284Shares

Hujung bibir pecah ataupun sudut bibir yang pecah mempunyai beberapa punca. Ia akan menyebabkan kepedihan dikawasan tersebut terutamanya ketika ingin bercakap ataupun makan.

Bagi kanak-kanak , ia akan menyebabkan mereka kurang selera makan dan minum disebabkan kesakitan yang berlaku pada bahagian tersebut

1.Istilah perubatan

Angular cheilitis (AC) : Pecah sudut bibir tetapi lebih tepat disebut sebagai radang sudut bibir. Penulis menggunakan perkataan “pecah” kerana lebih mudah difahami dan digunakan masyarakat Malaysia.

Prognosis : Kesudahan kepada pesakit tersebut disebabkan oleh penyakit yang dialaminya

2.Pengenalan

Angular Cheilitis (AC) adalah lebih tepat dikenali sebagai “radang sudut bibir” kerana ia melibatkan proses keradangan yang berlaku di sama ada satu atau kedua-dua belah sudut bibir. Kebiasaannya kawasan yang mengalami radang ini akan menjadi merah, disertai oleh pecah dan berkerak.

Keadaan ini menyebabkan pesakit mengalami kesakitan atau kegatalan di sudut bibir tersebut. Penyakit ini boleh berlarutan selama berhari-hari hingga bertahun-tahun, bergantung kepada punca penyakit berlaku.

Penyakit ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti angular stomatitis, cheilosis dan perleche.

3. Punca Hujung Bibir Pecah

Terdapat beberapa punca yang dikenalpasti menjadi penyebab kepada masalah ini iaitu :

A) Jangkitan organisma tertentu seperti :

      i) Jangkitan kulat candida – jangkitan kulat Candida dikesan pada hamper 93% kes angular cheilitis. Hal ini kerana organisma ini mendiami hampir 40% manusia yang sihat dan dalam bentuk yang tidak aktif, candida dikatakan mampu bertindak sebagai salah satu komponen penting organisma semulajadi mulut atau dikenali sebagai microbiota

   ii) Jangkitan virus herpes – jangkitan ini juga dikenali dengan nama lain iaitu cold sores. Dalam kes ini, bukan kulat yang menyebabkan jangkitan, oleh itu pesakit merasakan kurang gatal, namun lebih terasa sakit dan kudis bernanah kekuningan. Kudis ini akan pecah sendiri dalam tempoh 7-10 hari dan boleh tumbuh pada tempat yang sama, terutama ketika pesakit berada dalam keadaan stress

  iii) Jangkitan bakteria – dalam kes jangkitan bakteria, terdapat dua jenis bakteria yang selalu menjangkiti kawasan ini iaitu staphylococcus aureus dan β-hemolytic streptococci. Kadangkala jangkitan kulat dan bakteria boleh berlaku serentak dan kedua-dua jangkitan ini memerlukan ubat yang tersendiri untuk merawatnya.

 

B) Kerap mengetap dan menjilat bibir – Apabila bibir anda kering, anda tidak digalakkan untuk menjilat bibir kerana enzim yang terdapat di dalam air liur anda akan menyebabkan kawasan sudut bibir yang nipis terhakis. Ini seterusnya menjadikan kawasan tersebut mengalami keradangan atau juga disebut irritation contact dermatitis.

C) Pemakaian pendakap gigi atau gigi palsu – Kajian mendapati bahawa pemakaian gigi palsu dan pendakap gigi yang tidak bersesuaian atau lusuh akan menyebabkan sudut bibir si pemakai mudah mengalami AC. Hal ini kerana pemakaian alatan ini akan menjadikan kedudukan bibir pesakit tidak selari dengan asalnya dan menyebabkan air liur mudah terkeluar dari sudut bibir pesakit

 

D) Kekurangan zat makanan – Terdapat kajian yang dijalankan yang mendapati pesakit yang kekurangan zat besi dan vitamin B mudah mendapat AC berbanding individu yang mencukupi zat. Hal ini boleh terjadi samaada disebabkan oleh faktor kemiskinan, diet tidak seimbang atau pesakit yang mempunyai masalah penyerapan zat oleh usus seperti coeliac disease, chronic pancreatitis, atau juga disebabkan oleh pembedahan pada usus kecil seperti pernicious anemia.

E) Penyakit genetik – Penyakit seperti Down Syndrome, Sjogren Syndrome dan Eczema adalah antara penyakit genetik yang paling banyak dikaitkan dengan AC.

i) Pesakit Down Syndrome memiliki lidah yang lebih besar berbanding individu normal (macroglossia). Hal ini sekaligus menyukarkan bibir mereka tertutup rapi dan lidah kerap terjulur keluar, menyebabkan sudut bibir mudah terhakis dan terjadinya AC

    iiSjogren syndrome pula adalah satu penyakit genetik di mana kelenjar yang menghasilkan kelembapan di kulit dan anggota badan tidak berfungsi.Hal ini menyebabkan pesakitnya mengalami kekeringan yang melampau dan antara kawasan yang paling kerap terjejas adalah kawasan sudut bibir kerana kawasan ini akan menjadi terlampau kering serta merekah, memudahkan jangkitan kuman bakteria masuk ke dalam sel kulit tersebut dan membiak, serta menyukarkan AC pada pesakit ini untuk sembuh, kadangkala bertahun lamanya.

   iii) Eczema adalah nama yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita. Pesakit yang menghidap eczema sudah tentu tahu bahawa kulit mereka mudah sekali bertindakbalas dengan bahan tertentu. Oleh itu, pesakit eczema haruslah sentiasa berwaspada jika ingin memilih sesuatu produk untuk dipakai seperti pewarna bibir, pelembap bibir, bedak muka, ubat gigi, penyegar mulut dan sebagainya.

F) Ubat-ubatan – Beberapa ubat di pasaran yang digunakan untuk merawat jerawat mengandungi bahan aktif isotretinoin. Penggunaan yang kerap akan menyebabkan kulit menjadi terlalu kering dan meningkatkan risiko mendapat AC.

Selain itu, terdapat kajian yang mengatakan pengambilan minyak ikan kod dan vitamin A yang berlebihan juga boleh menyebabkan pesakit mendapat AC.

Penagih dadah yang menggunakan dadah jenis cocaine, heroin dan metamphetamine juga kerap mengalami masalah ini.

G) Rokok – Jika anda seorang perokok tegar dan pada masa yang sama memiliki kulit sensitive, maka kencenderungan anda untuk mendapat AC adalah sangat tinggi. Hal ini kerana kandungan racun kimia di dalam rokok adalah bersifat menghakis dan kawasan paling cepat terkesan dengannya adalah tentu sekali di sudut bibir anda.

4. Diagnosa

Angular Cheilitis (AC) selalunya didiagnosa secara klinikal iaitu dengan cara doktor memeriksa pesakit depan-depan. Jika sebelah sahaja sudut bibir yang pecah, maka punca penyakit adalah disebabkan faktor setempat seperti luka akibat terhentak, atau kudis dari penyakit syphilis.

Jika kedua belah sudut bibir mendapat AC, maka puncanya adalah seperti punca lain yang disebutkan di atas.

Andai doktor mengesyaki terdapat jangkitan, maka sampel dari tisu yang bernanah akan diambil untuk dipastikan samaada jangkitan berpunca dari kulat, kuman atau virus.

Selain itu,pemeriksaan darah FBC (Full Blood Count) termasuk sampel darah bagi mengetahui kadar zat besi, ferritin, vitamin B dan folate juga akan diambil untuk memastikan punca sebenar AC tersebut jika rawatan untuk jangkitan seperti di atas tidak berkesan.

5. Rawatan hujung bibir pecah

Terdapat beberapa kaedah rawatan yang berfokus untuk merawat pecah sudut bibir (AC). Namun, kebiasaannya pecah sudut bibir boleh sembuh sendiri tanpa memerlukan sebarang ubat-ubatan.

  • Antara cara untuk merawat AC tanpa ubatan adalah dengan cara memakai pelembap bibir yang sesuai untuk jenis kulit anda. Pastikan anda mencuba di kawasan kulit yang kurang meradang terlebih dahulu seperti di belakang tapak tangan, atau di lengan. Jika tiada sebarang tindak balas alahan berlaku, barulah mencuba di bibir atau di kawasan muka kerana kulit muka anda lebih sensitive.
  • Jika anda seorang pengguna gigi palsu, pastikan anda membasuh alatan tersebut dengan lebih kerap dan teliti. Sebelum memakai gigi palsu, sila keringkan sepenuhnya dan jangan memakai gigi palsu sewaktu tidur.
  • Kepada pemakai pendakap gigi pula, pastikan anda mematuhi kaedah penjagaan pendakap gigi seperti yang diterangkan oleh pakar ortodontik bertauliah anda dan bukan daripada video youtube atau dari internet sahaja.
  • Perokok yang ingin sembuh daripada AC haruslah belajar untuk berhenti merokok. Antara kaedah yang boleh membantu adalah dengan pengambilan gula getah nikotin ataupun dengan berpuasa.

 

Jika AC tidak sembuh setelah beberapa minggu, segeralah berjumpa doktor yang berhampiran anda. Antara rawatan yang digunakan untuk AC yang dijangkiti kuman adalah dengan menggunakan ubatan seperti berikut :

  • Antikulat (Antifungal) – memandangkan lebih 90% kes AC adalah disebabkan oleh kulat Candida albicans. Doktor akan memberikan preskripsi krim yang disapu pada tempat yang dijangkiti (topical cream). Antara antikulat yang selalu digunakan adalah termasuklah clotrimazole,ketoconazole,nystatin dan amphotericin B. Krim miconazole juga selalu digunakan sekiranya terdapat jangkitan silang bersama bakteria.
  • Antibiotik – Apabila doktor mengesyaki terdapat jangkitan bakteria melalui pengambilan sampel, krim antibiotik topikal digunakan antaranya seperti fusidic acid,neomycin, mupirocin dan chlorhexidine. Berbincanglah dengan doktor anda terlebih dahulu andai anda memiliki alahan terhadap antibiotik tersebut.

Jika anda sudah mendapatkan rawatan tapi masih juga tidak sembuh daripada AC, anda mungkin memerlukan pemeriksaan lanjut. Mengambil pemeriksaan darah untuk memastikan bahawa anda tidak kekurangan zat tertentu adalah amat penting sebelum mengambil sebarang vitamin dan makanan tambahan (supplement). Pengambilan zat besi dan vitamin B selalunya dapat memulihkan pecah sudut bibir yang kronik dan berulang, tetapi harus diselia pengambilannya oleh doktor.

Pesakit yang mempunyai penyakit genetik selalunya dirawat secara symptomatic. Iaitu kaedah merawat penyakit dengan melegakan simptom agar pesakit dapat menikmati hidup dengan selesa. Namun harus diingatkan bahawa risiko AC untuk berulang semula agak tinggi di kalangan pesakit ini.

6. Prognosis

Kebanyakan kes AC jika dirawat cepat dan menggunakan rawatan yang betul amat mudah untuk sembuh. Namun dalam kes yang berulang dan kronik, contohnya seperti yang melibatkan penyakit genetik, kekurangan zat dan sebagainya memerlukan rawatan yang komited dan berterusan.

Dapatkan nasihat daripada doktor yang sudah biasa dengan anda, kerana mungkin beliau lebih mengetahui tentang riwayat penyakit anda. Anda juga boleh meminta rujukan ke hospital pakar jika rawatan pakar diperlukan.

Jika rasa perkongsian ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa
Jangan lupa untuk sentiasa melawat laman web kami eDiagnosa untuk mendapat info lanjut tentang penyakit anda.

Rujukan :

  1. Pindborg, Jens Jørgen (1973). Atlas of Diseases of the Oral Mucosa. Saunders. ISBN 9780721672649Archived from the original on 10 September 2017. Retrieved 17 September 2014.
  2. Park, KK; Brodell, RT; Helms, SE (June 2011). “Angular cheilitis, part 1: local etiologies”. Cutis. 87(6): 289–95. PMID 21838086.
  3. Lyons, Faye (2014). Dermatology for the Advanced Practice Nurse. Springer Publishing Company. p. 95. ISBN9780826136442Archived from the original on 2016-08-16.
  4. Scully, Crispian (2008). Oral and maxillofacial medicine : the basis of diagnosis and treatment (2nd ed.). Edinburgh: Churchill Livingstone. pp. 147–49. ISBN9780443068188.
  5. Park, KK; Brodell RT; Helms SE. (July 2011). “Angular cheilitis, part 2: nutritional, systemic, and drug-related causes and treatment”(PDF). Cutis. 88(1): 27–32. PMID 21877503. Archived from the original (PDF) on 2014-04-19.
  6. Martin, Elizabeth (2015). Concise Medical Dictionary. Oxford University Press. p. 136. ISBN9780199687817Archived from the original on 2016-08-16.
  7. Wood, NK; Goaz, PW (1997). Differential diagnosis of oral and maxillofacial lesions(5th ed.). St. Louis [u.a.]: Mosby. pp. 64–65, 85. ISBN978-0815194323.
  8. Coulthard P, Horner K, Sloan P, Theaker E (2008). Master dentistry volume 1, oral and maxillofacial surgery, radiology, pathology and oral medicine (2nd ed.). Edinburgh: Churchill Livingstone/Elsevier. pp. 180–81. ISBN9780443068966.
  9. Dermnet New Zealand : Angular Cheilitis and its treatment
  10. WebMD : Angular Cheilitis and diabetis : Treatment and diagnosis

 

 

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *