Khasiat nanas batu telah menjadi viral beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi adakah kita benar-benar mengetahui apakah Nanas batu itu sendiri?

Nanas batu adalah organ pembiakan bagi pokok pain (pine). Di dalam bahasa inggeris dia dipanggil sebagai pine cone dan terbahagi kepada dua jenis iaitu jantan dan betina.

Untuk menumbuhkan pokok pain, biji benih perlu dihasilkan terlebih dahulu. Disnilah pine cone jantan dan betina memainkan peranan

Pine cone jantan akan menghasilkan debunga manakala pine cone betina pula akan menghasilkan sel telur. Apabila debunga telah bergabung dengan sel telur, disitulah ia akan membesar menjadi biji benih. Selalunya yang kita lihat dijual di malaysia adalah pine cone betina iaitu nanas batu itu sendiri. Strukturnya seperti nenas dan ia keras seperti kulit kayu.

Terdapat seratus lebih spesies pokok pain yang mempunyai organ reproduktif yang sama iaitu nanas batu. Dan nanas batu inilah yang dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit.

Kelebihan Nanas batu yang dijumpai dalam ujikaji makmal

Dalam ujikaji makmal seperti dalam piring petri dan juga pada tikus makmal, ia dikatakan mampu berfungsi sebagai anti-tumor, anti-bakteria, anti-viral dan mampu meningkatkan kekuatan sistem imun.

Kekuatan antibakterial nya sangat dahsyat sehingga ia mampu membunuh bakteria yang degil seperti Klebsiella pneumoniae dan juga Pseudomonas aeruginosa. Ujikaji ini telah dijalankan pada tikus dan keputusannya memberangsangkan.

Kesemua kelebihan ini dikatakan berkait dengan kompaun yang dinamakan sebagai lignin yang terdapat di dalam nenas batu itu sendiri.

Lignin adalah daripada perkataan latin iaitu lignum yang bermaksud kayu. Ia banyak ditemui pada sel dinding dan menyebabkan kayu bersifat keras.

Kajian pada manusia berkenaan Khasiat Nanas Batu

Tidak terdapat kajian pada manusia yang benar-benar menunjukkan penggunaan nenas batu boleh merawat pelbagai penyakit seperti yang telah digembar-gemburkan selama ini

Dan kebanyakkan kajian adalah tertumpu pada kompoun berkaitan dengan lignin yang dikatakan mampu menjadi bahan aktif dalam menjadi penawar sesuatu penyakit. Kompaun lignin ini juga boleh didapati pada batang kayu yang lain selain daripada nenas batu itu sendiri.

Kesimpulan Berkenaan khasiat Nanas Batu

Oleh itu, untuk mengatakan nanas batu mampu mengubati penyakit, ianya adalah seperti peribahasa jauh panggang dari api. Kita tidak boleh dengan sewenang-wenangnya memperkatakan ia boleh merawat pelbagai jenis penyakit.

Ini kerana tiada lagi kajian yang membuktikan perkara tersebut

Rujukan:

  1. Emma Calson Berne. From Cone To Pine Tree 2018. Learner Publishing Group
  2. Bramlett DL, Belcher EW, Jr. G,DeBarr L, Hertel GD, Karrfalt RP. Lantz CW. Miller T,Ware KD. and Yates HO. CONE ANALYSIS OF SOUTHERN PINES
  3. Hiroshi Sakagami, Hong Sheng, Toshikazu Yasui, Kunihiko Fukuchi, Takaaki Oizumi, Hirokazu Ohno, Masaji Yamamoto, Toshiyuki Fukuda, Kayoko Kotohda, Hidenobu Yoshida, Taisei Kanamoto. Chapter 18 – Therapeutic potential of solubilized nanolignin against oral diseases. Nanostructures for Oral Medicine A volume in Micro and Nano Technologies 2017, Pages 545–576 https://doi.org/10.1016/B978-0-323-47720-8.00019-5
  4. Oh-Hara T, Sakagami H, Kawazoe Y, Kaiya T, Komatsu N, Ohsawa N, Fujimaki M, Tanuma S, Konno K. Antimicrobial spectrum of lignin-related pine cone extracts of Pinus parviflora Sieb. et Zucc.In Vivo. 1990 Jan-Feb;4(1):7-12.
  5. Nagata K, Sakagami H, Harada H, Nonoyama M, Ishihama A, Konno K. Inhibition of influenza virus infection by pine cone antitumor substances. Antiviral Res. 1990 Jan;13(1):11-21.
Categories: Mitos

Dr Latif Saad

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa