Kencing berbuih merupakan salah satu masalah yang sering membuatkan seseorang individu itu risau. Perkara pertama yang mereka risaukan adalah keadaan buah pinggang mereka sama ada sudah mengalami masalah ataupun tidak.

Jika kencing ada berbuih, ia mungkin disebabkan ketika pundi kencing anda penuh dan anda mengeluarkannya dengan laju. Air kencing yang laju itu akan menyebabkan air di dalam tandas tersebut berkocak dan menghasilkan buih.

Tetapi terdapat juga masalah lain yang menyebabkan kencing tersebut berbuih

Simptom yang membimbangkan jika anda mengalami kencing berbuih

Anda mungkin mengalami kencing berbuih sekali sekali. Ini selalunya disebabkan kelajuan air kencing yang terhasil. Kencing berbuih merupakan salah satu tanda penyakit jika keadaan tersebut berterusan berlaku ataupun semakin teruk.

Jika anda kencing berbuih, anda juga perlu melihat simptom dan tanda-tanda yang lain. Simptom-simptom ini dapat memberi klu kepada doktor tentang penyakit anda:

  • Bengkak pada kaki dan tangan
  • Asyik merasa letih
  • Kurang selera makan
  • Rasa loya dan/atau muntah
  • Penghasilan air kencing yang semakin berkurang
  • Air kencing keruh
  • Pucat

Punca kencing berbuih

Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kencing berbuih. Ianya adalah:

  • Kelajuan air kencing: Jika air kencing dibuang ketika pundi kencing terlalu penuh, ia akan menyebabkan air kencing yang laju terhasil dan menyebabkan air berkocak. Ini akan menyebabkan kencing tersebut berbuih
  • Air kencing yang pekat: Seseorang yang kurang minum air akan mempunyai kencing yang pekat. Air kencing seperti ini akan memudahkannya lagi untuk membentuk buih.
  • Protein dalam air kencing: Kehadiran protein dalam air kencing akan menyebabkan kencing tersebut lebih mudah untuk membentuk buih. Terdapat beberapa penyakit yang menyebabkan protein dalam air kencing seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, nephrotic syndrome, kencing kotor, kegagalan buah pinggang dan beberapa jenis penyakit yang lain
  • Ejakulasi berbalik(retrograde ejaculation): Dalam masalah ini ejakulasi akan menyebabkan sesetengah air mani naik ke dalam pundi kencing.

Penyiasatan

Selalunya pesakit yang mengalami masalah ini, air kencingnya akan diambil untuk dianalisa. Pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang selalunya akan mempunyai protein dalam air kencingnya. Jika air kencing tersebut normal, maka pesakit tidak perlu risau dengan apa yang berlaku

Jika pesakit mempunyai protein dalam air kencing, pengambilan darah diperlukan untuk melihat fungsi buah pinggang sama ada ia normal ataupun tidak.

Apa yang perlu anda perhatikan

Air kencing berbuih adalah sesuatu yang normal jika ia berlaku sekali sekala. Jika ia berterusan, ia mungkin tanda yang anda sedang mengalami kerosakan buah pinggang. Selalunya, simptom ini hanya terhasil pada tahap akhir masalah buah pinggang.

Jarang-jarang ini disebabkan masalah ejakulasi berbalik

Kebanyakan masa, kencing berbuih adalah sesuatu yang tidak perlu dirisaukan. Ia boleh dihilangkan dengan mengambil air dengan kuantiti yang lebih

Jumpa doktor jika:

  • Kencing masih berbuih setelah beberapa hari
  • Mempunyai simptom seperti bengkak kaki, tangan, muntah-muntah, kurang selera makan dan merasakan badan ini lemah
  • Air kencing keruh dan mempunyai darah
  • Pesakit mengalami ejakulasi yang menghasilkan air mani yang sedikit

Rujukan:

  1. Kaur, K., Shah, U., Quasim, S., Chowoo, L., & Khan, M. H. (n.d.). Why does urine froth?
    ics.org/Abstracts/Publish/106/000697.pdf
  2. Proteinuria. (2014, April). niddk.nih.gov/health-information/health-topics/kidney-disease/proteinuria/Pages/facts.aspx
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *