341Shares

Ketuat adalah sesuatu yang selalu berlaku. Tetapi kebanyakan daripada kita tidak menghiraukannya. Sehinggalah ia baik sendiri ataupun menjadi semakin teruk.

Majoriti daripada masalah ini boleh baik dengan sendirinya tetapi mengambil masa sehingga 2 tahun.

Jika benjolan itu semakin membesar dan mengganggu pesakit, barulah pesakit akan mendapatkan rawatan daripada perawat kesihatan

1. Istilah perubatan

Ketuat = Wart(dalam bahasa inggeris)
Mukosa: Kawasan kulit dalam bahagian saluran pencernaan
Human Papilloma virus(HPV): Virus yang menyebabkan ketuat
Prognosis: Kesudahan kepada penyakit tersebut

2. Pengenalan

Ketuat adalah pembahagian sel secara berlebihan dan tidak normal pada bahagian kulit disebabkan ‘Human Papilloma Virus'(HPV). Setakat ini, sebanyak 100 jenis HPV telah dikenalpasti dan ia boleh menyebabkan ketuat pada mana-mana bahagian badan.

Kebanyakkan rawatan selalunya berakhir dengan kegagalan. Akan tetapi, kebanyakkan daripada masalah ini boleh baik dengan sendirinya selepas beberapa tahun tanpa memerlukan sebarang rawatan

Sebilangan kecil daripada virus tersebut juga boleh meningkatkan risiko untuk menghidapi kanser kulit.

3. Patofisiologi

HPV boleh menyebabkan ketuat berlaku pada kulit dan juga mukosa(iaitu lapisan di dalam saluran pencernaan seperti mulut).

HPV akan menjangkiti lapisan kulit iaitu epithelium. Sel epithelium akan membahagi dengan lebih banyak dan membentuk benjolan kecil dan inilah yang dipanggil sebagai ketuat

4. Prognosis(Kesudahan)

65% daripada mereka yang  menghadapi masalah ini akan sembuh dengan sendirinya dalam masa 2 tahun. Apabila ketuat hilang, ia tidak meninggalkan sebarang parut. Akan tetapi, parut boleh berlaku disebabkan cara rawatan yang berbeza-beza.

Kegagalan dalam rawatan selalu berlaku terutamanya pada mereka yang mengalami masalah sistem imun.

Benjolan tersebut selalunya tidak mendatangkan apa-apa masalah. Akan tetapi ia akan menyebabkan masalah kosmetik jika berlaku pada kawasan yang boleh dilihat oleh orang lain seperti muka.

5. Simptom ketuat

Ketuat selalunya dapat diketahui dengan melihat kulit yang lebih tebal berbanding kulit yang lain. Selalunya ia berlaku pada satu tompok sahaja. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa jenis

  1. Ketuat biasa: iaitu penebalan kulit pada satu tompok sahaja. Ia seolah seperti satu benjolan yang kecil
  2. Ketuat rata: Kulit yang terlibat rata dan tiada benjolan. Tetapi kulit tersebut kelihatan tebal dan keras.
  3. Ketuat dalam: Kulit tersebut membentuk sedikit benjolan tetapi akarnya memasuki kulit dengan lebih dalam. Ia selalu berlaku pada kawasan kaki dan menyebabkan rasa sakit ketika melangkah disebabkan benjolan tersebut

6. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menyebabkan simptom yang sama:

  1. Kematu(Corn)
  2. Jangkitan kulat
  3. Seborrheic keratosis

7. Penyiasatan

Diagnosa kepada masalah ini adalah lebih kepada pemeriksaan fizikal. Bermaksud tanpa melakukan pengambilan sampel darah ataupun sampel kulit, perawat kesihatan boleh menentukan seseorang itu mempunyai masalah ini ataupun tidak dengan hanya melakukan pemeriksaan fizikal.

8. Rawatan

Terdapat beberapa rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat masalah ini. Akan tetapi perlu diketahui bahawa majoriti daripada benjolan ini boleh hilang dengan sendirinya. Jika anda merasakan perkara tersebut tidak mendatangkan apa-apa masalah kepada anda dan  ia tidak terlampau besar, membiarkan ia baik dengan sendirinya adalah sesuatu perkara yang boleh dibuat.

Akan tetapi jika benjolan itu semakin membesar ataupun mengganggu penampilan anda, beberapa rawatan boleh digunakan.

Ubat sapu

Ubat sapu yang selalunya dipakai adalah ‘Salicylic acid’ yang bertindak untuk membunuh sel-sel epithelium dibahagian kulit yang mempunyai masalah tersebut. Ia perlu digunakan secara berterusan dalam 12 minggu

Cryotherapy

Dalam rawatan ini, cecair nitrogen yang sejuk digunakan untuk membunuh kawasan kulit yang mempunyai masalah tersebut. Cecair tersebut diletakkan selama beberapa saat dan kemudian dibuang. Kawasan kulit tersebut akan melepuh dan benjolan itu akan hilang. Ia mengambil masa beberapa hari untuk luka dikawasan tersebut benar-benar baik

Cara rawatan seperti ini mungkin akan mendatangkan parut dikawasan kulit.

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa
Bacaan seterunya: Jerawat(Punca dan Cara Rawatan)

Rujukan:

  1. Silverberg NB. Human papillomavirus infections in children. Curr Opin Pediatr. 2004 Aug. 16(4):402-9.
  2. Bellew SG, Quartarolo N, Janniger CK. Childhood warts: an update. Cutis. 2004 Jun. 73(6):379-84.
  3. Sterling JC, Gibbs S, Haque Hussain SS, Mohd Mustapa MF, Handfield-Jones SE. British Association of Dermatologists’ guidelines for the management of cutaneous warts 2014. Br J Dermatol. 2014 Oct. 171(4):696-712.
  4. Kwok CS, Gibbs S, Bennett C, Holland R, Abbott R. Topical treatments for cutaneous warts. Cochrane Database Syst Rev. 2012 Sep 12. 9:CD001781.
  5. Cockayne S, Hewitt C, Hicks K, et al. Cryotherapy versus salicylic acid for the treatment of plantar warts (verrucae): a randomised controlled trial. BMJ. 2011 Jun 7. 342:d3271.
Categories: Kulit

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

5 Comments

saimi · November 7, 2017 at 3:28 pm

Ketuat…apa yang saya amalkan dalam keluarga kami ialah dengan cara menggoreng cthnya. Semasa isteri saya memasak kami akan menggoreng ketuat itu dengan acah acah cubit ketuat tu campak dalam kuali…free je petua ni cubalah pasti jadi.

Encik sepi · March 10, 2018 at 3:33 pm

Sya ada d kki dlu, tpi da hilg cuma tinggal parut je. Bpa sya sruh letak cuka getah yg tlah d cmpur air.. sikit. Dlm bberpa jam ja ketuat tu dah mulai kecut. Tinggal tanggalkan je tak sakit. Tpi jgn gna kat muka lah nnti berbekas..seperti parut.. ?

Izz · April 1, 2018 at 2:48 pm

Saya pon ade prob ketuat nie..risau merebak mcm nenek saya…byk betul ketuatnya

Izzy · April 1, 2018 at 9:48 pm

Ketuat nie mudah merebak x? Maksudnya tumbuh 1 lepas tu byk lgi?

Kematu: Punca, Cara Rawatan dan Komplikasi - TheDiagnosa · November 14, 2017 at 5:19 am

[…] Ketuat […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *