Kencing tak lawas adalah salah satu masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat. Individu tersebut akan merasa bermasalah apabila ia perlu sering ke tandas ataupun masih merasakan mahu membuang air kecil sejurus selepas melakukan perkara tersebut.

Malah perkara ini boleh menyebabkan tekanan pada individu tersebut

Simptom

Bila kita bercakap berkenaan kencing tak lawas, ia membawa beberapa maksud kepada simptom tersebut:

  • Asyik rasa nak kencing (increase frequency)
  • Perasaan tidak puas selepas buang air kencing (Incomplete voiding)
  • Air kencing meleleh keluar walaupun pada ketika itu pesakit tidak membuang air kecil(Dribbling)

Maksud dribbling ini air kencing itu meleleh ketika seseorang itu baru sahaja membuang air kecil. Ini menyebabkan seluar dalamnya basah dengan air kencing disebabkan perkara tersebut.

Kadang-kadang simptom-simpton ini juga akan datang dengan simptom-simptom lain seperti:

  • Sakit ketika hendak membuang air
  • Asyik ingin membuang air ketika waktu malam
  • Arus air kencing yang tidak kuat
  • Perlu meneran untuk memulakan pengeluaran air kencing

Kesemua simptom-simptom ini dipanggil sebagai ‘simptom saluran kencing bahagian bawah’ (lower urinary tract symptoms/LUTS). Ia dipanggil sedemikian rupa kerana simptom ini terjadi disebabkan masalah pada saluran kencing bahagian bawah sahaja bermula daripada pundi kencing, prostate dan juga urethra.

Setiap gabungan simptom akan mempunyai punca yang berbeza termasuk kencing tak lawas.

Punca Kencing Tak Lawas

Terdapat beberapa punca kencing tidak lawas. Ianya adalah:

  1. Benign Prostatic Hyperplasia (BPH): Prostate yang membesar bagi kaum lelaki. Selalunya berlaku pada lelaki yang sudah berumur
  2. Batu karang dalam pundi kencing: Dalam masalah ini, pesakit juga akan mengalami sakit ketika buang air kencing dan air kencing berdarah.
  3. Kanser pundi kencing atau kanser prostate: Selalunya pesakit akan mengalami sumbatan hingga mana pesakit tersebut tidak langsung boleh membuang air kecil. Bagi pesakit dengan kanser pundi kencing, selalunya ia juga mempunyai simptom kencing berdarah
  4. Otot Detrusor yang lemah
  5. Kencing Manis : Kencing manis yang tidak terkawal menyebabkan gula masuk ke dalam air kencing bersama dengan air. Ia menyebabkan pesakit kencing dengan kerap dan banyak.
  6. Masalah saraf yang menyebabkan penguluaran kencing tidak boleh dikawal seperti dalam masalah multiple sclerosis, kecederaan pada saraf tunjang, Slip disc dan juga sindrom cauda equina
  7. Keradangan Prostate(Prostatitis): Disebabkan jangkitan kuman pada Prostate
  8. Penyempitan saluran urethra: Disebabkan kecederaan pada saluran tersebut
  9. Jangkitan kuman pada tempat pembuangan air kencing (Kencing kotor)
  10. Tahan kencing: Tahan kencing dengan terlalu lama boleh menyebabkan otot pada pundi kencing tidak berfungsi dengan normal kerana tidak dapat mengecut dengan betul menyebabkan adanya lebihan air kencing dalam pundi kencing. Menahan kencing juga boleh meningkatkan risiko untuk mendapat jangkitan kuman pada saluran buang air

Penyiasatan

Beberapa penyiasatan perlu dibuat untuk mengetahui punca kepada masalah kencing tak lawas:

1) Urine FEME

Ujian ini boleh melihat beberapa perkara seperti kehadiran sel darah putih dan sel darah merah. Pesakit yang mempunyai simptom sakit ketika kencing bersama kehadiran sel darah putih dalam air kencing menunjukkan pesakit mengalami kencing kotor.

Jika pesakit mempunyai sel darah merah dalam air kencing berserta rasa sakit, ia mungkin menunjukkan pesakit mempunyai batu karang

2) Pemeriksaan prostate menggunakan tangan

Selalunya para doktor akan periksa prostate bagi lelaki yang menghidapi simptom seperti atas. Ini penting untuk mengetahui sama ada prostate ini mempunyai masalah ataupun tidak.

Jari akan dimasukkan melalui dubur untuk merasa permukaan prostate dan juga saiznya. Prostate yang besar merujuk kepada masalah Benign Prostatic Hyperplasia. Manakala Prostate yang besar dan juga mempunyai permukaan yang tidak sekata mungkin menunjukkan diagnosis kanser prostate.

3) Ultrasound

Untuk melihat saiz prostate dan juga sama ada masih tersisa air kencing di dalam pundi kencing.

4) Ujian aliran air kencing (Urinary Flow Study)

Dalam ujian ini, aliran air kencing akan dikira dengan masa. Ianya digunakan untuk melihat sama ada pundi kencing dapat berfungsi dengan normal.

Ujian ini memerlukan pesakit untuk kencing dalam satu corong. Corong itu pula bersambungan dengan mesin yang akan mengirak kadar aliran air kencing bersama dengan masa yang diambil oleh orang tersebut untuk membuang air kencingnya secara keseluruhan.

5) Bacaan Prostatic Spesific Antigen(PSA)

Bacaan ini sesuai diambil jika seseorang pesakit itu disyaki mengalami kanser prosate. Bacaan PSA bagi mereka yang mengalami kanser Prosate adalah tinggi

Rawatan

Rawatan adalah bergantung pada punca masalah tersebut. Setiap punca mempunyai cara rawatan yang berbeza dan ia memerlukan pesakit berjumpa dengan doktor untuk mengenalpasti masalah tersebut.

1) Antibiotik

Diperlukan untuk merawat jangkitan kuman pada tempat buang air kecil(kencing kotor)

2) Pemecahan Batu Karang

Jika batu karang di dalam pundi kencing bersaiz kecil cubaan untuk memecahkannya dengan penggunaan ubat boleh dibuat. Ubat yang selalu diberi kepada pesakit adalah Potassium citrate yang digunakan untuk mengalkalikan air kencing serta memecahkan batu karang tersebut.

Jika batu karang tersebut masih tidak pecah, penggunaan laser untuk memecahkan batu karang mungkin akan dibuat. Jika masih tidak pecah disebabkan saiznya yang besar, pembedahan untuk mengeluarkan batu tersebut perlu dilakukan

3) Pengambilan ubat untuk mengecutkan Prostate

Bagi mereka yang mengalami Benign Prostatic Hyperplasia, terdapat beberapa jenis ubat yang boleh digunakan untuk mengecutkan prostate tersebut.

Tetapi ubat ini perlu dalam pantauan bahagian pembedahan di hospital. Kerana pesakit perlu dipantau simptom BPH tersebut berserta kesan sampingan yang mungkin dialami selepas mengambil ubat tersebut.

4) Pembedahan buang prostate

Jika prostate terlalu besar ataupun disyaki kanser, prostate perlulah dibuang dengan pembedahan.

Terdapat banyak lagi rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat masalah ini. Tetap punca kepada masalah tersebut perlulah diketahui terlebih dahulu dan barulah rawatan yang spesifik kepada punca tersebut boleh dilakukan.

Rujukan:

  1. P Abrams. New words for old: lower urinary tract symptoms for “prostatism”
    BMJ 1994; 308 doi: https://doi.org/10.1136/bmj.308.6934.929 (Published 09 April 1994)
  2. Takahashi, Satoru; Takei, Mineo; Nishizawa, Osamu; Yamaguchi, Osamu; Kato, Kumiko; Gotoh, Momokazu; Yoshimura, Yasukuni; Takeyama, Masami; Ozawa, Hideo; Shimada, Makoto; Yamanishi, Tomonori; Yoshida, Masaki; Tomoe, Hikaru; Yokoyama, Osamu; Koyama, Masayasu: Clinical Guideline for Female Lower Urinary Tract Symptoms. LUTS: Lower Urinary Tract Symptoms. 8 (1): 5–29. doi:10.1111/luts.12111.
  3. https://www.hopkinsmedicine.org/healthlibrary/test_procedures/urology/urine_flow_test_92,P07724
  4. Wein AJ, et al., eds. Lower urinary tract calculi. In: Campbell-Walsh Urology. 11th ed. Philadelphia, Pa.: Elsevier; 2016. http://www.clinicalkey.com.
  5. Kidney and ureteral stones: Surgical management. American Urological Association. http://www.urologyhealth.org/urology/index.cfm?article=32. Accessed June 21, 2016.
  6. Curhan GC, et al. Diagnosis and acute management of suspected nephrolithiasis in adults. http://www.uptodate.com/home.
  7. Sumber featured image dari thehealthsite.com
Categories: Pembedahan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa