Penyakit asma pada kanak-kanak merupakan salah satu penyakit yang selalu dihidapi oleh si kecil. Ia menyebabkan kanak-kanak selalu tidak hadir ke sekolah dan menyebabkan pencapaiannya di sekolah tidak bagus jika simptom asma tidak dikawal dengan baik.

Macam mana nak tahu anak saya ada asma?

Tidak semua kanak-kanak mempunyai simptom asma yang sama dan simptom tersebut juga boleh berbeza pada episod serangan asma yang berlainan

Beberapa simptom asma pada kanak-kanak ialah:

  • Selalu batuk terutamanya ketika bermain, gelak, menangis dan pada waktu malam dan sejuk
  • Batuk yang lama
  • Bernafas laju
  • Mengadu dada ketat
  • Otot dan dan leher yang kelihatan bekerja keras untuk bernafas
  • Mempunyai bunyi ketika bernafas

Walaupun kesemua simptom ini merupakan salah satu simptom asma, tetapi selalunya para doktor tidak akan melabelkan kanak-kanak itu mempunyai asma sehinggalah ia berumur 5 tahun.

Untuk kanak-kanak yang kurang daripada 5 tahun, doktor mungkin memberikan diagnosa lain kepada kanak-kanak tersebut ¬†seperti ‘Reactive Airways Disease’ atau ‘Penyakit saluran pernafasan yang Reaktif’. Bermaksud saluran pernafasan tersebut sangat reaktif jika terdedah kepada sesuatu perkara seperti habuk dan bulu kucing.

Selalu ke asma berlaku pada pada kanak-kanak?

Asma adalah penyebab utama penyakit kronik pada kanak-kanak. Ia telah memberi kesan kepada 7 juta kanak-kanak di US dan bilangan tersebut semakin meningkat. Asma selalunya berlaku pada mereka yang berumur lebih daripada 5 tahun.

Apakah faktor risiko yang akan menyebabkan kanak-kanak mendapat asma?

  • Mempunyai penyakit alahan yang lain seperti resdung dan juga ekzema
  • Mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit alahan
  • Selalu mendapat jangkitan kuman pada saluran pernafasan
  • Kurang berat ketika lahir
  • Terdedah kepada asap rokok sejak kecil

Bagaimana asma pada kanak-kanak di kesan?

Asma pada kanak-kanak selalunya di diagnosa dengan mengambil sejarah pesakit dan juga melakukan pemeriksaan fizikal. Perlu diketahui bahawa apabila ibubapa membawa anak-anak mereka berjumpa dengan doktor mungkin simptom tersebut telah pun hilang.

Oleh itu, ibubapa perlu memberi kerjasama dengan memberi sejarah yang tepat kepada doktor untuk mengetahui apakah masalah yang dihadapi oleh anak mereka.

Beberapa perkara yang akan dilakukan oleh doktor adalah:

  • Mengambil sejarah pesakit: Doktor ingin mengetahui adakah kanak-kanak tersebut mempunyai masalah pernafasan, batuk yang berterusan dan dada yang ketat. Sejarah keluarga sama ada wujudnya penyakit alahan seperti ekzema dan resdung di dalam keluarga. Adakah simptom tersebut selalu berlaku terutamanya ketika waktu malam dan sejuk?
  • Pemeriksaan fizikal: Doktor akan mendengar paru-paru untuk memeriksa bunyi ‘wheezing’. ‘Wheezing’ adalah salah satu petanda yang seseorang kanak-kanak itu mempunyai masalah asma
  • Ujian: Ujian seperti x-ray dapat melihat keadaan paru-paru yang mungkin mempunyai jangkitan kuman. Dalam pesakit asma, isipadu paru-paru akan kelihatan lebih besar daripada paru-paru yang normal. Selain daripada itu, ujian spirometri boleh dilakukan untuk melihat sama ada pesakit mempunyai paru-paru yang bermasalah ataupun tidak. Ia akan membantu daripada segi diagnosa penyakit ini. Ujian alahan juga boleh dibuat untuk melihat sama ada pesakit mempunyai masalah alahan ataupun tidak

Bagaimana Asma pada kanak-kanak dirawat?

Salah tau cara untuk merawat kanak-kanak yang mempunyai masalah asma adalah dengan mengelakkan kanak-kanak tersebut daripada bahan yang akan mencetuskan serangan asma.

Beberapa bahan tersebut adalah:

  • Debunga
  • Habuk daripada karpet mahupun daripada tempat yang berdebu
  • Bulu haiwan
  • Najis haiwan
  • Asap rokok dan kenderaan
  • dan apa-apa makanan yang menyebabkan serangan asma berlaku

Penggunaan ubat pam juga dapat membantu. Ubat pam terbahagi kepada dua jenis ubat iaitu Pam pelega(Reliever) dan juga pam pencegah(preventer).

Pam pelega selalunya digunakan hanya pada waktu ketika serangan asma. Ia berfungsi untuk membuka saluran pernafasan yang sedang mengecut ketika diserang asma.

Manakala, pam pencegah pula digunakan setiap hari yang berfungsi untuk mengelakkan daripada serangan asma.

Penggunaan pam ini adalah sedikit kompleks disebabkan ketika pam ditekan, pesakit perlu menyedutnya dengan serentak agar ubat itu terus masuk ke dalam paru-paru. Tetapi kanak-kanak selalunya tidak boleh mengikuti arahan tersebut.

Maka satu alat yang dikenali sebagai ‘spacer’ akan digunakan untuk membantu kanak-kanak ketika penggunaan ubat ini. Ia seperti satu corong, dimana ubat itu disembur ke dalam corong tersebut dan kanak-kanak akan menyedutnya daripada corong tersebut

Apakah tujuan rawatan asma pada kanak-kanak?

Ibubapa perlu tahu bahawa penyakit asma tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dikawal. Selalunya serangan asma semakin berkurangan ketika mereka membesar. Tujuan rawatan asma adalah seperti dibawah. Ianya adalah:

  • Untuk hidup secara aktif dan normal
  • Untuk mengelakkan simptom asma yang kronik seperti batuk yang berpanjang ketika waktu malam
  • Supaya kanak-kanak dapat pergi ke sekolah
  • Supaya kanak-kanak dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa
  • Untuk mengurangkan kekerapan berjumpa dengan doktor disebabkan serangan asma

Jika pesakit tidak dapat mencapai objektif ini, maka ibubapa perlulah bawa berjumpa dengan doktor supaya rawatan dapat diubah kepada yang lebih efektif.

Jika maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa

Rujukan:

  1. Allergy & Asthma Network: Mothers of Asthmatics: “School House: Keeping Healthy at School.”
  2. American Academy of Allergy Asthma & Immunology: “Tips to remember: Childhood asthma.”
  3. American Lung Association: “Asthma.”
  4. Allergy & Asthma Network: Mothers of Asthmatics: “Off to School with Confidence.”
  5. Asthma and Allergy Foundation of America: “Asthma in Infants.”
  6. sumber featured image: medicalxpress.com
Categories: Kanak-kanak

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa