Panau merupakan salah satu masalah kulit yang selalu berlaku dikalangan masyarakat. Dikatakan ia berpunca daripada mandi selepas bersenam. Tetapi kajian menunjukkan ia sebenarnya disebabkan kulat yang tumbuh dikawasan kulit tersebut.

1. Istilah Perubatan

Panau= Tinea versicolor
Hypopigmented: Kawasan kulit yang menjadi putih berbanding kawasan kulit yang lain
Hyperpigmented: Kawasan kulit yang menjadi gelap berbanding kawasan kulit yang lain
Patofisiologi: Bagaimana sesuatu penyakit itu berlaku
Prognosis: Kesudahan kepada pesakit tersebut

2. Pengenalan

Panau ataupun dalam istilah perubatan dipanggil sebagai Tinea versicolor merupakan jangkitan kulat yang berlaku pada bahagian permukaan kulit. Ia akan menyebabkan kawasan kulit mempunyai tompok putih(hypopigmented) ataupun tompok hitam(hyperpigmented).

Ia selalu berlaku dibahagian dada, belakang badan, leher dan juga tubuh badan yang lain.

Pada pesakit yang mempunyai faktor risiko, masalah ini boleh berlaku secara berulang-ulang kali. Ia selalunya berlaku pada lapisan kulit paling luar yang dikenali sebagai Stratum corneum.

3. Patofisiologi

Masalah panau disebabkan kulat yang bernama Malassezia. Sebelum ini ia dikenali sebagai Pityrosporum. 14 species Malassezia dikenali pasti seperti Malassezia globosa, Malassezia sympodialis dan banyak lagi. Manakala, Malassezzia furfur pula merupakan kulat yang selalu ditemui pada kulit yang menghadapi masalah panau.

Organisma ini boleh ditemui pada kulit yang tidak bermasalah dan juga pada kulit yang mempunyai panau.

Malassezia furfur mempunyai dua fasa kehidupan yang akan menentukan sama ada mereka menyebabkan masalah ini ataupun tidak:

1) Fasa Yeast

Pada fasa ini, kulat masih dalam bentuk spora lagi dan tidak aktif. Ia boleh didapati pada bahagian kulit yang normal

2) Fasa hyphae

Pada fasa ini, kulat tersebut telah tumbuh dan ia juga akan mengeluarkan unjuran yang dikenali sebagai hyphae. Unjuran ini bertindak seperti akar yang akan tumbuh ke dalam kulit untuk mendapatkan nutrien.

Hyphae juga akan menghasilkan beberapa jenis bahan kimia seperti asid azelaic dan juga enzim lipooxygenase yang akan menyebabkan kurangnya penghasilan melanin pada kulit. Seperti mana yang kita tahu, melanin merupakan salah satu pigmen yang menyebabkan kulit kita gelap. Apabila melanin kurang dihasilkan, kawasan tersebut akan kelihatan putih dan ia dipanggil sebagai panau

4. Prognosis(Kesudahan)

Panau merupakan penyakit kulit yang tidak berbahaya dan hanya menyebabkan tompok putih ataupun gelap pada kulit. Ianya tidak boleh berjangkit kepada orang lain kerana ia merupakan organisma yang normal pada kulit manusia

Rawatan panau akan mengurangkan kulit panau yang mengering dan tercabut, akan tetapi ia mengambil masa untuk tompok putih pada kulit tersebut menjadi normal semula.
5. Simptom

Kebanyakan pesakit akan mengadu tompok putih pada kulit yang selalunya berlaku pada dada, belakang badan, abdomen dan pangkal tangan dan kaki. Bahagian kemaluan sangat jarang menghadapi masalah panau ini

Ada juga sebahagian pesakit mengalami masalah yang berlawasan dimana kawasan panau tersebut kelihatan lebih gelap berbanding kawasan kulit yang normal

6. Faktor risiko dan Punca Panau

Organisma Malassezia merupakan organisma normal yang wujud pada kulit manusia. Ia tidak mendatangkan apa-apa masalah jika ia berada pada fasa yeast. Jika ia bertukar kepada fasa hyphae, barulah ia akan menyebabkan tompok putih pada kulit.

Beberapa faktor risiko yang dikesan menyebabkan kulat tersebut berubah fasa dan menyebabkan panau. Ianya adalah:

  1. Persekitaran yang panas dan lembab
  2. Mereka yang mengalami masalah sistem imun seperti pesakit HIV, kencing manis dan sebagainya
  3. Kekurangan nutrisi
  4. Penggunaan steroid
  5. Sapuan minyak pada kulit

Kesemua faktor risiko di atas akan memberi peluang kepada organisma Malassezia untuk berubah daripada fasa yeast kepada fasa hyphae yang akan menyebabkan panau

7. Diagnosa-diagnosa lain

Terdapat beberapa diagnosa lain yang menunjukkan simptom yang sama:

  1. Psoriasis
  2. Seborrheic Dermatitis
  3. Tinea corporis
  4. Sopak(Vitiligo)

8. Penyiasatan

Ciri-ciri klinikal panau adalah sangat tipikal dan ia boleh dikenali tanpa penyiasatan yang selanjutnya.

Tetapi terdapat beberapa penyiasatan yang boleh dibuat untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai panau.

Sebagai contoh penggunaan lampu hitam ultraviolet boleh mengesan kawasan panau. Apabila kawasan kulit yang mempunyai panau diletakkan dibawah sinaran ultraviolet ini, ia akan menyebabkan kawasan tersebut mengeluarkan cahaya yang lebih terang berbanding dengan kulit yang normal.

9. Rawatan Panau

Berkenaan rawatan panau, terdapat dua jenis rawatan iaitu sama ada penggunaan ubat sapu ataupun makan. Tetapi untuk kes biasa tanpa komplikasi, ubat sapu sudah cukup untuk merawat perkara tersebut

Ubat sapuan biasa:

  • Selenium sulfide
  • Tacrolimus

Ubat sapuan anti-kulat

  • Candazole
  • Miconazole
  • Ketoconazole

Kesemua ubat ini mampu merawat serta membunuh kulat pada kawasan panau tersebut. Seeloknya ia perlulah digunakan selama 2 minggu bagi memastikan kesemua kulat disitu dihapuskan sepenuhnya.

Manakala untuk ubat makan jenis anti-kulat seperti Fluconazole ataupun itraconazole selalunya diberikan kepada pesakit yang merasakan lebih mudah mengambil ubat makan berbanding ubat sapuan.

 

Rujukan:

  1. Crespo-Erchiga V, Florencio VD. Malassezia yeasts and pityriasis versicolor. Curr Opin Infect Dis. 2006 Apr. 19(2):139-47.
  2. Morishita N, Sei Y, Sugita T. Molecular analysis of malassezia microflora from patients with pityriasis versicolor. Mycopathologia. 2006 Feb. 161(2):61-5.
  3. Prohic A, Jovovic Sadikovic T, Krupalija-Fazlic M, Kuskunovic-Vlahovljak S. Malassezia species in healthy skin and in dermatological conditions. Int J Dermatol. 2016 May. 55 (5):494-504.
  4. Gulec AT, Demirbilek M, Seckin D, et al. Superficial fungal infections in 102 renal transplant recipients: a case-control study. J Am Acad Dermatol. 2003 Aug. 49(2):187-92.
  5. Mendez-Tovar LJ. Pathogenesis of dermatophytosis and tinea versicolor. Clinics in Dermatology. 2010. 28:185-188.
  6. Fungal Diseases. Bolognia J, Jorizzo JL, Schaffer JV, eds. Dermatology. 3rd ed. Philadelphia, Pa: Elsevier Saunders; 2012. Vol 2: 1251-55.
  7. sumber featured image: besthomeremedies.com
Categories: Kulit

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *