Kanser paru-paru merupakan kanser pertama tertinggi dikalangan golongan lelaki bagi rakyat Malaysia. Ia tinggi disebabkan majoriti golongan lelaki adalah dikalangan perokok. Ia merupakan salah satu kanser yang boleh dielakkan jika individu di dalam masyarakat tidak merokok dan cuba mengelakkan diri daripada perokok.

Penyakit ini selalunya bermula pada bahagian bronchi ataupun bronchioles yang merupakan saluran pernafasan di dalam paru-paru

Kanser paru-paru adalah penyakit yang jarang berlaku ketika pada kurun 19. Tetapi bilangannya semakin meningkat disebabkan manusia terdedah dengan asap rokok yang boleh menyebabkan kanser.

Kebanyakan daripada kes kanser paru-paru ini selalunya hanya dikesan ketika kanser tersebut sudah merebak ke bahagian badan yang lain membuatkan pesakit tersebut sukar untuk disembuhkan. Selain daripada itu, disebabkan aktiviti pesakit yang suka merokok ini menyebabkan paru-paru dan jantung mereka rosak. Ini membuatkan pesakit mungkin tidak mampu menjalani rawatan yang agresif seperti pembedahan

Kanser paru-paru terbahagi kepada 2 jenis iaitu:

  • Kanser paru-paru saiz sel kecil (Small cell carcinoma)
  • Kanser paru-paru bukan saiz sel kecil (Non-small cell carcinoma)

1. Punca kanser paru-paru

Terdapat beberapa faktor risiko yang mendedahkan seseorang itu kepada penyakit kanser paru-paru. Ianya adalah:

  • Pendedahan kepada bahan karsinogen(bahan yang menyebabkan kanser). Rokok merupakan punca utama bagi mereka yang mengalami kanser paru-paru. Sebanyak 200 lebih bahan kimia di dalam rokok menjadi punca kepada berlakunya kanser paru-paru dikalangan rakyat malaysia.
    Selain daripada itu, bahan seperti asbestoss, kromium dan juga nikel menjadi punca kepada berlakunya kanser paru-paru. Mereka yang bekerja di lombong yang berkaitan mempunyai risiko untuk mengalami kanser paru-paru
  • Pendedahan kepada radiasi yang berbahaya. Mereka yang berkerja dalam jabatan radiologi ataupun yang melombong logam radioaktif seperti uranium mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser paru-paru
  • Pencemaran udara juga boleh meningkatan risiko untuk masalah ini

2. Simptom dan tanda kanser paru-paru

Kanser paru-paru selalunya berlaku secara senyap pada permulaan penyakit. Ianya mempunyai simptom apabila kanser tersebut telah merebak ataupun menyebabkan paru-paru berair.

Pada ketika itu, pesakit akan mempunyai beberapa simptom seperti:

  • Batuk yang berpanjangan
  • Sakit dada
  • Sesak nafas
  • Batuk berdarah
  • Pernafasan yang berbunyi
  • Pengurangan berat badan yang ketara
  • Kurang selera makan yang ketara
  • Rasa letih selalu

Jika kanser tersebut sudah merebak, ia akan menghasilkan beberapa simptom:

  • Jika merebak ke tulang, ia akan menyebabkan tulang tersebut sakit
  • Jika ia merebak ke tulang belakang, ia akan menyebabkan pesakit tersebut lumpuh bergantung kepada tulang belakang nombor ke berapa
  • Jika merebak ke bahagian otak menyebabkan kanser otak, ia akan menyebabkan sakit kepala, lumpuh ataupun sawan

3. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain dimana ia mungkin mempunyai simptom yang sama. Penyakit tersebut adalah:

4. Penyiasatan

Pesakit yang mempunyai risiko seperti penghisap rokok yang mempunyai simptom masalah paru-paru perlulah menjalani beberapa ujian untuk memastikan pesakit tidak mempunyai penyakit yang serius seperti kanser paru-paru.

Ujian yang mudah untuk melihat masalah pada paru-paru adalah X-ray dada

X-ray dada

X-ray dada adalah penting untuk melihat kawasan paru-paru sama ada ia mempunyai jangkitan kuman ataupun mempunyai ketumbuhan. X-ray juga boleh menunjukkan sama ada paru-paru pesakit mempunyai air ataupun tidak. Ini kerana salah satu komplikasi kanser paru-paru adalah paru-paru tersebut mungkin akan dipenuhi dengan air

CT scan dan MRI

Kedua-dua pengimbas ini boleh digunakan untuk melihat kanser di dalam paru-paru. Malah ia juga boleh digunakan untuk melihat kanser yang mungkin sudah merebak ke kawasan badan yang lain

Bronkoskopi

Ia dinamakan bronkoskopi kerana ia berfungsi untuk melihat kawasan bronchus iaitu saluran di dalam paru-paru. Ia seperti tiub yang mempunyai kamera dihujungnya.

Ia bertujuan untuk melihat keadaan dalam bronchus dan jika terdapat ketumbuhan pada saluran tersebut, sedikit sample biopsi akan diambil untuk menentukan sama ada sel tersebut kanser ataupun tidak.

Pengimbas tulang(Bone Scan)

Ia digunakan untuk mengesan sama ada kanser tersebut sudah merebak ke kawasan tulang ataupun tidak

Kesemua ujian yang dibuat ini adalah untuk mengesan kanser dan juga untuk memastikan bahawa kanser tersebut pada tahap ke berapa.

5. Rawatan

Rawatan kanser paru-paru adalah bergantung kepada jenis kanser, tahapan kanser dan keadaan pesakit.

Rawatan utama bagi pesakit ini adalah dengan melakukan pembedahan bagi membuang kanser yang terlibat

Pembedahan

Pembedahan untuk membuang kanser merupakan rawatan utama bagi pesakit kanser paru-paru. Kaedah ini mempunyai kadar penyembuhan yang tinggi jika tahapan kanser masih lagi rendah. Ia terdiri daripada beberapa jenis pembedahan iaitu:

  • Lobectomy: Bermaksud membuang satu lobul daripada sebahagian organ paru-paru. Ia dilakukan jika saiz kanser tersebu masih kecil dan tidak melibatkan satu paru-paru
  • Pneumonectomy: Bermaksud membuang satu paru-paru sama ada paru-paru sebelah kiri ataupun kanan bergantung kepada tempat kanser. Ini bermakna pesakit selepas daripada itu akan hidup dengan satu paru-paru sahaja
  • Video-assisted thoracoscopic surgery: Dalam pembedahan ini ia melibatkan luka yang kecil pada dinding dada. Kamera dimasukkan dalam ruang dalam dada untuk pergi ke kawasan kanser. Kemudian kanser tersebut akan dibuang dengan bantuan kamera.

Radioterapi

Pesakit yang berada pada tahapan awal tetapi tidak sesuai untuk pembedahan akan menjalani terapi ini. Ia dilakukan hanya ketika pesakit tersebut tidak boleh dilakukan pembedahan mungkin disebabkan penyakit yang lain ataupun paru-parunya mempunyai masalah

Kemoterapi

Kemoterapi juga akan diberikan kepada pesakit untuk membunuh sel kanser yang masih berada di dalam badan

Rawatan paliatif

Jika kanser tersebut sudah merebak ke bahagian badan yang lain bermakna tahapan kanser tersebut adalah pada tahap 4. Pemebedahan untuk membuang kanser yang sedia ada adalah tidak efektif.

Selalunya pesakit pada tahap ini akan diberi rawatan paliatif dimana ianya untuk mengurangkan simptom kanser tersebut seperti:

  • Mengurangkan rasa sakit
  • Mengurangkan rasa sesak nafas
  • Merawat kemurungan
  • Mengurangkan rasa loya
  • Mengurangkan simptom muntah-muntah

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Spiro SG, Gould MK, Colice GL. Initial evaluation of the patient with lung cancer: symptoms, signs, laboratory tests, and paraneoplastic syndromes: ACCP evidenced-based clinical practice guidelines (2nd edition). Chest. 2007 Sep. 132(3 Suppl):149S-160S
  2. Strand TE, Brunsvig PF, Johannessen DC, et al. Potentially curative radiotherapy for non-small-cell lung cancer in Norway: a population-based study of survival. Int J Radiat Oncol Biol Phys. 2011 May 1. 80(1):133-41.
  3. Detterbeck FC, Lewis SZ, Diekemper R, Addrizzo-Harris D, Alberts WM. Executive Summary: Diagnosis and management of lung cancer, 3rd ed: American College of Chest Physicians evidence-based clinical practice guidelines. Chest. 2013 May. 143(5 Suppl):7S-37S.
  4. Ito H, Matsuo K, Tanaka H, et al. Nonfilter and filter cigarette consumption and the incidence of lung cancer by histological type in Japan and the United States: analysis of 30-year data from population-based cancer registries. Int J Cancer. 2011 Apr 15. 128(8):1918-28.
  5. Molina JR, Yang P, Cassivi SD, Schild SE, Adjei AA. Non-small cell lung cancer: epidemiology, risk factors, treatment, and survivorship. Mayo Clin Proc. 2008 May. 83(5):584-94
  6. Sumber featured image: cancercouncil.com.au
Categories: Pembedahan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa