Keracunan makanan (food poisoning) didefinisikan sebagai 2 ataupun lebih individu yang mengalami simptom keracunan makanan yang sama seperti muntah dan cirit birit. Ia juga mesti dibuktikan makanan tersebut berasal daripada sumber yang sama

Jika hanya seorang sahaja yang mendapat simptom tersebut, maka kita tidak akan katakan orang tersebut mengalami keracunan makanan.

Jika ada 2 orang yang mempunyai simptom tersebut, ia mesti berasal daripada makanan ataupun tempat yang sama. Majoriti daripada mereka yang mengalami keracunan makanan ini adalah disebabkan bakteria yang berada di dalam makanan tersebut

1. Patofisiologi (Bagaimana keracunan makanan berlaku?)

Penyakit ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu

  • Keracunan makanan yang tidak melibatkan keradangan (Non inflammatory)
  • Keracunan makanan yang melibatkan keradangan (Inflammatory)

Keracunan makanan yang tidak melibatkan keradangan (non-inflammatory)

Keracunan makanan jenis ini adalah disebabkan toksin yang dihasilkan oleh bakteria akan merangsang mekanisma rembesan bendalir pada usus kecil tanpa keradangan pada dinding usus. Ia menyebabkan banyak air dirembes masuk ke dalam lubang usus.

Ini menyebabkan pesakit cirit-birt dan kehilangan air dengan banyaknya. Ia selalunya tidak menyebabkan sakit perut yang teruk

Contoh kuman yang menyebabkan masalah ini adalah:

  • Vibrio cholerae
  • Escherichia coli
  • Clostridium perfringens
  • Bacillus cereus
  • Staphylococcus
  • Rotavirus

Keracunan makanan yang melibatkan keradangan

Masalah jenis ini adalah disebabkan sitotoksin yang dihasilkan oleh bakteria. Sitotoksin ini akan masuk ke dalam dinding usus dan menyebabkan kerosakkan sel usus tersebut. Kadang-kadang bakteria tersebut akan memasuki dinding usus dan membuat koloni pada saluran limfa sebelum ia merebak keseluruh badan.

Cirit birit pesakit tersebut selalunya mempunyai darah dan mukus(Najis sepert berlendir). Pesakit selalunya demam dan kelihatan sangat letih

Beberapa contoh bakteria yang menyebabkan masalah ini adalah:

  • Campylobacter jejuni,
  • Vibrio parahaemolyticus
  • enterohemorrhagic dan enteroinvasive E coli,
  • Yersinia enterocolitica,
  • Clostridium difficile
  • Salmonella
  • Shigella

Majoriti kuman yang menyebabkan keracunan makanan pada makanan laut adalah bakteria Vibrio dan juga Salmonella. Dinasihati untuk setiap individu memasak makanan laut dengan secukupnya supaya kuman tersebut dapat dibunuh denga sepenuhnya

2. Simptom dan tanda keracunan makanan

Terdapat beberapa simptom yang akan dihadapi oleh mereka yang mengalami masalah ini. Ianya adalah

  • Sakit perut. Selalunya lebih teruk kepada jenis yang menyebabkan keradangan(inflammatory)
  • Muntah
  • Cirit-birit
  • Sakit kepala
  • Demam
  • Perubahan pada najis: Ia mungkin berdarah, berlendir ataupun tersangat cair seperti bubur
  • Pesakit akan kelihatan kering seperti bibir yang kering, kurang kencing dan nampak letih

3. Punca Keracunan Makanan

Dianggarkan 97% daripada kes keracunan makanan adalah disebabkan pengendalian makanan yang tidak betul. Punca utama yang menyebabkan perkara tersebut adalah:

  • Makanan yang tidak cukup masak
  • Meninggalkan makanan pada suhu yang membenarkan pembiakan bakteria berlaku
  • Jangkitan silang (Cross contamination): Bermaksud makanan itu dimasuki bakteria disebabkan daripada makanan lain ataupun daripada penggunaan alat yang sama. Sebagai contoh letak sayur bersama-sama dengan ayam. Memotong sayur menggunakan alat dan tempat yang sama untuk memotong ayam
  • Jangkitan daripada pengendali makanan: Sebagai contoh jangkitan bakteria Salmonella typhi daripada pengendali makanan. Ada individu yang membawa bakteria ini tanpa mempunyai simptom. Mereka inilah yang akan menyebarkan penyakit tersebut. Oleh sebab itu, adalah menjadi kewajipan pengendali makanan untuk mendapatkan suntikan vaksin typhoid untuk mengelakkan jangkitan disebabkan Salmonella typhi ini berlaku.

4. Penyiasatan

Penyiasatan kepada masalah ini adalah untuk mengesan punca ataupun bakteria yang menyebabkan keracunan makanan itu berlaku. Ianya adalah:

  • Kultur bakteria daripada sampel najis: Ianya bertujuan untuk membiakkan bakteria yang menyebabkan masalah tersebut berlaku. Dengan itu kita dapat mengenalpasti bakteria yang menjadi punca masalah tersebut
  • Pengambilan sampel darah untuk mengetahui fungsi buah pinggang dapat melihat samada pesakit tersebut kekeringan ataupun tidak. Ia juga boleh menunjukkan status buah pinggang pada ketika itu kerana kekeringan boleh mengganggu fungsi buah pinggang

5. Rawatan

Kebanyakkan masalah keracunan makanan ini boleh sembuh dengan sendirinya tanpa pemberian antibiotik untuk membunuh kuman tersebut. Tetapi beberapa jenis ubat boleh diberi untuk mengurangkan simptom sebelum masalah tersebut sembuh sepenuhnya. Ianya adalah:

  • Garam rehidrasi. Selalunya para doktor akan memberi garam ini untuk tujuan rehidrasi kepada pesakit. Pesakit perlulah mengambilnya setiap kali cirit ataupun muntah untuk menggantikan air yang hilang
  • Ubat tahan muntah– Ubat sebagai contoh metoclopramide selalu digunakan untuk mengurangkan ataupun menahan seseorang pesakit itu daripada muntah
  • Ubat kurangkan cirit-birit– Sebagai contoh lomotil dan juga loperamide selalu digunakan oleh para doktor untuk mengurangkan pergerakan usus supaya penyerapan air di dalam usus dapat dilakukan dengan lebih lama dan mengurangkan kehilangan air

Jika pesakit mempunyai demam yang kuat berserta cirit-birit yang mempunyai darah, kita akan mulakan antibiotik untuk pesakit. Ini kerana bakteria tersebut mungkin akan memasuki dinding saluran usus dan seterusnya masuk ke dalam darah untuk menjangkiti seluruh badan.

Pesakit juga dinasihati untuk mengambil air lebih daripada biasa untuk menggantikan air yang hilang

Jika pesakit sudah tidak boleh menerima air minuman kerana muntah yang teruk, maka pesakit perlu diberikan air yang dimasukkan terus ke dalam saluran darah.

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page TheDiagnosa
Bacaan seterusnya: Kesan sampingan ponstan dan dos pengambilan

Rujukan

  1. Logan NA. Bacillus and relatives in foodborne illness. J Appl Microbiol. 2012 Mar. 112(3):417-29.
  2. Lee JH, Shin H, Son B, Ryu S. Complete genome sequence of Bacillus cereus bacteriophage BCP78. J Virol. 2012 Jan. 86(1):637-8.
  3. Mizan MF, Jahid IK, Ha SD. Microbial biofilms in seafood: A food-hygiene challenge. Food Microbiol. 2015 Aug. 49:41-55
  4. Hughes JM, Angulo FJ. Food borne diseases. Hurst JW, ed. Medicine for the Practicing Physician. 4th ed. Stamford, Conn: Appleton & Lange; 1996. 344-7.
  5. Smith JL. Foodborne illness in the elderly. J Food Prot. 1998 Sep. 61(9):1229-39.
  6. Scallan E, Griffin PM, Angulo FJ, Tauxe RV, Hoekstra RM. Foodborne illness acquired in the United States–unspecified agents. Emerg Infect Dis. 2011 Jan. 17(1):16-22
  7. Painter JA, Hoekstra RM, Ayers, et al. Attribution of foodborne illnesses, hospitalizations, and deaths to food commodities by using outbreak data, United States, 1998-2008. Emerg Infect Dis. 2013 March;19:3
  8. Jacobs RA. General problems in infectious diseases: acute infectious diarrhea. Tierney LM Jr, McPhee SJ, Papadakis MA, eds. Current Medical Diagnosis and Treatment 2001. 40th ed. New York, NY: McGraw-Hill; 2000. 1215-6.
  9. Sumber featured image: thehealthsite.com
Categories: Perubatan

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa