Kaki bengkak adalah keadaan yang selalu berlaku pada sesetengah individu. Terutamanya mereka yang mengalami kaki bengkak semasa mengandung. Perkara ini selalunya akan menimbulkan kerisauan kepada mereka yang mengalami perkara tersebut.

Masalah ini selalunya disebabkan pengumpulan cecair pada bahagian kaki yang menyebabkan ia kelihatan bengkak dan sembab. Masalah ini boleh berlaku di kedua-dua kaki ataupun pada sebelah kaki sahaja bergantung kepada penyebab masalah tersebut.

Punca dan Penyebab kaki bengkak

Ada beberapa punca yang boleh menyebabkan kaki menjadi bengkak. Selalunya ia disebabkan gaya hidup seperti:

  • Berlebihan berat badan: Berat badan yang berlebihan boleh menyebabkan peredaran daripada bahagian kaki naik ke atas menjadi berkurangan. Ini menyebabkan cecair terkumpul dibahagian kaki dan kaki pun membengkak
  • Duduk ataupun berdiri dalam keadaan yang lama: Apabila otot tidak bergerak, ia akan menyebabkan darah tidak dipam secara berkesan kebahagian jantung dan menyebabkan cecair terkumpul dibahagian kaki.

Bengkak pada bahagian kaki juga boleh disebabkan ubat-ubatan sebagai contoh:

  • Ubat tekanan darah tinggi. Ubat amlodipine merupakan ubat tekanan darah tinggi yang selalu menyebabkan kaki menjadi bengkak. Ubat tekanan darah tinggi yang lain tidak ataupun sangat jarang menyebabkan masalah tersebut berlaku
  • Steroid
  • Beberapa jenis ubat antidepresi

Terdapat juga punca penyakit yang menyebabkan kaki menjadi bengkak. Ianya adalah:

  • Kegagalan buah pinggang
  • Lemah jantung
  • Kegagalan hati
  • Jangkitan kuman dibahagian kaki
  • Deep Vein Thrombosis: Salur darah bahagian kaki yang tersumbat dengan darah beku
  • Untut: Keadaan ini berlaku disebabkan sumbatan pada saluran limfa oleh parasit yang duduk didalamnya. Oleh itu, lebihan cecair yang keluar daripada saluran darah tidak dapat diserap balik menyebabkan ia terkumpul di dalam tisu kaki
  • Pre-eclampsia: Keadaan tekanan darah tinggi pada wanita mengandung. Salah satu tandanya adalah kaki menjadi bengkak. Walaupun demikian ada juga wanita mengandung yang mempunyai tekanan darah yang normal mengalami kaki yang juga bengkak.

Rawatan Kaki bengkak

Jika penyebab kepada masalah kaki bengkak tersebut adalah tidak serius dan boleh dirawat di rumah, ada beberapa tips yang boleh diamalkan untuk rawatan tersebut:

  • Tinggikan kaki ketika tidur. Kaki tersebut perlulah ditinggikan lebih sedikit daripada paras jantung supaya cecair daripada kaki itu boleh turun mengikut graviti
  • Sentiasa bergerak untuk mengelakkan kaki bengkak. Jika sudah duduk ataupun berdiri terlalu lama, gerak-gerakkan kaki untuk mengepam darah daripada kaki naik ke atas
  • Kurangkan berat badan
  • Kurangkan pengambilan garam
  • Gunakan stokin ataupun stokin tekanan (compression stocking)

Jika kaki bengkak disebabkan sakit-sakit yang tertentu seperti kegagalan buah pinggang, lemah jantung, kegagalan hati dan selainnya, pesakit perlulah sentiasa mengikuti pemeriksaan doktor di klinik ataupun hospital.

Bila perlu berjumpa dengan doktor?

Keadaan kaki bengkak mungkin adalah sesuatu kebiasaan bagi anda. Jika terdapat beberapa keadaan yang lain, anda perlu pergi terus berjumpa dengan doktor.

Keadaan tersebut adalah:

  • Kaki yang bengkak itu sakit dan rasa lebih panas daripada biasa
  • Bengkak tersebut berlaku disekeliling luka dibahagian kaki
  • Pesakit mengalami demam
  • Bengkak tersebut menjadi semakin teruk
  • Wanita mengandung yang mengalami bengkak kaki yang teruk atau sakit kepala yang teruk
  • Mengalami sesak nafas

Kaki bengkak semasa mengandung

Kaki bengkak sewaktu mengandung boleh menjadi suatu yang normal dan juga tidak normal. Selalunya bagi mereka yang mengandung, hormon estrogen yang dihasilkan oleh badan adalah lebih tinggi daripada sewaktu tidak mengandung.

Ini menyebabkan beberapa kesan yang berlaku pada badan termasuk pengembangan salur darah. Ini menyebabkan salur darah bahagian kaki mengembang dan membuatkan cecair senang terkumpul dibahagian kaki dan akhirnya kaki menjadi bengkak.

Terdapat juga masalah lain seperti pre-eclampsia dimana pesakit mengalami tekanan darah tinggi berserta protein di dalam air kencing. Disebabkan protein banyak terlepas di dalam air kencing, darah tidak mampu lagi menahan air keluar dari salur darah. Oleh itu, air akan keluar dengan lebih banyak pada bahagian kaki menyebabkan kaki bengkak.

Oleh sebab itu, jika wanita mengandung mengalami kaki bengkak ataupun pertambahan berat badan yang mendadak, selalunya mesti doktor akan periksa tekanan darah dan juga air kencing untuk memastikan tekanan darah tidak tinggi dan air kencing tidak mempunyai protein

Rujukan:

  1. Mayo Clinic Staff. (2014, April 11). Leg swelling. mayoclinic.com/health/leg-swelling/MY00592
  2. Physical activity and adults. (n.d.). who.int/dietphysicalactivity/factsheet_adults/en/
  3. Swollen feet and legs (edema). (n.d.). footsmart.com/health-resource-center/leg/swollen-feet-legs-edema
  4. What you should know about swelling in your legs. (2015, July 13). health.clevelandclinic.org/2015/07/what-you-should-know-about-swelling-in-your-legs/