Keputihan merupakan salah satu masalah yang selalu dihadapi oleh kaum wanita. Keputihan adalah lelehan air daripada faraj yang berwarna putih ataupun kuning.

Kajian menunjukkan majoriti daripada kaum wanita akan mengalami perkara tersebut terutamanya mereka yang sudah berkahwin. Keputihan boleh dibahagikan kepada keputihan yang normal dan disebabkan jangkitan kuman.

Ada sesetengah wanita yang tidak mampu membezakan diantara keputihan yang normal dan tidak normal. Ini kerana ada yang menganggap perkara tersebut sebagai perkara yang normal terutamanya jika ia berlaku sebelum datangnya haid. Tetapi jika perkara tersebut tidak dirawa ia boleh menyebabkan komplikasi kepada pesakit

1. Jenis keputihan

Seperti yang dikatakan diatas, masalah ini boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu:

  1. Keputihan yang normal
  2. Keputihan yang disebabkan jangkitan kuman

Keputihan yang normal selalunya dikaitkan dengan hormon estrogen. Apabila seseorang wanita itu dekat dengan tarikh haidnya, lendir yang terhasil akan lebih likat dan putih

Ia berfungsi untuk memelihara bakteria baik di dalam vagina dengan mengekalkan pH dan nutrien yang ada. Oleh sebab itu, perbuatan meruang ataupun memasukkan sesuatu untuk membersihkan faraj akan mengganggu fisiologi di dalam vagina. Bakteria baik akan mati dan ia boleh menyebabkan kemasukan bakteria yang jahat.

Untuk keputihan jenis ini, ia tidak menyebabkan kegatalan ataupun kemerahan pada bahagian vagina. Ia juga tidak menyebabkan bau yang tidak menyenangkan

Keputihan disebabkan jangkitan kuman selalunya akan menghasilkan cecair putih yang lebih likat. Kadang-kadang ia boleh menjadi warna hijau dan selalunya berbau busuk. Pesakit juga akan mengadu kegatalan pada kawasan faraj disebabkan bakteria tersebut menghasilkan kompaun yang menyebabkan iritasi dan keradangan di kawasan itu.

Oleh itu, jika mengalami masalah jenis ini, pesakit perlulah berjumpa dengan doktor untuk diperiksa dan diberi rawatan.

 

2. Punca jangkitan kuman yang menyebabkan masalah ini

Saluran vagina mempunyai mekanisma tersendiri untuk melindungi bakteria jahat daripada memasuki ataupun menjangkiti kawasan tersebut. Malah ia mempunyai bakteria baik yang bertindak untuk melindungi daripada bakteria jahat

Salah satu organisma yang tidak berbahaya wujud dikawasan tersebut adalah lactobacillus yang berfungsi untuk merendahkan pH vagina pada julat 3.5-4.5. Kebanyakan bakteria jahat tidak boleh hidup ataupun membiak pada pH ini.

Apabila kawasan tersebut diganggu seperti dalam aktiviti meruang ataupun pembersihan kawasan vagina mengguna bahan pencuci, ia akan membunuh bakteria baik di kawasan tersebut dan merubah pHnya. Perkara ini akan menyebabkan bakteria jahat boleh membiak dalam kawasan tersebut dan menyebabkan keputihan yang tidak normal.

Beberapa bakteria, parasit ataupun kulat yang boleh menyebabkan keputihan adalah:

  • Candida albicans
  • Gardnerella vaginalis
  • Trichomonas vaginalis

3. Faktor risiko

Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan keputihan pada wanita

Hormon

Hormon estrogen merupakan salah satu hormon yang boleh menyebabkan keputihan. Apabila estrogen meningkat terutamanya ketika haid semakin dekat ataupun ketika mengandung, seseorang wanita itu akan mengalami keputihan.

Oleh kerana itu, kadang-kadang bayi perempuan yang baru lahir jugan mungkin mengalami sedikit keputihan disebabkan estrogen hormon yang dia dapat daripada ibunya.

Tetapi keputihan jenis ini selalunya adalah keputihan yang normal

Masalah sistem imun

Pesakit yang mengalami masalah pada sistem imunnya akan memudahkan jangkitan kuman berlaku dibahagian faraj. Terutamanya pesakit yang mengalami masalah kencing manis ataupun jangkitan HIV.

Pesakit seperti ini akan lebih mudah terdedah kepada jangkitan kuman dibahagian vagina yang akan menyebabkan masalah keputihan

Kebersihan

Alat sulit wanita perlulah dijaga dan dibersihkan sentiasa terutamanya selepas melakukan hubungan seks. Ia perlulah dibasuh dan dikeringkan agar tidak membenarkan jangkitan kuman membiak pada kawasan tersebut

Tetapi perlu diingat perbuatan meruang iaitu membersihkan bahagian dalam vagina sama ada menggunakan tangan ataupun apa-apa alat adalah tidak digalakkan kerana ia akan mengganggu bakteria baik di dalam saluran tersebut.

Aktiviti seks yang aktif

Mereka yang sentiasa melakukan seks dengan berlainan pasangan mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami jangkitan kuman dikawasan tersebut. Bahkan ia boleh menyebabkan penyakit berjangkit yang lain seperti HIV, syphillis dan gonorrhea.

4. Penyiasatan

Kebanyakan kes keputihan tidak memerlukan penyiasatan. Hanya dengan mengenal pasti corak keputihan, punca keputihan tersebut dapat ditentukan. Sebagai contoh:

  • Gardnerella vaginalis selalunya menyebabkan lelehan yang berwarna putih dan berbau busuk
  • Trichomonas pula selalunya menyebabkan lelehan yang berwarna kuning seperti nanah dan iritasi pada dinding vagina
  • Candida albicans pula lelehannya akan menjadi warna putih yang pekat, berbau busuk dan rasa gatal pada dinding faraj dan disekitarnya.

High vaginal swab

High Vaginal swab ataupun pengambilan sampel pada dinding vagina selalunya hanya dilakukan pada mereka yang sedang mengandung ataupun masih tidak baik selepas menerima rawatan.

Sampel ini akan dihantar ke makmal dan kuman di kawasan tersebut akan cuba dibiakkan. Pengecaman kuman tersebut akan membantu untuk rawatan yang lebih tepat kepada pesakit

5. Rawatan

Rawatan keputihan adalah bergantung kepada punca kuman tersebut dan juga status pesakit(dara ataupun sudah berkahwin)

Candida albicans

Pesakit yang disyaki mendapat jangkitan candida selalunya akan diberi ubat anti-fungal. Bagi pesakit yang sudah kahwin, clotrimazole pessary adalah salah satu ubat yang digunakan iaitu ubat ini akan dimasukkan ke dalam bahagian faraj sebelum waktu tidur. Ia digunakan untuk membunuh kulat(candida) dikawasan tersebut

Jika pesakit masih dara, penggunaan ubat makan fluconazole boleh diberikan pada pesakit.

Gardnerella vaginalis dan Trichomonas

Bagi kedua-dua jangkitan kuman ini, selalunya pesakit akan diberi ubat antibiotik metronidazole untuk membunuh bakteria tersebut.

6. Cara pencegahan

Terdapat beberapa cara pencegahan untuk masalah keputihan ini

  • Mengelakkan perbuhungan seks yang aktif serta berlainan pasangan. Ini kerana ia boleh menyebabkan kemasukan bakteria dan kuman di kawasan tersebut
  • Elakkan daripada melakukan aktiviti untuk membersihkan kawasan dalam vagina. Kerana ia akan membunuh bakteria baik dalam kawasan tersebut
  • Sentiasa memastikan kawasan vagina dalam keadaan bersih dan kering
  • Basuh alat sulit daripada bahagian hadapan ke belakang. Ini akan mengelakkan daripada bakteria yang berada di dubur mengjangkiti kawasan faraj.
  • Bagi pesakit kencing manis, kena kawal kandungan gula dalam badan supaya sistem imun dapat berfungsi dengan baik

Jika bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Lentz GM, et al. Infections of the lower and upper genital tracts. In: Comprehensive Gynecology. 6th ed. Philadelphia, Pa.: Mosby Elsevier; 2012. http://www.clinicalkey.com. Accessed Jan. 18, 2016.
  2. Rakel RE, et al., eds. Gynecology. In: Textbook of Family Medicine. 9th ed. Philadelphia, Pa.: Elsevier Saunders; 2016. http://www.clinicalkey.com. Accessed Jan. 18, 2016.
  3. Leila Sekhavat, Afsarosadat Tabatabaii, Fatemah Zare Tezerjani. Oral fluconazole 150 mg single dose versus intra-vaginal clotrimazole treatment of acute vulvovaginal candidiasis. Journal of Infection and Public Health. Volume 4, Issue 4, September 2011, Pages 195-199. https://doi.org/10.1016/j.jiph.2011.05.006
  4. Bohbot JM, Vicaut E, Fagnen D, Brauman M. Treatment of bacterial vaginosis: a multicenter, double-blind, double-dummy, randomised phase III study comparing secnidazole and metronidazole. Infect Dis Obstet Gynecol. 2010.

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *