Kafein  merupakan  bahan  psikoaktif  yang  paling  kerap  diambil  oleh  seluruh  dunia.  Perkara  ini  disebabkan  oleh  kesan-kesan  positif  yang  didapati  seperti  penambahan  tenaga  dan  menghilangkan  mengantuk.  Minuman  harian  seperti  kopi,  teh  dan  air  bergas  sering  dinikmati  oleh  rakyat  Malaysia  yang  sememangnya  gemar  berkunjung  ke  kafe  dan  kedai  mamak.  Sejauh  manakah  pengambilan  kafein  boleh  dikira  sebagai  sejenis  ketagihan?

Pengambilan  Kafein  Berlebihan

Dari  Sudut  Psikiatri

Menurut  garis  panduan  yang  disediakan  dalam  “Diagnostic  and  Statistical  Manual  of Mental  Disorders  5th edition” (DSM-5),  dalam  kategori  penyalahgunaan  bahan,  ciri-ciri  pengambilan  kafein  yang  berlebihan  adalah  seperti  berikut:

A. Pengambilan kafein  melebihi  250mg  sehari.

B. Lima (atau lebih)  kesan-kesan  ini  didapati  selepas  pengambilan:

  • Kegelisahan.
  • Rasa  gemuruh.
  • Keseronokan   yang  berlebihan.
  • Insomnia.
  • Muka  kemerahan.
  • Pembuangan  air  kecil  yang  berlebihan ( diuresis ).
  • Gangguan  pencernaan  makanan.
  • Renggutan  otot ( “muscle  twitching” ).
  • Fikiran  merewang-rewang  atau  percakapan  yang  berlebihan.
  • Degup  jantung  yang  laju  atau  aritmia.
  • Tiada  keletihan  dalam  sesuatu  tempoh  masa.

C. Kesan-kesan  yang  terdapat  pada  kriteria  B  menyebabkan  stress  atau  kemerosotan         dalam  aktiviti  sosial,  pekerjaan  atau  apa-apa  fungsi  harian  yang penting.

D. Simptom-simptom  ini  tidak  disebabkan  oleh  apa-apa  penyakit,  masalah  kesihatan  mental  atau  kesan  pengambilan  bahan  ketagihan  lain.

Kesan-kesan  sampingan  lain  adalah  gangguan  deria  seperti  telinga  bordering  atau  kilauan  cahaya  pada  mata.

Adakah  Kafein  Menyebabkan  Ketagihan?

Sehingga  kini,  belum  ada  bukti  yang  kukuh  untuk  menyatakan  kebergantungan  kepada  kafein  akan  menyebabkan  ketagihan  teruk  seperti  ketagihan  kepada  dadah  atau  alcohol.  Tetapi,  ramai  yang  mengambil  kafein  secara  berlebihan  dalam  kehidupan  harian.

Sebagai  bukti,  20  tahun yang  lalu,  “Caffeine  Withdrawal”  tidak  dimasukkan  dalam  garis  panduan  DSM-4.  Kini,  fenomena  “caffeine  withdrawal”  diakui  dalam  garis  panduan  terkini  iaitu  DSM-5.  Hal  ini  bermaksud  penggunaan  kafein  yang  berlebihan  boleh  menyebabkan  kebergantungan  pada  bahan  psikoaktif  ini.  Namun  begitu,  penggunaan  kafein  berlebihan  belum  boleh  diakui  sebagai  satu  penyakit  atau  “disorder”  yang  rasmi.  Buat  masa  ini,  “Caffeine  Use  Disorder”  dimasukkan  dalam  garis  panduan  DSM-5  sebagai  satu  masalah  kesihatan  yang  masih  memerlukan  penyelidikan  yang  lebih  terperinci  pada  masa  akan  datang.

“Caffeine  Use  Disorder”

Penggunaan  kafein  berlebihan  yang  membawa  keburukan  pada  pengguna  dan  mempunyai  sekurang-kurangnya  tiga  kriteria  pertama  dalam  jangka  masa  12  bulan:

  • Keinginan  berterusan  atau  kegagalan  dalam  usaha  mengurangkan  pengambilan  kafein.
  • Pengambilan  kafein  berterusan  walaupun  mengetahui  kesan  buruk  yang  telah  dialami.
  • Simptom-simptom  pengunduran  pengambilan  kafein(‘Caffeine Withdrawal‘) adalah seperti:
    • Kafein  atau  bahan  lain  yang  menyerupai  kafein  diambil  bagi  mengurangkan  kesan  sampingan  “caffeine  withdrawal”.
    • Pengambilan  dalam  kuantiti  berlebihan  atau  dalam  jangka  masa  yang  lebih  panjang.
    • Penggunaan  berulang  memberi  kesan  buruk  pada  kehidupan  harian  seperti  tanggungjwab  kerja  yang  tidak  dilaksanakan  dengan  baik.
    • Masalah  sosial  harian  seperti  pergaduhan  berlebihan  dengan  pasangan.
    • Had  penerimaan  kafein ( “tolerance” ) yang  meningkat.
    • Meluangkan  masa  yang  banyak  terhadap  penggunaan  kafein.
    • Mengidam  atau  keinginan  yang  tinggi terhadap  minuman  mengandungi  kafein.

“Caffeine  Withdrawal”

Apabila  seseorang  individu  yang  sering  mengambil  kafein  dalam  dose  yang  berlebihan,  mereka  akan  mengalami  simptom-simptom  “caffeine  withdrawal”.  Antara  ciri-ciri  yang  didapati  adalah:

A. Pengambilan  berlebihan  dalam  kehidupan  seharian.

B. Pemberhentian  pengambilan   dalam  masa  24  jam  menyebabkan  kesan-kesan  sampingan seperti:

  • Sakit  kepala.
  • Kepenatan  atau  kekurangan  tenaga.
  • Kurang  berwaspada.
  • Tidak  dapat  menumpukan  perhatian.
  • Mudah  marah  atau  perasaan  murung.
  • Rasa  loya,  muntah,  atau  otot  mengeras/kaku.

C. Kesan-kesan  daripada  kriteria  B  menyebabkan  stress  dalam  kehidupan  seharian.

D. Kesan-kesan  yang  didapati  tidak  disebabkan  oleh  penyakit  lain  seperti  migrain,  dan  bukan  juga  akibat  daripada  masalah  kesihatan  mental  atau  penyalahgunaan  bahan-bahan  lain.

Kesimpulan

Kafein  memberikan  impak  secara  langsung  kepada  tubuh  badan  kita.  Penggunaan  dalam  kadar  normal  boleh  membantu  dalam  meningkatkan  tenaga  dan  waspada  dalam  berfikir.  Pengambilan  kafein  tidak  menyebabkan  tahap  ketagihan  teruk  seperti  pengambilan  bahan  terlarang  dadah  atau  alkohol.

Walaupun  begitu,  penggunaan  berlebihan  boleh  menyebabkan  kebergantungan  sekaligus  memberikan  kesan-kesan  sampingan  yang  tidak  diingini  seperti  rasa  senang  marah  dan  sakit  kepala.  Justeru  itu,  kadar  pengambilan  minuman  berkafein  perlu  dihadkan  bagi  mengelakkan  kebergantungan  dan  kesan  “caffeine  withdrawal”.

Rujukan

  1. Strain, E C and R R Griffiths. “Caffeine dependence: fact or fiction?” Journal of the Royal Society of Medicine vol. 88,8 (1995): 437-40.
  2. American Psychiatric Association (2013) .Diagnostic And Statistical Manual Of Mental disorders Fifth Edition : DSM-5. Washington DC; APA.
  3. Meredith, Steven E et al. “Caffeine Use Disorder: A Comprehensive Review and Research Agenda” Journal of caffeine research vol. 3,3 (2013): 114-130.
  4. Juliano, L.M. & Griffiths, “A Critical Review of Caffeine Withdrawal: Empirical Validation of Symptoms and Signs, Incidence, Severity, and Associated Features”, R.R. Psychopharmacology (2004) 176: 1.
  5. Michael J. Glade, “Caffeine: Not just a stimulant”, Nutrition. 2010 Oct;26(10):932-8.
  6. Budney, Alan J et al. “Caffeine Withdrawal and Dependence: A Convenience Survey Among Addiction Professionals” Journal of caffeine research vol. 3,2 (2013): 67-71.
  7. Karima R. Sajadi-Ernazarova; Richard J. Hamilton, “Caffeine Withdrawal”, Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2018 Jan-.
    Categories: Permakanan

    Dr Nadiah Halim

    Graduan Jurusan Perubatan

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *