284Shares

Migrain merupakan penyakit yang selalu berlaku di kalangan orang awam. Ia adalah penyakit yang kompleks dimana ia disifatkan dengan sakit kepala yang kerap berlaku dan selalunya melibatkan kesakitan pada sebelah bahagian kepala sahaja. Kadang-kala ia juga mempunyai simptom lain yang melibatkan pemandangan, pendengaran dan deria rasa kita.

Penyakit ini selalunya berlaku pada wanita dan dipengaruhi kuat dengan faktor genetik ataupun keturunan.

1. Istilah perubatan

Aura: Adalah gangguan pada deria penglihatan, deria rasa dan deria yang lain sebelum berlakunya migrain

2. Pengenalan

Migrain merupakan salah satu penyakit yang selalu berlaku di kalangan masyarakat. Pesakit migrain selalunya akan menyatakan sakit kepala pada sebelah bahagian sahaja dan ianya kerap kali berlaku.

Istilah migrain adalah daripada bahasa greek iaitu ‘Hemikrania’. Istilah itu telah diambil oleh orang latin dan menyebutnya sebagai ‘hemigranea’. Perancis pula menukarkan bahasa tersebut kepada perkataan ‘Migraine’. Hemikrania dan juga hemigranea bermaksud sakit kepala pada sebelah bahagian sahaja

Ia juga boleh mempunyai simptom yang melibatkan penglihatan dan deria yang lain sebelum diserang penyakit ini. Perkara tersebut dikenali sebagai ‘aura’. Bermaksud sebelum seseorang itu mempunyai migrain, dia akan merasakan pemandangannya terganggu dan juga deria seperti deria rasa merasakan sesuatu perkara yang lain.

3. Patofisiologi

Sebelum ini, sakit kepala dipercayai disebabkan oleh masalah pembuluh darah di otak. Ia bermula dengan salur darah yang mengecil terdahulu. Kemudian diikuti dengan saluran darah yang tiba-tiba membesar pula. Ketika ia membesar, tekanan darah di kawasan tersebut menjadi berkurangan dan darah kurang pergi ke bahagian tersebut. Inilah yang menyebabkan sakit kepala.

Tetapi kajian terbaru menyatakan punca masalah migrain adalah lebih tepat bersandarkan teori neurovascular iaitu berlaku kecelaruan pengaliran maklumat  di bahagian otak dahulu dan diikuti dengan gangguan pada pembesaran dan pengecutan saluran darah. Ia dikaitkan seolah-olah seperti gangguan saraf otak yang berlaku sama seperti ketika sawan. Sebab itu, salah satu ubat untuk mengelakkan daripada terkena serangan migrain  adalah sama seperti ubat sawan sebagai contoh Valproic acid.

Beberapa teori yang dikatakan punca kepada migrain:

1) Teori Vaskular(Pembuluh darah)

Teori ini sangat terkenal sebelum ini. Ia dikatakan bermula dengan salur darah otak yang mengecil menyebabkan kawasan tersebut kekurangan oksigen. Kemudian ia menyebabkan saluran darah tersebut mengembang semula dengan lebih besar. Perkara ini akan mengaktifkan reseptor sakit di bahagian tersebut sebab kurangnya darah pergi ke bahagian tersebut.

Teori ini adalah berdasarkan 3 pemerhatian iaitu:

  • Saluran darah mengembang apabila migrain menyerang. Kesakitan itu juga digambarkan sebagai kesakitan yang berdenyut iaitu menunjukkan ia ada kaitan dengan saluran darah yang mengembang
  • Stimulasi saluran darah di otak akan menyebabkan seseorang pesakit migrain terkena serangan sakit kepala
  • Ubat yang mengecilkan saluran darah akan mengurangkan sakit kepala. Manakala ubat yang mengembangkan saluran darah akan menyebabkan serangan sakit kepala

Tetapi dalam teori ini ia tidak dinyatakan bagaimana Aura itu berlaku. Lagipun dengan menggunakan teknologi yang terbaru seperti MRI kita dapat lihat bahawa pengaliran darah ke otak tidak konsisten dengan apa yang dinyatakan oleh teori vaskular.

Oleh itu, Teori ini diubah menjadi teori neurovaskular

2. Teori Neurovasckular(yang melibatkan saraf dan pembuluh darah)

Dalam teori ini, migrain dikatakan bermula daripada saraf otak itu sendiri. Ia bermula apabila saraf otak menghasilkan cetusan maklumat yang tidak terkawal sehingga mana ia mengganggu saiz pembuluh darah. Perkara ini telah dibuktikan apabila kajian menggunakan MRI dijalankan pada orang yang sedang migrain.

Ada beberapa lagi teori yang lebih kompleks telah dikaji. Tetapi untuk masyarakat, cukuplah dahulu untuk mengetahui 2 teori bagaimana migrain ini berlaku.

4. Punca Migrain

Migrain mempunyai pengaruh genetik yang kuat. Hampir 70% pesakit migrain mempunyai saudara yang mengalami masalah yang sama. Jika seseorang itu mempunyai migrain berserta aura, saudaranya yang lain mempunyai 4 kali risiko untuk mendapat masalah migrain juga.

Ia masih tidak diketahui bagaimana genetik memainkan peranan penting dalam masalah migraine.

Beberapa perkara yang menyebabkan serangan migraine:

  • Perubahan hormon(sebagai contoh ketika datang haid)
  • Tekanan
  • Kekurangan tidur
  • Merokok
  • Bau yang kuat(Pewangi, bau busuk)
  • Mabuk laut
  • Makan tidak ikut masa

Beberapa jenis makanan yang  dikatakan menyebabkan serangan migraine

  • Caffeine
  • Monosodium Glutamate(MSG)
  • Pemanis tiruan(Aspartame)
  • Makanan yang mempunyai tyramine(contoh keju yang lama)
  • Buah-buahan jenis citrus

Tetapi kajian dengan menggunakan sampel yang ramai menunjukkan tiada kaitan migrain dengan makanan-makanan tersebut. Oleh itu, dinasihatkan jika anda mengalami sakit tersebut lepas mengambil apa-apa jenis makanan, anda dinasihati untuk mengelakkan makanan tersebut. Tetapi jika makanan tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap anda, anda boleh mengambilnya seperti biasa.

5. Simptom

Beberapa simptom migrain yang tipikal adalah:

  • Sakit bahagian kepala yang berdenyut-denyut. Ia menjadi lebih teruk apabila seseorang itu melakukan sebarang aktiviti lain
  • Ia melibatkan sebelah bahagian kepala sahaja, sama kiri ataupun kanan. Ia berlaku dibahagian dahi berdekatan dengan kawasan mata. Tetapi ia juga boleh melibatkan kawasan kepala yang lain
  • Sakit tersebut mungkin boleh berlaku sehingga 3 hari
  • Mempunyai simptom rasa loya nda muntah-muntah
  • Selalunya pesakit sensitif terhadap cahaya dan bunyi yang kuat
  • Ada sesetengah pesakit yang mempunyai kelumpuhan tangan atau/dan kaki ketika mana migrain berlaku

Pesakit juga akan mempunyai beberapa tanda ketika diperiksa oleh doktor

  • Mata menjadi merah
  • Jantung berdenyut laju ataupun terlampau perlahan
  • Tekanan darah tinggi ataupun terlampau rendah
  • Sakit dibahagian tengkuk

6. Diagnosa

Untuk mengatakan seseorang itu mempunyai migraine, ia adalah berdasarkan sejarah pesakit. Mengikut garis panduan yang dibuat oleh ‘International Headache Society’, mereka menyatakan perlunya pernah mengalami 5 kali serangan sakit kepala sebelum ini dan ianya bertahan selama 4-72 jam.

Dan sakit kepala tersebut juga perlu mempunyai 2 daripada simptom tersebut iaitu

  • Kesakitan yang berlaku pada satu belah sahaja
  • Sakit yang berdenyut
  • Sakit yang sangat kuat
  • Kesakitan yang semakin teruk jika berbuat sesuatu aktiviti fizikal

7. Diagnosa-diagnosa yang lain

Beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama adalah:

8. Penyiasatan

Seperti yang dikatakan sebelum ini, untuk mendiagnosa seseorang mempunyai migrain ataupun tidak hanya bersandarkan penceritaan sejarah penyakit oleh pesakit sahaja. Jika ia memenuhi kriteria simptom migrain seperti yang dinyatakan dalam bahagian sebelum ini, maka dia dikatakan mempunyai penyakit migrain.

Hanya beberapa keadaan lain sahaja yang memerlukan siasatan pengimejan sebagai contoh jika pesakit mempunyai:

  • Sakit kepala dan demam: Memerlukan pengambilan darah, air tulang belakang dan juga CT- scan jika suspek kepada penyakit meningitis
  • Sakit kepala bersama-sama dengan simptom saraf yang lain seperti kelumpuhan, mata jadi kabur dan sebagainya

9. Rawatan

Rawatan terbahagi kepada dua iaitu rawatan ketika migrain menyerang dan rawatan pencegahan. Pesakit yang kerap diserang migrain memerlukan kedua-dua jenis rawatan.

Rawatan ketika migrain menyerang

Ada beberapa jenis ubat yang boleh digunakan jika penyakit ini menyerang

  • Ubat tahan sakit seperti nSAIDS(sebagai contoh mefenemic acid, diclofenac dan sebagainya)
  • Ubat untuk migrain itu sendiri: Triptans dan ergot alkaloids(Sebagai contoh Sumatriptan, Rizatriptan dan pelbagai lagi
  • Ubat Tahan muntah seperti Chlorperazine dan promethazine

Rawatan pencegahan

Ada beberapa kriteria untuk pesakit yang ingin dimulakan dengan ubat bagi rawatan pencegahan. Ianya adalah:

  • Kekerapan sakit kepala adalah 2 kali dalam sebulan
  • Sakit kepala lebih daripada 24 jam
  • Sakit kepala tersebut mengganggu aktiviti harian seperti tidak dapat pergi tempat kerja
  • Penggunaan ubat untuk mengurangkan sakit tidak berkesan
  • Menggunakan ubat untuk kurangkan rasa sakit sebanyak 2 kali seminggu

Tujuan rawatan ini dilakukan adalah untuk:

  • Mengurangkan kekerapan dan keterukan serangan migrain
  • Menambahkan kualiti hidup pesakit

3 jenis ubat untuk mengurangkan serangan migrain adalah seperti:

  1. Anti-epileptics: Ubat ini selalunya digunakan untuk merawat orang yang sawan.
  2. Anti-depressant: Ubat ini selalunya digunakan untuk merawat orang yang mempunyai tekanan perasaan
  3. Anti-hypertensive: Ubat yang selalu digunakan untuk merawat orang yang mempunyai tekanan darah tinggi

Ketiga-tiga jenis ubat ini telah dibuktikan dapat mengurangkan kekerapan dan keterukan migrain seseorang pesakit migrain.

Tetapi jenis untuk pencegahan ini hanya boleh diberikan oleh doktor kepada pesakit. Ini bermaksud pesakit perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu untuk diperiksa. Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Matchar DB, Young WB, Rosenberg JA, et al. Evidence-based guidelines for migraine headache in the primary care setting: Pharmacological management of acute attacks. American Academy of Neurology. Accessed February 10, 2011
  2. Silberstein SD, Freitag FG. Preventative treatment of migraine. Neurology. 2003. 60(7):S38-44
  3. The International Classification of Headache Disorders: 2nd edition. Cephalalgia. 2004. 24 Suppl 1:9-160
  4. Solomon GD, Cady RK, Klapper JA, Ryan RE Jr. Standards of care for treating headache in primary care practice. National Headache Foundation. Cleve Clin J Med. 1997 Jul-Aug. 64(7):373-83.
  5. Cutrer FM, Charles A. The neurogenic basis of migraine. Headache. 2008 Oct. 48(9):1411-4.
  6. Sumber featured image: pixabay.com

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

2 Comments

Kembung Perut : Punca dan Rawatan - TheDiagnosa · December 27, 2017 at 9:01 am

[…] adalah salah satu simptom seperti migrain. Ini kerana kajian yang menunjukkan ibu yang mempunyai migrain akan mudah mempunyai anak yang mengalami kembung […]

Sakit Kepala: Punca, Jenis dan Rawatan - TheDiagnosa · March 4, 2018 at 2:52 am

[…] 2. Migrain: Pesakit selalunya mengalami sakit kepala yang kuat. Pesakit akan  menyatakan sakit tersebut seolah-olah berdenyut. Ia boleh berlaku selama 4 jam sehingga 4 hari dan selalunya pesakit akan mengalaminya 1 hingga 4 kali dalam sebulan. […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *