415Shares

Penyakit Bipolar ataupun Bipolar disorder adalah salah satu masalah mental yang mempunyai karakter mood yang sentiasa bertukar diantara kemurungan dan mania. Ia juga dikenali dengan nama lain iaitu Manic-Depression Disorder

Semua orang faham maksud kemurungan. Tetapi apakah pula maksud Mania?

Mania adalah lawan kepada rasa murung. Seseorang yang mempunyai mania dikatakan akan mempunyai kegembiraan yang berlebihan, hyperaktif, kurang rasa untuk tidur, pemikiran yang bertukar-tukar dengan terlalu laju yang menyebabkan ia bercakap dengan banyak.

Seseorang yanag mengalami kemurungan pula akan mempunyai rasa sedih yang terlampau, tidak aktif, asyik nak tidur, tidak rasa seronok melakukan perkara yang dia minat dan rasa tiada harapan.

Oleh itu, Bipolar adalah penyakit dimana seseorang itu mempunyai mood yang bertukar-tukar diantara mania dan kemurungan

Sebab itu penyakit ini diberi nama Bipolar. Polar bermaksud kutub. Bipolar bermaksud mempunyai dua kutub. 2 Kutub dalam penyakit ini dimaksudkan perasaan mania dan juga kemurungan.

Kitaran mood bipolar boleh menjadi laju. Dimana dalam satu minggu yang sama, mood pesakit bipolar boleh bertukar diantara murung dan mania. Tetapi kebanyakan daripada pesakit bipolar adalah jenis yang lambat kitarannya. Bermaksud pesakit tersebut akan mengalami keadaan mania yang berminggu ataupun berbulan lamanya sebelum bertukar kepada keadaan murung ataupun sebaliknya

Jenis-Jenis Penyakit Bipolar

Terdapat dua jenis penyakit bipolar iaitu:

Bipolar jenis 1

Untuk penyakit Bipolar jenis ini, pesakit akan mengalami episod mania yang penuh dan juga kemurungan. Selalunya episode mania tersebut akan berterusan setiap hari lebih daripada seminggu.

Bipolar Jenis 2

Dalam bipolar jenis ini pula, pesakit akan mengalami simptom hipomania jika nak dibandingkan dengan mania. Hipo bermaksud sedikit. Hipomania bermaksud mempunyai sedikit simptom mania. Pesakit akan mempunyai simptom-simptom seperti kegembiraan, kurang tidur, asyik nak bercakap, karakter yang tidak penyabar, suka pergi bershopping dan sebagainya. Tetapi ia hanya berlaku lebih kurang 4 hari berbanding bipolar jenis 1 yang lebih daripada seminggu

Dalam keadaan ini, selalunya ahli keluarga merasakan pesakit tersebut masih normal kerana keadaan ‘mania’nya tidak seteruk bipolar jenis 1

Simptom-simptom Penyakit Bipolar

Simptom Bipolar ketika fasa mania

  • Mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Sebagai contoh asyik bercakap di dalam instagram dengan kekerapan yang tinggi walaupun ia bercakap sesuatu yang tiada ada makna.
  • Terlebih aktif
  • Kurang tidur dengan ketara
  • Kurang selera makan dan kurang berat badan
  • Bercakap dengan lajunya. Dalam hal ini, pesakit akan bercakap satu topik kemudian pergi ke topik yang lain tanpa menghabiskan topik yang sebelum ini. Ini kerana idea di dalam kepalanya masuk dengan terlampau banyak. Begitu juga dalam penulisannya.
  • Idea yang terlampau banyak
  • Tidak dapat fokus
  • Suka melakukan aktiviti yang banyak dan berlebihan sehingga boleh mencederakan diri sendiri. Sebagai contoh, pesakit sebelum ini adalah seorang yang pemalas. Tiba-tiba hari ini dia bertukar menjadi terlampau rajin sehingga perkara tersebut boleh memudaratkan dirinya. Dia kemas rumah, dia potong rumput, dia tukarkan lampu dan dia juga berani panjat bumbung tanpa menggunakan peralatan keselamatan semata-mata nak tengok bersihkan saluran air dibumbung.
  • Suka berbelanja tanpa melihat berapa banyak yang dibelanjakan
  • Perangai yang aggresif

Simptom Bipolar ketika fasa murung

  • Merasa sedih dan tiada harapan
  • Tidak mempunyai minat dalam perkara yang dia suka buat sebelum ini
  • Susah untuk tidur
  • Nampak tidak bertenaga
  • Merasa bersalah dan kurang keyakinan diri
  • Sentiasa berfikiran negatif
  • Merasa hidup tidak bermakna
  • Jika teruk, akan terbit idea untuk membuat perancangan membunuh diri pada individu tersebut

Seperti mana-mana penyakit mental yang lain. Dalam bipolar, ia mesti menyebabkan pekerjaannya, gaya hidupnya dan perkara-perkara penting dalam hidupnya terjejas

Punca Penyakit Bipolar

Penyebab kepada penyakit bipolar masih lagi tidak diketahui. Ia boleh disebabkan kepada masalah genetik dan persekitaran yang berinteraksi antara satu sama lain.

Kajian terkini menunjukkan masalah ini berlaku disebabkan beberapa bahagian otak tidak menghasilkan jumlah kompaun penting yang betul di dalam otak.

3 kompaun yang penting dalam otak adalah serotonin, dopamin dan noradrenalin.

Faktor genetik

Disebabkan masalah bipolar selalunya melibatkan ahli keluarga, maka genetik ataupun baka memainkan peranan penting dalam hal ini. Mereka yang ada keluarga yang mempunyai masalah ini akan berisiko mengalami masalah yang sama.

Jika seseorang ibubapa mempunyai masalah bipolar, anaknya mempunyai risiko 10-15% untuk mempunyai masalah yang sama

Faktor persekitaran

Terdapat beberapa faktor persekitaran yang boleh menyebabkan masalah bipolar ini bermula. Ianya adalah:

  • Satu kejadian teruk yang mungkin menyebabkan seseorang itu tertekan. Ketika ia cuba menjadi normal semula, mood seseorang itu menjadi berlebihan hingga menyebabkan ia mania.
  • Penggunaan alkohol, dadah ataupun masalah hormon boleh memulakan penyakit bipolar
  • Tiada orang yang menyokong individu tersebut daripada belakang
  • Selalunya berlaku ketika waktu muda

Ubat yang boleh menyebabkan Mania

Terkadang mereka yang mengalami kemurungan akan berjumpa dengan doktor dan terus diberi ubat anti-kemurungan(anti-depression). Mereka ini mempunyai potensi untuk menjadi mania kerana kadang-kadang doktor pada ketika itu tidak tahu yang pesakit ada episod mania dan pesakit sendiri merasakan dia tidak mempunyai masalah tersebut.

Apabila ubat anti-kemurungan diberi, maka kitaran itu terus berubah daripada murung menjadi mania. Oleh sebab itu, jika anda mengalami kemurungan dan sebelum ini mungkin mengalami episod mania, maka anda perlu memberi tahu doktor yang anda jumpa supaya ubat yang betul dapat diberikan kepada anda.

Penyiasatan

Untuk mengesahkan seseorang itu mengalami masalah Bipolar, seseorang itu perlulah berjumpa dengan doktor.

Prosedur yang betul adalah pesakit dibawa ke klinik kesihatan untuk diberi surat rujukan ke klinik pakar psikiatri di Hospital.

Jika keadaan pesakit terlalu teruk seperti mempunyai perangai yang agresif ataupun ingin membunuh diri, wajib untuk dibawa terus pesakit itu ke hospital. Tak perlu pergi ke klinik kesihatan.

Pakar psikiatri akan menjalankan sesi temuduga kepada pesakit dan juga ahli keluarga untuk menentukan sama ada pesakit mempunyai masalah tersebut ataupun tidak.

Tetapi ada beberapa penyiasatan yang perlu dibuat sebelum mengesahkan pesakit itu mempunyai masalah bipolar. Pengambilan darah untuk mengetahui bilangan darah, jumlah garam, bacaan hormon tiroid, ujian dadah dan beberapa jenis bacaan lain adalah penting. Ini kerana masalah daripada penyakit tersebut juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami simptom-simptom seperti mania ataupun kemurungan.

Jika penyakit tersebut menyebabkan simptom seperti mania ataupun kemurungan, maka rawatannya adalah dengan merawat penyakit tersebut. Sebagai contoh kekurangan hormon tiroid seperti dalam penyakit hipotiroid boleh menyebabkan seseorang itu berada dalam keadaan murung.

Jadi rawatan untuk pesakit ini adalah dengan memberikan ubat hormon thyroid. Ia akan menyebabkan moodnya kembali pulih dan tidak murung.

Rawatan

Rawatan untuk masalah bipolar perlulah dirujuk kepada doktor. Pesakit tidak boleh mengambil ubat di farmasi tanpa melihat doktor terlebih dahulu.

Rawatan bagi pesakit bipolar bergantung kepada keadaan pesakit. Pesakit perlu dimasukkan ke dalam hospital jika mempunyai kriteria ini iaitu:

  • Membahayakan diri sendiri
  • Membahayakan orang lain
  • Mengalami halusinasi
  • Langsung tidak dapat melakukan aktiviti hariannya
  • Bersikap aggresif

Jika pesakit tidak terlalu terlalu teruk dan masih boleh dikawal lagi, terdapat beberapa rawatan yang selalunya diberikan kepada pesakit bipolar adalah:

  1. Ubat Penstabil mood(mood stabilizer). Ubat yang sebelum ini selalu digunakan adalah Lithium
  2. Atypical antipsychotics
  3. Psikoterapi. Adalah aktiviti interaksi kepada pesakit untuk menyebabkan pesakit berubah dan juga mampu menyelesaikan masalah terutamanya masalah emosi dan perasaan

Ini adalah senarai ringkas rawatan yang diberikan. Tetapi daripada segi bidang psikiatri terdapat beberapa lagi rawatan yang boleh diberikan. Yang penting rawatannya perlulah dibawah pengawasan doktor pakar

Nasihat Kami

Ramai di kalangan masyarakat yang selalu menafikan ahli keluarganya mengalami masalah ini jika mereka mempunyai simptom seperti yang dikatakan. Pada mulanya perangai pesakit dapat dikawal sehinggalah satu pesakit menjadi punca masalah kepada keluarga barulah mereka dirujuk ke hospital.

Nasihat kami ahli keluarga tersebut mempunyai hak untuk mendapat rawatan perubatan yang baik. Jauhkan stigma dan kerisauan apabila orang lain pandang ahli keluarga kita mengalami masalah mental. Biarkan apa orang lain cakap asalkan ahli keluarga kita dapat rawatan yang sepatutnya

Jika anda rasa maklumat ini bermanfaat, sila like page kami TheDiagnosa.
Bacaan seterusnya: Penyakit Malu dan Penyakit Cemburu

Rujukan:

  1. American Psychiatric Association. Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders, Fifth Edition. Washington, DC: American Psychiatric Association; 2013.
  2. Management of Bipolar Disorder Working Group. VA/DoD clinical practice guideline for management of bipolar disorder in adults. Washington, DC: Department of Veterans Affairs, Department of Defense; 2010.
  3. Ketter TA. Diagnostic features, prevalence, and impact of bipolar disorder. J Clin Psychiatry. 2010 Jun. 71(6):e14.
  4. Edvardsen J, Torgersen S, Røysamb E, Lygren S, Skre I, Onstad S, et al. Heritability of bipolar spectrum disorders. Unity or heterogeneity?. J Affect Disord. 2008 Mar. 106(3):229-40.
  5. Reich T, Clayton PJ, Winokur G. Family history studies: V. The genetics of mania. Am J Psychiatry. 1969 Apr. 125(10):1358-69.
  6. Lin PI, McInnis MG, Potash JB, Willour VL, Mackinnon DF, Miao K, et al. Assessment of the effect of age at onset on linkage to bipolar disorder: evidence on chromosomes 18p and 21q. Am J Hum Genet. 2005 Oct. 77(4):545-55.

Dr Latif Saad

Seorang Pegawai Perubatan. Pengasas kepada page Root of Science dan e-Diagnosa

5 Comments

mya · July 7, 2018 at 6:43 am

hii doc . i mya dri sg.besi .. i ad beberapa soalan dan betul2 memerlukan bantuan .. tp tak tau mana dan pd siapa .. jika dok sudi mendengar .. email i

Din Jelani · July 10, 2018 at 1:34 am

Sejujurnya saya suka cara penulisan doktor dalam artikel berkenaan dengan ilmu perubatan. Bahasa yang santai dan mudah difahami… Syabas!

tasya · July 28, 2018 at 6:27 am

assalam. hai doc. saya tasya dari johor. saya juga ada beberapa perkara nak tanya doc. sgt sgt memerlukan bantuan. :'(

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *