180Shares

Influenza adalah salah satu penyakit yang sangat mudah tersebar. Ia disebarkan melalui udara dan selalunya berlaku secara bermusim. Ianya boleh bermula dengan tanda demam secara tiba-tiba berserta batuk dan selesema. Jika semakin teruk ia boleh menyebabkan kegagalan sistem pernafasan yang berakhir dengan kematian.

Influenza menyebabkan kehilangan hari berkerja dan kematian yang tinggi dikalangan manusia.

Walaupun influenza menjadi wabak secara bermusim dan berlaku secara tahunan. Tetapi ada pada tahun-tahunnya jenis virus influenza ini akan bertukar menjadi virus influenza yang sangat kuat(more virulence).

Virus yang merbahaya ini telah menyebabkan 3 episod wabak seluruh dunia(Pandemic) pada abad sebelum ini. Salah satunya adalah Selesema sepanyol(Spanish flu). Wabak ini berlaku pada tahun 1918 dan dikatakan telah membunuh lebih kurang 20-50 juta orang dengan setengah juta orang di Amerika syarikat

Disamping manusia, influenza juga boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada spesies haiwan yang lain. Istilah selesema burung dalam konteks ini menunjukkan virus tersebut menyerang burung. Swine influenza pula merujuk kepada jenis virus selesema yang menyerang haiwan khinzir (babi).

Pencegahan daripada influenza adalah strategi yang paling efektif. Setiap tahun di US, satu vaksin yang mengandungi antigen daripada jenis virus yang dijangkakan menyebabkan wabak akan dihasilkan.

1. Patofisiologi (Bagaimana jangkitan influenza terjadi?)

Virus influenza adalah daripada keluarga virus jenis Orthomyxoviridae. Teras nucleoprotien digunakan untuk membezakan diantara 3 jenis virus influenza iaitu A, B dan C.

Influenza A adalah virus selesema yang paling ganas diantara ketiga-tiga jenis virus. Malah ia boleh menukarkan antigen pada permukaan virus tersebut membuatkan sel imun terpaksa menghasilkan jenis antibodi yang baru setiap kali influenza A menukarkan antigennya. Inilah yang menyebabkan influenza A mampu menghasilkan wabak selesema yang bermusim.

(Antigen merupakan sejenis struktur yang terletak pada permukaan virus, bakteria dan juga kulat. Ia berfungsi seperti kad pengenalan untuk mengetahui sama ada ia berasal daripada badan kita ataupun kuman daripada luar badan)

Protein di permukaan virus yang penting dan perlu diketahui adalah hemagglutinin (H) dan neuraminidase (N). Inilah yang digunakan untuk membezakan antara jenis-jenis virus inluenza A sebagai contoh H1N1 dan H3N2.

Hemagglutinin dan neuraminidase juga merupakan salah satu protein yang penting untuk pembiakan virus selesema.

Fungsinya adalah:

  • Hemagglutinin berfungsi untuk membuatkan virus tersebut melekat pada dinding saluran pernafasan dan menembusi masuk ke dalam sel dimana mereka membiak.
  • Neuraminidase pula berfungsi untuk memutuskan ikatan virus yang baru terhasil dan masih melekat pada dinding sel

2. Cara merebak

Merebaknya virus tersebut daripada burung atau babi kepada manusia adalah disebabkan sentuhan pada haiwan yang telah dijangkiti. Risiko itu meningkat ketika mana proses penyembelihan dan pemprosesan daging tersebut. Pengambilan makanan yang masak secara sempurna tidak meningkatkan risiko.

Virus yang menyebabkan selesema burung juga boleh menjangkiti manusia daripada air yang telah dikotori dengan najis burung

Masa inkubasi(Incubation period): adalah berlaku pada 1 hingga 4 hari. Bermaksud setelah seseorang itu terdedah dengan virus tersebut, ia mengambil masa 1 hingga ke 4 hari untuk simptom selesema tersebut bermula.

3. Simptom atau Tanda tanda jangkitan Influenza

Terdapat beberapa simptom dan tanda-tanda yang akan dihadapi oleh pesakit ini. Ianya adalah:

4. Komplikasi

Jangkitan virus selesma boleh menyebabkan batuk dan sesak nafas. Ia disebabkan komplikasi yang sedang berlaku. Beberapa komplikasi tersebut adalah:

  • Jangkitan paru-paru disebabkan virus
  • Jangkitan paru-paru skunder disebabkan jangkitan bakteria
  • Keradangan otot(Myositis) –  Pesakit akan mengadu sakit-sakit otot berserta kencing berdarah ataupun berwana pekat seperti teh. Ia disebabkan mayoglobin yang terhasil daripada rosaknya sel otot akan merosakkan buah pinggang menyebabkan sel darah keluar dan memasuki air kencing
  • Keradangan otot jantung(Myocarditis) – Perkara ini akan menyebabkan otot jantung berdenyut dengan tidak normal dan boleh menyebabkan jantung berhenti secara tiba-tiba
  • Sindrom gangguan pernafasan Akut(Acute respiratory distress syndrome)

5. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama. Ianya adalah:

  • Jangkitan adenovirus
  • Jangkitan arenavirus
  • Jangkitan cytomegalovirus
  • Demam denggi
  • Jangkitan HIV

6. Penyiasatan

Terdapat beberapa penyiasatan yang digunakan untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai jangkitan virus tersebut. Ianya adalah:

Polymerase Chain Reaction(Reaksi berantai polimerase)

Dalam ujian ini, genetik daripada virus akan dihasilkan secara banyak di dalam makmal dan jenis virus tersebut akan diketahui daripada prosedur ini.

Spesimen yang selalu diambil daripada pesakit adalah sapuan daripada hidung(Nasal swab). Ujian ini juga boleh mengetahui penyebab selesema yang lain seperti respiratory synctial virus dan juga adenovirus.

Pengkulturan virus

Untuk pengkulturan virus, spesimen daripada kawasan nasofarink diperlukan. Satu kapas khas berserta batangnya yang panjang akan dimasukkan daripada hidung terus ke bahagian nasofarink untuk mendapatkan sampel daripada kawasn tersebut.

Kemudian ia akan dibiakkan di dalam makmal untuk melihat jenis virus tersebut.

7. Rawatan

Rawatan adalah bergantung kepada keadaan pesakit itu sendiri. Jika pesakit sudah sesak nafas, bantuan pernafasan akan diberikan kepada pesakit

Selain daripada itu, terdapat juga ubat anti-viral yang berfungsi untuk menghalang virus ini daripada terus membiak.

Anti-virus

Dua jenis ubat yang selalu digunakan adalah:

  • Oseltamivir(tamiflu)
  • Zanamivir

Ubat ini digunakan untuk merencat fungsi neuraminidase. Seperti yang dikatakan diatas, neuraminidase berfungsi untuk memotong ikatan virus yang baru terhasil daripada permukaan sel perumah. Ubat ini dapat merencat fungsi tersebut menyebabkan virus yang baru terhasil tidak dapat meninggalkan sel yang mereka jangkiti.

Ini menyebabkan virus tersebut tidak lagi mampu menjangkiti sel badan yang lain.

8. Pendidikan kesihatan kepada pesakit

Ada beberapa perkara yang pesakit dan ahli keluarga perlu buat untuk mengelakkan daripada jangkitan tersebut merebak:

  • Amalkan etika batuk: Pesakit perlulah menutup mulut dan hidung mereka ketika batuk ataupun bersin dengan menggunakan tisu. Basuh tangan menggunakan sabun ataupun cucian yang berasaskan alkohol.
  • Semua ahli rumah mesti mengamalkan kebersihan
    • Semua ahli rumah mestilah sentiasa membasuh tangan menggunakan sabun
    • Gunakan tuala untuk mengeringkan tangan setelah dibasuh. Setiap ahli rumah perlulah menggunakan tuala sendiri
    • Sentiasa membasuh alat-alatan dirumah yang selalu digunapakai
  • Jangan berkongsi perkakas persendirian
    • Selimut, peralatan makanan dan mandi bagi mereka yang tidak sihat perlulah diasingkan daripada yang sihat.

Rujukan:

  1. Centers for Disease Control and Prevention. Key Facts About Seasonal Influenza (Flu). Centers for Disease Control and Prevention. Available at http://www.cdc.gov/flu/keyfacts.htm
  2. Jefferson T, Di Pietrantonj C, Rivetti A, Bawazeer GA, Al-Ansary LA, Ferroni E. Vaccines for preventing influenza in healthy adults. Cochrane Database Syst Rev. 2010 Jul 7. CD001269.
  3. Gubareva LV, Kaiser L, Hayden FG. Influenza virus neuraminidase inhibitors. Lancet. 2000 Mar 4. 355(9206):827-35.
  4. Drake JW. Rates of spontaneous mutation among RNA viruses. Proc Natl Acad Sci U S A. 1993 May 1. 90(9):4171-5.
  5. Tasher D, Stein M, Simoes EA, Shohat T, Bromberg M, Somekh E. Invasive bacterial infections in relation to influenza outbreaks, 2006-2010. Clin Infect Dis. 2011 Dec. 53 (12):1199-207.
  6. Clinical management of human infection with avian influenza A (H5N1) virus. World Health Organization. Available at http://www.who.int/influenza/resources/documents/ClinicalManagement07.pdf.
  7. Garis Panduan Pengendalian Influenza A(H1N1) di Klinik Kesihatan, Cawangan Kesihatan Primer, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pindaan September 2009.
  8. Sumber featured image daripada goodtimes.sc
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

1 Comment

Influenza (Virus Selesema): Punca, Tanda dan Rawatan – Bicara Wanita · February 7, 2018 at 5:07 am

[…] post Influenza (Virus Selesema): Punca, Tanda dan Rawatan appeared first on […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *