Katarak adalah masalah penglihatan yang berlaku dimana pemandangan menjadi kabur disebabkan kanta dibahagian mata yang kabur. Bagi mereka yang mempunyai masalah ini pemandangan mereka adalah seperti kaca yang berwap.

Pandangan mata yang kabur akan meyebabkan masalah membaca, membawa kereta dan juga melihat muka mereka yang terdekat.

Kebanyakan masalah ini berlaku dengan perlahan-lahan tetapi ia akan menganggu penglihatan apabila ia menjadi semakin teruk

Simptom dan tanda tanda katarak

Beberapa simptom dan tanda tanda katarak adalah:

  • Pemandangan mata yang berterusan kabur
  • Pemandangan menjadi lebih teruk di waktu malam
  • Sensitif bila terkena cahaya
  • Memerlukan lampu yang terang untuk membaca
  • Pemandangan yang menjadi seolah-olah dua

Pada mulanya, pemandangan yang kabur itu hanya memberi kesan kepada sebahagian kecil kawasan mata. Tetapi apabila kawasan itu semakin besar, ia akan menyebabkan gangguan kepada cahaya yang memasuki dalam mata menyebabkan pemandangan menjadi lebih kabur dengan masa

Punca katarak

Majoriti daripada pesakit yang mempunyai masalah ini selalunya disebabkan proses penuaan. Ia juga boleh disebabkan kecederaan pada tisu dikawasan kanta tersebut menyebabkan masalah ini berlaku

Masalah ini juga boleh disebabkan penyakit lain sebagai contoh kencing manis dan jangkitan kuman seperti Rubella ketika mengandungkan bayi

Bagaimana katarak berlaku?

Katarak berlaku dibahagian kanta iaitu dibahagian tengah mata dimana cahaya memasuki mata melalui kanta tersebut. Ia seperti kanta pada kamera yang bertujuan untuk memfokuskan imej pada bahagian retina.

Ketika mana proses penuaan, tisu dalam kanta tersebut menjadi rosak dan melekat diantara satu sama lain menyebabkan berlakunya enapan pada bahagian dalam kanta tersebut. Enapan ini meyebabkan kanta menjadi kabur dan menghalang cahaya daripada masuk secara lurus. Disebabkan perkara tersebut, pemandangan menjadi kabur

Faktor risiko yang boleh menyebabkan katarak

Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk menghadapi masalah ini adalah:

  • Umur yang meningkat
  • Kencing manis
  • Terdedah selalu dengan cahaya matahari
  • Merokok
  • Obes
  • Tekanan darah tinggi
  • Trauma pada mata
  • Penggunaan steroid yang lama
  • Pengambilan alkohol yang berlebih-lebihan

Jenis jenis katarak

Terdapat beberapa jenis katarak iaitu:

  • Katarak yang berlaku dibahagian tengah kanta (nucleus caratact): Katarak jenis ini selalunya menyebabkan rabun jauh terlebih dahulu. Dengan masa ia akan menjadi lebih teruk dan kantar tersebut menjadi lebih tumpat dan bertukar menjadi warna kuning.
  • Katrak yang berlaku dibahagian tepi kanta (cortical cataract): Katarak jenis ini bermula dengan keputihan yang berlaku pada bahagian tepi kanta. Dengan masa, keputihan itu akan merebak kebahagian tengah dan mengganggu penglihatan
  • Katarak yang berlaku pada bayi yang baru lahir (congenital cataract): Ada sesetengah bayi yang lahir dengan masalah katarak. Selalunya ia disebabkan jangkitan kuman ketika mengandung seperti jangkitan Rubella. Jangkitan virus rubella pada ibu ketika mengandung menjadi salah satu sebab masalah seperti ini berlaku kepada bayi yang baru lahir. Malah ia juga menyebabkan masalah lain seperti masalah jantung kepada bayi tersebut.

Cara mengelakkan katarak

Tiada kajian yang menunjukkan cara bagaimana untuk mengelakkan katarak ataupun melambatkan masalah ini. Tetapi ada beberapa strategi yang mungkin boleh membantu iaitu:

  • Berhenti merokok
  • Jika pesakit mempunyai kencing manis, pesakit perlu mempunyai kawalan gula yang bagus
  • Mengambil makanan yang sihat untuk mengelakkan kencing manis, obesiti dan tekanan darah tinggi
  • Gunakan kaca mata bila keluar rumah untuk mengelakkan sinaran UV
  • Kurangkan pengambilan alkohol

Penyiasatan

Untuk mengesahkan anda mempunyai masalah ini ataupun tidak, doktor perlulah memeriksa untuk memastikan sama ada pesakit mempunyai masalah tersebut ataupun tidak.

Pemeriksaan yang selalu dibuat adalah dengan menggunakan alat funduscopy ataupun nama lainnya opthalmoscopy. Iaitu satu alat yang boleh dipegang untuk melihat bahagian dalam mata. Pemeriksaannya adalah mudah iaitu melihat mata pesakit melalui fundoscopy pada satu jarak untuk melihat sama ada berlakunya pantulan cahaya daripada dalam mata pesakit tersebut ataupun tidak.

Pantulan cahaya tersebut selalunya berwarna merah sama seperti ketika kita menyuluh mata kucing pada waktu malam. Jika warna tersebut tidak kelihatan, maka pesakit selalunya mempunyai masalah ini

Rawatan

Tiada lagi rawatan yang berasaskan ubat-ubatan boleh menghentikan, melambatkan apatah lagi menyembuhkan masalah katarak. Rawatan yang paling berkesan buat masa sekarang adalah rawatan pembedahan.

Pembedahan katarak

Pembedahan dibuat adalah dengan cara mengeluarkan kanta yang telah kabur itu dan menggantikannya dengan kanta buatan sendiri. Kanta tersebut akan kekal di dalam mata sampai bila-bila.

Pembedahan selalunya dilakukan dibahagian wad rawatan harian (daycare) bermaksud pesakit tidak perlu untuk tinggal di hospital selepas rawatan tersebut.

Rujukan:

  1. Kulaksızoglu S, Karalezli A. Aqueous Humour and Serum Levels of Nitric Oxide, Malondialdehyde and Total Antioxidant Status in Patients with Type 2 Diabetes with Proliferative Diabetic Retinopathy and Nondiabetic Senile Cataracts. Can J Diabetes. 2015 Sep 18.
  2. West SK, Valmadrid CT. Epidemiology of risk factors for age-related cataract. Surv Ophthalmol. 1995 Jan-Feb. 39(4):323-34.
  3. Richter GM, Choudhury F, Torres M, Azen SP, Varma R. Risk factors for incident cortical, nuclear, posterior subcapsular, and mixed lens opacities: the Los Angeles Latino eye study. Ophthalmology. 2012 Oct. 119(10):2040-7.
  4. Johns KJ, Feder RS, Rosenfeld SI, et al. Lens and cataract. American Academy of Ophthalmology Basic and Clinical Science Course. 1999-2000. Vol. 11.:
  5. Al-Ghadyan AA, Cotlier E. Rise in lens temperature on exposure to sunlight or high ambient temperature. Br J Ophthalmol. 1986 Jun. 70(6):421-6.
  6. Lundström M, Barry P, Henry Y, et al. Visual outcome of cataract surgery; study from the European Registry of Quality Outcomes for Cataract and Refractive Surgery. J Cataract Refract Surg. 2013 May. 39(5):673-9.
  7. Gambar: wikipedia
Categories: Mata

Dr Latif Saad

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa