Migrain merupakan penyakit yang selalu berlaku di kalangan orang awam. Ia adalah penyakit yang kompleks dimana ia disifatkan dengan sakit kepala yang kerap berlaku dan selalunya melibatkan kesakitan pada sebelah bahagian kepala sahaja. Kadang-kala ia juga mempunyai simptom lain yang melibatkan pemandangan, pendengaran dan deria rasa kita.

Penyakit ini selalunya berlaku pada wanita dan dipengaruhi kuat dengan faktor genetik ataupun keturunan.

Istilah perubatan

Aura: Adalah gangguan pada deria penglihatan, deria rasa dan deria yang lain sebelum berlakunya masalah sakit kepala ini.

Pengenalan

Migrain merupakan salah satu penyakit yang selalu berlaku di kalangan masyarakat. Pesakit ini selalunya akan menyatakan sakit kepala pada sebelah bahagian sahaja dan ianya kerap kali berlaku.

Istilah migrain adalah daripada bahasa greek iaitu ‘Hemikrania’. Istilah itu telah diambil oleh orang latin dan menyebutnya sebagai ‘hemigranea’. Perancis pula menukarkan bahasa tersebut kepada perkataan ‘Migraine’. Hemikrania dan juga hemigranea bermaksud sakit kepala pada sebelah bahagian sahaja

Ia juga boleh mempunyai simptom yang melibatkan penglihatan dan deria yang lain sebelum diserang penyakit ini. Perkara tersebut dikenali sebagai ‘aura’. Bermaksud sebelum seseorang itu mempunyai masalah ini, dia akan merasakan pemandangannya terganggu dan juga deria seperti deria rasa merasakan sesuatu perkara yang lain.

Patofisiologi

Sebelum ini, sakit kepala dipercayai disebabkan oleh masalah pembuluh darah di otak. Ia bermula dengan salur darah yang mengecil terdahulu. Kemudian diikuti dengan saluran darah yang tiba-tiba membesar pula. Ketika ia membesar, tekanan darah di kawasan tersebut menjadi berkurangan dan darah kurang pergi ke bahagian tersebut. Inilah yang menyebabkan sakit kepala.

Tetapi kajian terbaru menyatakan punca masalah migrain adalah lebih tepat bersandarkan teori neurovascular iaitu berlaku kecelaruan pengaliran maklumat  di bahagian otak dahulu dan diikuti dengan gangguan pada pembesaran dan pengecutan saluran darah. Ia dikaitkan seolah-olah seperti gangguan saraf otak yang berlaku sama seperti ketika sawan. Sebab itu, salah satu ubat untuk mengelakkan daripada terkena serangan migrain  adalah sama seperti ubat sawan sebagai contoh Valproic acid.

Beberapa teori yang dikatakan punca kepada migrain:

1. Teori Vaskular(Pembuluh darah)

Teori ini sangat terkenal sebelum ini. Ia dikatakan bermula dengan salur darah otak yang mengecil menyebabkan kawasan tersebut kekurangan oksigen. Kemudian ia menyebabkan saluran darah tersebut mengembang semula dengan lebih besar. Perkara ini akan mengaktifkan reseptor sakit di bahagian tersebut sebab kurangnya darah pergi ke bahagian tersebut.

Teori ini adalah berdasarkan 3 pemerhatian iaitu:

  • Saluran darah mengembang apabila migrain menyerang. Kesakitan itu juga digambarkan sebagai kesakitan yang berdenyut iaitu menunjukkan ia ada kaitan dengan saluran darah yang mengembang
  • Stimulasi saluran darah di otak akan menyebabkan seseorang pesakit migrain terkena serangan sakit kepala
  • Ubat yang mengecilkan saluran darah akan mengurangkan sakit kepala. Manakala ubat yang mengembangkan saluran darah akan menyebabkan serangan sakit kepala

Tetapi dalam teori ini ia tidak dinyatakan bagaimana Aura itu berlaku. Lagipun dengan menggunakan teknologi yang terbaru seperti MRI kita dapat lihat bahawa pengaliran darah ke otak tidak konsisten dengan apa yang dinyatakan oleh teori vaskular.

Oleh itu, Teori ini diubah menjadi teori neurovaskular

2. Teori Neurovasckular(yang melibatkan saraf dan pembuluh darah)

Dalam teori ini, migrain dikatakan bermula daripada saraf otak itu sendiri. Ia bermula apabila saraf otak menghasilkan cetusan maklumat yang tidak terkawal sehingga mana ia mengganggu saiz pembuluh darah. Perkara ini telah dibuktikan apabila kajian menggunakan MRI dijalankan pada orang yang sedang migrain.

Ada beberapa lagi teori yang lebih kompleks telah dikaji. Tetapi untuk masyarakat, cukuplah dahulu untuk mengetahui 2 teori bagaimana migrain ini berlaku.

Punca Migrain

Migrain mempunyai pengaruh genetik yang kuat. Hampir 70% pesakit migrain mempunyai saudara yang mengalami masalah yang sama. Jika seseorang itu mempunyai migrain berserta aura, saudaranya yang lain mempunyai 4 kali risiko untuk mendapat masalah migrain juga.

Ia masih tidak diketahui bagaimana genetik memainkan peranan penting dalam masalah migraine.

Beberapa perkara yang menyebabkan serangan migraine:

  • Perubahan hormon(sebagai contoh ketika datang haid)
  • Tekanan
  • Kekurangan tidur
  • Merokok
  • Bau yang kuat(Pewangi, bau busuk)
  • Mabuk laut
  • Makan tidak ikut masa

Beberapa jenis makanan yang  dikatakan menyebabkan serangan migraine

  • Caffeine
  • Monosodium Glutamate(MSG)
  • Pemanis tiruan(Aspartame)
  • Makanan yang mempunyai tyramine(contoh keju yang lama)
  • Buah-buahan jenis citrus

Tetapi kajian dengan menggunakan sampel yang ramai menunjukkan tiada kaitan migrain dengan makanan-makanan tersebut. Oleh itu, dinasihatkan jika anda mengalami sakit tersebut lepas mengambil apa-apa jenis makanan, anda dinasihati untuk mengelakkan makanan tersebut. Tetapi jika makanan tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap anda, anda boleh mengambilnya seperti biasa.

Simptom Dan Tanda Tanda Migrain

Beberapa simptom migrain yang tipikal adalah:

  • Sakit bahagian kepala yang berdenyut-denyut. Ia menjadi lebih teruk apabila seseorang itu melakukan sebarang aktiviti lain
  • Ia melibatkan sebelah bahagian kepala sahaja, sama kiri ataupun kanan. Ia berlaku dibahagian dahi berdekatan dengan kawasan mata. Tetapi ia juga boleh melibatkan kawasan kepala yang lain
  • Sakit tersebut mungkin boleh berlaku sehingga 3 hari
  • Mempunyai simptom rasa loya nda muntah-muntah
  • Selalunya pesakit sensitif terhadap cahaya dan bunyi yang kuat
  • Ada sesetengah pesakit yang mempunyai kelumpuhan tangan atau/dan kaki ketika mana migrain berlaku

Pesakit juga akan mempunyai beberapa tanda ketika diperiksa oleh doktor

  • Mata menjadi merah
  • Jantung berdenyut laju ataupun terlampau perlahan
  • Tekanan darah tinggi ataupun terlampau rendah
  • Sakit dibahagian tengkuk