomide
  • Lithium
  • Stavudine
  • Rifampin
  • Phenytoin
  • Carbamazepine
  • Phenobarbital
  • Sulfisoxazole

Radiasi pada leher kerana menjalani rawatan kanser pada bahagian tersebut boleh menyebabkan hipotiroid. Ini kerana ia boleh menyebabkan kematian pada sel dikawasan tersebut.

Kekurangan unsur iodin di dalam makanan

Ada beberapa kawasan terutamanya di kawasan bukti mempunyai masalah kekurangan unsur iodin di dalam makanan. Perlu diketahui bahawa iodin merupakan salah satu unsur yang diperlukan untuk menghasilkan hormon tiroid. Jika unsur tersebut sedikit, maka penghasilan hormon adalah tidak mencukupi dan menyebabkan simptom hipotiroid.

Bagi yang bukan tinggal dibukit selalunya mereka mendapat makanan daripada laut dan sungai yang mempunyai kandungan unsur iodin yang mencukupi.

Genetik

Komponen genetik seseorang juga memainkan peranan penting dalam masalah hipotiroid kerana mereka yang mempunyai penyakit autoimun yang lain juga mempunyai risiko untuk terkena keradangan tiroid autoimun(Hashimoto thyroiditis).

Malah jika ada keluarga yang menghadapi masalah autoimun, ahli keluarga lain juga mempunyai risiko yang tinggi untuk menghadapi masalah yang sama.

Hipotiroid berpusat

Masalah hipotiroid berpusat bermaksud masalah itu berpunca samada daripada struktur hipotalamus ataupun kalenjar pituitari di bahagian otak. Beberapa penyebab yang boleh menyebabkan masalah hipotiroid adalah:

  • Adenoma pituitari: Ia merupakan ketumbuhan pada kalenjar pituitari
  • Tumor otak yang menekan struktur hipotalamus
  • Keradangan pada kalenjar pituitari
  • Sindrom Sheehan : Selalunya berlaku selepas bersalin

Kesemua masalah ini akan mengganggu sama ada penghasilan thyrotropin atau hormon perangsang tiroid yang akan menyebabkan kelenjar tiroid tidak mampu menghasilkan hormon tiroid lagi.

5. Prognosis(Kesudahan masalah hipotiroid)

Hipotiroid yang tidak dirawat boleh menyebabkan penyakit kronik seperti kencing manis, kolesterol tinggi, kegemukkan dan sebagainya. Pada akhirnya, ia boleh menyebabkan masalah metabolik yang serius dan juga kematian.

Masalah hipotiroid pada kanak-kanak yang tidak dirawat pula boleh menyebabkan terencat akal yang kekal. Malah pertumbuhan badan kanak-kanak tersebut juga akan terencat.

Tetapi dengan rawatan, ia mampu mengelakkan perkara-perkara tersebut

6. Simptom dan tanda hipotiroid

Pesakit hipotiroid selalunya mengalami masalah lambat tindak-balas fizikal dan mental. Kadang-kadang pesakit tidak mempunyai masalah tersebut tetapi dapat dilihat simptom-simptom yang lain.

Simptom-simptom bagi hipotiroid adalah:

  • Rasa letih dan tidak bertenaga
  • Bertambah berat badan walaupun tidak banyak makan
  • Kurang selera makan
  • Tidak tahan sejuk
  • Kulit kering
  • Rambut gugur
  • Asyik mengantuk
  • Asyik lupa
  • Sembelit
  • Haid yang terganggu

Jika keadaan hipotiroid terlampau teruk, ia boleh menyebabkan satu keadaan yang dipanggil sebagai ‘Myxedema coma’. Selalunya pesakit ini akan mempunyai

  • Kesedaran mental yang terganggu
  • Konfius
  • Suhu badan yang rendah
  • Degupan jantung yang lambat
  • Saiz jantung yang besar
  • Terdapat cecair di dalam abdomen yang menyebabkan perutnya menjadi busung.

7. Diagnosa-diagnosa yang lain

Terdepat beberapa penyakit yang menunjukkan simptom yang sama iaitu:

  • Anemia
  • Goiter
  • Riedel thyroiditis
  • Thyroid lymphoma
  • Penyakit Addison
  • Hypopituitarism

8. Penyiasatan

Ada beberapa penyiasatan yang boleh dilakukan untuk mengetahui seseorang itu mempunyai masalah hipotiroid beserta penyebabnya.

Hormon thyroxine

Untuk mengetahui seseorang itu mempunyai masalah hipotiroid ataupun tidak, pengambilan hormon thyroxine adalah perlu. Jika hormon tersebut adalah rendah daripada jumlah yang normal, ini bermaksud pesakit mempunyai masalah hipotiroid.

Hormon Perangsang Tiroid(Thyroid stimulating hormon)

Selalunya ketika mana mengambil darah pesakit, 2 ujian ini akan digabungkan sekali iaitu pengambilan darah untuk melihat hormone thyroxine berserta hormon perangsang tiroid. Hormon perangsang tiroid adalah hormon yang dihasilkan oleh kalenjar pituitari.

Ia bertindak untuk merangsang kalenjar tiroid untuk menghasilkan hormon thyroxine.

Penting untuk mengetahui hormon perangsang tiroid ini kerana punca kepada masalah hipotiroid tersebut boleh dikenalpasti.

Jika bacaan hormon perangsang tiroid tinggi dalam pesakit hipotiroid, ini bermakna masalahnya adalah pada kalenjar tiroid itu sendiri. Apabila kalenjar tiroid tidak menghasilkan hormon thyroxine pada kadar yang normal, ini akan memaksa kalenjar pituitari untuk menghasilkan hormon perangsang tiroid dengan lebih banyak untuk menyuruh kelanjar tiroid menghasilkan hormon thyroxine.

Jika bacaan hormon perangsang tiroid rendah dalam pesakit hipotiroid, ini bermakna masalahnya adalah samada pada kalenjar pituitari mahupun hipotalamus yang menyebabkan hormon perangsang tiroid tidak banyak dihasilkan. Contoh masalah tersebut adalah adenoma pituitari, kanser otak yang menolak struktur hipotalamus dan beberapa yang lain.

Kajian antibodi yang menyerang kalenjar tiroid

Pengambilan sampel darah untuk melihat bacaan antibodi yang menyerang tiroid adalah penting untuk mengetahui sama ada pesakit mempunyai masalah autoimun seperti ‘Hashimoto thyroiditis’

Bacaan yang kita selalu ambil adalah Anti-TPO(thyroid peroxidase) dan juga anti-thyroglobulin. Kedua-dua bacaan ini selalunya tinggi jika seseorang itu mempunyai penyakit Hashimoto thyroiditis.

Pengimejan

Jika bacaan hormon perangsang tiroid rendah tanpa mempunyai sebab yang lain, selalunya pengimejan akan dibuat untuk melihat keadaan kalenjar pituitari dan otak. Terutamanya jika pesakit disyaki mempunyai kanser ataupun ketumbuhan dibahagian tersebut.

Ct-Scan mahupun MRI boleh digunakan untuk memeriksa kawasan otak.

9. Rawatan

Secara asasnya rawatan untuk pesakit yang mempunyai masalah hipotiroid iaitu kekurangan hormon tiroid ini adalah dengan memberi ubat hormon tiroid. Ubat yang selalu digunakan untuk merawat perkara tersebut adalah Levothyroxine.

Apabila rawatan tersebut dimulakan, pengambilan darah untuk mengetahui bacaan hormon thyroxine dalam darah perlu dibuat dalam masa 1-3 bulan. Ia penting kerana bacaan tersebut menunjukkan sama ada dos ubat levothyroxine yang diberikan cukup, berlebihan ataupun kurang. Dari situ, doktor akan ubah suai dos ubat tersebut.

Rawatan yang lain

Jika punca kepada masalah tersebut adalah ketumbuhan di otak, doktor yang merawat akan memberi cadangan sama ada perlu dibuat pembedahan ataupun tidak bergantung kepada banyak faktor. Setiap keputusan perlulah dibincangkan dengan doktor.

Bacaan seterusnya: Hipertiroid
Jika bacaan ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Wolter P, Dumez H, Schoffski P. Sunitinib and hypothyroidism. N Engl J Med. 2007 Apr 12. 356(15):1580; author reply 1580-1
  2. Bothra N, Shah N, Goroshi M, et al. Hashimoto’s thyroiditis: Relative recurrence risk ratio and implications for screening of first degree relatives. Clin Endocrinol (Oxf). 2017 Mar 8
  3. Paschke R, Ludgate M. The thyrotropin receptor in thyroid diseases. N Engl J Med. 1997 Dec 4. 337(23):1675-81
  4. Woeber KA. Iodine and thyroid disease. Med Clin North Am. 1991 Jan. 75(1):169-78.
  5. Garber JR, Cobin RH, Gharib H, et al. Clinical practice guidelines for hypothyroidism in adults: cosponsored by the American Association of Clinical Endocrinologists and the American Thyroid Association. Thyroid. 2012 Dec. 22(12):1200-35.
  6. Jonklaas J, Bianco AC, Bauer AJ, et al. Guidelines for the treatment of hypothyroidism: prepared by the american thyroid association task force on thyroid hormone replacement. Thyroid. 2014 Dec. 24(12):1670-751
  7. sumber featured image:

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

5 Comments

lut · November 20, 2017 at 2:46 am

adakah kajian di malaysia secara khususnya cuba menyelidik isu kesihatan mental dan perkaitannya dengan masalah tiroid ini? pada pendapat saya isu ini juga seharusnya diketengahkan selaras dengan peningkatan tentang kesihatan mental di malaysia.

Tiroid: Struktur, Fungsi dan Kepentingan dalam Perubatan - TheDiagnosa · October 23, 2017 at 3:09 am

[…] Bacaan lebih lanjut berkenaan hipotiroid: Punca, simptom dan cara rawatan […]

Goiter: Punca, Simptom dan Cara Rawatan - TheDiagnosa · October 25, 2017 at 1:34 pm

[…] rasa perkongsian ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa Bacaan seterusnya: Hipertiroid,  Hipotiroid dan Kalenjar […]

Penyakit Bipolar: Punca, Simptom dan Rawatan - TheDiagnosa · January 3, 2018 at 12:55 pm

[…] dengan merawat penyakit tersebut. Sebagai contoh kekurangan hormon tiroid seperti dalam penyakit hipotiroid boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan […]

Kolesterol Tinggi: Punca, Tanda dan Rawatan - TheDiagnosa · March 12, 2018 at 12:11 pm

[…] Hipotiroid […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *