208Shares

Anda tentu pernah mendengar istilah “Nyanyuk” yang sering digunakan untuk menggambarkan keadaan seseorang yang sudah lanjut usia dan tidak mampu mengingat sesuatu perkara dengan baik. Sesetengah dari anda juga mungkin pernah mendengar tentang penyakit Alzheimer

Kerapkali kedua-dua penyakit ini disalah erti dan masyarakat sering beranggapan bahawa nyanyuk dan penyakit Alzheimer adalah suatu perkara yang sama.

Namun pada hakikatnya, Alzheimer bukanlah nyanyuk. Akan tetapi ia adalah sejenis penyakit yang paling banyak menyumbang kepada masalah nyanyuk, atau lebih juga dikenali sebagai “Dementia”.

Maka lebih tepat jika disebut bahawa seseorang itu boleh menjadi nyanyuk (Dementia) disebabkan oleh penyakit Alzheimer. Tetapi nyanyuk (Dementia) itu sendiri boleh juga disebabkan oleh pelbagai jenis penyakit lain termasuklah penyakit yang dinamakan sebagai Vascular Dementia, Lewy body dementia, malah penyakit Parkinson dan Syphilis juga boleh menyebabkan keadaan nyanyuk (dementia) kepada penghidapnya, tetapi amat lah jarang sekali berlaku.

PENGENALAN

Penyakit ini dikenali sebagai Penyakit Alzheimer yang diambil sempena seorang pakar sakit jiwa dan pakar pathologi iaitu Alois Alzheimer pada tahun 1906. Penyakit ini sebenarnya adalah sejenis penyakit penuaan pada sel otak yang berlaku secara perlahan dan berterusan. Penyakit ini menyumbang hampir 60-70% kepada keadaan nyanyuk.

Simptom dan tanda tanda alzheimer

Antara simptom atau tanda-tanda awal kepada penyakit ini termasuklah kesukaran mengingati perkara yang baru sahaja dilakukan. Contoh seperti terlupa di mana meletakkan kunci kereta, terlupa tarikh temujanji, atau tidak ingat di mana tempat meletakkan kereta.

Semakin lama, penyakit ini akan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan penghidapnya tidak mampu mengingati perkara yang lebih penting seperti nama sendiri, isteri dan anak-anak. Pesakit juga akan mengalami kesukaran untuk bercakap dan mengenal perkataan, perubahan tingkah-laku dan emosi serta akhirnya, pesakit tidak mampu lagi mengingati perkara asas seharian seperti cara untuk makan dan mengurus diri.

Lama-kelamaan, fungsi asas tubuh badan pesakit juga akan semakin menurun menyebabkan pesakit mudah mendapat jangkitan kuman dan akhirnya pesakit akan meninggal dunia. Meskipun berbeza-beza mengikut individu, setiap individu yang telah didiagnosa sebagai penghidap Alzheimer akan meninggal dunia sekitar 3-9tahun daripada tarikh diagnosa.

FAKTOR RISIKO

Adapun punca sebenar penyakit Alzheimer ini masih tidak diketahui sepenuhnya.

Namun begitu, para saintis mendapati beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu cenderung mendapat penyakit Alzheimer di lewat usia termasuklah :

PUNCA PENYAKIT ALZHEIMER

Terdapat juga pelbagai teori saintis yang merumuskan tentang punca sebenar bagaimana penyakit Alzheimer boleh terjadi dan antaranya ialah :

1.Teori Genetik atau juga dikenali sebagai Early-onset familial Alzheimer disease.

Melalui teori ini, para saintis berpendapat bahawa terdapat mutasi pada tiga gene iaitu gene APP, Presenilins 1 dan 2. Apabila mutasi berlaku pada salah satu gene ini, maka berlakulah penghasilan protein kecil yang dipanggil Aβ42, iaitu komponen penting kepada senile plaques.

Selain itu, faktor risiko yang paling turut dikenali ramai para saintis juga adalah apabila seseorang itu mewarisi ε4 allele daripada apolipoprotein E (APOE). Dianggarkan sebanyak 40-80% penghidap penyakit Alzheimer memiliki paling kurang satu APOEε4 allele di dalam rangkaian genetik mereka. Dengan ini, risiko untuk seseorang itu mendapat penyakit Alzheimer boleh meningkat sehingga 3kali ganda pada heterozygot dan 15kali ganda pada homozygot.

Mutasi pada gene TREM2 pula dikaitkan dengan 3 hingga 5 kali ganda menghidap Alzheimer. Dijangkakan bahawa apabila gene TREM2 termutasi, sel darah putih di dalam otak tidak dapat lagi mengawal jumlah beta amyloid yang terhasil.

2. Hipotesis Cholinergic

Melalui hipotesis ini, dikatakan bahawa penyakit Alzheimer boleh berlaku apabila terdapat pengurangan dalam penghasilan neurotransmitter acetylcholine. Namun begitu, hipotesis ini tidak mendapat sambutan ramai saintis lain kerana ubat yang digunakan untuk merawat kekurangan acetylchiline tidak berkesan dalam merawat penyakit Alzheimer.

3. Hipotesis Amyloid

Pada tahun 1991, hipotesis ini mengatakan bahawa Amyloid beta yang berada di luar sel adalah punca utama penyakit ini. Dakwaan ini adalah bersandarkan bahawa lokasi protein prekursor amyloid (APP) yang terletak pada kromosom 21. Dikuatkan pula dengan pemerhatian bahawa individu yang menghidap trisomy 21 (Sindrom Down) dilihat akan menunjukkan simptom penyakit Alzheimer pada usia 40 tahun.

Pada tahun 2009, teori ini telah dikemaskini, kerana para saintis mendapati bahawa protein beta-amyloid bukanlah punca sebenar penyakit Alzheimer, tetapi hanyalah sekadar menurunkan fungsi sinaps. Manakala N-APP, iaitu pecahan dari APP yang berasal dari N-terminus bergabung dengan receptor neuron kematian (Death neuron 6, DR6 atau juga dikenali sebagai TNFRSF21) lah yang menyebabkan kematian banyak sel neuron seperti yang terdapat pada otak pesakit Alzheimer

4. Hipotesis Tau

Hipotesis ini mengatakan bahawa keganjilan pada protein Tau mencetuskan kepada terjadinya penyakit Alzheimer. Di dalam teori ini, protein tau yang dihyperphosphorylate mula bergabung dengan protein tau yang lainnya.

Akhirnya, ia membentuk neurofibrillary tangles di dalam badan sel otak. Apabila ini berlaku, microtubules akan mula rapuh, dan merosakkan struktur cytoskeleton sel. Sekaligus merencatkan sistem pengangkutan neuron. Akhirnya, ini akan menyebabkan kegagalan dalam komunikasi biokemikal antara neuron dan akhirnya sel ini akan mati.

PATOFISIOLOGI

Simptom Alzheimer dapat mula dilihat apabila terdapat perubahan pada sistem neurotransmitter, seperti yang dinyatakan di atas. Selain itu, terdapat juga perubahan pada struktur otak sendiri seperti di kawasan gyri otak yang akan semakin mengecil, dan kawasan sulci pula akan menjadi semakin lebar. Begitu juga pada ventrikel otak yang juga akan menjadi lebih besar daripada normal

DIAGNOSIS

Penyakit Alzheimer selalunya didiagnos melalui sejarah perubatan pesakit, cerita dari ahli keluarga, dan juga pemerhatian terhadap perilaku pesakit.

Penilaian terhadap kecerdasan fungsi otak termasuk ujian memori dapat lebih memberikan gambaran terhadap tahap penyakit seseorang itu.

Namun untuk mendapatkan kepastian sebenar, bedah siasat terhadap otak pesakit Alzheimer jugalah yang menentukan samaada seseorang itu benar-benar menghidap Alzheimer atau tidak.

Kriteria diagnosis :
National Institute of Neurological and Communicative Disorders and Stroke (NINCDS) dan Alzheimer’s Disease and Related Disorders Association (ADRDA) telahpun mewujudkan kriteria untuk mendiagnosa pesakit Alzheimer pada tahun 1984, dan telah dikemaskini pada 2007.

Dalam kriteria ini, seseorang individu itu mestilah menghadapi 8 masalah kognitif iaitu masalah memori, bahasa, fokus, orientasi, penyelesaian masalah, skill perceptual,dan kebolehan constructive.

Kriteria ini ada terdapat dalam Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM-IV-TR) yang diterbitkan oleh American Psychiatric Association.

RAWATAN

Sehingga sekarang, tiada rawatan yang benar-benar berkesan dalam merawat penyakit Alzheimer ini. Namun, terdapat beberapa kajian yang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan mengatur langkah pencegahan daripadanya. Antaranya :

A.Rawatan melalui ubat-ubatan

Donepezil
Donepezil adalah ubat yang diambil secara oral untuk mengubati penyakit Alzheimer tahap rendah dan pertengahan Biasanya ubat ini diminum sekali sehari sebelum tidur, sebelum atau sesudah makan.

Doktor anda akan memberikan dose rendah pada permulaannya, kemudian ditingkatkan selepas 4 hingga 6 minggu.

Kesan sampingan ubat ini adalah sakit kepala, bisa seluruh badan, lesu, mengantuk, mual, muntah, cirit birit,hilang selera makan, berat badan turun, sakit sendi, insomnia, dan meningkatkan kekerapan membuang air kecil.

Rivastigmine
Rivastigmine adalah ubat yang diambil secara oral untuk mengubati penyakit Alzheimer tahap rendah dan pertengahan..

Setelah enam bulan rawatan dengan Rivastigmine, 25-30% pesakit dilihat semakin baik memorinya dan aktiviti harian berbanding pada pesakit yang diberikan rawatan plasebo hanya 10-20%.

Rivastigmine biasanya diberikan dua kali sehari selepas makan. Disebabkan oleh kesan sampingannya pada saluran pencernaan di awal rawatan, maka rawatan ini dimulakan dengan dos rendah,biasanya 1.5 mg dua kali sehari, dan dinaikkan secara berperingkat tidak lebih dari 2 minggu.

Dose maksimum biasanya hingga 6 mg dua kali sehari. Jika pesakit mengalami gangguan pencernaan yang semakin teruk karena kesan sampingan ubat seperti mual dan muntah, sebaiknya dihentikan untuk beberapa dose kemudian diturungkan semula ke dos yang sama atau lebih rendah.

Memantine
Memantin adalah obat yang diambil secara oral untuk mengubati penyakit Alzhaimer tahap pertengahan hingga tahap serius.

Mekanisma ubat ini berbeza dengan yang lain serta unik iaitu memperbaiki proses sinyal Glutamat. Ubat ini dimulakan dengan dose rendah 5 mg setiap minggu, dilakukan selama 3 minggu untuk mencapai dose optimum 20mg/hari.

B.Rawatan melalui gaya hidup.

Berdasarkan kajian, individu yang selalu melakukan aktiviti intelektual seperti membaca, bermain permainan papan, melengkapkan teka-teki dan silang kata, bermain alat muzik, atau selalu berinteraksi sosial menunjukkan kurang risiko terhadap penyakit ini.

Hal ini bertepatan dengan teori reserve cognitive , yang menyatakan bahawa pengalaman hidup yang bermakna akan menjadikan fungsi neural lebih efisien, menyebabkan proses nyanyuk (dementia) lebih lewat berlaku.

Selain itu, pendidikan juga melewatkan perkembangan penyakit ini. Contohnya seperti mempelajari bahasa asing. Aktiviti fizikal juga dapat mengurangkan kebarangkalian seseorang itu menghidap Alzheimer.

C. Diet

Individu yang memakan makanan sihat seperti makanan jepun dan mediterranean adalah kurang berisiko mendapat penyakit Alzheimer. Manakala mereka yang sering mengamalkan pemakanan tinggi lemak tepu dan gula ringkas lebih tinggi risikonya.

Beberapa contoh makanan yang kaya flavonoids seperti koko, kopi dan teh dapat mengurangkan risiko Alzheimer.

KESIMPULAN

Pada tahun 2015, dianggarkan terdapat 29.8 juta individu di dunia menghidap penyakit Alzheimer. Penyakit ini biasanya berlaku pada mereka yang berusia 65 tahun ke atas. Pada tahun yang sama, dianggarkan juga terdapat hampir 1.9juta kematian yang disebabkan oleh nyanyuk.

Tiada rawatan ataupon kaedah yang dapat memutar kembali penyakit ini. Ubat-ubatan hanya mampu mengurangkan simptom penyakit Alzheimer dengan sementara.

Individu yang menghidap penyakit Alzheimer sangat memerlukan kepada perhatian, dan pemantauan yang berterusan. Oleh itu, sentiasalah mengambil langkah awal dengan membuat pemeriksaan berkala untuk individu yang anda kenali mahupun diri anda sendiri supaya anda dapat mencegah serta melewatkan daripada penyakit ini terus memusnahkan jiwa anda mahupun insan yang anda sayangi.

RUJUKAN

  1. Burns A, Iliffe S (5 February 2009). “Alzheimer’s disease”. The BMJ. 338: b158. PMID 19196745. doi: “Dementia Fact sheet N°362”. World Health Organization. March 2015.
  2. Mendez MF (November 2012). “Early-onset Alzheimer’s disease: nonamnestic subtypes and type 2 AD”. Archives of Medical Research.
  3. Ballard C, Gauthier S, Corbett A, et al. (19 March 2011). “Alzheimer’s disease.”. Lancet. 377 (9770): 1019–31.
  4. “Dementia diagnosis and assessment” (PDF). National Institute for Health and Care Excellence (NICE).
  5. Commission de la transparence. Médicaments de la maladie d’Alzheimer [Drugs for Alzheimer’s disease: best avoided. No therapeutic advantage]. Prescrire International.
  6. Querfurth HW, LaFerla FM (28 January 2010). “Alzheimer’s disease”. The New England Journal of Medicine. 362
  7. GBD 2015 Disease and Injury Incidence and Prevalence, Collaborators. (8 October 2016). “Global, regional, and national incidence, prevalence, and years lived with disability for 310 diseases and injuries, 1990–2015: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2015.”. Lancet. 388
  8. GBD 2015 Mortality and Causes of Death, Collaborators. (8 October 2016). “Global, regional, and national life expectancy, all-cause mortality, and cause-specific mortality for 249 causes of death, 1980–2015: a systematic analysis for the Global Burden of Disease Study 2015.”. Lancet. 388
  9. “About Alzheimer’s Disease: Symptoms”. National Institute on Aging. Retrieved 28 December 2011.
  10. Todd S, Barr S, Roberts M, Passmore AP (November 2013). “Survival in dementia and predictors of mortality: a review”. International Journal of Geriatric Psychiatry
  11. Featured image diambil daripada Pixabay.com

8 Comments

Kpah k-poh sharifahnor · July 28, 2017 at 4:23 pm

Bolehkah Brain Fog yg dialami oleh Pengidap Tiroid ,membawa kpd Penyakit ini? Ataupun boleh nyanyuk diusia muda?
Terima kasih.
-fb grup #tiroiddananda

    uwais · July 28, 2017 at 5:21 pm

    Bismillahirrahmanirrahim.

    Pertama sekali, untuk menjawab soalan puan ini adalah agak rumit, kerana keadaan brain fog ini adalah suatu simptom yang bukan sahaja disebabkan oleh masalah thyroid, tetapi ia juga adalah suatu indikasi kepada penyakit Alzheimer itu sendiri.

    Brain fog sebagaimana yg sy pahami adalah suatu istilah pasar untuk menggambarkan suatu gejala pelupa dan kurang kemampuan kognitif. Hal ini hampir menyerupai keadaan pesakit alzheimer pada tahap awal penyakit itu berlaku.

    Ringkasnya, pesakit ini boleh mendapat masalah thyroid dan juga menjadi seorang pesakit alzheimer pada masa yang sama.

    Berkenaan dengan boleh atau tidak penyakit thyroid ini menjerumus kepada masalah thyroid, jawapannya ya dan juga tidak.

    Berdasarkan framingham study, kadar thyroid hormon yang terjejas(tidak kira tinggi atau rendah) adalah merupakan faktor pendorong kepada berlakunya penyakit Alzheimer di kalangan wanita, namun tidak ada mendatangkan sebarang kesan kepada golongan lelaki.

    Selain itu, tiada sebarang kajian yang dapat mengaitkan bahawa masalah thyroid akan menyebabkan seseorang itu mendapat penyakit Alzheimer di awal usia. Tetapi masalah thyroid adalah antara punca penyakit nyanyuk boleh ubah tertinggi (reversible dementia).

    Harap menjawab soalan. Terima kasih atas soalan yang baik.

Cecilia · March 8, 2018 at 12:47 pm

dimanakah saya boleh mendapatkan rawatan untuk pesakit nyanyuk di tahap permulaan dan berapakah pembiayaannya?

    Dr Latif Saad · March 10, 2018 at 3:44 pm

    Boleh mintak rujukan ke klinik psychiatry di hospital. Tapi kena pergi klinik kesihatan terlebih dahulu untuk doktor melihat sama ada dia benar2 mempunyai nyanyuk ataupun perkara lain yang menyebabkan perkara tersebut berlaku

Aym · May 25, 2018 at 10:43 pm

Assalamualaikum, ada penyakit nyayuk boleh menyebabkan badan berkudis kaki dan tangan bengkak (kembang)

DIABETES OTAK ATAU ALZHEIMER'S? - TheDiagnosa · November 4, 2017 at 10:19 am

[…] Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa. Bacaan seterusnya: Alzheimer’s: Punca dan Cara rawatan […]

Diabetes Otak ataupun Penyakit Alzheimer's? - TheDiagnosa · November 4, 2017 at 11:26 am

[…] Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa. Bacaan seterusnya: Alzheimer’s: Punca dan Cara rawatan […]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *