Mata bertahi selalunya berlaku ketika mana mata pesakit bermasalah dan juga menghasilkan air mata yang banyak. Pesakit yang mengalami masalah ini selalunya pada waktu pagi akan mengadu susah untuk membuka mata disebabkan tahi mata tersebut. Seolah-olah tahi mata itu bertindak seperti gam yang melekatkan kelopak mata atas dan bawah.

Jika ia terlalu teruk, ia mungkin tanda mata anda sedang mengalami jangkitan kuman

Tanda tanda mata bertahi

Tanda yang paling selalu dilihat adalah bahan berwarna hijau yang berada di hujung bahagian mata. Pesakit juga mungkin akan mengadu simptom-simptom lain seperti:

  • Sakit mata
  • Mata Kering
  • Mata merah
  • Mata silau
  • Gatal mata

Punca dan Penyebab Mata Bertahi

Mata anda menghasilkan mukus dan air mata sepanjang hari. Ia merupakan sesuatu yang normal kerana ia penting untuk memastikan bebola mata sentiasa basah dan tidak kering. Bahkan ia juga membantu dalam menyinkirkan habuk pada bahagian mata.

Jika saluran yang mengularkan air mata tersumbat, air mata itu boleh terkumpul dihujung mata dan kering menjadi tahi mata. Ia selalunya berlaku ketika seseorang itu tidur.

Tahi mata yang sedikit merupakan sesuatu yang normal terutamanya apabila seseorang itu baru bangun tidur. Akan tetapi terdapat beberapa punca yang menyebabkan tahi mata anda menjadi lebih banyak. Punca tersebut adalah:

  • Penggunaan Kanta lekap yang tidak dibasuh dengan betul
  • Konjunktivitis(Jangkitan pada konjunktiva)
  • Ketumbit
  • Ulser pada mata
  • Sindrom Mata kering
  • Jangkitan pada saluran air mata
  • Jangkitan herpes pada mata

Rawatan Mata bertahi

Rawatan untuk mata bertahi adalah bergantung kepada punca yang menyebabkan masalah tersebut. Sebelum meletakkan apa-apa ubat, pastikan tangan anda dibersihkan terlebih dahulu untuk membersihkan debu dan bakteria pada tangan.

Jika mata anda melekat disebabkan tahi mata tersebut, ambil tuala yang basahkan dengan sedikit air suam. Lap tuala tersebut dibahagian mata tersebut untuk melarutkan tahi mata yang ada,

Penggunaan antibiotik titik diperlukan bagi mereka yang mengalami jangkitan bakteria.

Jika mata berair tersebut disebabkan alahan, ubat anti-histamin akan diberikan kepada anda untuk mengurangkan simptom tersebut.

Bersihkanlah kanta lekap anda dengan betul untuk mengelakkan jangkitan kuman pada mata anda

Rujukan:

  1. Coote MA. (2002). Sticky eye, tricky diagnosis.
    ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11926153
  2. Hernandez D. (2017). You asked: Are all eye ‘boogers’ infectious? . vitalrecord.tamhsc.edu/asked-eye-boogers-infectious/
  3. Is that morning ‘eye gunk’ normal? (2018). . healthcare.utah.edu/healthfeed/postings/2018/01/eye-gunk.php
Categories: Mata

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *