Kencing manis ataupun dalam istilah perubatan dipanggil sebagai diabetes mellitus merupakan salah satu penyakit metabolik. Punca kencing manis berlaku ketika sistem badan tidak mampu mengurus gula dengan normal. Ini menghasilkan keadaan yang dipanggil sebagai hyperglisemia iaitu kandungan gula yang tinggi di dalam darah

Kandungan gula yang tinggi dalam darah menyebabkan pelbagai komplikasi yang kronik pada tubuh badan terutamanya melibatkan masalah pada saluran darah. Ketika mana kandungan gula dalam darah tinggi, ia akan menyebabkan kerosakan pada dinding saluran darah dan kolesterol mudah terenap padanya

Pada artikel ini, kami akan menceritakan berkenaan kencing manis jenis ke-2 ataupun diabetes type 2 yang selalu dialami dalam masyarakat kita.

1. Patofisiologi

Masalah kencing manis selalunya disebabkan dua perkara iaitu:

  • Kerintangan insulin
  • Kurangnya penghasilan insulin

Di dalam kencing manis jenis-2 ini, ia selalunya bermula disebabkan kerintangan insulin. Dimana insulin tidak dapat berfungsi dengan normal menyebabkan gula tidak dapat dibawa masuk ke dalam sel.

Perlu diketahui bahawa fungsi insulin adalah untuk membuka liang pada permukaan sel supaya gula dapat dibawa masuk ke dalam sel badan.

Jika ia tidak dapat berfungsi dengan baik seperti dalam masalah kerintangan insulin, ia akan menyebabkan kandungan gula di dalam darah meningkat.

Bukan setakat itu, gula yang tinggi dalam darah akan memaksa organ pankreas untuk menghasilkan insulin yang lebih supaya gula dapat memasuki sel.

Disebabkan perkara ini berlaku secara kronik, akhir sekali sel pankreas sudah menjadi penat dan tidak mampu menghasilkan insulin yang lebih banyak. Pada ketika inilah penyakit kencing manis akan berlaku dan gula dalam darah akan meningkat.

Penyakit ini dikenali sebagai kencing manis kerana ketika gula tinggi dalam darah, ia akan tersingkir dengan sendirinya daripada buah pinggang dan masuk ke dalam air kencing. Oleh itu, air kencing tersebut mengandungi gula dan disebut sebagai kencing manis.

Gula yang berterusan memasuki buah pinggang ini akan semakin lama merosakkan salur darah dan juga fungsi buah pinggang. Sebab itu, salah satu komplikasi kepada kencing manis adalah kegagalan buah pinggang.

2. Punca Kencing Manis

Kencing manis jenis ke-2 mempunyai punca yang kompleks kerana ia disebabkan kombinasi beberapa faktor seperti persekitaran, cara hidup dan juga genetik(keturuna). Tetapi majoriti daripada masalah kencing manis adalah disebabkan cara hidup yang tidak sihat

Salah satu masalah yang selalu menyebabkan kencing manis adalah obesiti. Sebanyak 90% orang yang mempunyai kencing manis adalah mereka yang obese. Ini kerana mereka yang obese akan menyebabkan kerintangan insulin.

Apabila insulin tidak dapat berfungsi dengan baik, pankreas akan dibebankan untuk menghasilkan insulin dengan lebih banyak. Akhirnya, sel yang menghasilkan insulin mati dan penghasilan insulin semakin berkurangan. Ketika mana jumlah insulin tidak cukup untuk mengurangkan kandungan gula dalam darah, pesakit akan menghidapi kencing manis.

Bukan itu sahaja, obesiti juga sebenarnya menyebabkan kerintangan hormon leptin. Leptin berfungsi untuk memberi rasa kenyang kepada seseorang apabila dia makan. Tetapi bagi mereka yang obese, hormon tersebut tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya menyebabkan mereka yang obese masih merasa lapar walaupun telah makan banyak.

Ini menyebabkan kekerapan dan kuantiti makanan yang mereka ambil semakin bertambah dan menyebabkan berat badan mereka juga bertambah.

3. Faktor risiko

Faktor risiko yang menyebabkan masalah ini adalah:

  • Umur melebihi 30 tahun
  • Obesiti
  • Sejarah keluarga mempunyai masalah diabetes
  • Tekanan darah tinggi
  • Tinggi kolesterol
  • Sejarah mempunyai kencing manis ketika mengandung
  • Sejarah mempunyai kelahiran bayi yang besar
  • Polycystic ovarian syndrome

4. Simptom dan Tanda Kencing Manis

Kebanyakan pesakit pada awal kencing manis tidak memberi apa-apa simptom. Tetapi apabila kencing manis menjadi semakin teruk, ia akan mempunyai beberapa simptom seperti:

  • Asyik ingin membuang air kencing(polyuria)
  • Asyik berasa haus(Polydipsia)
  • Asyik ingin nak makan(Polyphagia)
  • Kencing malam(nocturia)
  • Mendapat jangkitan kuman di kulit sebagai contoh carbuncle
  • Kaki merasa kebas ataupun tidak rasa bila berpijak
  • Kebas Tangan

5. Prognosis (Kesudahan pesakit)

Kesudahan pesakit diabetes sangat bergantung kepada kawalan penyakit kencing manis pada seseorang pesakit. Jika kencing manis tidak terkawal, maka kesudahannya mereka mungkin menghidapai komplikasi daripada penyakit tersebut.

Oleh itu, pesakit kencing manis perlu tahu kepentingan kawalan gula di dalam badan supaya ia tidak membawa kepada komplikasi penyakit tersebut.

6. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat diagnosa-diagnosa lain yang boleh menyebabkan gula tinggi di dalam darah

  • Kencing manis jenis pertama(Diabetes Mellitus type 1)
  • Kencing manis ketika mengandung(Gestational Diabetes)
  • Sindrom Cushing
  • Acromegaly
  • Penyalahgunaan steroid
  • Chronic pancreatitis
  • Cystic fibrosis
  • Hemochromatosis
  • Glucagonoma
  • Pheochromocytoma

7. Penyiasatan

Untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai kencing manis ataupun tidak, ia adalah berdasarkan pengambilan darah daripada salur darah vena. Pengambilan darah daripada kapilari iaitu daripada hujung jari adalah tidak tepat untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai masalah ini ataupun tidak.

Pesakit yang mempunyai simptom

Pesakit yang mempunyai simptom seperti polyurea, polydipsia dan selalu letih bersama dengan bacaan gula yang tinggi, mereka ini akan didiagnosa sebagai pesakit kencing manis

Bacaan gula yang tinggi ketika puasa: lebih daripada 7 mmol/L
Bacaan gula yang tinggi ketika tidak berpuasa adalah: 11.1 mmol/L

Pesakit yang tidak mempunyai simptom

Bagi pesakit yang tidak mempunyai simptom selalunya memerlukan 2 kali pengambilan darah untuk benar-benar mengesahkan pesakit tersebut mempunyai kencing manis ataupun tidak.

Jika bacaan gula ketika puasa diantara 6.1-6.9 mmol/L, pesakit perlu menjalani ‘Oral Glucose Tolerance Test’. Iaitu pesakit perlu mengambil air gula yang diberikan dan setelah 2 jam, darah akan diambil untuk mengetahui bacaan gula. Jika bacaan gula melebih 11.1 mmol/L, maka pesakit tersebut mempunyai masalah kencing manis.

Jika bacaan gula ketika puasa melebihi 7 mmol/L, pesakit akan disuruh untuk mengambil darah ketika puasa pada lain hari untuk melihat bacaan gula. Jika pesakit masih lagi mempunyai bacaan gula melebihi 7 mmol/L, dia juga akan disahkan mempunyai masalah ini.

Terdapat juga satu lagi ujian yang digunakan untuk mengetahui sama ada seseorang itu mempunyai diabetes mellitus ataupun tidak. Ianya adalah HbA1c. Ujian ini juga digunakan untuk memantau kawalan gula dalam seseorang pesakit kencing manis. Jika pesakit mempunyai bacaan melebihi 6.4% sebanyak 2 kali, pesakit akan dikatakan mempunyai masalah kencing manis

Penyiasatan dan pantauan komplikasi

Jika seseorang itu sudah disahkan menghidapi masalah diabetes mellitus, beberapa ujian dengan tujuan pantaun terhadap komplikasi kencing manis akan dilakukan

1) Urine Microalbumin

Majoriti daripada pesakit kencing manis yang mempunyai kencing manis yang tidak terkawal akan mempunyai protein jenis albumin dalam air kencingnya.

Perlu diketahui bahawa albumin adalah sejenis protein di dalam darah yang berfungsi untuk memberi tekanan onkotik(oncotic pressure). Tekanan onkotik berfungsi untuk menarik atau mengekalkan air di dalam saluran darah. Ia juga berfungsi untuk membawa beberapa kompaun dalam saluran darah.

Jika albumin ditemui dalam air kencing pesakit diabetes, ia menunjukkan masalah tersebut sudah sedikit sebanyak memberi kesan kepada buah pinggang. Pada awalnya fungsi buah pinggang masih normal. Tetapi jika dibiarkan perkara tersebut secara berterusan, masalah ini akan berterusan dan pada akhirnya akan menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang.

Cara untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku adalah dengan kawalan gula yang bagus dan juga pemberian ubat jenis angiotensin-converting enzyme inhibitor(ACEi). Kajian menemukan penggunaan ubat jenis ACEi dapat mengurangkan masalah microalbumin di dalam air kencing jesteru melindungi buah pinggang daripada terus dirosakkan.

2) Electrocardiogram(ECG)

Selalunya dilakukan setiap tahun sekali untuk memantau sama ada jantung mempunyai masalah disebabkan kencing manis.

Kencing manis merupakan masalah yang kompleks hingga menyebabkan jika seseorang pesakit mengalami serangan sakit jantung, dia mempunyai simptom yang berlainan daripada pesakit yang lain.

Pesakit kencing manis mungkin akan mengalami sakit pada ulu hati ataupun tidak merasa sakit langsung ketika serangan sakit jantung berlaku. Ini akan membuatkan pesakit kadang-kadang tidak tahu apa yang dialaminya adalah serangan sakit sakit jantung. Ini disebabkan masalah diabetes tersebut telah merosakkan saraf dibahagian jantung.

Pantauan ECG dapat melihat sama ada pesakit kencing manis sudah mengalami komplikasi pada jantung ataupun tidak

3) Fundoscopy

Diabetes juga boleh menyebabkan masalah kerosakan pada retina. Ini bermula apabila ia merosakkan salur darah dibahagian retina. Oleh itu, pemeriksaan rutin fundoscopy untuk melihat retina mata adalah pemeriksaan yang akan dibuat setiap tahun.

Ini penting untuk mengesan masalah retina pada tahapan awal supaya rawatan masalah tersebut dapat dijalankan dan mengelakkan pesakit daripada menjadi buta.

4) X-ray dada

Salah satu masalah yang selalu berlaku pada pesakit kencing manis adalah sistem imunnya akan menjadi lebih lemah dan menyebabkan jangkitan kuman mudah berlaku.

Salah satu penyakit yang selalu berlaku pada pesakit diabetes adalah jangkitan paru-paru jenis tuberculosis. Ia akan menyebabkan kematian jika tidak dirawat pada awal jangkitan kuman tersebut.

Sebab itu di Malaysia, seseorang pesakit diabetes perlu melakukan x-ray untuk memantau sama ada dia sudah dijangkiti TB ataupun tidak.

5) Fungsi buah pinggang

Pengambilan darah untuk mengetahui fungsi buah pinggang selalunya diambil setiap 6 bulan. Kencing manis itu sendiri boleh mendatangkan masalah dan kegagalan kepada buah pinggang. Oleh sebab itu, ia perlu dipantau

6) Fungsi hati

Ada sesetengah pesakit kencing manis yang mempunyai masalah hati iaitu hati berlemak. Ia disebabkan kencing manis dan juga pengambilan gula yang berlebihan menyebabkan lemak terbentuk dalam hati.

Lemak yang terbentuk akan menyebabkan kerdagangan hati. Jika dibiar lama, ia akan menyebabkan hati rosak dan gagal berfungsi seperti biasa.

8. Komplikasi

Terdapat beberapa komplikasi kencing yang selalu berlaku:

  • ¬†Artheroscelerosis: Masalah ini adalah penebalan pada saluran darah disebabkan kolesterol terenap padanya. Mereka yang mengalami masalah ini akan mempunyai risiko serangan sakit jantung, angin ahmar dan juga masalah salur darah bahagian periferi(iaitu pada tangan dan kaki)
  • Serangan sakit jantung¬†(myocardial infarction)
  • Angin Ahmar(stroke)
  • Masalah salur darah bahagian periferi(peripheral vascular disease)
  • Masalah retina
  • Kegagalan buah pinggang
  • Masalah saraf terutamanya pada bahagian kaki

9. Rawatan kencing manis

Rawatan masalah ini boleh dibahagikan kepada 3 iaitu

  1. Perubahan cara hidup
  2. Penggunaan ubat makan
  3. Penggunaan suntikan insulin

1) Perubahan cara hidup

Terapi perubatan nutrisi

Diet yang betul akan dapat mengawal kencing manis dengan bagus dan mengelakkan daripada berlakunya komplikasi.

Dalam terapi ini pesakit akan dirujuk pada pakar pemakanan(dietician) dan kaunseling serta cara permakanan yang sihat akan diberikan kepada pesakit.

Aktiviti fizikal

Peningkatan aktiviti fizikal boleh menyebabkan kawalan gula lebih teratur dan terkawal. Bahkan ia juga boleh mengurangkan berat badan dan mengurangkan risiko untuk terkena serangan sakit jantung ataupun angin ahmar.

Kombinasi aktivit fizikal dan juga kawal permakanan mampu mengurangkan bacaan HbA1c pada tahap yang normal

Cadangan:

  • Seseorang individu perlulah bersenam 5 kali dalam satu minggu.
  • Pesakit perlulah bersenam selama 150 minit dalam seminggu bagi senaman yang sederhana dan/atau 90 minit/minggu bagi senaman yang berat.
  • Pesakit yang berlebihan berat badan perlulah secara berterusan melakukan aktiviti fizikal untuk mengurangkan berat badan

2) Penggunaan ubat makan

Bagi pesakit yang hanya mempunyai bacaan HbA1c kurang daripada 6.5%, selalunya mereka hanya diberi rawatan daripada segi kaunseling permakanan dan juga aktiviti fizikal. Jika pada temujanji yang seterusnya menunjukkan kawalan HbA1c kurang daripada 6.5% juga, mereka akan terus buat rawatan tersebut tanpa memerlukan ubat makan.

Jika bacaan HbA1C melebihi 6.5% keatas ataupun bacaan gula ketika puasa melebihi 6, pesakit perlu mula mengambil ubat kencing manis

Terdapat beberapa jenis ubat kencing manis yang selalu diberikan kepada pesakit kencing manis. Ianya adalah:

  1. Biguanide(Metformin)
  2. Sulphonylureas(Glibenclamide, Gliclazide, Glimepiride)
  3. Alpha-Glucosidase inhibitors(Acarbose)
  4. Thiazolidinediones(Rosiglitazone, pioglitazone)
  5. Dipeptidyl peptidase-4 inhibitor(Sitagliptin, vildagliptin, saxagliptin)

3) Penggunaan suntikan insulin

Penggunaan insulin memerlukan satu penerangan yang lebih panjang. Dalam artikel ini, kami hanya menerangkan perkara asas berkenaan penggunaan insulin.

Insulin yang dihasilkan adalah disebabkan kewujudan teknologi kejuruteraan genetik pada hari ini. Genetik manusia yang digunakan untuk menghasilkan insulin telah disuntik ke dalam bakteria. Ini akan menyebabkan bakteria tersebut juga mampu menghasilkan insulin.

Insulin yang digunakan pada hari ini bukanlah berasal daripada insulin haiwan. Tetapi ia memang mempunyai struktur yang sama seperti insulin yang badan kita hasilkan.

Ia berfungsi untuk memasukkan gula dalam darah ke dalam sel.

Penggunaan ubat makan hanya mampu meningkatkan penghasilan insulin, mengurangkan kerintangan insulin dan merencat penyerapan gula daripada usus ke dalam salur darah. Ia tidak akan memperbaiki masalah pada sel di pankreas tersebut.

Sebab itu, jika kita masih tidak kawal makanan kita dan cara hidup kita, akhir sekali penghasilan insulin pada pankreas akan terganggu sehingga mana ia tidak mampu menghasilkan insulin yang mencukupi.

Selalunya insulin akan dimulakan jika bacaan HbA1c melebihi 10% ataupun bacaan gula dalam darah ketika berpuasa melebihi 13 mmol/L. Ia juga akan dimulakan jika penggunaan ubat makan pada dos yang maksimum masih tidak mampu mengawal kandungan gula dalam darah.

Terdapat beberapa jenis insulin dan cara penggunaanya. Kami akan cuba terangkannya pada artikel akan datang

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guidelines: Management of Type 2 Diabetes Mellitus(5th Edition), Dec 2015
  2. Diagnosis and classification of diabetes mellitus. Diabetes Care. 2010 Jan. 33 Suppl 1:S62-9.
  3. American Diabetes Association. Standards of medical care in diabetes–2012. Diabetes Care. 2012 Jan. 35 Suppl 1:S11-63.
  4. U.S. Preventive Services Task Force. Screening for Type 2 Diabetes Mellitus in Adults.
  5. Report of the expert committee on the diagnosis and classification of diabetes mellitus. Diabetes Care. 2003 Jan. 26 Suppl 1:S5-20.
  6. Featured image: medicalnewstoday.com
Categories: Perubatan

Dr Latif Saad

Merupakan Seorang Doktor Perubatan. Pengasas kepada FB Page Root of Science dan juga e-Diagnosa. Follow juga wall personal saya di SINI

16 Comments

Pengurangan Berat Badan terbukti menyembuhkan Kencing Manis · at

[…] baik bagi pesakit diabetes yang baru sahaja 6 tahun mengalami kencing manis, anda mempunyai peluang untuk memberhentikan ubat kencing manis […]

Keputihan: Punca, Rawatan dan Cara Pencegahan - TheDiagnosa · at

[…] memudahkan jangkitan kuman berlaku dibahagian faraj. Terutamanya pesakit yang mengalami masalah kencing manis ataupun jangkitan […]

Hemoglobin: Apakah ia, Fungsi dan Struktur? - TheDiagnosa · at

[…] Glycosylated hemoglobin(Juga dikenali sebagai HbA1c) merupakan bentuk hemoglobin yang sudah terikat dengan glukosa. Ketika gula tinggi dalam darah, lagi banyak glukosa yang akan terikat dengan HbA1c. Bacaan kompaun tersebut dapat memberikan gambaran bagaimana kawalan gula bagi pesakit kencing manis […]

Apakah Metformin? - Root of Science · at

[…] berleluasa sekali dalam dunia adalah diabetis mellitus type 2(T2DM) atau lebih dikenali sebagai kencing manis. Ianya merupakan penyakit yang melibatkan dan merosakkan pelbagai organ dan sistem(multi […]

Ubat kencing manis tidak menyembuhkan, tetapi mengawal kencing manis. - Root of Science · at

[…] utama berlakunya penyakit kencing manis adalah disebabkan 2 perkara iaitu 1) Insulin Resistance(Insulin tidak berkesan) 2) Insulin […]

Meningitis: Punca, Simptom dan Rawatan - TheDiagnosa · at

[…] Kencing manis, kegagalan buah pinggan dan hypoparathyroidism […]

Diabetes Otak ataupun Penyakit Alzheimer's? - TheDiagnosa · at

[…] kita ketahui mengenai Diabetes Type 1 dan Diabetes Type 2. Namun, tahukah kita bahawa terdapat Type 3 atau Diabetes […]

Batu Hempedu: Punca, Simptom dan Rawatan - TheDiagnosa · at

[…] yang mengalami obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat batu […]

Kebas Tangan: Punca dan Cara Rawatan - TheDiagnosa · at

[…] Kencing manis: Masalah ini merupakan salah satu masalah yang sering berlaku pada saraf periferi dan ia merangkumi 30% penyebab rasa kebas terutamanya pada bahagian kaki. Dalam masalah kencing manis, ia akan bermula rasa kebas dan dicucuk pada bahagian kaki terlebih dahulu. Barulah ia akan naik ke bahagian atas seperti tangan. Lebih 2/3 daripada pesakit mempunyai simptom ini sebelum dia mengetahui bahawa dia sudah mengalami kencing manis. […]

Batuk Kering (Tuberculosis): Punca, Simptom dan Rawatan - TheDiagnosa · at

[…] normal. Selalunya ia berlaku pada mereka yang mengalami masalah imun sistem seperti pesakit HIV, kencing manis, mereka yang berumur ataupun pesakit yang sedang mengambil ubat yang akan mengurangkan keberkesann […]

Tanda tanda Kencing Manis (Diabetes) - DR LATIF SAAD · at

[…] Bacaan sepenuhnya berkenaan kencing manis berserta rawatannya boleh rujuk kepada link ini. […]

Makan nasi lama dalam Rice Cooker menyebabkan kanser dan kencing manis?? - Root of Science · at

[…] Viral satu mesej drpd whatapps yg mengatakan nasi yg dipanaskan lebih daripada 12 jam mengandungi racun yang boleh menyebabkan kanser dan kencing manis. […]

Gam Arab(arabic gum): Sejarah, Prebiotik dan Merawat Buah Pinggang · at

[…] Malah mampu mengurangkan faktor risiko untuk berhadapan dengan penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis, sakit jantung dan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *