Apabila  berbincang  tentang  topik  berkaitan  dengan  kesihatan  mental,  masih  ramai  yang  bercanggah  pendapat .  Sesetengah  rakyat  masih  berpendapat  bahawa  kemurungan  atau  penyakit  “depression”  ini  berpunca  daripada  kelemahan  iman  individu  tersebut  atau  kurang  didikan  ilmu  agama.  Sejauh manakah  ketepatan  persepsi  ini?

Menurut  kajian  “World  Health  Organization  (WHO)”,  sebanyak  300  juta  penduduk  dunia  telah  menghidapi  atau  sedang  menghidapi  penyakit  kemurungan  atau  MDD  ini.  Hal  ini  menunjukkan  bahawa  “depression”  merupakan  penyakit  yang  tidak  asing  lagi  dalam  kalangan  masyarakat  dunia.  Namun  begitu,  disebabkan  oleh  stigma  manusia  kepada  penyakit  mental,  ramai  yang  tidak  sedar  atau  tidak  mengakui  simptom-simptom  yang  terdapat  dalam  diri.

Simptom-simptom  MDD:

 Terdapat beberapa simptom yang menunjukkan seseorang itu sedang mengalami depressi. Ia adalah:

  • Perasaan sedih  yang  melampau
  • Hilang keinginan  kepada  aktiviti-aktiviti  yang  diminati  sebelum ini
  • Kepenatan yang terlampau
  • Susah untuk  tidur  atau  tidur  yang  melebihi kebiasaan
  • Kehilangan selera  makan  atau  nafsu  makan  bertambah  yang  menyebabkan  perubahan  dalam  berat badan
  • Pergerakan atau  percakapan  yang  lambat  (menurut  saksi).
  • Sentiasa dihantui  perasaan  bersalah  atau  rasa  tiada  kelayakan  tanpa  sebab  yang munasabah
  • Sukar berfikir,  membuat  keputusan  atau  menumpukan perhatian
  • Perasaan ingin  mati  atau  “suicidal  thoughts”.

 

Simptom-simptom  ini  perlu  didapati  sekurang-kurangnya  selama  dua  minggu  berturut-turut  sebelum  boleh  disahkan  sebagai  MDD  oleh  pakar  psikiatri.

Punca-punca  Kemurungan:

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah kemurungan.

Faktor  Persekitaran

Trauma  dalam  kehidupan  seperti  kematian  orang  tersayang  atau  gangguan  seksual  boleh  menyebabkan  terjadinya  kemurungan  dalam  diri.  Selain  itu,  faktor-faktor  lain  seperti  kurang  sokongan  masyarakat,  bebanan  ekonomi,  penyalahgunaan  dadah  atau  alkohol  dan  sebagainya  boleh  menyumbang  kepada  stress  dan  sekaligus  mendorong  perasaan  murung  terjadi.

Faktor  Genetik

MDD  merupakan  penyakit  keturunan.  Sekiranya  individu  tersebut  mempunyai  ibu bapa  atau  adik  beradik  yang  mengalami  depressi,  risiko  untuk  menghidapi  kemurungan  meningkat  sebanyak  dua  ke  tiga  kali  ganda.  Manakala,  pasangan  kembar,  peratusnya  meningkat  sebanyak  40-50%.

Hubungan  Antara  Kemurungan  dan  Agama

Hasil  beberapa  penyelidikan  menunjukkan  bahawa  peluang  pemulihan  lebih  tinggi  bagi  pesakit  kemurungan  yang  bersifat  cenderung  aktiviti  agama  dan  “spiritual”.  Terdapat  juga  penurunan  dalam  kadar  kematian  melalui  kaedah  membunuh  diri  atau  “suicidal  thoughts” itu  sendiri.

Namun  begitu,  kajian  juga  menunjukkan  kemurungan  dan  keinginan  membunuh  diri  boleh  terjadi  kepada  pesakit-pesakit  yang  dibesarkan  dalam  keluarga  dan  persekitaran  yang  menekankan  didikan  agama.  Kemungkinan  besar  disebabkan  oleh  timbul  perasaan  rasa  bersalah  (“guilt”)  dalam  diri  pesakit  yang  “religious”  yang  mengalami  perasaan  murung  walaupun  mereka  mengamalkan  tradisi  agama  masing-masing.

Dalam  kalangan  rakyat  Malaysia,  masih  ramai  yang  berpendapat  bahawa  kemurungan  hanya  boleh  terjadi  akibat  kurangnya  amalan,  didikan  agama  atau  kekuatan  rohani  dalam  diri.  Sering  kali  penderita  sakit  kemurungan  dimaklumkan  dengan  sentimen  bidang  psikiatri  sebagai  anti  agama.  Rawatan  alternatif  seperti  mengurut  lebih  digemari  oleh  rakyat  Malaysia  berbanding  dengan  ubat-ubatan  kerana  mereka  beranggapan  bahawa  kaedah  rawatan  ini  lebih  bersifat  “mesra  agama”  berbanding  rawatan  psikiatri  di  hospital.  Perkara  ini  menggalakkan  pesakit-pesakit  MDD  menolak  rawatan  psikiatri  kerana  stigma  masyarakat  kepada  pesakit  mental  serta  kurang  sokongan  daripada  ahli  keluarga  masing-masing.

Hal  ini  menyebabkan  kualiti  hidup  para  pesakit  menurun  dan  kemurungan  tak  dapat  dirawati  dengan  sempurna.  Pesakit  MDD  tidak  dapat  berfungsi  dengan  baik  dalam  kehidupan  harian  seperti  penurunan  prestasi  dalam  bekerja  atau  menimbulkan  perasaan  anti-sosial.  Disebabkan  itu,  kesan  yang  lebih  padah  akan  berlaku  seperti  peningkatan  dalam  kecendurungan  untuk  membunuh  diri.

Integrasi  Kepercayaan  Agama/”Spiritual”  dalam  Psikoterapi

Beberapa  kajian  telah  dijalankan  bagi  memahami  sama  ada  aspek  agama  dan  rohani  dapat  membantu  dalam  rawatan  psikoterapi.  Antaranya  ialah  penambahan  kelas  pengajian  Al-Quran  dan  menggalakkan  solat  bagi  pesakit-pesakit  beragama  Islam  dalam  menjalani  rawatan  psikoterapi  di Malaysia.

Terdapat  juga  kajian  di  luar  negara  yang  menjalankan  rawatan  “Religious  Cognitive-Behavioural  Therapy”  bagi  rakyat  beragama  Kristian.  Hasil  kajian-kajian  tersebut  menunjukkan  kesan  positif  dalam  keberkesan  rawatan  integrasi  antara  psikiatri  dan  agama/rohani  ini.  Sekaligus,  boleh  membantu  dalam  mengubah  persepsi  masyarakat  yang  masih  beranggapan  bahawa  bidang  rawatan  psikiatri  adalah  sekular  dan  tidak  mempertimbangkan  aspek  agama.

Kesimpulan

Kemurungan  terjadi  atas  pelbagai  faktor  dalam  kehidupan  seseorang  pesakit.  Individu  yang  dianggap  kurang  amalan  agama  atau  “kekurangan  iman”  tidak  boleh  dipersalahkan  sebagai  penyebab  utama  MDD.  Hal  ini  menimbulkan  stress  dalam  diri  menyebabkan  rawatan  tidak  berkesan  dan  menambahkan  perasaan  ingin  mati  yang  berbahaya  kepada  para  penderita.

Sebaliknya,  pesakit-pesakit  yang  cenderung  amalan  agama  dan  rohani  juga  tidak  terkecuali  sepenuhnya  daripada  penyakit  ini  kerana  “penyakit  tidak  mengira  bulu”.  Oleh  itu,  para  pesakit  perlu  diberikan  sokongan  dan  dorongan  bagi  mereka  mendapatkan  rawatan  psikiatri  yang  sepatutnya,  serta  meneruskan  aktiviti  keagamaan  seiring  dengan  rawatan  dan  psikoterapi  yang  dijalankan.  Bidang  psikiatri  juga  perlu  meneruskan  kajian  bagi  melihat  keberkesanan  integrasi  aspek  agama/rohani  dalam  merawat  pesakit  agar  kadar  kematian  melalui  membunuh  diri  dapat  diturunkan  lagi  dalam  masa  hadapan.

Baca sepenuhnya tentang Kemurungan disini.

 

Rujukan

 

  1. Raphael Bonelli, Rachel E. Dew, Harold G. Koenig, David H. Rosmarin, and Sasan Vasegh, “Religious and Spiritual Factors in Depression: Review and Integration of the Research,” Depression Research and Treatment, vol. 2012, Article ID 962860, 8 pages, 2012. https://doi.org/10.1155/2012/962860.
  2. Falk W. Lohoff, “Overview of the genetics of major depressive disorder,” Current psychiatry reports vol. 12,6 (2010): 539-46.
  3. David H.Rosmarin, Joseph S.Bigda-Peyton, Sarah J.Kertz, NasyaSmith, Scott L.Rauch and ThrösturBjörgvinsson, “A Test of Faith in God and Treatment: The relationship of Belief in God to Psychiatric Treatment Outcomes,” Journal of Affective Disorders, vol.14:3, (2013): 441-446.
  4. Isometsä ET, Henriksson MM, Aro HM, Heikkinen ME, Kuoppasalmi KI, Lönnqvist JK., “Suicide in Major Depression,” The American Journal of Psychiatry. 1994 Apr;151(4):530-6.
  5. Vasegh, Sasan et al. “Religious and spiritual factors in depression” Depression research and treatment vol. 2012 (2012): 298056.
  6. Curlin, Farr A et al. “The relationship between psychiatry and religion among U.S. physicians” Psychiatric services (Washington, D.C.) vol. 58,9 (2007): 1193-8.

Dr Nadiah Halim

Graduan Jurusan Perubatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *