Jerawat ataupun acne vulgaris merupakan salah satu masalah yang selalu berlaku terutamanya dikalangan remaja. Ia merupakan satu mimpi ngeri jika ia mendatangkan parut

Ketika remaja mencapai akil baligh, terdapat ketidakseimbangan hormon di dalam badan mereka. Ini merupakan salah satu faktor risiko yang akan menyebabkan mereka menghadapi masalah jerawat tersebut

1. Istilah perubatan

Jerawat = Acne vulgaris
Komedo: adalah jerawat yang terbahagi kepada komedo terbuka dan tertutup
Prognosis: Kesudahan kepada masalah tersebut

2. Pengenalan

Jerawat dalam istilah perubatannya dikenali sebagai ‘Acne vulgaris’ merupakan salah satu masalah kulit yang selalu berlaku dalam masyarakat terutamanya remaja. Ia disebabkan sumbatan pada liang roma di kulit yang menyebabkan terkumpulnya bahan sebum di dalam liang tersebut

Selalunya masalah ini akan berlaku pada bahagian kulit yang mempunyai kalenjar sebum yang banyak seperti di muka, bahagian atas dada dan bahagian belakang badan.

3. Punca

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan masalah masalah ini. Faktor tersebut adalah:

  • Genetik atau keturunan
  • Kalenjar sebum yang terlampau aktif disebabkan perubahan hormon terutamanya ketika peringkat akil baligh
  • Jangkitan kuman pada liang roma. Organisma yang selalunya terlibat adalah Propionibacterium acnes
  • Penggunaan kosmetik yang berasaskan minyak juga boleh menyumbatkan liang roma
  • Penggunaan ubat seperti steroid boleh menyebabkan hormon tidak stabil
  • Ada sesetengah wanita ketika mengandung akan membuatkan jerawatnya semakin bertambah.

Genetik selalunya memainkan peranan penting kerana ada sesetengah orang mempunyai jerawat yang banyak disebabkan liang romanya sangat sensitif dengan perubahan hormon dalam badan. Terutamanya ketika akil baligh(Puberty).

Ini akan menyebabkan kalenjar sebum mengeluarkan sebum yang banyak hingga membuat liang roma tersumbat. Kemudian kuman Propionibacterium pula memainkan peranan untuk menyebabkan peningkatan keratin di liang roma tersebut hingga menyebabkan masalah ini.

Terdapat dua jenis jerawat iaitu:

  1. Komedo tertutup(closed comedo) juga dikenali sebagai ‘white head‘. Ini kerana liang roma itu masih tertutup menyebabkan jerawat kecil yang berwarna putih.
  2. Komedo terbuka(Open comedo) juga dikenali sebagai ‘black head‘. Ini kerana liang roma terbuka dan mendedahkan kandungan sebum keluar. Pigmentasi yang berlaku pada kandungan sebum tersebut akan menyebabkan ia berwarna hitam.

4. Prognosis(Kesudahan)

Jerawat yang teruk dan tidak terkawal boleh memberi kesan kepada psikososial dan juga penampilan secara fizikal seseorang manusia. Ia boleh menyebabkan masalah mental terutamanya tekanan perasaan disebabkan rupa fizikal yang tidak elok.

Perkara ini juga akan membuatkan seseorang hilang keyakinan diri bila berhadapan dengan orang lain hingga menyebabkan masalah kebimbangan(anxiety problem).

Tetapi secara majoritinya, prognosis kepada masalah ini adalah bagus jika rawatan yang diberikan betul.

5. Simptom

Terdapat beberapa simptom yang boleh dialami oleh pesakit. Ianya adalah

  • Komedo tertutup(white head) dan juga Komedo terbuka(black head).
  • Jerawat yang mengandungi nanah. Selalunya jika komedo yang ditekan oleh diri sendiri boleh dijangkiti bakteria luar hingga menyebabkan jangkitan kuman. Ini akan menyebabkan pembentukan nanah dan kawasan tersebut akan kelihatan merah
  • Jerawat yang bernodul. Seseorang yang mengalami komedo yang teruk akan mempunyai nodul yang besar. Ia disebabkan keradangan dan pembentukan tisu parut dikawasan tersebut hingga menyebabkan terbentuknya ketulan-ketulan dibahagian kulit yang terlibat.

Mereka yang mempunyai komedo sahaja selalunya tidak akan berjumpa dengan doktor. Tetapi jika ia mempunyai komplikasi seperti bernanah ataupun bernodul, barulah pesakit tersebut selalunya akan berjumpa dengan perawat kesihatan

6. Diagnosa-diagnosa lain

Beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama adalah

  • Keradangan folikel
  • Rosacea
  • Sebaceous hyperplasia
  • Syringoma

7. Penyiasatan

Diagnosa untuk masalah ini selalunya lebih kepada pemeriksaan secara fizikal sahaja.

Akan tetapi jika pesakit mempunyai masalah selain daripada komedo sebagai contoh penumbuhan bulu yang melampau dan sakit yang melampau ketika datang haid, pengambilan bacaan hormon perlu dilakukan untuk mengesan masalah ‘Polycystic Ovarian Syndrome‘. Dalam masalah ini, berlakunya ketidakstabilan hormon yang menyebabkan jerawat mudah tumbuh.

8. Rawatan

Selalunya jika masalah ini tidak terlampau teruk, pesakit sendiri tidak akan berjumpa dengan doktor. Ini kerana masalah tersebut boleh baik dengan sendirinya

Akan tetapi apabila masalah ini semakin teruk sebagai contoh apabila ia mempunyai nanah dan juga bernodul(mempunyai biji di bahagian kulit), pesakit mesti akan mendapatkan bantuan perubatan daripada perawat kesihatan

Rawatan yang diberikan kepada pesakit selalunya melibatkan kombinasi krim retinoid dan juga krim antibiotik.

1) Krim retinoid(Vitamin A)

Retinoid adalah vitamin A dan ia merupakan salah satu vitamin yang penting untuk kulit. Ini kerana ia membantu dalam menyeimbangkan penghasilan keratin ataupun pembahagian sel pada kulit. Vitamin A ini akan dapat mengelakkan liang roma daripada tersumbat malah menyebabkan tona kulit menjadi lebih sekata

Krim ini boleh digunakan sekali sehari. Tetapi jika terdapat iritasi selepas penggunaan krim ini, pesakit diminta untuk mengelakkan penggunaannya.

2) Krim Antibiotik

Penggunaan krim antibiotik adalah lebih sesuai untuk komedo yang sedang meradang(kemerah-merahan) dan juga mempunyai nanah. Ini kerana pada ketika itu jerawat tersebut sudah dijangkiti dengan bakteria. Maka, penggunaan antibiotik diperlukan untuk membunuh bakteria tersebut.

Kombinasi kedua-dua krim ini telah menunjukkan keputusan yang lebih bagus berbanding jika menggunakan satu jenis krim sahaja.

Bacaan yang lebih berkenaan Rawatan Jerawat

9. Cara untuk elakkan jerawat

Jerawat boleh dikurangkan dengan cara:

  1. Mencuci muka setiap hari. Terutamanya selepas berpeluh ataupun dibawah sinaran matahari. Ini kerana kalenjar sebum menghasilkan sebum yang banyak ketika itu. Akan tetapi jika basuh muka terlampau kerap juga akan menyebabkan kulit muka menjadi kering terutamanya jika menggunakan pencuci muka biasa
  2. Pencuci muka yang tiada sabun dan juga mempunyai pH 5.5 adalah lebih baik. Ini kerana ia boleh mengelakkan kulit daripada menjadi kering
  3. Mengelakkan kosmetik yang berasaskan minyak kerana ia boleh menyebabkan liang roma tersumbat
  4. Meminum air kosong yang mencukupi agar kulit sentiasa lembab

10. Soalan yang selalu ditanya:

Adakah diet mempengaruhi masalah jerawat?

Banyak kajian yang telah dibuat untuk mengaitkan permakanan dan juga masalah jerawat, tetapi kebanyakan daripada kajian tersebut masih belum menemukan sama ada diet mempengaruhi masalah jerawat ataupun tidak.

Kenapa bayi saya yang baru lahir pun ada jerawat?

Bayi di dalam kandungan akan sedikit sebanyak terpengaruh dengan hormon ibu. Hormon tersebut boleh menyebabkan berlakunya penghasilan sebum yang banyak pada bayi hingga menyebabkan terjadinya jerawat. Setelah anak dilahirkan, pengaruh hormon tersebut akan hilang.

Oleh itu, ibu bapa tidak perlu risau. Selepas beberapa minggu, jerawat tersebut akan hilang dengan sendirinya

Jika perkongsian ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa
Bacaan seterusnya: Kayap(Punca dan cara Rawatan)

Rujukan:

  1. Dawson AL, Dellavalle RP. Acne vulgaris. BMJ. 2013 May 8. 346:f2634.
  2. Goulden V, McGeown CH, Cunliffe WJ. The familial risk of adult acne: a comparison between first-degree relatives of affected and unaffected individuals. Br J Dermatol. 1999 Aug. 141(2):297-300.
  3. Thiboutot D, Gollnick H, Bettoli V, Dréno B, Kang S, Leyden JJ, et al. New insights into the management of acne: an update from the Global Alliance to Improve Outcomes in Acne group. J Am Acad Dermatol. 2009 May. 60(5 Suppl):S1-50.
  4. Kellett SC, Gawkrodger DJ. The psychological and emotional impact of acne and the effect of treatment with isotretinoin. Br J Dermatol. 1999 Feb. 140(2):273-82.
  5. Collier CN, Harper JC, Cafardi JA, Cantrell WC, Wang W, Foster KW, et al. The prevalence of acne in adults 20 years and older. J Am Acad Dermatol. 2008 Jan. 58(1):56-9
  6. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMH0072392/
Categories: Kulit

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa