Berita baik bagi pesakit diabetes yang baru sahaja 6 tahun mengalami kencing manis, anda mempunyai peluang untuk memberhentikan ubat kencing manis anda.

Ini kerana kajian terbaru telah menunjukkan, mereka yang mampu menurunkan berat badan dengan banyak mampu menyebabkan kawalan gula mereka menjadi normal tanpa menggunakan ubat kencing manis.

Kencing manis

Kencing manis merupakan penyakit kronik yang mungkin akan dihadapi seumur hidup seseorang pesakit. Ia berlaku disebabkan 2 perkara iaitu

1) Kerintangan insulin: Dimana insulin yang dihasilkan tidak berfungsi dengan sempurna
2) Kekurangan penghasilan insulin

Insulin berfungsi untuk membuka liang pada sel supaya gula dapat dimasukkan ke dalam sel. Akan tetapi dalam masalah kerintangan insulin, insulin tidak dapat berfungsi dengan sempurna menyebabkan gula masih berada dalam saluran darah.

Inilah yang akan menyebabkan bacaan gula tinggi dalam darah dan menyebabkan komplikasi pada badan.

Lebih kurang 90% mereka yang mengalami kencing manis adalah orang yang obese ataupun lebih berat badan. Oleh itu, terdapat hubungan yang kuat diantara berat badan yang berlebihan dan juga diabetes kerana salah satu penyebab kerintangan insulin adalah disebabkan berat badan yang berlebihan.

Masyarkat dunia telah mengamalkan diet yang tidak sihat menyebabkan mereka terpaksa menerima akibatnya. Kes kencing manis, tekanan darah tinggi, strok dan sakit jantung semakin meningkat saban hari menyebabkan kos perubatan untuk merawat pesakit ini semakin meningkat.

Kajian penyembuhan kencing manis melalui pengurangan berat badan

Sekumpulan pengkaji di scotland berpendapat jika masalah itu bermula dengan diet, jadi penyelesaiannya juga ada dalam perkara tersebut

Oleh itu, mereka memperkenalkan satu diet aggresif kepada 306 peserta yang berumur diantara 20-65 tahun dan telah disahkan mengalami kencing manis jenis ke-2(Type-2 diabetes).

Keputusannya sangat menggemparkan:

” Penemuan kami menunjukkan seseorang yang mempunyai kencing manis selama 6 tahun boleh disembuhkan”, Proffesor Michael Lean salah seorang pengkaji dalam kumpulan tersebut

Sembuh disini bukanlah bermaksud boleh mengamalkan diet yang tidak terkawal selepas itu. Pesakit masih perlu mengawal permakanan supaya berat badan dapat dikekalkan dan kencing manis tidak datang semula.

Para pengkaji tersebut juga berpendapat bahawa kebanyakkan garis panduan rawatan diabetes selalunya membincangkan berkenaan rawatan penggunaan ubat dengan menyentuh sedikit rawatan berkenaan perubahan cara hidup dan juga diet.

Dalam garis panduan Diabetes tidak menerangkan berkenaan pengurangan kalori, kata Professor Roy Taylor daripada Newcastle Univesity

Oleh itu, para pengkaji tersebut membuat kajian ini dengan memperkenalkan diet yang aggresif. Ianya bukan diet yang mudah untuk diikuti kerana peserta perlu mengambil hanya 825-853 kalori dalam sehari untuk 3-5 bulan.

Untuk perbandingan, manusia biasa akan membakar kalori sebanyak 2000-2400 kalori dalam sehari. Ini bermaksud kalori yang dibakar adalah berlebihan daripada kalori yang diambil menyebabkan berat badan boleh dikurang dengan berkesan.

 

Selepas beberapa bulan, pesakit akan sedikit demi sedikit dimulakan semula dengan diet normal yang sihat. Mereka juga diberikan konsultansi berkenaan cara untuk mengekalkan berat badan.

Yang menarik, program tersebut dikatakan boleh dilakukan oleh kebanyakan peserta. Purata kurang berat badan adalah 10kg. Tetapi suku daripada peserta mampu mengurangkan berat badan sebanyak 15kg ataupun lebih.

Keputusan kajian tersebut menunjukkan separuh daripada peserta telah bebas kencing manis selepas menjalani program tersebut. Pengkaji mendapati kebanyakan peserta adalah berkulit putih dan juga orang british, oleh itu keputusan kajian ini mungkin tidak sama bila dilakukan pada bangsa yang lain.

Walau demikian, keputusannya sangat memberangsangkan dan mempunyai peluang rawatan yang lebih luas kepada masyarakat yang lain.

Oleh itu, bagi pesakit diabetes diluar sana, harapan masih ada untuk anda berhenti daripada pengambilan ubat kencing manis. Jawapannya adalah anda perlu turunkan berat badan terutamanya bagi mereka yang mengalami obesiti ataupun berlebihan berat badan. Walaupun anda selalu solat hajat untuk menurunkan badan, usaha untuk mengurangkan berat badan juga perlu dilakukan.

Jika maklumat ini bermanfaat, jangan lupa like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. The Lancet. (2017, December 5). Weight management program can put type 2 diabetes into remission. ScienceDaily. Retrieved December 10, 2017 from www.sciencedaily.com/releases/2017/12/171205091651.htm
  2. Michael EJ Lean, Wilma S Leslie, Alison C Barnes, Naomi Brosnahan, George Thom, Louise McCombie, Carl Peters, Sviatlana Zhyzhneuskaya, Ahmad Al-Mrabeh, Kieren G Hollingsworth, Angela M Rodrigues, Lucia Rehackova, Ashley J Adamson, Falko F Sniehotta, John C Mathers, Hazel M Ross, Yvonne McIlvenna, Renae Stefanetti, Michael Trenell, Paul Welsh, Sharon Kean, Ian Ford, Alex McConnachie, Naveed Sattar, Roy Taylor. Primary care-led weight management for remission of type 2 diabetes (DiRECT): an open-label, cluster-randomised trial. The Lancet, December 2017 DOI: 10.1016/S0140-6736(17)33102-1
  3. Featured image: diabetesnewsjournal.com

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa