Kanser prostat merupakan salah satu kanser yang selalu berlaku dikalangan lelaki. Ia boleh menjadi kanser yang lambat membesar tetapi ribuan lelaki telah meninggal dunia setiap tahun disebabkan kanser ini.

Kebanyakan daripada pesakit yang mempunyai kanser prostat tidak mempunyai apa-apa simptom. Pengesanan kanser tersebut hanya dibuat ketika mana bacaan prostate-spesific antigen(PSA) tinggi dalam seseorang pesakit.

Saringan untuk kanser prostat adalah sesuatu yang kontroversi kerana kebanyakan kajian berlawanan antara satu sama lain. Oleh itu, pesakit yang mempunyai faktor risiko dan juga simptom adalah dinasihatkan untuk membuat saringan ataupun ujian PSA bagi melihat bacaan tersebut.

Anatomi prostat

Prostat terletak dibahawa pundi kencing dan didalamnya mengandungi saluran air kencing iaitu urethra sebelum saluran tersebut memasuki zakar.

Ia berfungsi menghasilkan semen ketika ejakulasi berlaku

Patofisiologi (Bagaimana kanser prostat berlaku?)

Mutasi pada genetik yang mengawal pembahagian sel berlaku menyebabkan sel membahagi secara tidak terkawal. 95% daripada kanser prostat adalah jenis adenocarcinoma. Pembahagian yang tidak terkawal ini akan menyebabkan kanser membesar dan boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Kanser ini mudah untuk merebak selalunya terus ke bahagian tulang tanpa melibatkan kalenjar limfa. Ia juga akan membesar dan merebak ke kawasan sekeliling prostat tersebut seperti pundi kencing. Ketika mana ia terlalu besar, ia akan menyebabkan saluran air kencing tertutup dan pesakit akan mengalami masalah ketika hendak membuat air.

Punca kanser prostat

Kadar berlakunya kanser prostat yang berbeza di antara penduduk di dunia mungkin terkait dengan faktor genetik. Sebagai contoh mereka yang berketurunan afrika mempunyai risiko untuk mengalami kanser prostat yang lebih tinggi berbanding dengan orang asia.

Juga orang asia yang berpindah ke amerika syarikat juga menunjukkan peningkatan kanser prostat yang tinggi. Ini menunjukan ia mungkin ada kaitan dengan persekitaran dikawasan tersebut termasuk pemakanan di sana.

Ahli keluarga yang mempunyai kanser prostat juga meningkatkan risiko seseorang itu mengalami masalah yang sama.

Beberapa faktor risiko yang meningkatkan kebarangkalian untuk seseorang itu menghadapi kanser prostat adalah:

  • Bangsa: Orang afrika mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi untuk menghadapi masalah prostat berbanding orang kita
  • Diet: Mereka yang selalu mengambil makanan berlemak dan juga obese mempunyai risiko yang lebih tinggi
  • Keturunan: Ahli keluarga yang mempunyai masalah kanser prostate akan meningkatkan kebarangkalian kita untuk menghadapi masalah yang sama.
  • Penggunaan ubat 5-alpha reductase

Simptom dan Tanda Kanser Prostat

Terdapat beberapa tanda dan simptom jika seseorang itu menghadapi kanser prostat. Tetapi perlu diketahui bahawa majoriti pesakit tidak mempunyai apa-apa simptom sehinggalah kanser tersebut terlampau besar ataupun ia telah merebak ke tempat lain.

Simptom-simptom tersebut adalah:

  • Kencing tak lawas
  • Kencing kerap
  • Kencing berdarah
  • Sakit ketika buang air kecil
  • Sakit belakang
  • Kena meneran untuk mengeluarkan air kencing
  • Tidak boleh buang air kencing langsung
  • Kurang berat badan yang ketara
  • Sakit pada bahagian tulang(Jika kanser tersebut telah merebak ke bahagian tulang)

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang mungkin menunjukkan simptom yang sama sepert:

  • Kencing kotor(Jangkitan kuman pada saluran air kencing)
  • Benign Prostatic Hyperplasia
  • Jangkitan pada Kelanjar prostat

Penyiasatan

Terdapat beberapa cara untuk mengesan dan memastikan samada seseorang itu mempunyai kanser prostat ataupun tidak.

1. Prostate Specific Antigen(PSA)

Ujian ini dilakukan dengan mengambil darah pesakit untuk melihat bacaan PSA. Ujian tersebut akan mengesan bahan yang dilepaskan oleh prostat ketika sel di kawasan tersebut mati.

Bagi pesakit kanser prostat, bacaannya akan tinggi disebabkan banyak sel kanser yang cepat membahagi pecah dan mati melepaskan PSA daripada sel kanser tersebut.

Bacaan PSA juga akan sedikit tinggi jika pesakit menghadapi masalah Benign Prostatic Hyperplasia, jangkitan prostat dan juga setelah melakukan pemeriksaan bahagian prostat

2. Digital Rectal Examination (DRE)

Dalam prosedur ini, jari akan dimasukkan ke dalam dubur untuk memeriksa keadaan prostat sama ada ia normal atau tidak berserta saiznya.

Prosedur ini akan meningkatkan bacaan PSA. Oleh itu, pesakit perlulah mengambil darah untuk bacaan PSA terlebih dahulu sebelum pemeriksaan ini dilakukan

3. Trans Rectal Ultrasound (TRUS)

Prosedur ini melibatkan penggunaan ultrasound yang akan dimasukkan ke dalam dubur untuk melihat keadaan prostat. Ia juga akan digunakan untuk prosedur yang seterusnya iaitu untuk pengambilan biopsi daripada kalenjar prostat

4. Biopsi

Jika pesakit disyaki mempunyai kanser hasil daripada ujian PSA, DRE dan TRUS, ujian biopsi akan dilakukan dimana sedikit sampel akan diambil menerusi dubur untuk dilihat dibawah mikroskop.

Ini penting untuk menentukan samada ia sel disitu benar-benar kanser ataupun tidak.
Penggunaan CT-scan dan juga MRI diperlukan untuk melihat sama ada kanser tersebut telah merebak dikawasan sekelilingnya ataupun merebak ke tempat lain.

Rawatan

Rawatan kanser prostat bergantung kepada tahapan kanser yang pesakit hadapi.

Pesakit yang sudah berumur, mempunyai penyakit seperti kencing manis, lemah jantung dan sebagainya adalah dinasihatkan untuk menjalani rawatan jenis ‘watchful waiting'(Menunggu dengan berjaga-jaga).

Dalam pesakit ini, pembedahan, kemoterapi dan juga radioterapi tidak akan meningkatkan kualiti hidupnya. Rawatan seperti ini mungkin akan menyebabkan keadaan pesakit menjadi lebih teruk dan pesakit mungkin akan meninggal lebih awal disebabkan rawatan yang diterima olehnya.

Bagi pesakit yang masih mampu untuk menjalani rawatan yang agresif, terdapat beberapa prosedur yang pesakit akan jalani. Ianya adalah:

  1. Pembedahan seperti Radical Prostatectomy adalah pembedahan bertujuan untuk membuang kanser prostate tersebut berserta kawasan di sekelilingnya termasuk kalenjar limfa dikawasan tersebut
  2. Radioterapi. Dalam Prosedur ini ia akan menggunakan sinaran radiasi untuk menghapuskan sel kanser yang ada pada prostat. Terdapat dua cara iaitu pancaran radiasi daripada luar dan juga brachytherapy dimana di dalam brachytherapy satu bahan akan disuntik dalam prostat yang boleh memberikan sinaran radiasi secara berterusan di kawasan tersebut
  3. Penggunaan Ubat terapi hormon: Ubat ini digunakan untuk mengurangkan hormon andorgen iaitu testosterone dalam badan. Ini kerana salah satu penyebabkan kanser prostat membesar adalah disebabkan kewujudan hormon androgen tersebut. Dengan kita mengurangkan hormon androgen itu, kanser prostat tersebut tidak lagi membesar.

Rujukan:

  1. Thompson IM, Pauler DK, Goodman PJ, Tangen CM, Lucia MS, Parnes HL, et al. Prevalence of prostate cancer among men with a prostate-specific antigen level < or =4.0 ng per milliliter. N Engl J Med. 2004 May 27. 350 (22):2239-46.
  2. Wolf AM, Wender RC, Etzioni RB, Thompson IM, et al. American Cancer Society guideline for the early detection of prostate cancer: update 2010. CA Cancer J Clin. 2010 Mar-Apr. 60(2):70-98.
  3. Ewing CM, Ray AM, Lange EM, Zuhlke KA, Robbins CM, et al. Germline mutations in HOXB13 and prostate-cancer risk. N Engl J Med. 2012 Jan 12. 366(2):141-9.
  4. Andriole GL, Bostwick DG, Brawley OW, Gomella LG, et al. Effect of dutasteride on the risk of prostate cancer. N Engl J Med. 2010 Apr 1. 362(13):1192-202.
  5. FDA Drug Safety Communication: 5-alpha reductase inhibitors (5-ARIs) may increase the risk of a more serious form of prostate cancer. U.S. Food & Drug Administration. Available at http://www.fda.gov/Drugs/DrugSafety/ucm258314.htm.
  6. Kenfield SA, Stampfer MJ, Chan JM, Giovannucci E. Smoking and prostate cancer survival and recurrence. JAMA. 2011 Jun 22. 305(24):2548-55.
  7. Prostate Cancer. National Comprehensive Cancer Network. Available at http://www.nccn.org/professionals/physician_gls/pdf/prostate.pdf. Version 1.2018
Categories: Pembedahan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa