352Shares

Apabila bercakap mengenai penyakit tetanus atau kancing gigi, sesetengah orang akan segera terbayang paku berkarat dalam fikiran mereka. Sejak dahulu lagi, masyarakat kita bahkan masyarakat di serata dunia telah dimomokkan dengan mitos bahawa benda berkarat menyebabkan penyakit tetanus. Namun, sejauh mana kebenarannya?

Jawapan kepada persoalan ini semestinya TIDAK. Walaupun paku berkarat sememangnya berisiko menyebabkan anda mendapat tetanus, namun, karat itu sendiri bukanlah yang menyebabkan penyakit tersebut. Ini kerana, paku tidak berkarat juga mempunyai risiko yang sama untuk menyebabkan anda dijangkiti oleh bakteria penyebab tetanus.

Penyebab bagi penyakit tetanus adalah bakteria Clostridium tetani yang menghasilkan neurotoksin berbahaya iaitu Tetanolysin & Tetanospasmin. Bakteria ini boleh berada di mana-mana terutama dalam tanah, debu dan najis haiwan. Ia boleh menghasilkan spora yang tahan panas dan boleh hidup bertahun-tahun lamanya jika berada dalam keadaan yang tidak memungkinkan pembiakan berlaku. Setelah menemui kawasan yang sesuai untuk pembiakan iaitu kawasan luka, barulah organisma ini mengeluarkan toksin berbahaya yang membawa maut kepada manusia jika dijangkiti.

Anda boleh dijangkiti oleh bakteria ini sekiranya luka dimasuki oleh kotoran seperti tanah dan najis yang tercemar. Luka yang berisiko pula termasuklah luka akibat cakaran kucing, gigitan haiwan, tercucuk jarum, terkena pisau, luka tembakan, luka daripada prosedur berkhatan menggunakan peralatan tidak sterile & jangkitan pada tali pusat bayi yang baru lahir (neonatal tetanus).

Untuk pengetahuan para pembaca, sesiapa sahaja boleh dijangkiti namun bayi baru lahir adalah golongan yang biasanya sangat terdedah dan komplikasi sememangnya serius. Bayi yang dilahirkan di rumah terutama di kawasan pedalaman yang menggunakan peralatan tidak sterile meningkatkan risiko jangkitan. WHO menganggarkan tetanus meragut lebih kurang 200 000 nyawa bayi pada tahun 2000.

Jadi, Dari Mana Asal Usul Mitos Yang Mengatakan Paku Berkarat Adalah Punca Bagi Penyakit Tetanus?

Idea ini mungkin disebabkan paku yang berkarat itu telah lama terdedah kepada persekitaran sehingga menyebabkan ia berkarat. Secara logiknya, semakin lama paku itu terdedah dengan persekitaran, maka semakin tinggi peluang untuk paku itu terdedah dengan spora bakteria Clostridium tetani.

Walaupun begitu, karat yang ada pada benda tajam itu sendiri tidak begitu memainkan peranan yang signifikan dalam jangkitan tetanus pada manusia. Tidak kira selama mana paku itu terdedah kepada persekitaran dan sebanyak mana ia berkarat, sekiranya memang terdapat spora pada permukaan paku atau apa jua benda tajam yang berpotensi menyebabkan luka, manusia akan sentiasa berada dalam risiko untuk dijangkiti. Sebab itulah pentingnya vaksinasi dalam mengawal prevalens penyakit ini serata dunia!

Sila klik link berikut untuk memahami dan membaca dengan lebih lanjut mengenai Penyakit Tetanus. 


Shafiq

Assistant Medical Officer, Ministry of Health Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *