222Shares

Risau pada masalah kuning bayi? Ia merupakan salah satu fenomena yang selalu berlaku dikalangan bayi yang baru lahir. Orang terdahulu memanggilnya sebagai demam kuning. Tetapi kuning yang selalu di alami oleh bayi jarang melibatkan simptom demam.

Dan ada juga di kalangan masyakarat yang masih mengamalkan menjemur bayi di bawah cahaya matahari untuk merawat bayi yang mengalami masalah kuning

1. Istilah perubatan

Neonatal jaundice: Masalah kuning yang berlaku pada bayi kurang daripada sebulan

Phototherapy: Terapi photo yang melibatkan bayi diletakkan dibawah cahaya lampu untuk rawatan bayi yang kuning

Bilirubin: Kompaun dalam darah yang menyebabkan kekuningan

2. Pengenalan

Kekuningan merupakan satu perkara yang kerap di alami oleh bayi yang baru lahir. Punca kekuningan pada bayi yang baru lahir adalah disebabkan terkumpulnya bilirubin(unconjugated) di kulit. Majoriti bayi yang kekuningan tidak mempunyai apa-apa masalah dan ia merupakan tindak balas normal bayi yang baru dilahirkan.

Tetapi dalam beberapa keadaan dimana tahap kekuningan itu sangat tinggi, kompaun bilirubin tersebut boleh masuk ke dalam otak dan menyebabkan perkembangan mental terencat

3. Patofisiologi(Bagaimana masalah kuning bayi berlaku?)

Bilirubin adalah kompaun yang terhasil daripada penguraian sel darah merah yang telah mati. Hemoglobin di dalam sel darah merah yang berfungsi untuk membawa oksigen tersebut akan diuraikan menjadi kompaun bernama ‘heme.’ Heme pula akan diuraikan hingga menjadi bilirubin dan kompaun inilah yang menyebabkan bayi yang kuning

Ketika di dalam kandungan, bayi tidak boleh bernafas. Oleh itu, bayi akan mendapatkan bekalan oksigen daripada pertukaran gas yang berlaku di plasenta(Uri). Bukan itu sahaja, bahan kumuh bayi seperti bilirubin yang menyebabkan masalah kuning pun akan disingkirkan daripada placenta kepada ibu.

Disebabkan keadaan bayi yang kekurangan oksigen, bayi akan menghasilkan sel darah merah yang lebih banyak berbanding ibu. Ia bertujuan untuk menarik gas oksigen dengan lebih efektif supaya kandungan oksigen dalam badan bayi adalah normal. Sebab itu bayi yang baru lahir mempunyai bacaan bilangan sel darah merah dan bacaan hemoglobin yang tinggi.

Tetapi apabila bayi telah lahir, bayi mampu bernafas sendiri dan keadaan hemoglobin yang tinggi tidak lagi diperlukan. Sel darah merah ini akan dihapuskan di dalam hati dan limpa(spleen).

Disebabkan bilirubin yang bersifat hydrophobic iaitu takut kepada air tetapi ia senang larut dalam lemak, ia menyebabkan kompaun ini mudah untuk merentasi dinding sel yang juga terdiri daripada lemak dan berkumpul dibawah kulit. Perkara inilah yang menyebabkan kulit berubah kepada warna kuning.

4. Sejarah daripada pesakit

Kenaikkan paras bilirubin selalunya berlaku pada hari kedua ataupun ketiga selepas kelahiran. Kekuningan yang berlaku pada 24 jam selepas kelahiran adalah kekuningan yang tidak normal. Penyiasatan yang lanjut perlu dibuat untuk mengetahui punca kenaikkan paras bilirubin bagi pesakit tersebut

5. Faktor risiko yang boleh menyebabkan kuning bayi meningkat (punca kuning bayi):

  • Ibu yang mempunyai darah jenis O
  • Ibu yang mempunyai kumpulan darah rhesus negatif
  • Anak yang mempunyai kekurangan G6PD
  • Anak yang mempunyai masalah thyroid
  • Bayi lahir kurang bulan
  • dan beberapa faktor risiko yang lain

6. Pemeriksaan pesakit

6.1 Kulit bayi

Kuning selalunya bermula pada bahagian kepala dahulu. Untuk mengetahui bayi itu kekuningan, kulit pada bahagian kepala ataupun dada akan dipicit. Jika kulit tersebut nampak kuning, kebarangkalian bayi tersebut telah mengalami kekuningan.

Di Malaysia, pesakit yang baru sahaja melahirkan bayi akan dilawati oleh jururawat masyarakat pada beberapa hari pertama. Tujuannya untuk melihat keadaan ibu dan anak. Pada ketika itulah, Jururawat masyarakat akan memeriksa bayi sama ada mempunyai kekuningan ataupun tidak.

Apabila kompaun bilirubin semakin meningkat di dalam badan, kekuningan bayi akan turun dari kepala ke bahagian dada dan abdomen. Jika semakin teruk, ia akan melibatkan tangan dan kaki. Fenomena kekuningan yang merebak daripada kepala kebahagian badan yang lain masih lagi tidak dapat dijelaskan oleh para saintis.

6.2 Keadaan bayi

Dalam bayi yang mempunyai kekuningan yang sangat tinggi, ia akan mengganggu fungsi otak kerana bilirubin sudah masuk ke dalamnya. Contoh simptom tersebut adalah sawan, cara tangisan yang tidak normal, tona otot yang lemah dan beberapa karakter yang lain

6. Differential diagnosis(Diagnosis-diagnosis lain yang boleh menyebabkan kekuningan pada bayi)

  • Kekuningan disebabkan susu ibu(Breastmilk jaundice)
  • Duodenal atresia
  • Hipotiroid
  • Biliary atresia
  • Choledocal sista
  • Crigler-Najjar syndrome
  • Gilbert syndrome

 

7. Penyiasatan

7.1 Serum bilirubin

Penyiasatan ataupun jenis darah yang selalu diambil pada bayi yang kekuningan adalah bacaan total serum bilirubin(TSB). Ia akan menunjukkan bacaan kekuningan dan memberi kita idea sama ada pesakit perlu masuk ke dalam hospital untuk diletakkan bawah lampu ataupun tidak

Ada juga ujian darah lain yang boleh dilakukan jika bacaan kekuningan terlampau tinggi seperti Direct Coombs test, Reticulocyte count, jenis kumpulan darah dan beberapa ujian yang lain.

7.2 Transcutaneous bilirubinometry

Alat ini boleh mengesan kekuningan pada bayi. Penggunaan alat seperti ini dapat mengurangkan pengambilan darah pada bayi yang tidak memerlukan. Tetapi ia tidak boleh digunakan untuk melihat tahap kekuningan pada bayi yang sedang menjalani phototherapy.

Ini kerana alat ini dapat mengesan kekuningan pada kulit sahaja. Ia tidak boleh melihat bacaan sebenar kompaun bilirubin di dalam darah.

Tetapi tanpa menggunakan alat ini, kita masih boleh menentukan bayi tersebut kekuningan ataupun tidak dengan menggunakan penglihatan dan dibantu dengan cahaya yang mencukupi.

8. Rawatan bagi masalah kuning bayi

Jika seorang bayi mempunyai kekuningan, paras bilirubin akan dipantau di klinik kesihatan mahupun klinik swasta yang menawarkan pengambilan darah untuk periksa serum bilirubin. Jika didapati paras bilirubin lebih daripada yang sepatutnya, bayi tersebut akan diminta untuk dimasukkan ke dalam hospital untuk menerima rawatan phototherapy

Jika parasnya masih tidak memerlukan photherapy, paras bilirubin akan dipantau sehingga ia benar-benar turun ke bacaan yang normal. Tetapi jika bayi tersebut masih lagi kekuningan selepas 14  hari, pesakit akan diminta untuk pergi ke hospital bagi pemeriksaan lanjutan.

Bayi yang masih kuning  selepas 14 hari dikategorikan mempunyai kekuningan yang berpanjangan(prolonged jaundice). Penyiasatan lanjutan perlu dibuat untuk mengenal pasti punca kuning yang berpanjang. Tetapi ibubapa tidak perlu risau sangat, ini kerana majoriti daripada kes kuning yang berpanjangan melibatkan bayi yang normal.

Penyiasatan dilakukan untuk mengenal pasti punca-punca yang merbahaya seperti biliary atresia, hepatitis dan sebagainya.

8.1 Phototherapy

Rawatan yang selalu dilakukan adalah menggunakan phototherapy iaitu meletakkannya di bawah lampu rawatan. Phototherapy merupakan salah satu rawatan kekuningan yang telah lama digunakan di dalam perubatan moden.

Lampu tersebut akan mengeluarkan cahaya yang akan mengubah kompaun bilirubin kepada bentuk lain yang menyebabkan ia larut dalam air. Ketika mana ia larut di dalam air, ia akan menyebabkan kompaun bilirubin tersebut susah untuk merentasi lapisan otak dan senang untuk disingkir daripada buah pinggang.

Apabila bayi yang kuning diletakkan dibawah mesin phototherapy, kebarangkalian untuk mendapat komplikasi disebabkan kekuningan yang tinggi adalah sangat rendah

8.2 Blood Exchange Transfusion(Penukaran darah bayi dengan darah orang lain)

Apabila bacaan kekuningan terlampau tinggi, penukaran darah(blood exchange transfusion) perlu dilakukan. Iaitu kita menukarkan darah bayi yang mempunyai kompaun bilirubin yang tinggi dengan darah orang lain yang mempunyai kompaun bilirubin yang rendah. Ini akan menyebabkan bacaan kekuningan bagi kuning bayi turun dengan drastik.

8.3 Pemberian susu ibu

Pemberian susu ibu perlulah diberi secara kerap kepada bayi untuk mengelakkan kuning bayi daripada kekurangan air dalam badan. Ini kerana kekurangan air, boleh menyebabkan paras bilirubin bayi meningkat.

Walaupun ada beberapa kajian yang menunjukkan susu bayi boleh menyebabkan kekuningan, kelebihan pemberian susu bayi adalah melebihi kerisauan kita pada perkara tersebut.

Ini kerana susu bayi mempunyai perlbagai manfaat seperti membekalkan nutrien yang secukupnya pada bayi, mengelakkan bayi daripada kebanyakkan jangkitan kuman, memberi pertumbuhan bakteria baik dalam usus dan banyak lagi.

8.4 Ubat dan herba?

Tiada lagi kajian yang menunjukkan sebarang ubat dan herba mampu menurunkan kekuningan pada bayi. Jika anda menjumpai mereka yang menjual ubat tersebut, anda perlulah meminta nombor kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika tiada tidak perlu anda membelinya. Jika ada bolehlah anda menghubungi bahagian farmasi di link ini

8.5 Jemur dibawah cahaya matahari

Sudah menjadi saranan orang terdahulu untuk menjemur bayi dibawah cahaya matahari untuk mengurangkan kuning bayi. Betul, cahaya matahari juga boleh menukarkan kompaun bilirubin bayi menjadi kompoun yang larut air dan boleh disingkirkan daripada badan.

Tetapi komplikasi seperti bayi kekeringan disebabkan cahaya matahari pun boleh berlaku. Jika air di dalam badan bayi berkurangan, ia akan menyebabkan kompaun bilirubin semakin meningkat dan membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.

Bayi yang mempunyai paras bilirubin yang tinggi selalunya akan mendapat pemerhatian susulan. Setiap beberapa bulan, bayi perlu dibawa berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak untuk melihat perkembangan mental dan fizikal bayi

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami The Diagnosa.

9. Rujukan:

  1. Huang MJ, Kua KE, Teng HC, Tang KS, Weng HW, Huang CS. Risk factors for severe hyperbilirubinemia in neonates. Pediatr Res. 2004 Nov. 56(5):682-9.
  2. Woodgate P, Jardine LA. Neonatal jaundice: phototherapy. BMJ Clin Evid. 2015 May 22. 2015
  3. Watchko JF, Lin Z. Genetics of neonatal jaundice. Stevenson DK, Maisels MJ, Watchko JF. Care of the jaundiced neonate. New York: McGraw-Hill; 2012. 1-27.
  4. Maisels MJ, Newman TB. The epidemiology of neonatal hyperbilirubinemia. Stevenson DK, Maisels MJ, Watchko JF. Care of the jaundiced neonate. New York: McGraw-Hill; 2012. 97-113.

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

2 Comments

Aira · April 2, 2018 at 9:53 am

Salam doc..klu anak sy bacaan pertama 9.9 dan bacaan kedua 9.5 adakah die akan terus turun ?atau berkemungkinan akan naik semula?

Penyakit Asma pada Kanak-kanak - TheDiagnosa · September 27, 2017 at 8:03 am

[…] Bacaan seterusnya: Kekuningan pada bayi […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *