Jantung berdebar adalah perasaan dimana anda mampu merasakan denyutan jantung anda. Pada keadaan biasa, kita tidak akan sedar bahawa jantung kita sedang berdenyut. Pada ketika jantung berdebar, kita akan rasa seolah-olah jantung kita sedang berdenyut dengan kuatnya, laju dan berdetak-detak di dada kita.

Kebanyakkan jantung berdebar adalah sesuatu yang tidak merisaukan dan tidak memerlukan rawatan. Akan tetapi jika ia terlalu teruk ketika serangan itu berlaku ataupun kerap berlaku, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut

Punca Jantung berdebar

Beberapa punca kepada masalah ini adalah:

  • Senaman yang berat
  • Pengambilan kopi
  • Stress
  • Rasa bimbang
  • Perasaan takut
  • Panik
  • dehidrasi (Kekurangan air dalam badan)
  • Kurang gula dalam darah
  • Hipertiroid (Hormon tiroid yang berlebihan)
  • Anemia (Kerungan sel darah merah)
  • Kurangnya oksigen dalam badan yang mungkin disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru, paru-paru berair dan sebagainya
  • Demam
  • Serangan sakit jantung
  • Injap jantung yang tidak normal
  • Penggunaan beberapa jenis ubat juga boleh menyebabkan masalah ini berlaku seperti ubat pam asma (Jenis salbutamol) dan juga ubat darah tinggi(jenis Beta-blocker)
  • Penggunaan dadah seperti amfetamin

Bilakah perlu berjumpa dengan doktor?

Anda perlu berjumpa dengan doktor jika:

  • Sebelum ini anda memang mempunyai masalah jantung
  • Anda kerap mengalami masalah jantung berdebar
  • Anda mempunyai simptom ini berserta simptom yang lain seperti:

Penyiasatan

Punca kepada masalah jantung berdebar sedikit susah untuk diketahui, terutamanya pesakit yang sudah tidak mempunyai simptom tersebut ketika berjumpa dengan doktor.

Ada beberapa prosedur yang akan dibuat untuk mengesan punca kepada masalah tersebut:

  • Ujian darah
  • Ujian air kencing
  • Ujian ECG (Electrocardiogram)
  • X-ray dada
  • Holter ECG (Ini adalah mesin ECG yang boleh dibawa berjalan. Rekod ECG selama 24 jam bagi beberapa hari akan diambil untuk menangkap denyutan jantung yang tidak normal)

Rawatan jantung berdebar

Rawatan kepada masalah ini adalah bergantung kepada punca masalah tersebut. Kami menyenaraikan secara ringkas rawatan kepada masalah tersebut. Tetapi anda mungkin memerlukan penjelasan lain dari doktor yang merawat anda

Beberapa punca berserta rawatannya adalah:

  • Stress: Kena belajar teknik relaksasi dan perlu menyelesaikan masalah yang pesakit ada. Pesakit juga akan dirujuk ke kaunselor untuk membantu dalam perkara tersebut
  • Dehidrasi: Kena minum lebih banyak air jika dalam keadaan panas ataupun apabila seseorang itu mengalami cirit-birit ataupun muntah-muntah yang teruk
  • Kurang gula dalam darah(hipoglisemia): Pesakit selalunya akan disuruh untuk minum air manis
  • Anemia: Selalunya pesakit akan diberi darah
  • Hipertiroid: Ubat akan diberikan untuk mengurangkan hormon tiroid yang berlebihan dalam badan
  • Sakit jantung: Ubat untuk mencairkan darah beku akan diberikan kepada pesakit

Walaubagaimanapun terdapat banyak lagi punca lain yang mempunyai cara rawatan yang berlainan. Pesakit perlulah bertanyakan kepada doktor rawatan yang akan diterima oleh mereka.

Cara untuk mengelakkan jantung berdebar

Jika doktor mengatakan tiada rawatan yang diperlukan ataupun keputusan yang didapati adalah normal, anda boleh cuba langkah-langkah ini untuk mengurangkan kebarangkalian untuk anda mendapat masalah ini. Ia adalah:

  • Cuba kenal pasti perkara yang menyebabkan masalah tersebut berlaku. Anda boleh menyediakan satu buku log untuk mencatat perkara dan makanan yang anda ambil berserta waktu berlakunya simptom jantung berdebar itu
  • Jika anda berada dalam keadaan risau ataupun tertekan, cuba belajar senaman untuk menjadikan diri relaks
  • Kurangkan pengambilan kafein
  • Berhenti merokok
  • Jika ubat yang diambil menyebabkan simptom tersebut berlaku, pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor semula
  • Ambil makanan yang sihat
  • Cuba untuk mengekalkan tekanan darah dan kolesterol pada tahap yang normal

Rujukan:

  1. Arrhythmia: Heart palpitations. (2016, June). my.clevelandclinic.org/heart/disorders/electric/palpitations.aspx
  2. Mayo Clinic Staff. (2014, April 2). Heart palpitations. mayoclinic.com/health/heart-palpitations/DS01139
  3. What are palpitations? (2016, December 9). nhlbi.nih.gov/health/health-topics/topics/hpl
  4. Sumber featured image: newhealthadvisor.com
Categories: Simptom

Dr Latif Saad

Merupakan Seorang Doktor Perubatan. Pengasas kepada FB Page Root of Science dan juga e-Diagnosa. Follow juga wall personal saya di SINI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *