109Shares

Kanser payudara merupakan kanser yang tertinggi dihadapi oleh kaum wanita. Dan ia juga penyebab utama kepada kematian disebabkan kanser pada kaum wanita.

Kebanyakan daripada kanser payudara di awalnya tidak mempunyai sebarang simptom seperti rasa sakit ataupun tidak selesa pada payudara. Oleh sebab itu, kadang-kadanga kanser ini dikesan apabila seseorang itu melakukan pemeriksaan mammogram sebelum pesakit sendiri merasai ketulan tersebut.

Oleh itu, secara klinikal, untuk mengesan dan memastikan seseorang itu mengalami kanser payudara, ia memerlukan 3 jenis pemeriksaan iaitu pemeriksaan secara klinikal dimana pesakit ataupun perawat kesihatan sendiri melakukan pemeriksaan payudara pada pesakit. Kemudian diikuti dengan pemeriksaan mammogram ataupun ultrasound. Jika ketulan yang tidak normal ditemui, pesakit akan pergi ke pemeriksaan seterusnya iaitu menggunakan jarum biopsi. Jarum akan dicucuk ke dalam ketulan tersebut untuk mengambil sedikit sampel bagi memastikan sama ada ia kanser ataupun tidak.

1. Anatomi (Struktur Payudara)

Payudara seseorang wanita dewasa adalah satu kalenjar yang menghasilkan susu terletak pada dinding dada. Ia terletak pada otot dibahagian depan dada iaitu pektoralis major.

Ia disokong oleh ligament cooper dimana ia seperti tali yang memegang buah dada supaya ia tidak jatuh kebawah.

Ia mempunyai 15-20 lobul yang berfungsi untuk menghasilkan susu.

2. Punca Kanser Payudara

Kajian epidemiologi telah mengenalpasti beberapa faktor risiko berkaitan dengan kanser payudara pada kaum wanita. Faktor risiko ini adalah:

1. Umur

Mereka yang berusia lebih daripada 40 tahun ke atas mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan wanita yang lebih muda

Risiko ini meningkat semakin tinggi pada mereka yang berumur 50 dan juga 70 tahun. Ia mempunyai 2 masa yang berbeza mungkin disebabkan jenis kanser yang berlaku.

Selalunya kanser yang berlaku pada umur 50 tahun adalah lebih teruk kerana ia senang merebak dan tidak sensitif dengan rawatan hormon. Manakala kanser payudara yang berlaku pada umur 70 tahun lebih lambat membesar dan boleh dirawat dengan rawatan hormon

2. Sejarah Keluarga dengan penyakit kanser

Sejarah keluarga yang mempunyai kanser payudara meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami perkara yang sama. Risikonya adalah 4 kali ganda jika seseorang ahli keluarga itu mengalami kanser payudara.

Ahli keluarga yang mempunyai kanser ovari juga akan meningkatkan risiko seseorang itu untuk mengalami kanser payudara.

Beberapa sejarah keluarga yang meningkatkan risiko untuk seseorang itu mengalami kanser payudara adalah:

  • 2 atau lebih ahli keluarga yang pernah mengalami kanser payudara atau kanser ovari
  • Kanser yang berlaku pada ahli keluarga yang berumur kurang daripada 50 tahun
  • Ahli keluarga yang mempunyai kanser payudara dan juga kanser ovari
  • Ahli keluarga lelaki yang mempunyai kanser payudara
  • Mutasi pada Genetik BRCA1 dan BRCA2

3. Faktor hormon

Mereka yang mengalami masalah hormon ataupun sejarah reproduktif yang lambat juga akan akan meningkatkan risiko. Faktor risiko tersebut adalah:

  • Pertama kali mengandung pada waktu sudah berumur
  • Tidak pernah mengandung
  • Mula datang haid pada usia muda
  • Menopause pada lewat usia

4. Sejarah kanser payudara sebelum ini

Mereka yang mempunyai kanser tersebut sebelum ini akan mempunyai risiko yang lenih tinggi berbanding orang lain

5. Obesiti
6. Merokok
7. Minum alkohol

3. Simptom dan tanda kanser payudara

Terdapat beberapa simptom dan perubahan yang boleh dilihat pada payudara. Ianya adalah

  • Ketulan pada bahagian payudara
  • Perubahan dalam bentuk dan saiz payudara. Contoh payudara sebelah kiri lebih ketara saiznya berbanding kanan
  • Perubahan pada kulit(Semakin menebal, berbonjol ataupun kemerah-merahan)
  • Baru sahaja mengalami puting yang ditarik kedalam (inverted nipple)
  • Keluar cecair seperti darah daripada puting
  • Bengkak ataupun terdapat ketulan pada bahagian ketiak

Kanser payudara mungkin telah merebak ke kawasan lain jika pesakit mengalami simptom seperti:

  • Susah bernafas
  • Sakit pada kawasan tulang
  • Perut membesar (seperti busung)
  • Mata kekuningan
  • Sakit kepala yang teruk
  • Fungsi kognitif pesakit semakin berkurangan

4. Penyiasatan

Pesakit selalunya akan menjalani 3 prosedur yang penting untuk menentukan dia mempunyai kanser tersebuta ataupun tidak.

Ianya adalah:

  • Pemeriksaan payudara secara fizikal
  • Pengimejan menggunakan mammography ataupun ultrasound
  • Biopsi Jarum (needle biopsy)

Pemeriksaan fizikal adalah penting untuk mengetahui lokasi ketumbuhan itu. Ia juga penting untuk melihat sama ada kanser tersebut sudah merebak ketempat lain ataupun tidak.

Diiukti dengan mammogram ataupun ultrasound untuk melihat karakter ketumbuhan tersebut. Kemudian, sedikit sampel akan diambil melalui prosedur biopsi jarum iaitu satu jarum akan dicucuk ke kawasan yang terlibat untuk mengetahui jenis sel yang terdapat dikawasan tersebut.

Jika ia disahkan kanser, maka pesakit akan menjalani rawatan yang seterusnya iaitu pembedahan dan/atau kemoterapi.

Terdapat juga pengimejan seperti CT scan dan MRI yang digunakan untuk melihat sama ada kanser tersebut sudah merebak ketempat lain ataupun tidak. Ini penting untuk menentukan tahapan kanser tersebut.

5. Rawatan

Pembedahan merupakan rawatan utama untuk membuang kanser yang berada pada payudara yang terlibat. Penggunaan kemoterapi itu adalah bergantung kepada tahapan dan saiz kanser tersebut. Ada kanser yang diberi kemoterapi selepas pembedahan dibuat. Ada kanser yang saiznya besar, diberi kemoterapi terlebih dahulu sebelum pembedahan dibuat untuk mengecilkan saiznya.

Pembedahan

Terdapat beberapa jenis pembedahan payudara yang boleh dilakukan

  1. Lumpectomy: Ia melibatkan pembuangan kawasan kanser sahaja. Ia tidak melibatkan pembuangan seluruh payudara. Jenis pembedahan ini selalu dibuat untuk kawasan kanser yang kecil dan juga bagi mereka yang berada diawal usia.
  2. Total mastectomy: Pembuangan seluruh payudara yang terlibat. Selalunya melibatkan saiz kanser yang lebih besar ataupun mereka yang sudah berumur
  3. Radical mastectomy: Ia melibatkan pembuangan payudara berserta otot dibawah payudara tersebut. Selalunya pembedahan jenis ini akan melibatkan juga pembuangan kalenjar limfa dibahagian ketiak. Ini kerana dirisaukan yang kanser tersebut akan merebak ke bahagian lain terutamanya pada kelenjar limfa di bahagian ketiak.

Kemoterapi

Kemoterapi adalah penting untuk membunuh sel kanser yang masih wujud selepas kanser tersebut dibuang. Ia juga mungkin akan digunakan sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz kanser tersebut.

Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin akan dihadapi oleh pesakit. Ianya adalah:

  • Kurang selera makan
  • Keguguran Rambut
  • Rasa loya dan muntah
  • Kitar haid yang terganggu
  • Pesakit lebih mudah dijangkiti
  • Rasa letih

Terapi Hormon

Terdapat juga satu rawatan yang dinamakan sebagai terapi hormon untuk menghapuskan dan juga mengelakkan daripada kanser payudara berlaku semula. Ia hanya spesifik untuk beberapa jenis kanser sahaja.

Apabila kanser dibuang daripada badan, kanser tersebut akan dihantar ke makmal untuk diperiksa sama ada mempunyai reseptor ER ataupun PR. Jika kanser tersebut mempunyai reseptor yang dinyatakan, maka barulah terapi hormon sesuai untuk dijalankan pada pesakit ini.

Terapi hormon ini akan ditentukan sama ada perlu ataupun tidak mengikut doktor yang merawat pesakit.

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa
Bacaan seterusnya: Kanser usus, Punca, Simptom dan Rawatan

Rujukan:

  1. Torre LA, Bray F, Siegel RL, Ferlay J, Lortet-Tieulent J, Jemal A. Global cancer statistics, 2012. CA Cancer J Clin. 2015 Mar. 65(2):87-108.
  2. Siegel RL, Miller KD, Jemal A. Cancer statistics, 2018. CA Cancer J Clin. 2018 Jan. 68 (1):7-30.
  3. Recht A, Edge SB, Solin LJ, Robinson DS, Estabrook A, Fine RE, et al. Postmastectomy radiotherapy: clinical practice guidelines of the American Society of Clinical Oncology. J Clin Oncol. 2001 Mar 1. 19(5):1539-69
  4. Parmigiani G, Chen S, Iversen ES Jr, Friebel TM, Finkelstein DM, Anton-Culver H, et al. Validity of models for predicting BRCA1 and BRCA2 mutations. Ann Intern Med. 2007 Oct 2. 147(7):441-50.
  5. Kelsey JL, Bernstein L. Epidemiology and prevention of breast cancer. Annu Rev Public Health. 1996. 17:47-67
  6. Deligeoroglou E, Michailidis E, Creatsas G. Oral contraceptives and reproductive system cancer. Ann N Y Acad Sci. 2003 Nov. 997:199-208.
  7. Hankinson SE, Eliassen AH. Circulating sex steroids and breast cancer risk in premenopausal women. Horm Cancer. 2010 Feb. 1(1):2-10.
  8. Page DL. Breast lesions, pathology and cancer risk. Breast J. 2004 Jan-Feb. 10 Suppl 1:S3-4
  9. Holmes MD, Liu S, Hankinson SE, Colditz GA, Hunter DJ, Willett WC. Dietary carbohydrates, fiber, and breast cancer risk. Am J Epidemiol. 2004 Apr 15. 159(8):732-9
  10. Morrow M, Van Zee KJ, Solin LJ, Houssami N, Chavez-MacGregor M, Harris JR, et al. Society of Surgical Oncology-American Society for Radiation Oncology-American Society of Clinical Oncology Consensus Guideline on Margins for Breast-Conserving Surgery With Whole-Breast Irradiation in Ductal Carcinoma in Situ. Pract Radiat Oncol. 2016 Sep-Oct. 6 (5):287-95.
Categories: Pembedahan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

4 Comments

PENANDA TUMOR(TUMOR MARKER), BOLEH GUNA UNTUK SARING KANSER ATAUPUN TIDAK? - Root of Science · February 20, 2018 at 8:32 am

[…] Ia membawa maksud jika ujian itu positif, ia benar-benar mempunyai kanser jenis itu sahaja. Sebagai contoh ujian saringan kolonoskopi iaitu kamera dimasukkan ke dalam saluran usus untuk melihat keadaan dalam usus besar. Jika ada kanser, maka ia adalah spesifik menunjukkan dia ada kanser usus. Tidaklah tiba-tiba dia ada kanser usus sekali dengan kanser payudara. […]

EPISOD 1: BAGAIMANA SAYA DIDIAGNOS MENGHIDAP KANSER PAYUDARA - Puan Eliyana - Root of Science · February 20, 2018 at 8:34 am

[…] Setelah seminggu menunggu, keputusannya adalah kanser payudara. […]

Benarkah Deodoran Menyebabkan Kanser Payudara? - Root of Science · February 20, 2018 at 8:35 am

[…] Berlegar-legar lagi artikel mengenai ‘bahaya’ deodoran yang menyebabkan kanser payudara. Sebenarnya, artikel ini adalah terjemahan secara literal dari artikel berbahasa inggeris dalam email berantai yang dikesan sejak tahun 1990an lagi. Fakta utama dalam artikel tersebut menyatakan kandungan aluminium chlorhydrate dalam deodoran dan antipeluh (antiperspirant) mampu menyebabkan kanser payudara. […]

Penemuan terbaru: Pengkaji sudah menemukan cara untuk kesan kanser dengan hanya mengambil darah sahaja. - Root of Science · March 13, 2018 at 5:05 am

[…] Pedram Razavi berserta ahli pengkaji yang lain mengambil darah daripada 123 pesakit kanser payu dara, kanser prostat dan kanser paru-paru dan mereka dapat mengesan 89 peratus DNA kanser daripada […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *