Keloid ataupun parut yang besar merupakan salah satu masalah yang akan mengganggu rupa fizikal seseorang. Kadang-kadang ia akan memberi tekanan dan membuatkan seseorang merasa rendah diri disebabkan masalah tersebut.

1. Istilah Perubatan

Keloid: Tisu parut yang dihasilkan secara berlebihan oleh badan
Patofisiologi: Proses bagaimana penyakit itu berlaku
Prognosis: Kesudahan kepada penyakit tersebut

2. Pengenalan

Keloid adalah benjolan pada bahagian parut yang berlaku selepas kecederaan di kulit sembuh. Ia berlaku disebabkan penumbuhan secara berlebihan tisu parut tersebut. Parut ini selalunya membesar lebih daripada sempadan luka pada kulit sebelum ini dan ia tidak boleh hilang dengan sendirinya.

Masalah ini juga juga selalu terjadi semula setelah pembedahan untuk membuangnya dijalankan.

3. Patofisiologi

Ketika mana proses penyembuhan kulit berlaku, terdapat proses anabolik dan katobolik yang berlaku.

Proses anabolik bermaksud penghasilan kompaun yang lebih besar
Proses katabolik pula bermaksud penguraian kompaun yang besar untuk menjadikannya lebih kecil

Ketika proses penyembuhan kulit, kolagen dihasilkan untuk menyembuhkan kulit dan ia akan menghasilkan parut tebal yang kita selalu lihat. Tetapi dalam beberapa bulan, parut tersebut akan berlaku modifikasi dan menyebabkan ia menjadi nipis dan kulit menjadi normal semula.

Dalam masalah ini, terdapat ketidakseimbangan dalam proses anabolik dan katabolik. Ini menyebabkan penghasilan tisu parut yang berlebihan hingga menyebabkan benjolan dan sempadan parut itu lebih besar daripada luka sebelum ini.

4. Prognosis(Kesudahan)

Keloid sangat jarang sembuh dengan sendirinya. Dengan rawatan, ia boleh menjadi lebih lembut dan kurang sakit. Jika dibuang dengan cara pembedahan, peratusan untuk benjolan itu tumbuh semula adalah 50%. Ini menyebabkan rawatan pembedahan merupakan cara terakhir untuk dilakukan jika seseorang itu mengalami masalah ini

5. Simptom

Kebanyakan keloid tidak menyebabkan apa-apa simptom. Akan tetapi jika ia berlaku, ia boleh menyebabkan rasa sakit, gatal dan rasa seolah-olah terbakar di kawasan kulit yang terlibat.

Masalah ini selalu berlaku pada kawasan kulit yang terlibat dengan luka. Kadangkala ia juga berlaku pada parut cacar air(Chicken pox). Ia sudah tentu akan membuatkan pesakit tidak berasa selesa disebabkan cacar air selalu berlaku diseluruh tubuh badan termasuk muka. Ini kerana ia akan mengganggu penampilan fizikal seseorang individu yang mengalami tisu parut yang tidak normal ini

Benjolan dan kawasan keloid selalunya akan melebihi kawasan luka yang dialami sebelum ini. Seseorang yang mengalami masalah ini selalunya mempunyai lebih daripada satu keloid. Ini kerana individu tersebut mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami tisu parut yang tidak normal pada bahagian tubuh badannya yang lain

6. Punca Keloid

Kebanyakan jenis luka dikulit boleh menyebabkan masalah ini. Ianya adalah

  • Parut jerawat
  • Parut melecur disebabkan kebakaran
  • Paru cacar air(chicken pox)
  • Tempat tindik telinga
  • Parut pembedahan
  • Parut vaksin

Faktor risiko yang akan menyebabkan seseorang itu menghadapi masalah ini adalah:

  • Orang Asia
  • Sedang mengandung
  • Umur kurang daripada 30 tahun
  • Mempunyai ahli keluarga yang mempunyai masalah keloid

Perlu diketahui bahawa masalah ini sangat berkait rapat dengan genetik. Ketika mana keluarga seseorang mempunyai masalah keloid, maka ahli keluarganya yang lain mempunyai risiko yang tinggi menghadapi masalah yang sama.

7. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama seperti

  • Dermatofibroma
  • Lobomycosis

8. Penyiasatan

Diagnosa kepada masalah ini selalunya dibuat dengan hanya pemeriksaan fizikal sahaja. Pengambilan sampel kulit seperti biopsi hanya digunakan dengan tujuan kajian untuk melihat sel dan tisu dikawasan tersebut

9. Rawatan

Rawatan keloid sangat jarang melibatkan pembedahan kecuali atas beberapa sebab sebagai contoh benjolan yang terlampau besar, sakit dibahagian kulit yang terlibat, mempunyai jangkitan kuman dan beberapa indikasi yang lain.

Tiada satu rawatan pun yang terbukti bagus untuk semua pesakit yang menghidapi keloid. Lain pesakit mempunyai lain respon terhadap rawatan yang diberikan.

Beberapa rawatan yang diberikan untuk masalah ini adalah:

1) Penggunaan gel silikon

Gel silikon adalah gel yang mempunyai silikon yang lembab dengan air. Ia ditampal pada badan pesakit selama 24 jam untuk beberapa bulan lamanya.

Ia dapat mengurangkan kesakitan, rasa gatal dan saiz benjolan tersebut.

Dikatakan kandungan air di dalamnya yang melembutkan benjolan tersebut yang akan mengurangkan gatal dan sakit. Ia bukan disebabkan silikon yang berada di dalam gel tersebut

2) Terapi tekanan pada kawasan keloid

Kajian menunjukkan bahawa kawasan kulit yang mempunyai tekanan akan secara automatiknya melakukan apoptosis(sel mati dengan sendirinya). Oleh disebabkan itu, cara ini telah digunakan untuk mengecilkan dan merawat masalah keloid.

Kain yang khas akan digunakan untuk membalut kawasan yang berkenaan supaya tekanan dapat diberikan kepada kawasan kulit yang menghidapi masalah ini.

3) Sapuan krim retinoid

Retinoid merupakan Vitamin A. Ia bagus untuk kulit kerana ia membantu dalam menyeimbangkan proses penyembuhan dan penghasilan parut pada bahagian luka.

Ia terbukti dapat mengurangkan saiz keloid apabila menggunakan sapuan tersebut

4) Suntikan steroid

Suntikan steroid pada tepi keloid terbukti dapat mengurangkan saiz keloid tersebut. Suntikan tersebut akan merencat fungsi sel fibroblast iaitu sel yang menyebabkan penghasilan parut.

5) Suntikan khas

Terdapat suntikan beberapa jenis kompaun yang lain terbukti untuk merawat masalah ini seperti suntikan interferon, 5-fluorouracil, doxrubicin, bleomycin dan beberapa jenis lagi.

6) Terapi Cryo

Untuk terapi ini, Cecair nitrogen yang sejuk digunakan pada keloid. Ia berfungsi untuk membunuh sel keloid dan tisu tersebut. Kawasan benjolan akan mereput dan melepuh. Ia mempunyai risiko untuk keloid tersebut tumbuh semula

7) Pembedahan

Pembedahan untuk membuang benjolan ini perlulah dielakkan. Ini kerana peratusan untuk keloid tersebut berlaku semula adalah tinggi. Akan tetapi ia masih juga dilakukan jika ia memerlukan.

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa.

Rujukan

  1. Kischer CW, Brody GS. Structure of the collagen nodule from hypertrophic scars and keloids. Scan Electron Microsc. 1981. 371-6
  2. Hsu KC, Luan CW, Tsai YW. Review of Silicone Gel Sheeting and Silicone Gel for the Prevention of Hypertrophic Scars and Keloids. Wounds. 2017 May. 29 (5):154-158.
  3. Berman B, Flores F. Interferons. Wolverton SE, ed. Comprehensive Dermatologic Drug Therapy. Philadelphia, Pa: WB Saunders; 2001. 339-57.
  4. sumber featured image: xstrahl.com
Categories: Kulit

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *