Kayap(shingles) merupakan penyakit yang berasal daripada virus yang juga menyebabkan penyakit cacar air (chicken pox). Virus tersebut adalah Varicella-Zoster.

Kebanyakkan daripada masyarakat kita percaya bahawa jika ruam kayap itu bertemu mengelilingi badan seperti cincin maka ia akan menyebabkan kematian. Tetapi perkara tersebut adalah tidak benar dan jarang sekali kematian disebabkan penyakit ini.

1. Istilah Perubatan

Kayap = Shingles
Dermatome: Adalah kawasan kulit yang dihubungi dengan saraf yang membawa maklumat berkenaan dengan rangsangan sentuhan dan juga deria sakit
Patofisiologi: Adalah mekanisma bagaimana penyakit itu berlaku
Prognosis: Kesudahan pesakit yang menghidapi penyakit tersebut




2. Pengenalan

Kayap ataupun dalam istilah perubatannya shingles merupakan jangkitan virus di bahagian kulit yang disebabkan pengaktifan semula virus Varicella-Zoster. Virus ini merupakan virus yang juga menyebabkan jangkitan cacar air(chicken pox). Apabila jangkitan virus tersebut dapat dihalang dengan penghasilan antibodi daripada badan, ia akan menjadi tidak aktif dan tinggal dikawasan saraf yang menyalurkan maklumat untuk deria sentuhan dan sakit di bahagian kulit.

Terjadinya kayap mungkin disebabkan kegagalan sistem imun untuk menghalang pembiakan virus tersebut yang selama ini tidak aktif. Apabila perkara tersebut berlaku, virus tersebut akan menjadi aktif semula dan menyerang kawasan saraf pada tempat yang dia diami.

3. Patofisiologi

Jangkitan virus Varicella-Zoster mempunyai dua jenis jangkitan:

1) Cacar air(chicken pox): Ia merupakan jangkitan yang berlaku kepada manusia sebelum berlakunya kayap. Selepas jangkitan ini, partikel virus akan menjadi tidak aktif dan tinggal di bahagian akar saraf yang menyalurkan maklumat berkenaan rangsangan sentuhan dan sakit. Virus tersebut mungkin tidak akan aktif untuk beberapa tahun mahupun dekad

Pada tempoh ini, mekanisma sistem imun akan mengelakkan virus tadi daripada membiak. Tetapi apabila keadaan sistem imun tidak begitu bagus disebabkan beberapa keadaan, virus tersebut akan menjadi aktif semula

2) Kayap(Shingles): Ketika mana virus Varicella-zoster aktif semula, ia akan menyebabkan kawasan saraf yang didiami oleh virus tersebut mengalami keradangan.

Kawasan saraf yang selalunya didiami oleh virus tersebut merupakan kawasan saraf yang memberikan maklumat berkenaan deria rasa dan sakit. Kawasan tersebut dinamakan sebagai ‘dermatome’.

Apabila virus menjadi aktif semula, ia akan memaksa sel darah putih pergi ke kawasan yang terlibat dan menyebabkan keradangan. Disebabkan kawasan saraf tersebut merupakan kawasan yang menerima maklumat rangsang daripada sentuhan dan rasa sakit, pesakit selalunya akan mengadu rasa sakit di bahagian yang terlibat sebelum timbulnya ruam kayap

4. Fasa jangkitan

Terdapat 3 fasa jangkitan kayap yang akan berlaku pada seseorang pesakit. Ianya terdiri daripada:

1) Fasa sebelum terjadinya ruam(Pre-eruptive phase)

Pada masa ini, pesakit akan mengadu rangsangan yang tidak normal pada kawasan kulit yang terlibat. Malah ia juga akan menyebabkan rasa sakit pada kawasan tersebut tanpa mempunyai sebarang ruam.

Ia berlaku selama 2-3 hari sebelum ruam terbentuk. Pada masa ini juga, pesakit mungkin akan merasa letih, sakit-sakit badan, sakit kepala dan demam.

2) Fasa Ruam

Pada ketika ini, ruam yang mengandungi air akan mula timbul dengan banyakknya pada kawasan dermatome yang terlibat. Pesakit akan mengadu sakit yang kuat dibahagian tersebut disebabkan keradangan pada saraf

Ia akan bermula daripada kawasan tulang belakang iaitu daripada belakang. Ini kerana saraf dermatome keluar daripada tulang belakang ke bahagian hadapan badan.

Ruam ini akan timbul pada hari 3-5. Ruam tersebut akan meletus mengeluarkan airnya berserta virus varicella-zoster tersebut. Kemudian ia akan menjadi ulser dan kering.

Pesakit sangat mudah menjangkiti orang lain sehinggalah ruam tersebut benar-benar kering dan pulih.

3) Fasa kronik

Fasa kronik mempunyai karakter dimana pesakit akan berasa sakit pada bahagian kayap sebelum ini selama lebih daripada 30 hari walaupun pada ketika itu semua ruam kayap telah pun sembuh.

Ia berlaku pada 9-45% pesakit yang menghidapi kayap. Kebanyakkannya akan merasakan sakit seperti dibakar, rasa kebas ataupun seperti kena arus elektrik pada kawasan kulit yang terlibat sebelum ini

5. Punca Kayap

Ia berpunca daripada jangkitan virus Varicella-Zoster yang pada mulanya menyebabkan masalah cacar air(chicken pox). Jangkitan tersebut selalunya berlaku apabila virus tersebut terkena pada bahagian mukosa(kulit dalam hidung dan mulut).

Disitu ia akan pergi ke seluruh badan dan menyebabkan penyakit cacar air(chicken pox). Apabila sistem imun badan mampu melawan virus tersebut, sebahagian daripada virus akan menjadi tidak aktif dan mendiami kawasan saraf yang terlibat dalam rangsangan dan juga deria sakit.

Apabila sistem imun pesakit menjadi tidak efektif, virus tersebut akan membiak semula dan menyebabkan kayap

6. Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan kayap terjadi:

  1. Umur yang semakin meningkat. Ini kerana semakin meningkat usia, sistem imun menjadi semakin kurang efektif
  2. Sistem imun yang berkurangan disebabkan penyakit seperti HIV
  3. Rawatan yang melemahkan sistem imun. Sebagai contoh rawatan kemoterapi ataupun steroid

Walaubagaiamanapun, terdapat beberapa penyakit juga yang akan meningkatkan risiko untuk menghidapi kayap. Ianya adalah:

  1. Rheumatoid Arthritis
  2. Penyakit keradangan usus(Inflammatory bowel disease)
  3. ‘Chronic obstructive pulmonary disease’
  4. Asma
  5. Kegagalan buah pinggang
  6. Tekanan perasaan(depression)

Jika anda mempunyai perkara-perkara tersebut, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kayap




7. Prognosis(Kesudahan)

Ruam tersebut selalunya sembuh dalam 10-15 hari. Kesudahan bagi pesakit yang muda adalah lebih baik daripada mereka yang sudah berumur.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah sistem imun pun sama, komplikasinya adalah lebih teruk berbanding mereka yang sihat. Jika ia berlaku pada pesakit ini ia boleh menyebabkan jangkitan pada otak, hati, paru-paru dan ia juga boleh menyebabkan kematian pada pesakit tersebut.

8. Simptom dan Tanda Tanda Kayap

Simptom akan bermula dengan rasa sakit dikawasan kulit yang terlibat. Perkara tersebut akan berlaku selama 2-3 hari terlebih dahulu.

Pesakit juga akan mengalami simptom yang am seperti:

  1. Demam
  2. Rasa letih
  3. Sakit-sakit badan
  4. Sakit otot

Kemudian ia akan diikuti dengan ruam yang mempunyai air. Pada ketika itu, pesakit akan mengalami kesakitan yang teruk disebabkan keradangan pada saraf dikawasan tersebut.

9. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama:

  1. Jangkitan bakteria pada tisu kulit(Cellulitis)
  2. Chicken pox
  3. Folliculitis
  4. Gigitan serangga
  5. Jangkitan kulat

10. Penyiasatan

Bagi penyakit kayap, ia tidak memerlukan penyiasatan makmal mahupun pengimejan untuk mengetahui pesakit tersebut mengalami kayap ataupun tidak. Cukup dengan pemeriksaan fizikal boleh menentukan pesakit mempunyai kayap ataupun masalah lain.

Ini kerana ruam kayap sangat tipikal dan mudah dikenali. Ruam tersebut selalunya terletak pada dermatome iaitu kawasan yang dihubungi dengan saraf rangsangan sentuhan mahupun rasa sakit. Ia selalunya bermula daripada kawasan tulang belakang dan kehadapan. Ia akan melibatkan sebelah bahagian badan sahaja selalunya.

Tetapi bagi keadaan yang istimewa seperti pesakit yang mempunyai simptom jangkitan di otak(encephalitis), pengambilan air tulang belakang perlu dilakukan untuk mengesahkan kuman yang terlibat dalam jangkitan tersebut.

11. Rawatan

Kebanyakkan jangkitan kayap boleh baik dengan sendirinya tanpa intervensi ataupun rawatan. Ia selalunya tidak begitu berbahaya bagi kanak-kanak berbanding orang dewasa. Walaubagaimanapun, rawatan tetap diberikan kerana ia boleh mengurangkan masa jangkitan berlaku dan mengelakkan komplikasi kronik seperti sakit dibahagian kayap berbulan-bulan lamanya.

Rawatan boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti

1) Rawatan sokongan

Penggunaan losyen kalamine boleh mengurangkan rasa gatal pada kawasan ruam dan bertindak sebagai anti-bakteria. Ini adalah untuk mengelakkan pesakit menggaru kawasan tersebut yang boleh menyebabkan jangkitan bakteria pula

2) Ubat Tahan Sakit

Kebanyakan pesakit akan mengalami simptom kesakitan disebabkan kayap tersebut. Ia merupakan rungutan yang selalu diceritakan oleh pesakit kepada doktor. Kegagalan dalam rawatan tersebut akan menyebabkan pesakit menderita

Penggunaan ubat nSAIDS seperti mefenemic asid dan diclofenac terbukti mengurangkan sakit dibahagian yang terlibat.

Tetapi jika ia masih mendatangkan masalah kepada pesakit, penggunaan ubat yang lebih kuat seperti Gabapentin dan jugak tramadol mungkin diperlukan

3) Ubat Anti-Viral

Terdapat ubat anti-viral untuk merawat pesakit kayap. Jika di dalam jangkitan bakteria, ubat antibiotik digunakan untuk membunuh bakteria tersebut, maka dalam jangkitan virus, kita akan gunakan ubat anti-viral.

Ubat anti-viral yang selalu digunakan dalam rawatan kayap adalah acyclovir. Pesakit selalunya akan diberi makan ubat ini jika tempoh penyakit tersebut masih kurang daripada 3 hari. Tetapi jika ia telah lebih daripada 3 hari, selalunya rawatan anti-viral tidak diberikan kerana ia tidak akan mengurangkan tempoh penyakit tersebut.

12. Pendidikan kepada pesakit

Ketika ruam masih ada, pesakit perlulah mengasingkan diri daripada berjumpa dengan orang yang sudah berumur, mereka yang mengalami masalah sistem imun, perempuan mengandung ataupun mereka yang belum mengalami cacar air. Ini kerana virus daripada cecair kayap tersebut boleh menjangkiti mereka dan menyebabkan cacar air(chicken pox)

Untuk rawatan pula, pesakit perlulah mendapatkan rawatan dalam masa 72 jam setelah simptom bermula. Ia untuk mempercepatkan kayap tersebut sembuh. Malah ia dapat mengelakkan komplikasi yang menyebabkan pesakit ke fasa kronik. Di mana pesakit masih mempunyai rasa sakit dikawasan kayap walaupun ruam tersebut sudah pun sembuh.

Fasa kronik boleh berlaku berbulan lamanya dan menyebabkan pesakit menderita dalam tempoh tersebut




Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Dworkin RH, Johnson RW, Breuer J, Gnann JW, et al. Recommendations for the management of herpes zoster. Clin Infect Dis. 2007 Jan 1. 44 Suppl 1:S1-2.
  2. Kost RG, Straus SE. Postherpetic neuralgia–pathogenesis, treatment, and prevention. N Engl J Med. 1996 Jul 4. 335(1):32-42.
  3. Zareba G. Pregabalin: a new agent for the treatment of neuropathic pain. Drugs Today (Barc). 2005 Aug. 41(8):509-16.
  4. Wung PK, Holbrook JT, Hoffman GS, Tibbs AK, Specks U, et al. Herpes zoster in immunocompromised patients: incidence, timing, and risk factors. Am J Med. 2005 Dec. 118(12):1416.
  5. Long MD, Martin C, Sandler RS, Kappelman MD. Increased risk of herpes zoster among 108 604 patients with inflammatory bowel disease. Aliment Pharmacol Ther. 2013 Feb. 37(4):420-9.
  6. Long MD, Martin C, Sandler RS, Kappelman MD. Increased risk of herpes zoster among 108 604 patients with inflammatory bowel disease. Aliment Pharmacol Ther. 2013 Feb. 37(4):420-9.
  7. Gnann JW Jr, Whitley RJ. Clinical practice. Herpes zoster. N Engl J Med. 2002 Aug 1. 347(5):340-6
  8. Sumber featured image: health.com
Categories: Perubatan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa