Lemah jantung (Heart failure) adalah satu keadaan dimana jantung tidak dapat mengepam darah pada kadar yang sepatutnya untuk memenuhi kehendak sel badan.

Struktur Jantung secara mudah

Jantung mempunyai 4 ruang iaitu 2 ruang atrium yang terletak pada bahagian atas dan 2 ruang ventrikel yang terletak dibahagian bawah

Secara mudahnya, peredaran darah badan bermula daripada jantung sebelah kanan dimana darah yang sudah digunakan oleh badan masuk ke dalam jantung semula melalui vena kava. Darah ini mengandungi karbon dioksida yang tinggi dan kandungan oksigen yang rendah kerana telah digunakan oleh sel badan.

Ia akan masuk ke dalam ruangan atrium sebelah kanan terlebih dahulu dan dipam ke dalam ruangan ventrikel sebelah kanan. Kemudian, daripada ventrikel sebelah kanan, ia akan dipam ke pembuluh darah arteri pulmonari untuk disalurkan ke bahagian paru-paru. Di paru-parulah, karbon dioksida dalam darah akan digantikan dengan oksigen.

Kemudian darah yang mengandungi oksigen ini akan bergerak semula ke bahagian jantung sebelah kiri. Ia akan memasuki atrium sebelah kiri, kemudian di pam ke ventrikel sebelah kiri dan akhirnya dipam keseluruh bahagian badan melalui salur darah aorta.




struktur jantung

Struktur jantung dan cara pergerakan darah(sumber gambar: wikipedia)

Apa yang akan berlaku jika jantung lemah?

Apabila jantung lemah atau gagal berfungsi dengan baik, darah tidak akan dipam secara cukup ke bahagian badan yang lain. Bahkan bukan itu sahaja, ia akan menyebabkan darah sebelum bahagian jantung terkumpul. Ia seperti lebuh raya yang sangat sesak disebabkan lampu isyarat yang tidak berfungsi dengan sepenuhnya.

Perkara ini akan menyebabkan cecair keluar daripada salur darah dan masuk ke dalam tisu sekeliling. Oleh kerana itulah, ia boleh menyebabkan kaki menjadi bengkak kerana air daripada salur darah akan keluar ke tisu sekeliling dan selalunya kawasan bengkak ini akan mengikut graviti. Ketika tidur kaki akan susut bengkaknya. Tetapi apabila berjalan, kaki akan menjadi bengkak.

Bukan itu sahaja, air juga akan masuk ke dalam kawasan paru-paru terutamanya ruang pertukaran gas iaitu di alveolar. Apabila air memenuhi kawasan tersebut, ia akan menyebabkan pertukaran oksigen menjadi sukar. Pesakit yang mengalami lemah jantung yang teruk akan berasa tercungap-cungap kerana kekurangan oksigen.

Punca Lemah Jantung

Kebanyakan pesakit yang mempunyai masalah lemah jantung adalah disebabkan kombinasi beberapa perkara ataupun penyakit.

Beberapa punca yang boleh menyebabkan masalah ini adalah:

  • Serangan sakit jantung
  • Kencing manis
  • Tekanan darah tinggi
  • Masalah injap jantung
  • Arrhythmia: Jantung berdenyut tidak mengikut ritma yang sepatutnya
  • Jangkitan kuman pada bahagian jantung
  • Cardiomyopathy (Masalah kepada otot jantung)
  • Congenital heart disease : Masalah jantung sejak daripada lahir mahupun dalam kandungan
  • Anemia: Kekurangan sel darah merah
  • Hipertiroid
  • Polycythemia vera: Pesakit menghasilkan sel darah merah yang lebih banyak daripada biasa

Faktor-faktor yang menyebabkan lemah jantung menjadi lebih teruk

Pesakit yang mengalami lemah jantung dapat dikawal dengan ubat-ubatan dan juga pemberian oksigen melalui tiub. Akan tetapi, ada juga beberapa punca lain yang menyebabkan keadaan lemah jantung tersebut menjadi lebih teruk.

Ianya adalah:

  • Pengambilan air yang melebihi sukatan
  • Pengambilan garam yang melebihi sukatan
  • Tekanan darah yang terlampau tinggi
  • Atrial fibrillation: Rentak jantung bahagian atrium yang tidak mengikut ritma sepatutnya
  • Serangan sakit jantung
  • Jangkitan kuman yang teruk

Simptom dan tanda lemah jantung

Terdapat beberapa simptom lemah jantung iaitu:

  • Akan berasa sesak nafas jika buat kerja
  • Sesak nafas ketika baring terlentang. Pesakit mungkin menggunakan bantal yang lebih banyak daripada biasa untuk menegakkan sedikit badan supaya sesak nafasnya berkurangan. Ada juga pesakit yang terpaksa duduk untuk tidur kerana akan sesak nafas bila baring
  • Selalu rasa berdebar
  • Kaki bengkak
  • Batuk waktu malam
  • Terbangun pada waktu malam secara tiba-tiba disebabkan sesak nafas.




Tahapan lemah Jantung

Ada 4 tahapan lemah jantung yang telah digariskan oleh New York Heart Association. Ianya adalah

  • Kelas I: Boleh melakukan aktiviti fizikal seperti biasa
  • Kelas II: Terdapat sedikit halangan untuk melakukan aktiviti fizikal. Sebagai contoh pesakit terpaksa berehat sebentar ketika mana hendak pergi ke kedai runcit dalam kawasan perumahannya.
  • Kelas III: Pesakit mempunyai halangan dalam melakukan aktiviti fizikal. Pada ketika ini, aktiviti di dalam rumah pun akan menyebabkan pesakit sesak nafas. Sebagai contohnya jika pesakit hendak mandi, ia akan menyebabkan pesakit sesak nafas.
  • Kelas IV: Sesak nafas berlaku ketika pesakit sedang berehat

Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang boleh menyebabkan simptom yang sama berlaku. ianya adalah:

  • Kegagalan buah pinggang
  • Kegagalan hati
  • Jangkitan paru-paru
  • Serangan sakit jantung
  • Sindrom nefrotik: Keadaan ini berlaku dimana buah pinggang tidak dapat menapis protein. Menyebabkan protein dalam darah dibuang melalui air kencing. Protein dalam darah juga berfungsi untuk menahan air keluar daripada salur darah. Ketika protein berkurangan dalam salur darah, air akan banyak keluar ke dalam tisu. Selalunya pesakit akan mengalami kaki bengkak.
  • Pneumothorax
  • Pulmonary Embolism: Terdapat darah beku yang menyumbati salur darah dibahagian paru-paru menyebabkan oksigen tidak bertukar secara efisien. Kandungan oksigen yang berkurangan dalam badan menyebabkan pesakit berasa sesak nafas.

Penyiasatan

Untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai lemah jantung ataupun tidak, ia perlulah berdasarkan pemeriksaan secara klinikal, keputusan darah, keputusan x-ray dan juga echocardiogram.

Pengambilan darah

1. Full blood count (FBC): Selalunya diambil untuk melihat bilangan sel darah dalam badan. Pesakit yang mengalami sesak nafas juga boleh disebabkan kurangnya sel darah merah dalam badan

2. Fungsi buah pinggang: Penyiasatan untuk melihat fungsi buah pinggang adalah penting kerana salah satu penyebab terkumpulnya air dalam paru-paru adalah disebabkan kegagalan buah pinggang

3. Fungsi hati: Kegagalan hati juga boleh menyebabkan simptom lemah jantung seperti kaki bengkak. Oleh itu, penyiasatan darah untuk mengetahui fungsi hati adalah diperlulkan

4. Arterial Blood Gas (ABG): Sampel darah jenis ini diambil terus daripada salur darah jenis arteri. Ia berfungsi untuk mengetahui kandungan oksigen dan beberapa bahan yang lain dalam darah. Pada pesakit yang mengalami lemah jantung, kandungan oksigen akan lebih rendah

Pengimejan

1. X-ray dada: Pesakit yang mengalami lemah jantung selalunya mempunyai saiz jantung yang lebih besar daripada manusia biasa. X-ray juga akan menunjukkan kawasan paru-paru yang kabur terutamanya bahagian bawah paru-paru. Ini menunjukkan air telah memasuki bahagian alveolar paru-paru

2. Echocardiography: Ia berfungsi untuk melihat keadaan jantung berserta injapnya sama ada berfungsi dengan normal ataupun tidak. Prosedur ini juga boleh menentukan ‘ejection fraction’ iaitu kadar darah dipam keluar daripada jantung. Bacaan ini akan menentukan sama ada jantung tersebut mempunyai masalah ataupun tidak.

Lain-lain

Electrocardiogram: Ini adalah mesin yang digunakan untuk membaca gelombang yang dihasilkan oleh jantung.

Rawatan

Penyakit lemah jantung memerlukan rawatan sepanjang hayat. Ia melibatkan rawatan untuk mengurangkan simptom masalah lemah jantung dan juga mengelakkannya daripada menjadi lebih teruk.

Kadang-kadang, doktor boleh membetulkan balik masalah lemah jantung bergantung kepada penyebab masalah itu. Sebagai contoh, jika ia disebabkan injap jantung yang rosak, doktor boleh melakukan pembedahan untuk merawat masalah tersebut dan pesakit akan menjadi lebih selesa selepas pembedahan dilakukan.

Penggunaan ubat

Doktor selalunya menggunakan kombinasi ubat untuk mengurangkan simptom lemah jantung dan juga untuk mengelakkan jantung itu menjadi lebih teruk.

1. Angiotension-converting enzyme (ACE) inhibitors. Ubat ini digunakan untuk membesarkan diameter darah supaya tekanan darah berkurangan. Oleh itu, ia akan mengurankan beban jantung untuk mengepam darah. Contoh uba adalah perindopril, enalapril, captopril dan lisinopril

2. Angiotensin II receptor Blockers: Ia mempunyai fungsi yang sama seperti ubat ACE tetapi cara kerja yang berlainan. Contoh kepada ubat ini adalah Losartan dan Valsartan

3. Diuretics: Selalunya ubat ini dipanggil sebagai ubat lawas kencing kerana mereka yang mengambilnya akan lebih kerap kencing. Ia berfungsi untuk membuang lebihan air di dalam badan supaya ia tidak membebankan jantung yang mengepam dan juga tidak terkumpul di dalam paru-paru. Contoh ubat adalah frusemide

Pembedahan

Dalam beberapa jenis kes lemah jantung, pembedahan diperlukan untuk merawat masalah tersebut. Ianya adalah:

  • Coronary bypass surgery: Dalam pembedahan ini, satu salur darah badan akan diambil dibahagian kaki dan salur darah itu akan digunakan untuk membuat pintasan dibahagian salur darah jantung yang tersumbat.
  • Pembaikan ataupun penggantian injap jantung: Pesakit yang mengalami masalah injap jantung boleh menyebabkan fungsi jantung tidak bergitu efisien. Oleh disebabkan itu, mereka yang mengalami masalah pada injap jantung boleh menjalani pembedahan sama ada untuk menggantikan injap tersebut ataupun menukarkan ia dengan injap lain. Ia bergantung kepada doktor dan juga pesakit

Gaya hidup untuk membantu pesakit lemah jantung

Perubahan dalam gaya hidup boleh membantu pesakit untuk mengurangkan simptom lemah jantung. Beberapa perkara yang boleh pesakit buat adalah:

  • Berhenti merokok: Mereka yang merokok perlulah berhenti merokok kerana ia boleh merosakkan salur darah, meningkatkan tekanan darah, menyebabkan paru-paru menjadi lebih rosak dan banyak lagi kesan sampingan yang lain
  • Makan makanan yand sihat: Kurangkan pengambilan makanan yang manis dan mempunyai lemak yang tinggi. Lebihkan makanan yang mempunyai sayur-sayuran
  • Kurangkan pengambilan garam: Pengambilan garam yang berlebihan akan menyebabkan air lebih banyak di dalam salur darah. Ini akan meningkatkan isipadu darah dalam badan dan membebankan jantung untuk mengepam
  • Tidur dengan keadaan yang selesa: Jika anda tidak selesa tidur terlentang, tambah bantal anda sedikit sehingga mana anda tidak lagi berasa sesak nafas ketika tidur.
  • Minum air ikut sukatan doktor: Bagi pesakit yang mengalami lemah jantung yang teruk, doktor kadang kala akan meletakkan berapa kadar air yang boleh diminum setiap hari. Ia bertujuan untuk mengelakkan air yang berlebihan di dalam badan.

Rujukan:

  1. Page RL, et al. Drugs that may cause or exacerbate heart failure: A scientific statement from the American Heart Association. Circulation. 2016;134:e32.
  2. Yancy CW, Jessup M, Bozkurt B, et al, American College of Cardiology Foundation/American Heart Association Task Force on Practice Guidelines. 2013 ACCF/AHA guideline for the management of heart failure: a report of the American College of Cardiology Foundation/American Heart Association Task Force on practice guidelines. Circulation. 2013 Oct 15. 128(16):e240-327.
  3. Colucci WS. Determining the etiology and severity of heart failure or cardiomyopathy. https://www.uptodate.com/contents/search.
  4. Vasan RS, et al. Epidemiology and causes of heart failure. https://www.uptodate.com/contents/search.
  5. Goldman L, et al., eds. Heart failure: Management and prognosis. In: Goldman-Cecil Medicine. 25th ed. Philadelphia, Pa.: Saunders Elsevier; 2016. https://www.clinicalkey.com.
  6. Lindenfeld J, Albert NM, Boehmer JP, et al, for the Heart Failure Society of America. HFSA 2010 comprehensive heart failure practice guideline. J Card Fail. 2010 Jun. 16(6):e1-194.
  7. Cody RJ. Hormonal alterations in heart failure. In: Hosenpud JB, Greenberg BH, eds. Congestive Heart Failure: Pathophysiology, Diagnosis and Comprehensive Approach to Management. Philadelphia, PA: Lippincott Williams & Wilkins; 2000. 199-212.
Categories: Perubatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *