Kanser usus besar ataupun dikenali sebagai kanser kolorektal merupakan salah satu kanser yang boleh dielakkan. Di US, saringan kanser usus yang meluas telah menyebabkan peratusan mereka yang terkena kanser usus semakin berkurangan.

Ini kerana program saringan kolon mampu mengesan kanser kolon yang baru sahaja hendak terbentuk ataupun ketumbuhan pra-kanser. Ia juga dapat mengesan kanser kolon pada tahap permulaan membuatkan rawatan kanser tersebut lebih mudah, berkesan dan pesakit boleh sembuh daripada masalah tersebut.

Di Malaysia, Kanser kolon telah menjadi kanser kedua tertinggi bagi kaum lelaki dan ketiga tertinggi bagi kaum wanita. Disebabkan perkara ini, kementerian kesihatan Malaysia telah menjalankan Saringan kanser usus untuk mengurangkan kadar kanser di negara ini.

1. Patofisiologi (Bagaimana kanser usus berlaku?)

Kanser usus adalah penyakit yang kompleks bermula dari pengubahsuaian yang berlaku pada genetik menyebabkan timbulnya polip di permukaan usus besar. Polip merupakan unjuran pada bahagian dalam usus besar disebabkan pembahagian sel yang tidak normal. Polip merupakan ketumbuhan pra-kanser. Bila ia dibiarkan ia akan berubah menjadi kanser dan mampu merebak keseluruh bahagian badan

Mereka yang mempunyai masalah ‘familial adenomatous polyposis’ adalah orang yang berisiko untuk menghadapi kanser usus. Ini kerana genetik mereka mempunyai masalah hingga menyebabkan usus mereka mudah untuk mengalami ketumbuhan polip.

2. Punca kanser usus

Kanser usus besar mempunyai pelbagai faktor yang membawa kepada masalah tersebut. Ia boleh disebabkan pada masalah genetik, masalah persekitaran dan juga keradangan yang berlaku pada bahagian usus tersebut.

Masalah genetik

Terdapat beberapa jenis masalah genetik yang akan meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghadapi masalah kanser. Ianya adalah:

  • Familial adenomatous polyposis: Dalam masalah ini, pesakit akan berisiko untuk 100% menghadapi kanser kolon pada umur 40 tahun. Dalam pesakit ini, polip pada dinding usus mudah tumbu
  • Heriditary Nonpolyposis Colon Cancer Syndrome: Dalam masalah ini, pesakit mempunyai risiko sebanya 40% untuk mengalami kanser usus besar. Dia juga akan mudah untuk mengalami kanser tempat buang air kencing dan juga kanser rahim
    Masalah persekitaran/ Diet

Kajian telah menemukan bahawa golongan yang selalu makan diet seperti dibawah berisiko untuk mengalami kanser usus. Diet tersebut adalah:

  • Daging merah terproses ataupun lemak haiwan
  • Diet yang kurang serat
  • Kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran

Masalah keradangan

Mereka yang mengalami masalah keradangan usus seperti ulcerative colitis dan juga Crohn disease mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami kanser usus

Selain daripada faktor risiko diatas, dibawah ini juga merupakan faktor yang akan meningkatkan risiko untuk anda menghadapi kanser tersebut

  • Umur: Melebihi 50 tahun
  • Sejarah keluarga yang mempunyai kanser. Terutamanya kanser usus, ovari dan juga rahim
  • Pengambilan alkohol
  • Mereka yang mengalami obesiti
  • Merokok

3. Simptom dan tanda tanda kanser usus

Terdapat beberapa tanda yang seseorang itu mungkin menghadapi masalah tersebut. Ianya adalah:

  • Sifat najis yang berubah-ubah bersama dengan kekerapannya. Sebagai contoh, pada bulan ini setiap hari cirit-birit dan pada bulan hadapan pula asyik sembelit
  • Najis mempunyai darah ataupun berwarna gelap. (Najis mempunyai darah juga boleh disebabkan masalah buasir)
  • Pesakit asyik merasa penat
  • Muka pucat
  • Berat badan turun dengan mendadak
  • Perut asyik rasa tidak selesa
  • Rasa ingin buang air besar selalu, walaupun tiada apa-apa yang keluar.

4. Penyiasatan

Jika seseorang itu sudah mempunyai simptom kanser usus, terdapat beberapa ujian dan prosedur yang perlu dibuat untuk mengesan penyakit tersebut

Pengambilan darah

Darah yang diambil boleh digunakan untuk mengetahui beberapa perkara seperti

  • Bilangan sel darah merah. Dalam kanser usus ataupun jenis kanser yang lain selalunya sel darah merah akan berkurangan
  • Fungsi hati. Penting untuk mengetahui tahap fungsi hati kerana jika ianya terjejas, mungkin kanser telah pun merebak pada bahagian tersebut

Prosedur Kolonoskop

Dalam prosedur ini, kamera akan dimasukkan melalui dubur untuk melihat keadaan usus besar. Pesakit akan diminta mengambil satu jenis ubat untuk mengeluarkan semua najis dalam usus tersebut supaya kamera mudah melihat dinding usus.

Jika ada sebarang ketumbuhan, polip atau apa-apa yang tidak normal pada dinding usus, sampel akan diambil dan dihantar ke makmal untuk pemeriksaan selanjut bagi memastikan samada kawasan tersebut mempunyai sel kanser ataupun tidak.

Jika ia polip, polip tersebut akan dipotong dan dihantar ke makmal.

Pengimejan

Jika seseorang itu telah disahkan mempunyai kanser, beberapa pengimejan perlu dilakukan untuk menentukan tahapan kanser seseorang. Pengimejan tersebut adalah seperti CT-Scan, MRI dan juga Positron Emission tomography(PET) untuk mengetahui sama ada kanser tersebut telah merebak ke tempat lain ataupun tidak

5. Rawatan

Rawatan bagi kanser usus adalah dengan menggunakan kaedah pembedahan sahaja iaitu untuk kanser pada tahap 1 hingga 3. Pembedahan dilakukan untuk membuang bahagian usus yang mempunyai kanser tersebut. Ia boleh dilakukan menggunakan cara laparoskopik iaitu memasukkan kamera terus daripada abdomen ataupun belah abdomen(Open surgery).

Untuk kanser tahap ke-4, selalunya rawatan kita adalah lebih kepada rawatan paliatif. Bermaksud kita memberikan keselesaan kepada pesakit. Contoh kalau dia sakit kita bagi ubat tahan sakit, kalau tak selesa kita bagi dia selesa, kalau muntah-muntah kita bagi ubat tahan muntah.

Bagi kemoterapi pula, kita hanya beri mengikut tahapan kanser sahaja. Penggunaan kemoterapi akan ditentukan oleh doktor yang merawat sama ada perlu ataupun tidak

6. Pencegahan (Bagaimana nak cegah kanser usus?)

Terdapat beberapa perkara yang kita boleh buat untuk mencegah kanser usus. Ianya adalah:

  • Saringan kanser usus. Boleh rujuk pada link ini
  • Perubahan gaya hidup

Dalam perubahan gaya hidup, pesakit perlulah menjalani hidup sihat dengan

  • Melakukan senaman setiap minggu agar berat badan ideal dapat dicapai
  • Berhenti merokok
  • Kurangkan ataupun berhenti daripada mengambil alkohol
  • Mempunyai diet yang sihat. Kurangkan daging terperoses ini kerana ia boleh meningkatkan risiko untuk terkena kanser usus

Rujukan:

  1. PDQ Adult Treatment Editorial Board. Colon Cancer Treatment–Health Professional Version. National Cancer Institute. Available at http://www.cancer.gov/types/colorectal/hp/colon-treatment-pdq.
  2. Desch CE, Benson AB 3rd, Somerfield MR, et al. Colorectal cancer surveillance: 2005 update of an American Society of Clinical Oncology practice guideline. J Clin Oncol. 2005 Nov 20. 23(33):8512-9.
  3. Vogelstein B, Fearon ER, Hamilton SR, Kern SE, Preisinger AC, Leppert M, et al. Genetic alterations during colorectal-tumor development. N Engl J Med. 1988 Sep 1. 319(9):525-32.
  4. Meyerhardt JA, Niedzwiecki D, Hollis D, et al. Association of dietary patterns with cancer recurrence and survival in patients with stage III colon cancer. JAMA. 2007 Aug 15. 298(7):754-64.
  5. Aune D, Chan DS, Lau R, et al. Dietary fibre, whole grains, and risk of colorectal cancer: systematic review and dose-response meta-analysis of prospective studies. BMJ. 2011 Nov 10. 343:d6617.
  6. Pala V, Sieri S, Berrino F, et al. Yogurt consumption and risk of colorectal cancer in the Italian European prospective investigation into cancer and nutrition cohort. Int J Cancer. 2011 Dec 1. 129(11):2712-9.
  7. Tsoi KK, Pau CY, Wu WK, Chan FK, Griffiths S, Sung JJ. Cigarette smoking and the risk of colorectal cancer: a meta-analysis of prospective cohort studies. Clin Gastroenterol Hepatol. 2009 Jun. 7(6):682-688.e1-5
  8. Cho E, Lee JE, Rimm EB, Fuchs CS, Giovannucci EL. Alcohol consumption and the risk of colon cancer by family history of colorectal cancer. Am J Clin Nutr. 2012 Feb. 95(2):413-9
  9. Siegel RL, Fedewa SA, Anderson WF, Miller KD, Ma J, Rosenberg PS, et al. Colorectal Cancer Incidence Patterns in the United States, 1974–2013. J Natl Cancer Inst. 28 February 2017. 109
  10. Rex DK, Johnson DA, Anderson JC, Schoenfeld PS, Burke CA, Inadomi JM. American College of Gastroenterology guidelines for colorectal cancer screening 2009. Am J Gastroenterol. 2009 Mar. 104(3):739-50.
Categories: Pembedahan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

2 Comments

Buat Rawatan ALTERNATIF untuk kanser. Akhirnya, terdampar di hospital juga - Root of Science · November 14, 2018 at 5:25 am

[…] saya ni sebenarnya ada kanser usus“, anaknya berkata dengan nada yang […]

PENANDA TUMOR(TUMOR MARKER), BOLEH GUNA UNTUK SARING KANSER ATAUPUN TIDAK? - Root of Science · November 14, 2018 at 5:39 am

[…] Carcinoembrayonic antigen/CEA: selalunya tinggi pada kanser usus […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *